fbpx

Stellantis akan buka operasi CKD Jeep di Gurun untuk eksport ke Thailand

jeep wrangler rubicon 02

STELLANTIS iaitu syarikat gabungan PSA Group (Peugeot, Citroen, DS, Opel) dan FCA (Fiat, Chrysler, Dodge, Jeep, Alfa Romeo, Ferrari, Maserati, dll) dijangka memulakan operasi CKD (pemasangan tempatan) jenama Jeep di Malaysia.

Menurut laporan oleh Wapcar.my, perkembangan itu adalah lanjutan dari fasa Stellantis untuk mengembangkan lagi pengaruh mereka di Asia Tenggara.

Stellantis belum membuat sebarang pengumuman rasmi, tetapi sumber industri memberitahu syarikat itu dijangka mengumumkan pengedar baharu Jeep di Thailand dimana kenderaan-kenderaan yang dijual akan diimport dari kilang Stellantis di Gurun, Kedah.

Apabila ditanya mengenai perancangan Stellantis untuk jenama Jeep di Malaysia, jurucakap syarikat itu menolak untuk memberikan sebarang komen (tetapi tidak juga menafikannya). Menurutnya, fokus Stellantis di Malaysia dalam masa terdekat ini ialah Peugeot.

“Dengan kilang pemasangan Stellantis di Gurun, Malaysia ialah keutamaan kami untuk perniagaan ini – membina di ASEAN untuk ASEAN.

“Hari ini, kami memfokus kepada kejayaan jenama Peugeot dan model-model CKD seperti 2008, 3008 dan 5008 di Gurun.”

Tambahnya lagi, “Kami juga berusaha mempunyai pengeluaran paling kompetitif di Gurun yang akan membolehkan kami meneroka peluang baharu dan menyokong perkembangan semua jenama Stellantis di Gurun pada masa depan.

“Kami akan kongsikan dengan lebih lanjut mengenai operasi kami di Gurun bila ada perkembangan nanti.”

Dua ayat terakhir itu memberi klu pengenalan lebih banyak jenama untuk CKD selain Peugeot. Jadi, adakah Jeep juga akan kembali ke pasaran Malaysia?

Jeep mula dilancarkan di Malaysia pada pertengahan 90-an, dibawakan oleh MBf (kini tidak lagi wujud). Jualan Jeep Cherokee tidaklah terlalu teruk namun pengedar itu gulung tikar semasa krisis ekonomi Asia 1997.

Jeep hanya kembali pada 2014 di bawah DRB-Hicom. Tetapi cubaan kedua Jeep di Malaysia ini hanya bertahan beberapa tahun sahaja.

Selepas itu, pengimport bebas TAHB Automotive pada 2020 telah menyatakan mereka mewakili Jeep di Malaysia. Tetapi selepas gabungan dengan PSA Group, Stellantis berkata TAHB bukan lagi rakan pengedar Jeep di Malaysia.

Sama ada Jeep akan kembali ke Malaysia atau tidak, kita belum dapat tahu. Begitu juga dengan kilang Stellantis di Gurun, adakah ia hanya akan menjadi hab untuk Asia Tenggara untuk dieksport ke Thailand dan Indonesia sahaja dan tidak untuk Malaysia, juga belum diketahui.

Pada masa ini, belum nampak gaya Stellantis telah melantik mana-mana pengedar Jeep untuk Malaysia. Yang pasti, Thailand akan dapat pengedar rasmi dahulu.

Apa pendapat anda mengenai perkembangan ini? Adakah anda mahu Jeep kembali ke Malaysia? Ramai peminat yang menunggu?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved