fbpx

Mercedes-Benz GLC350e Coupe, AMG GLC43 Coupe tiba di Malaysia – dari RM425,888

MB GLC 350e 4M Coupe_ (4)

Turut dilancarkan di samping G63, SL63, GLE63S dan GLE63 S Coupe adalah dua varian GLC Coupe iaitu GLC350e 4Matic Coupe dan GLC43 4Matic Coupe.

Hadir sebagai pengganti GLC300 4Matic Coupe, GLC350e dijual pada harga RM425,888, manakala GLC43 pula berharga RM498,888.

GLC350e 4Matic Coupe

Model hibrid plug-in (PHEV) ini menampilkan enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 204 PS pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.

Apabila digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 135 PS (100 kW) dan 440 Nm, GLC350e mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 313 PS dan 550 Nm.

Dilengkapi dengan transmisi 9G-Tronic dan sistem pacuan 4Matic, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 218 km/j.

Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan tenaganya daripada bateri voltan tinggi berkapasiti 25.4 kWj yang menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 131 km mengikut kitaran WLTP. Bateri tersebut menyokong pengecasan AC 11 kW.

Dari segi kelengkapan, GLC350e menawarkan kelengkapan yang sama dengan GLC300. Ini bermakna ia didatangkan dengan kit badan AMG Line, rim AMG 20 inci, lampu Digital Light dan bumbung suria panoramik.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit Artico, kemasan mikrofiber Microcut, skrin sentuh infotainment 11.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, panel instrumen 12.3 inci, dan sistem audio Burmester 3D.

Tambahan baru pada GLC350e adalah sistem Driving Assistance Package Plus yang merangkumi ciri-ciri seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist dan Active Blind Spot Assist.

Turut disertakan adalah ciri Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist dengan PARKTRONIC.

GLC43 4Matic Coupe

Seterusnya, GLC43 4Matic Coupe merupakan model Mercedes-AMG kedua yang dipasang di Malaysia selepas C43. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 421 PS dan 500 Nm.

Membantu enjin berkenaan adalah sistem mild hybrid RSG yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 10 kW (14 PS) apabila perlu. Selain itu, ia juga membolehkan fungsi coasting dan pemulihan tenaga untuk memaksimumkan kecekapan.

Dengan transmisi AMG Speedshift MCT 9G dan sistem pacuan semua roda 4Matic, GLC43 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Ia dilengkapi dengan sistem suspensi AMG Ride Control dengan ciri redaman adaptif, kawalan stereng gandar belakang sehingga 2.5 darjah, dan juga program pemanduan Dynamic Select.

Dari segi penampilan, GLC43 boleh dibezakan dengan GLC350e menerusi elemen-elemen tertentu seperti gril radiator Panamericana, rekaan sayap jet dan liang intake yang besar pada apron depan, skirt sisi AMG dan rim AMG Y-spoke berukuran 21 inci.

Ia juga didatangkan dengan lampu Digital Light dan AMG Night Package yang merangkumi elemen-elemen yang dicat dalam warna hitam berkilat.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman GLC43 menampilkan suasana yang sporty menerusi kerusi AMG yang dibalut kulit buatan manusia Artico dan Microcut, stereng flat bottom AMG Performance, paddle shifter aluminium, trim gentian karbon dan tali pinggang Manufaktur berwarna merah.

Tidak cukup dengan itu, sistem infohibur MBUX GLC43 mempunyai fungsi dan paparan spesifik AMG. Ini termasuk paparan Supersport pada skrin sentuh multimedia dan head-up display dan sistem AMG Track Pace untuk digunakan di litar.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk sistem audio Burmester 3D, navigasi realiti terimbuh (AR), Keyless-Go Comfort Package, sistem kawalan iklim Thermotronic dan Driving Assistance Package Plus.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved