LETBE Flygon: Scrambler dengan gaya pepatung yang unik
Jika anda sudah bosan dengan penangan skuter yang berlambak atas jalan raya, ini satu model yang cukup unik untuk dipertimbangkan iaitu LETBE Flygon.
Tengok daripada sudut hadapan, anda boleh melihat elemen haiwan yang menjadi inspirasi kepada model Flygon ini, iaitu pepatung (dragon fly).
Flygon merupakan motosikal gaya scrambler yang hadir dengan beberapa pilihan enjin, termasuklah 125 cc, 220 cc dan 250 cc.
Enjin 125 cc dan 220 cc itu menggunakan sistem sejukan udara, masing-masing menghasilkan kuasa 10 hp @ 7,500 rpm/10 Nm @ 6,000 rpm dan 17.2 hp @ 7,500 rpm dan 17 Nm @ 5,500 rpm.
Sementara varian Flygon 250 pula menggunakan enjin sesaran 231 cc berkuasa 23.5 hp @ 7,500 rpm dan 23 Nm @ 6,000 rpm.
Flygon menggunakan tetapan suspensi fork jenis USD berserta penyerap hentak tunggal di belakang.
Brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang, dibantu dengan ciri seperti ABS dan TCS yang boleh dilaras.
Antara ciri lain yang dimuatkan:
- Lampu LED
- Tangki bahan api 12 liter
- Peredam ekzos posisi tinggi
- Cagak rak barangan pada bahagian tangki
- Skrin paparan TFT 2.8 inci berbentuk bulat
- Tinggi pelana 780 mm
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.










