Arkib Kategori: DUNIA

F1: Perlumbaan GP Kanada batal susulan peningkatan kes Covid-19

KEJOHANAN Formula Satu (F1) bakal menyaksikan Grand Prix Kanada tercicir daripada jadual perlumbaan musim ini.

Keputusan dibuat selepas Kanada mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sekaligus memaksa perlumbaan dibatalkan.

Menerusi keputusan itu, venue perlumbaan terpaksa dirombak dengan Turki bakal menganjurkan perlumbaan itu pada 11 hingga 13 Jun nanti.

Memetik laporan media antarabangsa, terdapat juga perubahan tarikh bagi Grand Prix GP Azerbaijan.

Perlumbaan di Baku City Circuit akan dianjurkan seminggu lebih awal dari tarikh ditetapkan sebelum ini.

 

SUV paling selamat, Volvo XC40 Recharge terima penarafan TSP+

KENDERAAN elektrik Volvo XC40 Recharge diiktiraf sebagai Top Safety Pick+ (TSP+) daripada Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya Amerika Syarikat (IIHS).

Ini menjadikan Volvo XC40 Recharge sebagai model tunggal mencapai TSP+ dalam kelasnya tersendiri.

Volvo XC40 Recharge juga merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik pertama diiktiraf TSP+ sejak penarafan itu diperkenalkan pada 2013.

Tahun ini sahaja, Volvo telah menerima 15 TSP+ bagi produknya yang lain iaitu pada Februari, Mac dan April.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car USA Anders Gustafsson berkata, kejayaan diperoleh syarikat itu adalah disebabkan kecanggihan teknologi keselamatannya.

“Volvo mempunyai sistem keselamatan yang canggih dalam memastikan tahap keselamatan tinggi apabila berdepan kemalangan.

“Kami bangga kerana banyak produk menerima pengiktirafan IIHS memandangkan kejayaan ini tidak diperoleh mana-mana syarikat pengeluar kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikut antara model Volvo lain yang telah menerima penarafan TSP+:

    • Volvo S90 Recharge
    • Volvo V90
    • Volvo V90 Cross Country
    • Volvo V60 Cross Country
    • Volvo S60
    • Volvo S60 Recharge
    • Volvo V60
    • Volvo V60 Recharge
    • Volvo XC40
    • Volvo XC60
    • Volvo XC60 Recharge
    • Volvo XC90
    • Volvo XC90 Recharge

Quds Rise kereta elektrik pertama buatan dunia Arab

DUNIA automotif terus ‘meriah’ dengan kehadiran model kereta elektrik terbaharu keluaran sebuah syarikat berpangkalan di Lubnan.

Quds Rise dibangunkan syarikat EV Electra dimiliki ahli perniagaan berketurunan dari Palestin.

Reka bentuk hadapan kereta elektrik ini dihiasi logo keemasan struktur bangunan seperti kubah.

Ia diaspirasikan daripada rekaan Dome of Rock atau Qubbat As-Sakhrah yang terdapat di Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis.

Kelajuan maksimum boleh dicapai Quds Rise sehingga 180 kilometer sejam.

Setakat ini, Quds Rise dijangka dijual pada harga AS$30,000 atau bersamaan RM123,000.

Keluaran siri pertama sebanyak 10,000 unit bakal dikeluarkan pada tahun ini di Lubnan.

Syarikat EV Electra merancang membina kira-kira 100 stesen pengecas untuk kereta elektrik seluruh Lubnan.

Chevron, Toyota umum kerjasama teknologi hidrogen

USAHA menjaga alam sekitar terus dipertingkat membabitkan industri automotif.

Kerjasama antara Chevron dan Toyota misalnya menjadi usaha terbaharu ke arah memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Memetik laporan media antarabangsa, kedua syarikat ini menjalin kerjasama strategik dalam penghasilan bahan api mesra alam.

Tiga komponen utama diberi fokus mendalam termasuk dasar awam mempromosi infrastruktur hidrogen dan menilai pasaran kenderaan elektrik.

Selain itu, satu kajian membabitkan komsumsi kuasa baharu turut dijalankan.

Pada Pameran Kenderaan Shanghai lalu, Toyota telah mengumumkan perancangan penghasilan kereta berkuasa elektrik dan bakal berada di pasaran hujung tahun ini.

Antara jenis jentera elektrik yang bakal dikeluarkan termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV).

Tesla tanpa pemandu rempuh pokok, dua individu maut

SATU kemalangan ngeri membabitkan kenderaan teknologi tinggi Tesla berlaku di Houston, Amerika Syarikat.

Kemalangan melibatkan model Tesla S 2019 mengorbankan dua nyawa.

Memetik laporan media, kemalangan berlaku ketika kenderaan itu berada dalam mod tanpa pemandu atau autopilot.

Kedua mangsa maut di tempat kejadian selepas kenderaan itu melanggar sepohon pokok sebelum terbakar.

Pihak berkuasa mengesahkan, tiada individu duduk di tempat pemandu ketika kemalangan berlaku.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Tesla berhubung kemalangan berlaku.

Beberapa kemalangan direkodkan sebelum ini membabitkan kenderaan syarikat itu sekaligus menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna.

BMW catat pendapatan sebelum cukai RM18.7 bilion suku pertama 2021

Pengeluar kenderaan mewah BMW mencatatkan pendapatan awal sebelum cukai lebih €3.76 bilion atau bersama RM18.7 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Perolehan itu jauh lebih tinggi berbanding jangkaan sebelum ini susulan ancaman pandemik Covid-19 seluruh dunia.

Memetik laporan Bloomberg , BMW dijangka hanya memperoleh pendapatan sebelum cukai jauh lebih rendah iaitu sekitar €1.8 billion.

Bagaimanapun, BMW mencatatkan peningkatan jualan di beberapa negara khususnya China di antara bulan Januari dan Mac.

Dalam tempoh sama tahun lalu, pendapatan sebelum cukai BMW jatuh kepada €798 juta akibat Covid-19 yang melanda dunia.

Keadaan tersebut menyebabkan banyak bilik pameran kenderaan syarikat itu ditutup sekaligus, mengurangkan penjualan produknya di peringkat global.

Sementara itu, BMW mengumumkan akan mempercepatkan pelan peningkatan bagi penghasilan kenderaan elektrik.

Syarikat berpusat di Munich itu menjangkakan separuh daripada kenderaan dihasilkan pada 2030 adalah model berkuasa elektrik, memetik laporan AFP.

Sah beraksi di Portimao, adakah Marquez masih ‘berbisa’?

TERLEPAS saingan merebut kejuaraan MotoGP musim lalu akibat kecederaan, pelumba Repsol Honda Marc Marquez bakal membuat penampilan semula.

Marquez tiba di Portimao untuk menyertai semula MotoGP bagi perlumbaan Grande Premio 888 de Portugal, hujung minggu ini.

Rata-rata peminat Marquez teruja dengan perkembangan ini selepas pelumba kelahiran Sepanyol itu terpaksa berehat sejak Julai tahun lalu.

Namun, timbul persoalan apakah Marquez akan terus ‘berbisa’ seperti sebelum ini?

Kecederaan bukan suatu yang asing bagi pelumba MotoGP.

Sebelum ini, Marquez telah beberapa kali cuba menyertai semula perlumbaan namun, gagal berbuat demikian.

Berdepan kecederaan patah lengan kanan akibat kemalangan di Jerez musim lalu, Marquez bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya.

Ia terbukti apabila Marquez disahkan tidak cergas dan terlepas dua perlumbaan awal musim ini.

Pemerhatian terhadap beberapa pelumba lain yang pernah berdepan kecederaan serius, kembali beraksi di litar bukan mudah.

Kebanyakan pelumba gagal memberi aksi 100 peratus sama ada kerana masih merasai kesakitan atau tidak dapat melupakan pengalaman ‘ngeri’ lalu.

Justeru, berbalik kepada persoalan apakah Marquez mampu memberi tekanan kepada pelumba lain di Portimao hujung minggu ini?

Pelbagai andaian dapat dibuat.

Bagaimanapun, jika menilai daripada rekod dimiliki Marquez, pelumba ini bukan biasa-biasa.

Penulis yakin, Marquez mampu memberi saingan sengit kepada pelumba lain apatah lagi perlumbaan baru memasuki pusingan ketiga.

Ayuh sama-sama kita nantikan!

Kelibat Dovizioso di Jerez, peminat MotoGP berteka-teki

PELUMBA motosikal profesional kelahiran Itali, Andrea Dovizioso memberi kejutan bagi peminat MotoGP apabila muncul di litar Jerez, Sepanyol bagi menguji jentera RS-GP 2021 untuk pasukan Gresini Aprilia.

Kemunculan Dovizioso menimbulkan pelbagai spekulasi serta tanda tanya sama ada dirinya akan kembali menyertai perlumbaan MotoGP.

Bagaimanapun, laporan media antarabangsa mendedahkan Dovizioso telah menandatangani kontrak bersama pasukan Aprilia sebagai pelumba ujian sepanjang musim ini.

Sebelum ini, Dovizioso bersama pasukan Ducati mengambil keputusan untuk berehat sebagai pelumba MotoGP.

Sepanjang rekod sebagai pelumba MotoGP, Dovizioso merupakan antara pelumba yang memberi saingan sengit terutama kepada wakil Honda, Marc Marquez.

Pada musim lalu, Dovizioso mengumpul 135 mata keseluruhan perlumbaan MotoGP yang menyaksikannya berada di kedudukan keempat carta pelumba.

Quartararo bersinar di Doha, Zarco pertama carta keseluruhan pelumba

GRAND Prix (GP) Doha menyaksikan pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo berjaya menduduki tempat pertama perlumbaan dalam satu aksi mendebarkan awal pagi tadi.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Quatararo mencatatkan masa keseluruhan 42’23.997.

Pelumba pasukan Ducati Pramac Racing Johann Zarco pula berada di tempat kedua dengan masa keseluruhan 42’25.454, diikuti rakan sepasukan Jorge Martin di tempat ketiga (42’25.497).

Sementara itu, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) terus gagal bersinar di pusingan kedua MotoGP selepas pelumbanya Franco Morbidelli hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Legenda MotoGP yang juga mewakili pasukan Petronas SRT musim ini, Valentino Rossi juga sekadar terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-16 perlumbaan.

Selesai pusingan kedua perlumbaan musim ini, kedudukan keseluruhan pelumba menyaksikan Zarco berada di tempat teratas, diikuti Quartararo di tempat ke dua dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP), ketiga.

Perlumbaan MotoGP seterusnya akan berlangsung pada 18 April ini di GP 888 de Portugal.

Fisker Automative terima lebih 14,000 tempahan bagi SUV elektrik Fisker Ocean

FISKER Automative yang merupakan antara syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia memaklumkan telah menerima lebih 14,000 tempahan bagi model SUV, Fisker Ocean.

Syarikat asal Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan, terdapat lebih 80 peratus tempahan datangnya dari negara Uncle Sam sementara baki selebihnya adalah daripada pelanggan menetap di Kanada dan Eropah.

Mula dikenali sejak muncul kali pertama di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara pada 2008, Fisker Automative hanya berjaya melakukan penghantaran pertama kepada pelanggan tiga tahun kemudian.

Bagaimanapun, syarikat itu kini semakin melebar sayap dalam pembuatan kenderaan elektrik selain menjadi ‘buruan’ kepada mereka yang berduit.

Jadi, tidak hairan jika Fisker Automotive terkenal sebagai jenama mewah dalam penghasilan jentera elektrik berkuasa penuh.

Ngeri! Foto kenderaan penduduk musnah kena peluru tular

BAYANGKAN jika anda bangun pagi dan menyedari kenderaan yang diparkir luar kediaman musnah akibat dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pastinya ia menjadi satu mimpi ngeri bukan?

Bagaimanapun, insiden itu memang benar terjadi dalam satu kejadian di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Menerusi ciapan dimuatnaik seorang pengguna media sosial, insiden didakwa didalangi kumpulan dipercayai anggota tentera yang berpihak kepada kerajaan.

Walaupun tidak dapat disahkan dakwaan itu namun, insiden tersebut menimbulkan kemarahan penduduk yang kecewa dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Antara kemusnahan yang berlaku termasuk cermin kenderaan dipecahkan, tayar dipancitkan, pintu dikemekkan dan pelbagai lagi kerosakkan.

Apa yang paling menggerunkan, penduduk juga menemui serpihan kelonsong peluru hidup dipercayai digunakan untuk menembak kenderaan yang diparkir di tepi jalan raya.

Myanmar berdepan situasi tidak menentu sejak Februari lalu apabila kebanyakan pemimpin politik ditahan pihak tentera.

Sejak berlaku insiden terbabit, pelbagai kerosakan terjadi sehingga mengakibatkan kerugian kepada harta benda penduduk.