Proton Capital tawar lebih banyak pilihan pembiayaan kepada pelanggan
Proton secara rasmi melancarkan syarikat baharu Proton Capital Sdn Bhd sebagai cabang pembiayaan automotif khusus.
Ia bertujuan menjadikan proses pemilikan kenderaan lebih mudah diakses untuk pelanggan yang layak.
Pembiayaan untuk pelanggan yang layak
Proton Capital berhasrat menyediakan pengalaman pembiayaan bersepadu, cekap dan berfokuskan pelanggan bermula daripada permohonan sehingga proses penyerahan kenderaan.
Untuk peringkat awal, Proton Capital akan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan individu yang layak termasuklah:
- pekerja bergaji
- individu bekerja sendiri
- pelanggan yang mempunyai sumber pendapatan lain yang boleh disahkan
Permohonan boleh dibuat menerusi 12 cawangan yang mengambil bahagian di sekitar Lembah Klang.
Setiap permohonan akan diteliti berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada, maklumat kredit serta kemampuan pembayaran balik pemohon.
Proton Capital juga menyasarkan kelulusan dalam tempoh satu hari bekerja untuk permohonan yang lengkap.
Lebih banyak pilihan untuk pelanggan
Pada peringkat pelancaran, Proton Capital akan menawarkan pembiayaan sewa beli konvensional untuk kereta Proton baharu, termasuk pakej kadar tetap standard dan pakej khusus untuk teksi Proton S70.
Syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk secara berperingkat, termasuk pembiayaan khusus untuk perkhidmatan e-hailing.
Buat masa ini, pembiayaan yang disediakan adalah dalam bentuk konvensional manakala pembiayaan patuh syariah pula akan diperkenalkan menjelang awal November.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

