MODENAS jalin kerjasama dengan Kolej KEDA tawar latihan teknologi motosikal elektrik
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dengan Kolej KEDA mengumumkan pembukaan EV Motorcycle Industry-Academia Centre of Excellence (EV-MIACE).
Fasiliti ini terletak di Jabatan Teknologi Motosikal Kolej KEDA di Sik, Kedah.
Inisiatif ini menjadikan kolej KEDA institusi pertama di Kedah membangunkan pusat kecemerlangan EV khusus untuk mengintegrasikan pengetahuan industri, teknologi dan kepakaran teknikal dalam pendidikan TVET.
Pendedahan teknologi EV
Di bawah kerjasama ini, pelajar akan didedahkan kepada sistem motosikal elektrik jenama MODENAS.
MODENAS pula akan menyediakan sokongan penasihat bagi pembangunan modul pengajaran, berkongsi teknologi semasa dan kepakaran teknikal, serta menyumbang peralatan pembelajaran.
Pelajar yang mengikuti modul akan menerima pengiktirafan kemahiran dan pensijilan daripada MODENAS.
Untuk permulaan, seramai 25 pelajar akan mengikuti program ini bermula September hingga Disember 2026 dan menerima pensijilan MODENAS.
Kerjasama ini akan diteruskan pada tahun 2027 dengan dua kursus jangka pendek untuk 60 peserta.
Bermula tahun 2028 hingga 2030, Kolej KEDA menetapkan sasaran untuk berperanan sebagai rakan latihan industri bagi program peningkatan dan pemerkasaan kemahiran di bawah skim Akademi Dalam Industri (ADI).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
