Arkib Kategori: MALAYSIA

Honda perkenal minyak enjin SP Grade baharu

Honda Malaysia memperkenalkan barisan minyak enjin baharu mereka dengan SP Grade, dikatakan untuk lebih prestasi dan perlindungan.

Minyak gred SP ini akan menggantikan barisan minyak enjin SN yang digunakan sebelum ini. Menurut Honda juga, minyak enjin SP baharu ini juga lebih sesuai menepati keperluan enjin-enjin moden dalam model terkini.

Barisan minyak enjin SN Grade sedia ada: SN 10W-30 (mineral), SN 5W-30 (semi-sintetik), SN 0W-20 (sintetik penuh)

Barisan minyak enjin SP Grade baharu: SP 10W-30 (mineral), SP 5W-30 (semi-sintetik), SP 0W-20 (sintetik penuh)

Walaubagaimanapun, minyak enjin SN 0W-30 sintetik penuh akan dikekalkan khas untuk enjin prestasi tinggi seperti K20C1 VTEC Turbo pada Honda Civic Type-R FK8.

Minyak SP Grade diformulasikan untuk kebanyakan enjin-enjin petrol dan turbo serta diakui oleh Honda Research & Development (R&D).

Ia juga menepati semua standard terkini oleh American Petroleum Institute (API) dan memberi perlindungan lebih terhadap low-speed pre-ignition (LSPI) iaitu situasi pembakaran tidak normal yang boleh merosakkan enjin.

Minyak SP Grade ini juga telah dirumus untuk memberi perlindungan pada timing chain dan memanjangkan jangka hayatnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai barisan minyak enjin baharu ini, hubungi 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.

Ketahui lima motosikal terpantas dunia, kelajuan “tak masuk akal”

MOTOSIKAL berkuasa tinggi sememangnya amat sinonim dengan kelajuan malah, ia sering menjadi ukuran ‘kejayaan’ sesebuah jentera itu.

Banyak pengeluar motosikal di dunia sering berlumba-lumba menghasilkan jentera berkuasa tinggi dalam usaha menjadi yang baik antara yang terbaik.

Artikel kali ini, kita ingin lihat apakah lima motosikal berkuasa tinggi terpantas di dunia.

Jom kita check it out!

Foto ihsan Wikipedia

Suzuki Hayabusa (Generasi pertama)

Nama Hayabusa bukan suatu yang asing bagi peminat motosikal.

Diperkenalkan pada tahun 1999, Hayabusa pernah dilabel sebagai motosikal paling laju di dunia.

Hayabusa adalah jentera 1340cc dengan enjin empat belang yang mempunyai kelajuan maksimum lebih 194 mph atau bersamaan 312 km/j.

Foto ihsan Wikipedia

Ducati 1199 Panigale R

Jentera ini dibangunkan oleh Ducati pada 2012 dan mula memasuki pasaran pada tahun 2013.

Selain mempunyai reka bentuk yang tersangat menawan, Panigale R ini mampu membelah jalan raya dengan kelajuan sangat mengujakan.

Kelajuan maksimum boleh dicapai oleh jentera ini adalah 202 mph atau bersamaan 325km/j!

Foto ihsan Wikipedia

Lightning LS-218

Lightning LS-218 mula diperkenalkan kepada umum sejak tahun 2014.

Menggunakan kuasa elektrik, jentera ini mempunyai kelajuan luar biasa yang mana ia mampu mencecah 350 km/j.

Kelajuan jentera ini dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa selama 2.2 saat sahaja.

Pada kejohanan Pikes Peak International Hill Climb 2013, Lightning LS-218 merupakan jentera pertama menggunakan kuasa solar yang memenangi perlumbaan.

Foto ihsan Wikipedia

Kawasaki Ninja H2

Ninja H2 merupakan antara superbike idaman bagi kebanyakan ‘kaki motor’.

Rupa paras yang ‘garang’ sesuai dengan kuasa kelajuannya yang boleh mencecah sehingga 418 km/j!

Setakat ini, harga Ninja H2 di pasaran Malaysia adalah sekitar RM153,000 sehingga RM260,000 bagi varian H2R.

Foto ihsan Wikipedia

MTT Turbin Superbike Y2K

Harga di pasaran, MTT Turbin Superbike Y2K mencecah sehingga RM525,000.

Berdasarkan harganya yang mahal dan mungkin termahal di dunia, jentera ini mampu memberikan kepuasan kepada mereka yang ‘gilakan’ kelajuan.

Untuk rekod, MTT Turbin Superbike Y2K mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 500 km/j!

Demikian antara lima motosikal berkuasa tinggi terpantas di dunia yang dapat penulis senaraikan ketika ini.

Jika anda ada informasi menarik lain yang boleh dikongsikan, jom share bersama kami.

Chiow…

Tiga tahun naik taraf Aerotrain, MAHB minta penumpang bersabar

PERKHIDMATAN Penggerak Penumpang Automatik atau sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dinaik taraf tidak lama lagi.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, Aerotrain sedia ada telah menghampiri peringkat akhir jangka hayatnya dan perlu dinaik taraf.

Jelas Pengarah Urusan Malaysia Airports, Aerotrain ketika ini menggunakan teknologi lama sekaligus sering kali mengalami kerosakan.

“Tidak sesuai untuk meneruskan penggunaan Aerotrain sedia ada. Aset lama lebih mudah rosak dan ia akan menyusahkan penumpang.

“Aerotrain ini menggunakan teknologi lama maka sukar untuk mendapatkan alat ganti,” kata Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Aerotrain membawa lebih daripada 300 juta penumpang antara bangunan satelit dan bangunan terminal utama sejak KLIA beroperasi 23 tahun lepas.

Bagaimanapun, sistem Aerotrain kerap mengalami gangguan perkhidmatan sekaligus menyumbang kepada ketidakcekapan operasi.

Hal ini menyebabkan penumpang terpaksa menggunakan perkhidmatan bas shuttle sebagai alternatif.

Sementara itu, projek menaik taraf Penggerak Penumpang Automatik baharu dijangka mengambil masa selama tiga tahun.

Projek dianugerahkan kepada Pestech Technology Sdn Bhd (Pestech) yang mana kerja menaik taraf akan bermula seawal Mac tahun depan.

Justeru, para orang ramai diminta bersabar dengan situasi semasa memandangkan akan wujud sedikit kesulitan sepanjang projek naik taraf berjalan.

“Tidak dinafikan akan wujud sedikit kesulitan kepada penumpang dalam tempoh tiga tahun akan datang pada sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf itu.

“Penumpang akan terus menggunakan kemudahan perkhidmatan bas yang telah berjalan dengan baik sebagai perkhidmatan alternatif sejak 2017,” tambah Iskandar Mizal lagi.

Elak kemalangan punca polis arah ambulans beri laluan konvoi PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertahankan tindakan anggotanya menghentikan pacuan empat roda dan ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor berkata, tindakan anggota terbabit adalah betul memandangkan konvoi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di jalan utama.

Jelas Supt Azman Shari’at, kemalangan mungkin berlaku jika anggota trafik memberi keutamaan jalan kepada pacuan empat roda dan ambulans.

“Konvoi yang berada di jalan utama telah diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan.

“Anggota bertugas di persimpangan itu telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan berkenaan untuk tempoh yang singkat,” katanya.

Sebelum ini, tular video kenderaan pacuan empat roda dan ambulans berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada sebuah konvoi.

Kejadian 26 Disember itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semasa rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan memantau kerja pembersihan akibat banjir.

Orang ramai turut melahirkan pelbagai komen terhadap insiden berkenaan di media sosial.

5 berita paling viral Engear sepanjang 2021

TAHUN 2021 kian menutup tirainya dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, dan pelbagai isu berlaku di dalam dan luar negara dalam bidang automotif.

Awal tahun menyaksikan kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kemudian pertengahan tahun setiuasi semakin baik dan sektor ekonomi kembali seperti sedia kala secara berperingkat mulai September.

Walaubagaimanapun, penghujung 2021 menjadi kenangan pahit buat rakyat Malaysia di beberapa negeri dengan banjir yang agak teruk melanda. Yang penting, kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia bersatu hati bersama membantu mereka yang terjejas.

Dalam minggu terakhir 2021 ini, kami akan siarkan beberapa artikel seperti pelancaran kereta pilihan, pandu uji pilihan, dan motosikal mantap sepanjang tahun.

Harus diketahui juga walaupun Engear sudah beberapa tahun di Youtube, kami masih ‘adik-adik’ di laman web kerana Engear.tv baru sahaja berusia kira-kira setahun.

Jadi dengan pengalaman muda kami, untuk kali ini, kami senaraikan lima berita paling viral (tular) sepanjang 2021.

5. Conor McGregor dapat ‘mainan’ baharu bot laju mewah Lamborghini

Di tempat kelima, berita berkenaan ikon UFC terkenal, Conor McGregor yang membeli bot laju mewah Lamborghini bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

Dengan pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tak hairanlah seleranya pun begitu tinggi, bukan? Dikatakan bot laju mewah Lamborghini ini merupakan pembelian termahalnya selain jam tangan, kereta mewah dan sebagainya.

4. PLUS beri penjelasan isu RFID dan pemansuhan Touch ‘n Go serta SmartTag

Berita ini agak baharu, dimana PLUS mengumumkan mereka akan mula menyediakan lorong RFID di semua lebuh raya Utara Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Jadi timbul persoalan di kalangan netizen dan orang awam bahawa adakah Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan terus menjelang tarikh itu.

3. Sultan Johor tiba dengan Genesis G90 Limousine

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

Pada Ogos lepas, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi tumpuan peminat kereta tempatan apabila baginda tiba dengan Genesis G90 Limousine baharu.

Baginda hadir dengan limousine mewah itu semasa perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

2. McLaren Speedtail dilihat di Singapura, milik Tunku Idris?

Satu lagi berita berkaitan kerabat diraja Johor, sebuah McLaren Speedtail yang sangat eksklusif dilihat di Singapura dan dikatakan ianya milik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Berdasarkan makluman dari netizen, Speedtail berkenaan berada di McLaren Singapore untuk penyelenggaraan.

Ia mula tular apabila akaun Instagram @agentmlifestyle memuatnaik  beberapa gambar hypercar itu sedang dinaikkan ke atas sebuah trak.

1. Rupa konsep Proton Saga Knight didedahkan

Seperti biasa, berita berkaitan kereta nasional seperti Proton atau Perodua akan menjadi perhatian, masing-masing ingin menyampaikan komen.

Tetapi di tempat pertama berita paling viral di Engear bukanlah kereta Proton sebenar, sebaliknya sebuah lakaran konsep tiga dimensi (3D).

Ia dilakar oleh Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS berhad untuk webinar rekabentuk anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

Terdapat juga beberapa berita lain yang menjadi perhatian pembaca Engear, antaranya adalah kos penjagaan Proton X50, pembukaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) laluan Bentong-Lebu.

Selain itu, artikel Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang datang berjumpa dengan Datuk Azizulhasni juga digemari pembaca. Ia menjadi perhatian kerana baginda TMJ dilihat memandu Ford GT.

Berita pertahanan juga agak popular kerana ianya menjadi isu negara. Salah-satunya adalah laporan helikopter AW139 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang hampir sedia beroperasi, dilaporkan sedang diuji berdekatan kilangnya di Itali.

Untuk artikel video pula, senarai aksesori kereta yang haram dibeli menjadi antara kegemaran penonton.

Nantikan video penutup 2021 yang lain pula esok!

Subaru sedan, sportswagon WRX 2022 di Malaysia tahun depan

MODEL sedan WRX 2022 dan WRX sportswagon bakal memasuki pasaran negara ini tidak lama lagi.

Menurut pengedar dan pengimport Subaru iaitu TC Subaru, kedua-dua model itu akan tiba di Malaysia tahun depan.

Walaupun belum diketahui tarikh sebenar ketibaan sedan dan sportswagon WRX 2022 namun, kami yakin ianya pasti amat dinanti-nantikan ramai peminat kereta negara ini.

Foto ihsan Subaru

WRX sedan dan WRX sportswagon

Kedua-dua model ini dibangunkan dengan Subaru Global Platform (SGP) yang memberikan tork lebih tinggi (28 peratus) selain kekuatan suspensi meningkat sehingga 75 peratus.

Enjin yang digunakan pada WRX sedan 2022 adalah FA24F 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder boxer petrol.

Untuk rekod, ia dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 271 hp pada 5,600 rpm dan tork 350 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm!

Foto ihsan Subaru

Sementara itu, WRX sportswagon pula dikuasakan oleh unit CB18 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder boxer.

Model ini dikatakan mempunyai kuasa sehingga 177 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan unit penjana kuasa 2.4 liter turbo empat-silinder boxer dengan 271 hp pada 350 Nm.

Foto ihsan Subaru

Berikut spesifikasi lain terdapat pada WRX sedan dan WRX sportswagon 2022:

– Sistem Symmetrical All-Wheel Drive
– Active Torque Vectoring
– Kotak gear manual enam-kelajuan
– Subaru Performance Transmission CVT

Banjir: Tiada caj upah buruh, PM minta lebih ramai contohi Perodua

NASIB serta rintihan mangsa banjir terus mendapat perhatian syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Terbaharu, Perodua bersetuju tidak mengenakan bayaran upah buruh kepada mangsa banjir yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis syarikat itu.

Perkara tersebut diumum Perdana Menteri semalam ketika mengadakan lawatan ke Hulu Langat, Selangor yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri, komitmen ditunjukkan Perodua adalah hasil perbincangan dengan kerajaan selain tidak menolak lebih banyak rundingan akan berlaku dengan syarikat lain dalam waktu terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

“Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berunding lagi dengan syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Proton.

“Saya harap syarikat-syarikat lain boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Perodua,” katanya.

Daerah Hulu Langat antara yang terjejas teruk akibat banjir besar pada minggu lalu.

Banjir turut melanda beberapa kawasan lain seperti Shah Alam, Klang dan sebahagian negeri lain termasuk Pahang serta Negeri Sembilan.

Ia menyebabkan banyak harta benda mengalami kerosakan termasuk kenderaan penduduk yang tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, Perodua turut menawarkan servis menunda kenderaan secara percuma kepada mangsa banjir.

Sebelum ini, Perodua mengumukan menawarkan bantuan serta rebat bagi perkhidmatan tunda kenderaan.

Bagaimanapun, Perodua mengubah tawaran mereka dengan memberikan servis tunda percuma kepada mereka yang layak.

Perodua mahu jumpa hero banjir Azwan Viva, nak bagi ganjaran?

BANJIR yang melanda beberapa negeri di Malaysia sejak minggu lepas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu hati membantu apa yang termampu, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

Tetapi seorang sukarelawan banjir menjadi tumpuan iaitu Azwan Omar kerana sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi membantu mangsa yang terjejas di Shah Alam, Selangor.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan memandu Perodua Viva miliknya dan membawa bot getah yang digunakan untuk memancing. Dia sanggup memandu berseorangan dari Melaka ke Selangor.

Apa yang lebih menarik, Azwan dikatakan hanya bermodalkan RM50 untuk misinya itu! RM20 dikatakn digunakan untuk petrol botnya manakala baki digunakan untuk membeli roti.

Dia terus menjadi perhatian dan bualan netizan yang menggelarkannya Azwan Viva.

“Saya pun tak mengharap apa-apa apatah lagi hendak popular kerana datang sana (Selangor) dengan niat ikhlas hendak bantu, malah saya pun tak tahu siapa rakam gambar saya dan tularkan,” katanya kepada Harian Metro.

Kalau hendak bantu kewangan saya pun kurang, jadi saya rasa mampu bantu dari segi tenaga,” katanya. Begitu besar hati lelaki ini!

Kini, pengorbanan Azwan mendapat perhatian Perodua pula.

Menurut rakan kami di Mekanika, seorang pengguna di Twitter dikenali sebagai @UsharDaniele memuat naik satu ciapan meminta nombor telefon Azwan.

“Siapa boleh kongsi nombor Abang Viva dengan segera? pihak Perodua sedang cari dia,” ciapnya.

Disebabkan Azwan memandu Perodua Viva, ramai netizen berpendapat Perodua patut memberikannya sebuah kereta baharu.

Dalam laporan terbaharu semalam, Azwan kini dikatakan telah berada di Temerloh untuk meneruskan misinya.

Pada pendapat anda, jika Perodua mahu memberikan ganjaran pada Azwan Viva, hadiah apa yang dia patut terima?

Elak terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya, patuhi nasihat Plus

RANCANG dan ikuti nasihat perjalanan dikeluarkan pihak Plus bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Plus dalam satu kenyataan tidak menolak berlaku pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya bersempena cuti sambutan Krismas, esok.

Orang ramai dari Lembah Klang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor dicadang memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi.

Bagi pengguna jalan raya menuju ke lain-lain negeri dicadangkan memulakan perjalanan selepas jam 1 tengahari.

Plus turut mencadangkan pengguna jalan raya memasuki Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi.

Jadual perjalanan ini akan berkuatkuasa sehingga 3 Januari 2022.

Terdahulu, Plus berpesan untuk kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang perjalanan di lebuh raya.

Orang ramai juga boleh membuat pra-pesanan makanan di Aplikasi Plus untuk menikmati pengalaman lebih mudah dan selesa ketika berehat di R&R.

Para pemandu dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati berikutan musim hujan melanda seluruh negara ketika ini.

Ingin nikmati pelayaran persiaran antarabangsa? Menteri minta tunggu dulu

JIKA anda bercadang menikmati percutian kapal persiaran antarabangsa mungkin perlu lupakan niat itu seketika.

Ini kerana kerajaan masih belum bercadang membenarkan operasi pelayaran persiaran antarabangsa susulan gelombang baharu Covid-19 yang dibawa oleh varian Omicron.

Menteri Pengangkutan berkata, walaupun pelayaran persiaran tempatan dibenarkan beroperasi semula, langkah berhati-hati sentiasa diutamakan.

“Pada  masa ini, kami (kerajaan) tidak boleh mengulas mengenai pembukaan pelayaran persiaran antarabangsa kerana Omicron.

“Kami akan menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa kesihatan kerana kami masih lagi berpandukan peraturan Kementerian Kesihatan,” kata Datuk Seri Wee Ka Siong, semalam.

Ketika ini, dunia berdepan ancaman varian Omicron yang dikatakan jauh lebih berbahaya berbanding varian Delta.

Hal ini membuatkan kebanyakan negara mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak situasi lebih memburuk.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang merancang mengadakan pelan koordinasi pelayaran persiaran tahun hadapan.

Bagaimanapun, Star Cruise sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan mengikut keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.

Banjir: Daihatsu tawar diskaun hingga 40 peratus untuk alat ganti, subsidi tunda RM100

DALAM meringankan beban mereka yang terjejas disebabkan banjir, Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan Daihatsu Flood Relief Programme.

Ia khas untuk kenderaan Daihatsu dan sah bermula 22 Disember 2021 hingga 28 Februari 2022 untuk tujuan servis dan baik pulih, sama ada pemilik persendirian atau syarikat.

Program bantuan banjir Daihatsu ini merangkumi subsidi sehingga RM100 untuk khidmat tunda dan diskaun sehingga 40 peratus untuk alat ganti terpilih. Diskaun juga diberikan untuk caj upah iaitu sebanyak 20 peratus.

Kerja-kerja baik pulih ini akan dilindungi oleh jaminan setahun atau 20,000km, yang mana dahulu.

Untuk tambahan, Daihatsu juga akan menghantar pasukan Mobile Service terus ke kenderaan pelanggan mengikut masa dan lokasi diminta (terhad kepada jangkauan tertentu).

Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan bantuan, hubungi 1-300-88-3667 untuk khidmat tunda atau 03-55123411 untuk Daihatsu Mobile Service.

Berang isu gear ‘tersengguk’ tak selesai, pemilik Proton X70 mahu hantar surat guaman

BERANG dengan isu kotak gear ‘tersengguk’ yang tidak selesai, seorang pemilik X70 didakwa akan menghantar surat guaman kepada pihak Proton.

Imej oleh: Facebook Summer Yippie Yap

“Fed up already with the jerking issue. Sending lawyer letter to Proton Cars”, tulis Summer Yippie Yap di group Facebook X70OCM (Proton X70 Owner Club).

Menurut rakan media kami di Mekanika dan Funtasticko, Summer yang juga merupakan seorang peguam pernah bertanya kepada ahli-ahli lain X70OCM berkenaan isu jerking atau ‘tersengguk’ pada X70 CBU.

Menurutnya, Proton X70 miliknya itu bergetar dan tersekat-sekat apabila kereta diperlahankan ke gear 4 tanpa menekan brek. Isu ini juga dikatakan semakin kerap berlaku.

Summer dan beberapa orang rakannya akan menggunakan khidmat firma guaman Tan, Tan & Tan Associates dan surat bertarikh 22 Disember 2021 itu dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar yang beribu pejabat di Centre of Excellence, Subang Jaya, Selangor.

Tajuk atau isi surat itu walaubagaimanapun tidak didedahkan.

Adakah anda di kalangan pemilik Proton X70 CBU yang mengalami masalah sama?

Banjir: Diskaun alat ganti 25 peratus, elaun RM1,500 untuk pemilik terjejas

SEMAKIN banyak pengeluar kereta yang memperkenalkan inisiatif bagi membantu pemilik dan pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Terbaharu, Honda Malaysia di bawah Flood Relief Programme akan membantu anda para pemilik dengan diskaun 25 peratus untuk alat ganti tulen.

Selain itu, jika anda melanggan dengan Honda Insurance Plus (HiP), anda akan mendapat faedah tambahan pemeriksaan percuma serta elaun banjir sehingga RM1,500 untuk meringankan beban.

Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Ms. Madoka Chujo berkata: “Kami sangat bersedih dengan banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia yang menyebabkan ramai orang mengalami kerosakan harta benda dan kenderaan.

“Kami harap Flood Relief Programme ini dapat membantu meringankan beban pelanggan kami. Diharap semua orang sentiasa selamat di masa yang sukar ini,” tambahnya.

Flood Relief Programme akan meliputi kos baik pulih kenderaan di pusat servis seluruh negara, dan ianya sah sehingga 31 Januari 2022.

Untuk maklumat lanjut, layari 1-800-88-2020 atau www.honda.com.my.

Modenas lancar kempen baiki motosikal, bantu pelanggan terjejas banjir

BENCANA banjir melanda dua negeri iaitu Selangor dan Pahang mendapat perhatian Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau Modenas.

Modenas dalam satu kenyataan memaklumkan sedia membantu pemilik motosikal keluaran syarikat itu dengan menawarkan perkhidmatan membaiki jentera rosak akibat banjir.

Program dikenali sebagai “Kempen Servis Prihatin Modenas” bermula hari ini sehingga 31 Disember 2021.

“Syarikat bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik untuk membaiki motosikal mereka supaya dapat berfungsi seperti sediakala.

“Kempen akan bermula pada hari ini hingga 31 Disember 2021 di Pusat Servis Modenas terpilih,” memetik kenyataan dikeluarkan Modenas, hari ini.

Pusat Servis Modenas terlibat dengan kempen ini adalah Pusat Servis Modenas Shah Alam, Selangor dan Pusat Servis Modenas Kuantan, Pahang.

Antara perkhidmatan percuma ditawarkan termasuk caj upah kerja untuk baik pulih biasa, pemeriksaan dan pembersihan motosikal.

Modenas turut memberi diskaun sehingga 25 peratus untuk alat ganti, diskaun 15 peratus untuk alat ganti skuter dan diskaun 70 peratus bagi caj buruh melibatkan servis “overhaul”.

Untuk maklumat lanjut, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi pusat servis Modenas atau hubungi 1-800-880-181 atau WhatsApp di 019-570 8135.

Banjir: Takaful Malaysia sedia khidmat tunda percuma kepada pelanggan terjejas

TAKAFUL Malaysia Am Berhad memaklumkan bahawa mereka menyediakan perkhidmatan tunda percuma ke bengkel terdekat khusus untuk pelanggan takaful motor persendirian komprehensif yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam menyediakan bantuan segera serta memudahkan proses bantuan kepada pemegang sijilnya, para pelanggan juga boleh berhubung melalui WhatsApp.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, Mohamed Sabri Ramli berkata, “Sebagai sebuah syarikat insurans Islam, kami mempunyai pengalaman secara langsung berurusan dengan pelanggan yang terjejas akibat banjir.

“Maka, inisiatif yang kami tawarkan melalui perkhidmatan tunda percuma ke bengkel terdekat kepada pelanggan takaful motor persendirian komprehensif kami yang terjejas akibat bencana banjir adalah seruan untuk kami bertindak bagi meringankan bebanan kewangan dan kebimbangan mereka pada masa yang mencabar ini.”

Pelanggan hanya perlu menghubungi talian bantuan 24 jam di 1800-888-788 atau memaklumkan melalui WhatsApp di 019-629 2680.

Tambah Mohamed Sabri, “Pelanggan kami boleh segera memaklumkan tuntutan takaful motor mereka melalui WhatsApp dan kami akan mengaturkan serta mempercepatkan proses tuntutan tersebut.”

AirAsia batal tempahan VTL baharu KL, Bangkok dan Singapura

AIRASIA menggantung tempahan penerbangan Laluan Perjalanan Vaksinasi  antara 23 Disember dan 20 Januari depan dari Kuala Lumpur ke Bangkok seterusnya Singapura.

Langkah itu berikutan penggantungan sementara dan serta-merta tempahan penerbangan baharu untuk penerbangan VTL yang ditetapkan ke Singapura.

“AirAsia Malaysia akan terus beroperasi tujuh kali seminggu untuk penerbangan VTL dari Kuala Lumpur ke Singapura.

“Penumpang dengan tempahan penerbangan VTL sedia ada dan dengan Pas Perjalanan Vaksinasi (VTP) yang diluluskan boleh memasuki Singapura,” kata Malay Mail.

Katanya AirAsia Thailand akan membatalkan penerbangan VTL dari Don Mueang Bangkok ke Singapura sehingga notis selanjutnya.

Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS dengan arahan mengenai cara memilih satu daripada pilihan pemulihan perkhidmatan.

“AirAsia memantau dengan teliti situasi kesihatan global dan mempunyai hak untuk mengumumkan dasar selanjutnya mengikut perkembangan terkini.

“Kami menggalakkan penumpang kami untuk merujuk kepada halaman keperluan perjalanan di laman web kami sebelum berlepas,” katanya lagi.

Proses TUDM beli Hornet terpakai Kuwait lancar, positif

PROSES Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapatkan pesawat tempur dari Kuwait sedang berjalan lancar.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perolehan yang dirancang itu melibatkan 33 buah pesawat F/A-18C/D Hornet Tentera Udara Kuwait.

Jelasnya, kesemua pesawat berkenaan masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Boeing F/A-18D Hornet milik TUDM. – Foto ihsan YouTube

“Inisiatif ini masih menunggu perbincangan antara kedua-dua buah negara atau di peringkat kerajaan dengan kerajaan.

“Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM,” katanya.

Ikmal berkata demikian ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, hari ini.

Ura-ura TUDM ingin medapatkan pesawat tempur milik Kuwait pernah tular di media sosial.

Terdahulu, Ikmal berkata TUDM segala rangka program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) masih berjalan.

Kerajaan Kuwait dijangka melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F lebih moden dari Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan sama, TUDM masih tiada perancangan pemodenan bagi pesawat latihan untuk tahun depan.

Lakaran pesawat Pilatus PC-7

Pesawat latihan terdiri daripada model PC7 dan helikopter EC120 akan terus diguna pakai untuk tahun depan seperti yang digariskan dalam CAP55.

TUDM juga berhasrat menggunakan pesawat tempur F/A-18D sehingga 2035.

Banjir: Proton beri diskaun baiki kenderaan, tanggung kos trak tunda

PEMILIK kereta Proton yang mengalami kerosakan akibat banjir layak menerima diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu.

Diskaun 20 peratus turut diberikan untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah memaklumkan, syarikat itu sentiasa mengambil berat terhadap para pelanggan mereka.

Jelasnya, insiden banjir terutama yang melanda Selangor adalah suatu fenomena yang tidak disangka.

“Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan termasuk kereta mereka.

“Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi jaminan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan syarikat.

“Proton akan berusaha untuk memastikan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, negeri Selangor berdepan fenomena banjir luar biasa sehingga menjejaskan kehidupan ribuan rakyat.

Antara lokasi terjejas teruk termasuk Taman Sri Muda, Shah Alam serta Klang yang mana menyaksikan kediaman dan kenderaan penduduk rosak teruk akibat banjir.

Sementara itu, Proton juga memaklumkan akan menanggung caj tunda sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin bernilai RM100.

Keterangan lanjut sila hubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398.

Wmoto F15 ini pesaing terbaharu Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR, harga RM6k sahaja

SATU lagi kapcai telah menerpa pasaran Malaysia, iaitu Wmoto F15 dan ia ditawarkan pada harga agak kompetitif, RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan). F15 ini akan bersaing dengan motosikal kelas 150cc seperti Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR.

Wmoto F15 dikuasakan oleh enjin 149.2cc 4-lejang yang berupaya menghasilkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm tork pada 8,000rpm. Ia menggunakan kotak gear 5-kelajuan dan mempunyai berat sekitar 118kg.

F15 mempunyai ketinggian pelana 770mm dan dilengkapi lampu LED untuk depan dan belakang berserta DRL. Tangki bahan apinya adalah berkapasiti 5.5 liter.

Wmoto F15 menggunakan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak monoshock di belakang. Untuk brek pula, ia mendapat cakera 290mm di depan dan 190mm di belakang.

Ciri lain adalah meter gabungan analog dan digital, serta paparan paras bateri. Wmoto F15 ini hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).

Wmoto F15 kini boleh didapati di kesemua pengedar sah Wmoto seluruh negara dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, biru dan turquoise.

Banjir: Diskaun 25 peratus untuk kos baik pulih kenderaan oleh UMW Toyota

DALAM membantu meringankan beban mereka yang terjejas disebabkan banjir, UMW Toyota menawarkan program khas untuk pelanggan yang terkesan.

Toyota Flood Assist Program menawarkan diskaun 25 peratus untuk jumlah bil alat ganti dan upah. Selain itu, pelanggan juga akan mendapat khidmat tunda, penilaian dan anggaran kerosakan secara percuma di bawah program ini.

“Walaupun kerugian dan beban yang ditanggung oleh mereka yang terjejas oleh banjir ini sangat berat, kami berharap Toyota Flood Assist Program ini dapat memberi sedikit kelegaan untuk rakyat Malaysia,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan sangat bernilai buat kami dan dengan program ini, kami mahu meringankan sedikit beban mereka,” tambahnya.

Toyota juga menawarkan faedah sifar peratus untuk Easy Payment Plan bagi pelanggan-pelanggan yang layak.

Semua pusat servis dan cat Toyota juga akan dibuka bagi membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat berkenaan.

Bagi anda pemilik yang mengalami kerosakan kenderaan juga boleh mendapatkan bantuan 24SEVEN Road Assist Toyota yang akan bersedia 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Untuk sebarang pertanyaan atau bantuan, hubungi 1-800-8-869682 atau layari www.toyota.com.my.