Ducati Desmo450 SM 2027: Supermoto perlumbaan pertama Ducati!

Gambar wheelie Ducati Desmo450 SM 2027

Apabila Ducati memperkenalkan Desmo450 MX dan berdasarkan strategi yang sudah digunakan, syarikat itu tidak akan berdiam dengan satu projek sahaja.

Ini terbukti dengan pelbagai produk lain termasuk Desmo250 MX.

Kepakaran Ducati dalam dunia perniagaan dan perlumbaan diteruskan lagi dengan produk terbaru, Ducati Desmo450 SM.

Diperkenalkan pada 17 September 2026, Ducati Desmo450 SM ialah motosikal supermoto perlumbaan pertama daripada pengeluar yang berpangkalan di Borgo Panigale, Itali.

Model ini dibangunkan berasaskan platform Desmo450 MX yang telah dibangunkan semula secara khusus untuk perlumbaan supermoto.

Suspensi, triple clamp, roda, sistem brek, nisbah pacuan akhir, klac slipper dan sistem elektronik ditala untuk berfungsi secara bersama bagi memberikan ketepatan, kawalan dan prestasi di litar supermoto.

Ducati Desmo450 SM Dibangunkan Untuk Perlumbaan

Gambar selekoh Ducati Desmo450 SM 2027

Ducati Desmo450 SM menggabungkan pelbagai penyelesaian yang dibangunkan khusus untuk perlumbaan supermoto.

Hasilnya ialah sebuah motosikal yang sesuai digunakan penunggang profesional dan amatur.

Gabungan penyampaian kuasa enjin, casis dan sistem elektronik membolehkan motosikal ini menawarkan prestasi tinggi dengan usaha fizikal yang minimum.

Menurut Ducati, gabungan tersebut direka untuk membantu penunggang mengekalkan konsistensi, kecekapan dan masa pusingan di litar.

Suspensi Showa Khusus Untuk Supermoto

Fork Enjin Ducati Desmo450 SM 2027

Suspensi menjadi antara fokus utama pembangunan Ducati Desmo450 SM.

Buat kali pertama bagi sebuah motosikal supermoto pengeluaran, Showa terlibat secara langsung dalam pembangunan tetapan suspensi.

Ia bertujuan memberikan sokongan ketika membrek, ketepatan ketika memasuki selekoh dan kawalan dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Di bahagian hadapan, Desmo450 SM menggunakan fork terbalik Showa 49 mm jenis kartrij tertutup yang boleh dilaraskan sepenuhnya bagi mampatan dan lantunan.

Fork tersebut menggunakan spring serta tetapan khusus, mempunyai jarak gerakan 280 mm dan salutan Kashima pada tiub luar.

Bahagian kiri fork mempunyai tapak angkup brek jejari.

Brek dan suspensi Enjin Ducati Desmo450 SM 2027

Plat hendal pula dimesin daripada aluminium dan mempunyai jarak tengah yang dipanjangkan bagi menyediakan ruang mencukupi untuk roda hadapan.

Hasilnya ialah bahagian hadapan yang memberikan sokongan ketika membrek dengan kuat, ketepatan ketika memasuki selekoh dan keyakinan ketika menunggang di jalan raya.

Suspensi ini turut direka untuk kekal berkesan ketika melalui bahagian off-road.

Di belakang, penyerap hentak Showa boleh dilaraskan sepenuhnya dan digabungkan dengan sistem pautan progresif.

Jarak gerakan roda 295 mm dan mempunyai tetapan khusus bagi membantu cengkaman serta keseimbangan motosikal sepanjang tunggangan.

Roda 16.5 Inci dan 17 Inci

Gambar sisi Ducati Desmo450 SM 2027

 

Pelindung tangan dan pelindung lumpur yang dipendekkan direka semula mengikut keperluan supermoto.

Pelindung fork juga dipendekkan bagi menyediakan lebih banyak ruang untuk tayar hadapan berukuran 125/75.

Ducati Desmo450 SM menggunakan rim berukuran 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Rim aluminium Takasago Excel menggunakan profil Excel bersama sistem Bartubeless.

Sistem tersebut menghapuskan penggunaan tiub dalam dan mengurangkan jisim berputar serta jisim tidak terpegas sebanyak 1.2 kg.

Ducati menyatakan pengurangan tersebut membantu pengendalian dan tindak balas suspensi.

Tayar standard ialah Metzeler Racetec Slick SM yang sama digunakan dalam Kejuaraan Dunia.

Sistem Brek Brembo dan Galfer

Sistem brek Ducati Desmo450 SM dibangunkan untuk memberikan kuasa dan kawalan brek dalam keadaan tunggangan supermoto.

Di hadapan, motosikal ini menggunakan angkup jejari Brembo Stylema bersama cakera terapung Galfer 310 mm dengan bebibir aluminium.

Bahagian belakang pula menggunakan cakera Galfer 240 mm bersama angkup terapung Brembo.

Enjin Desmo450 449.6cc

Enjin Ducati Desmo450 SM 2027

Ducati Desmo450 SM menggunakan enjin satu silinder Desmo450 berkapasiti 449.6 cc.

Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 63.5 hp pada 9,400 rpm dan tork maksimum 53.6Nm pada 7,500 rpm.

Teknologi injap Desmodromic membolehkan had putaran enjin ditetapkan pada 11,900 rpm.

Julat operasi yang luas membolehkan penunggang berada lebih lama dalam setiap gear dan mengurangkan pertukaran gear yang tidak diperlukan.

Casis pula menggunakan rangka aluminium twin-spar yang sama seperti motosikal motocross.

Rangka tersebut direka dengan jumlah kimpalan yang minimum bagi mengoptimumkan berat, ketegaran dan kekuatan.

Reka bentuknya turut membolehkan saluran kemasukan udara dibuat selurus mungkin supaya enjin dapat bernafas dengan lebih cekap.

Klac Suter dan QS

Gambar depan Ducati Desmo450 SM 2027

Sistem transmisi Ducati Desmo450 SM dilengkapi Penukar Gear Pantas (Quick Shift) aktif untuk pertukaran gear ke atas.

Motosikal ini turut menggunakan klac slipper Suter yang ditala khusus untuk Desmo450 SM.

Klac tersebut membantu penunggang menguruskan keadaan side-slip ketika memasuki selekoh.

Ducati Traction Control Untuk Supermoto

Ducati Desmo450 SM memperkenalkan sistem Ducati Traction Control di dalam segmennya.

Sistem tersebut ditala khusus untuk supermoto dan mampu menganggarkan gelinciran sebenar roda belakang.

Ducati Traction Control mempunyai empat tahap pelarasan dan boleh dinyahaktifkan.

Sistem ini bertindak terhadap parameter enjin bagi meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika keadaan cengkaman permukaan berubah.

Sistem elektronik lain termasuk Kawalan Mula (Launch Control), Kawalan Brek Enjin (Engine Brake Control), dan Penukar Gear Pantas.

Ducati Desmo450 SM turut mempunyai dua mod tunggangan yang boleh dikonfigurasi mengikut keperluan penunggang dan ciri litar menggunakan aplikasi X-Link sebagai aksesori.

Gambar selekoh Ducati Desmo450 SM 2027

Penyelenggaraan Ducati Desmo450 SM

Jadual penyelenggaraan Ducati Desmo450 SM ditetapkan mengikut standard kategori ini.

Penggantian omboh dan pemeriksaan kelegaan injap dijadualkan setiap 45 jam.

Baik pulih penuh enjin pula dijadualkan setiap 90 jam, manakala penukaran minyak enjin perlu dilakukan setiap 15 jam.

Bagi memudahkan kerja penyelenggaraan, penutup alternator, klac dan kepala silinder menggunakan sistem gasket.

Gasket logam digunakan pada kepala silinder, manakala gasket getah digunakan pada penutup alternator dan klac.

Desmo450 SM turut tampil dengan sistem penyelenggaraan berasaskan jangkaan untuk memantau tahap kehausan komponen enjin dan tekanan mengikut gaya pemanduan.

Dengan modul Com-Link sebagai aksesori, selang penyelenggaraan rutin boleh diuruskan dengan lebih tepat bagi mengekalkan kecekapan dan prestasi motosikal.

Ducati Desmo450 SM Tiba Disember 2026

Gambar sisi Ducati Desmo450 SM 2027

Ducati Desmo450 SM ditawarkan dalam warna Ducati Red.

Motosikal ini akan mula tiba di pengedar Ducati terpilih di Eropah mulai Disember 2026.

Ketersediaan di pasaran lain akan menyusul selepas itu.

Spesifikasi Ducati Desmo450 SM 2027

  • Enjin satu silinder Desmo450, 449.6 cc
  • Kuasa maksimum: 63.5 hp @ 9,400 rpm
  • Tork maksimum: 53.6Nm @ 7,500 rpm
  • Rangka aluminium twin-spar
  • Tangki bahan api: 7.2 liter
  • Fork terbalik Showa 49 mm jenis kartrij tertutup
  • Pelarasan mampatan dan lantunan
  • Jarak gerakan hadapan: 280 mm
  • Salutan Kashima
  • Penyerap hentak belakang Showa boleh dilaraskan sepenuhnya
  • Jarak gerakan roda belakang: 295 mm
  • Lengan ayun aluminium tuang
  • Angkup jejari Brembo Stylema
  • Pam brek jejari PR15x19
  • Cakera Galfer 310 mm di hadapan dan 240 mm di belakang
  • Rim aluminium Takasago Excel dengan sistem Bartubeless
  • Rim hadapan: 16.5 x 3.5 inci
  • Rim belakang: 17 x 5 inci
  • Tayar Metzeler Racetec SM 125/75 R16.5 dan 165/55 R17
  • Rantai transmisi DID
  • Dua mod tunggangan
  • X-Link sebagai aksesori untuk konfigurasi mod tunggangan
  • Ducati Traction Control
  • Kawalan Mula, Kawalan Brek Enjin, dan Penukar Gear Pantas .
  • Penggantian omboh setiap 45 jam
  • Pemeriksaan kelegaan injap setiap 45 jam

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved