fbpx

Nissan Z 2023 rasmi dilancar – 400hp, manual 6-kelajuan, dua pilihan varian

nissan 400z 10

SELEPAS lebih sedekad pelancaran 370Z, Nissan kini mendedahkan penggantinya. Salam perkenalan, Nissan Z 2023 coupe. Tiada nombor seperti 350Z dan 370Z, hanya Z kali ini. Dan kereta sports ini sememangnya dinanti-nantikan.

Nissan Z 2023 ini hadir dalam dua pilihan; Sport dan Performance serta pilihan Proto Spec yang mengambil ispirasi dari konsep tahun lepas.

Menurut Nissan, Z 2023 ini ialah model serba baharu sepenuhnya, tetapi ia sebenarnya masih menggunakan casis Z34 yang menjadi pelantar kepada 370Z. Cuma ia telah dirombak secara besar-besaran luar dan dalam.

Apa pun, Nissan Z ini diberikan rupa kontemporari tetapi masih mengekalkan elemen klasik sebuah Fairlady. Nissan Z 2023 mendapat muncung depan tajam, gril bersegi, dan lampu LED rekaan retro.

Di belakang, lampunya juga mengambil rekaan retro, iaitu dari 300ZX. Terdapat panel hitam melintang yang mengandungi lampu belakang LED, diffuser hitam berkilat, dan ekzos berkembar. Model Performance ditambah dengan spoiler ringkas.

Model Sport hadir dengan rim 18-inci manakala Performance diberikan 19-inci dari Z Proto. Nissan menawarkan sembilan pilihan warna; enam darinya dengan kemasan dua-tona bumbung hitam, dan tiga lagi dengan satu-tona warna badan.

Prestasi dibekalkan oleh enjin 3.0-liter V6 twin-turbo yang menjana 400hp dan 475Nm tork, dihantar ke roda belakang. Output ini adalah 68hp dan 108Nm lebih dari 370Z. Nissan tidak mendedahkan sebarang angka pecutan 0-100, tetapi mereka berkata model baharu ini memecut 15 peratus lebih pantas dari sebelumnya.

Menariknya, kotak gear utama ialah manual 6-kelajuan berserta klac prestasi tinggi, fungsi rev-matching dan Launch Control. Sementara itu, kotak gear alternatif automatik 9-kelajuan juga mendapat Launch Control dan LSD (limited-slip differential).

Kabin Nissan Z memberi kombinasi teknologi moden dan keselesaan dengan elemen klasik. Tempat duduk bucket mirip GT-R, dan kemasan fabrik hitam atau kulit boleh didapati untuk model Performance.

Konsol tengah menampilkan kluster meter analog untuk boost turbo, kelajuan turbin, dan voltmeter. Terdapat paparan digital bersaiz 8-inci dengan skrin sesentuh, dan model Performance diberikan skrin lebih besar iaitu 9-inci.

Walaupun pelantar Nissan Z ini diambil dari 370Z, penambahbaikan dilakukan termasuklah menambah ketegaran struktur, mengolah semula suspensi, menambah stereng kuasa elektronik yang Nissan janjikan “mempunyai rasa mekanikal”, dan tayar depan lebih lebar.

Model Sport dengan rim 18-inci mendapat tayar Yokohama Advan Sport bersaiz 245/45, manakala model Performance dengan rim 19-inci diberikan tayar Bridgestone Potenza S007 255/40 depan, 275/35 di belakang.

Ciri keselamatan tidak dilupakan, dimana Nissan Z mendapat teknologi seperti Automatic Emergency Braking, Blind-spot Warning, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control, dan Rear Cross Traffic Alert.

Nissan Z ini akan mula dijual awal tahun depan, dengan harga jangkaan sekitar USD40,000 (RM169,340).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved