fbpx

Pelumba drag dan penonton terperangkap selepas polis kepung guna bas kilang

drag race johor 01
Gambar oleh: Harian Metro

PIHAK polis telah menggunakan sebuah bas kilang untuk mengepung semua pelumba ‘drag racing’ serta penonton terdiri dari 105 lelaki dan 19 wanita di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Plaza Tol Skudai, awal pagi semalam.

Operasi yang bermula jam 2 pagi Ahad itu membabitkan 60 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bas kilang yang digunakan pihak polis. Gambar oleh: Harian Metro

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejayaan penahanan enam pemandu itu adalah hasil risikan polis selama sebulan selepas menerima aduan pengguna lebuh raya.

“Polis melakukan pemerhatian dan risikan sejak sebulan lalu selepas menerima aduan pengguna lebuh raya berhubung aktiviti perlumbaan drag yang diadakan bukan saja membahayakan pengguna lain malah mereka turut menghalang laluan dengan menutup jalan sesuka hati ketika perlumbaan diadakan,” kata Kamarul.

“Hasil pemerhatian polis mendapati aktiviti perlumbaan haram ini biasanya diadakan pada hujung minggu atau hari biasa tertentu antara jam 1 hingga 4 pagi.

“Mereka akan berlumba sejauh antara 700 hingga 900 meter selepas dilepaskan ‘gadis litar’ dari garisan permulaan bagi menguji kelajuan enjin kereta yang diubahsuai,” tambahnya.

Gambar oleh: Harian Metro

“Polis percaya perlumbaan ini didalangi sindiket dan kita sedang menyiasat setiap aspek bagi memastikan dalangnya ditahan,” katanya dalam sidang media di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, semua enam pemandu itu yang berusia antara 22 hingga 25 tahun akan direman bermula hari ini bagi disiasat mengikut Seksyen 42 Kanun Keseksaan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 APJ 1987.

Katanya, 120 penonton perlumbaan itu turut menjalani saringan air kencing sebelum dilepaskan atas jaminan polis.

“Seorang pemandu dan dua penonton turut didapati positif dadah, turut akan direman atas kesalahan dadah,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, polis turut akan menyiasat unsur perjudian dalam perlumbaan itu.

“Polis percaya ada unsur ganjaran wang tunai selain wanita digunakan sebagai hadiah kepada pemenang.

“Penonton juga berdepan dengan tindakan tegas termasuk pendakwaan jika ditahan,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved