Arkib Kategori: DUNIA

Quartararo bersinar di Doha, Zarco pertama carta keseluruhan pelumba

GRAND Prix (GP) Doha menyaksikan pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo berjaya menduduki tempat pertama perlumbaan dalam satu aksi mendebarkan awal pagi tadi.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Quatararo mencatatkan masa keseluruhan 42’23.997.

Pelumba pasukan Ducati Pramac Racing Johann Zarco pula berada di tempat kedua dengan masa keseluruhan 42’25.454, diikuti rakan sepasukan Jorge Martin di tempat ketiga (42’25.497).

Sementara itu, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) terus gagal bersinar di pusingan kedua MotoGP selepas pelumbanya Franco Morbidelli hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Legenda MotoGP yang juga mewakili pasukan Petronas SRT musim ini, Valentino Rossi juga sekadar terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-16 perlumbaan.

Selesai pusingan kedua perlumbaan musim ini, kedudukan keseluruhan pelumba menyaksikan Zarco berada di tempat teratas, diikuti Quartararo di tempat ke dua dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP), ketiga.

Perlumbaan MotoGP seterusnya akan berlangsung pada 18 April ini di GP 888 de Portugal.

Fisker Automative terima lebih 14,000 tempahan bagi SUV elektrik Fisker Ocean

FISKER Automative yang merupakan antara syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia memaklumkan telah menerima lebih 14,000 tempahan bagi model SUV, Fisker Ocean.

Syarikat asal Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan, terdapat lebih 80 peratus tempahan datangnya dari negara Uncle Sam sementara baki selebihnya adalah daripada pelanggan menetap di Kanada dan Eropah.

Mula dikenali sejak muncul kali pertama di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara pada 2008, Fisker Automative hanya berjaya melakukan penghantaran pertama kepada pelanggan tiga tahun kemudian.

Bagaimanapun, syarikat itu kini semakin melebar sayap dalam pembuatan kenderaan elektrik selain menjadi ‘buruan’ kepada mereka yang berduit.

Jadi, tidak hairan jika Fisker Automotive terkenal sebagai jenama mewah dalam penghasilan jentera elektrik berkuasa penuh.

Ngeri! Foto kenderaan penduduk musnah kena peluru tular

BAYANGKAN jika anda bangun pagi dan menyedari kenderaan yang diparkir luar kediaman musnah akibat dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pastinya ia menjadi satu mimpi ngeri bukan?

Bagaimanapun, insiden itu memang benar terjadi dalam satu kejadian di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Menerusi ciapan dimuatnaik seorang pengguna media sosial, insiden didakwa didalangi kumpulan dipercayai anggota tentera yang berpihak kepada kerajaan.

Walaupun tidak dapat disahkan dakwaan itu namun, insiden tersebut menimbulkan kemarahan penduduk yang kecewa dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Antara kemusnahan yang berlaku termasuk cermin kenderaan dipecahkan, tayar dipancitkan, pintu dikemekkan dan pelbagai lagi kerosakkan.

Apa yang paling menggerunkan, penduduk juga menemui serpihan kelonsong peluru hidup dipercayai digunakan untuk menembak kenderaan yang diparkir di tepi jalan raya.

Myanmar berdepan situasi tidak menentu sejak Februari lalu apabila kebanyakan pemimpin politik ditahan pihak tentera.

Sejak berlaku insiden terbabit, pelbagai kerosakan terjadi sehingga mengakibatkan kerugian kepada harta benda penduduk.