fbpx

Honda Gold Wing GL1800 dikemaskini untuk 2022, harga kini RM211k

honda gold wing gl1800 2021 04

BOON Siew Honda hari ini melancarkan Gold Wing GL1800 baharu untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM210,888.

Harga ini meningkat sedikit berbanding sebelum ini pada RM208,800. Gold Wing GL1800 boleh didapati secara eksklusif dengan satu warna sahaja di negara ini iaitu Pearl Glare White, menawarkan tunggangan paling selesa untuk jarak jauh.

Gold Wing ini masih mengekalkan enjin flat-six yang menjadi identitinya, berkapasiti 1,833cc dan menghasilkan 124.7hp pada 5,500rpm serta 170Nm tork pada 4,500rpm.

Kuasa disalurkan melalui kotak gear dwi-klac DCT 7-kelajuan menggunakan shaf berserta Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Empat mod tunggangan disediakan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain, dimana setiap mod akan memberikan perbezaan pada rasa klac, kelajuan penukaran gear dan tahap rpm untuk upshift dan downshift.

Tour merupakan mod asas pada Gold Wing dengan keseimbangan pada semua aspek terutamanya keselesaan dan kuasa.

Dalam mod Sport, pecutan lebih kuat dan injap dibuka lebih agresif, manakala penyerap hentak ditala lebih keras. Sementara itu Econ pula mengutamakan penjimatan bahan api dan Rain ‘melembutkan’ penghantaran kuasa untuk lebih kawalan di permukaan licin atau basah.

Disebabkan Honda Gold Wing GL1800 sebuah motosikal besar dan berat, ia juga dilengkapi Hill Start Assist dan Idling Stop untuk memudahkan tunggangan. Ciri lain termasuklah Smart Key, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth, dan skrin TFT 7-inci.

Tempat duduk Gold Wing ini dibaluti kulit sintetik dan suede manakala sudut tempat duduk belakang diubah untuk lebih keselesaan perjalanan jauh.

Kapasiti kargo juga ditingkatkan sebanyak 11 liter pada kotak atas, menjadikan 61 liter kesemuanya.

Honda Gold Wing GL1800 kini boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara dan ia dilindungi jaminan 2 tahun atau 20,000km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved