Semua kiriman oleh Amirul Hazmi

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.

BMW henti jualan Z4 dengan transmisi manual di Australia, 2 unit saja terjual sejak 2019!

BMW Z4 menjadi model terkini yang dihentikan penawaran transmisi manualnya di Australia, hanya dua unit sahaja terjual sejak 2019. Ini menjadikannya antara versi paling rare pernah dijual di negara itu.

“Disebabkan hanya dua unit BMW Z4 sDrive20i terjual dengan transmisi manual sejak suku pertama 2019, kami tidak akan jual lagi varian ini,” kata jurucakap BMW di Australia.

“Walaubagaimanapun, Z4 sDrive20i masih akan ditawarkan dengan kotak gear standard automatik 8-kelajuan Steptronic Sport,” tambahnya.

Gambar oleh: BMW Blog

Varian Z4 dengan kotak gear manual 6-kelajuan ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk model asas sDrive20i yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder, menghasilkan 195hp dan 320Nm tork. Ia berharga AUD89,900 (RM276k) sebelum pilihan tambahan lain.

Model Z4 dengan tiga-pedal itu mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.8 saat (0.2 saat lebih perlahan dari automatik), dan mempunyai kelajuan maksima 241km/j.

Penyingkiran model manual dari Z4 itu mengikut jejak langkah 2-Series Coupe dan M2 Competition yang menerima nasib sama awal tahun ini.

Ini menjadikan hanya M3 dan M4 yang kekal ditawarkan dengan kota gear manual di Australia. Manual juga merupakan pilihan khas untuk 118i dan 218i Gran Coupe.

Sayang betul! Kia Stinger bakal berkubur?

JIKA anda berkira-kira untuk menyambar Kia Stinger, baik berbuat demikian cepat. Ini kerana tiada khabar mengenai Stinger generasi akan datang, mungkin kerana jualannya yang agak ‘suam-suam kuku’.

Menurut laporan media antarabangsa, jangka hayat Stinger mungkin berakhir pada musim bunga tahun depan. Kia telah mendedahkan pelan produksi untuk kilang pengeluarannya di Korea Selatan pada 16 Julai lepas.

Stinger dipasang di kilang itu yang terletak di Sohari Plant, Gwangmyeong, tetapi menurut Korean Car Blog, kilang itu akan diubah untuk persediaan mengeluarkan kenderaan elektrik secara besar-besaran, terutamanya Carnival hibrid.

Ubah suai dan rombakan kilang itu akan bermula awal tahun depan, dan pengeluaran Stinger dijangka berakhir pada separuh masa kedua 2022.

Walaubagaimanapun, Kia ada melancarkan Stinger facelift pada Ogos tahun lepas yang kemudiannya diperkenalkan di pasaran-pasaran eksport awal tahun ini. Jika sedan sports rear-wheel drive ini tidak dihentikan pun, kemungkinan jumlah pengeluarannya akan dikurangkan.

Kia Stinger facelift ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol, tambahan kepada dua pilihan sebelum ini.

  • 2.5-liter turbo Smartstream – 304hp @ 5,800rpm, 420Nm @ 1,650-4,000rpm (enjin baharu)
  • 3.3-liter turbo V6 T-GDi – 373hp @ 6,000rpm, 510Nm @ 1,300-4,500rpm
  • 2.0-liter Theta – 255hp @ 6,200rpm, 353Nm @ 1,400-4,000rpm

Kesemua enjin digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan, dengan RWD atau AWD. Stinger turut dilengkapi dengan paparan infotainmen yang dikemaskini, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta Bluetooth.

Semasa dilancarkan di Malaysia pada 2018, Kia Stinger berharga RM240k hingga RM310k dan bersaing dengan sedan sports seperti Mercedes-AMG C43 4Matic.

Kami sejujurnya berharap Kia akan terus menawarkan Stinger kepada pasaran kerana ia satu model yang cukup sporti dan berbeza dari model-model lain jenama itu. Ia juga menerima pujian dari penguji-penguji yang telah memandunya.

Dilarang rentas negeri guna permit MITI hingga Rabu ini

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melarang sebarang pergerakan rentas negeri menggunakan permit dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hingga Rabu ini.

Bagaimanapun, larangan itu tidak terpakai untuk urusan kecemasan dengan kebenaran polis serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Polis mengetatkan kawalan sekatan jalan raya bersempena pelaksanaan total lockdown.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, larangan itu dibuat bagi mengelak mereka yang menyalahgunakan permit MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha esok.

Katanya, “Ini berikutan PDRM mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini. Justeru, semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarah meningkatkan penguatkuasaan.

“Semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarahkan supaya tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh bermula hari ini hingga 21 Julai ini (Rabu) bagi pergerakan merentas negeri,” tambahnya.

Tegas Acryl lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.

“Masyarakat dinasihat untuk terus bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.”

Terdahulu, polis Kelantan pada Jumaat lepas mengesan peningkatan kira-kira lima peratus jumlah kenderaan dari negeri-negeri utara tanah air yang memasuki negeri itu walaupun kerajaan masih mengenakan tindakan larangan rentas negeri.

Ford daftar nama Skyline di AS, kenapa pula ni?

CAKAP sahaja nama Skyline, pasti 110% dari anda akan terbayang jentera prestasi ikonik dari Nissan. Tapi nampaknya perkara ini mungkin berubah kerana Ford juga mahu dikaitkan dengan nama Skyline.

Dilaporkan oleh Motor Authority, Ford Motor Company telah memohon untuk menggunakan nama Skyline kepada US Patent and Trademark Office, bertarikh 12 Julai 2021.

Jadi apa yang sedang berlaku di sini? Sama seperti anda, kami juga tidak pasti apa signifikannya nama Skyline kepada pengeluar Amerika Syarikat (AS) itu. Dah tak ada nama lain nak guna?

Menurut tanda niaga itu (bernombor siri 90823372), nama itu difailkan di bawah Goods and Services, khas untuk “kenderaan darat, iaitu SUV, trak, dan automobile.” Adakah ia akan digunakan pada kenderaan produksi, masih menjadi tanda tanya.

Menambah kepada kekeliruan ialah hakikat bahawa Ford tidak pernah menggunakan nama Skyline sebelum ini. Mereka cuma pernah gunakan nama Skyliner beberapa kali pada 1950-an, khasnya untuk Crestline, Fairlane Crown Victoria, Fairlane 500, dan Galaxie.

Kali terakhir nama Skyliner digunakan ialah pada 2015 iaitu untuk kenderaan konsep berasaskan Ford Transit.

Nissan pula telang menggunakan nama Skyline di Jepun, yang mewakili sedan prestasi yang kemudiannya menjadi Nissan GT-R. Model Skyline dijual di AS dan beberapa pasaran lain sebagai Infiniti Q50.

Dengan itu, apa pun perancangan Ford ini, pasti menarik perhatian pengikut industri automotif. Kami akan laporkan sebarang perkembangan isu ini.

Polis kesan peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan

POLIS Kelantan mengesan peningkatan kira-kira lima peratus jumlah kenderaan dari negeri-negeri utara tanah air yang memasuki Kelantan walaupun kerajaan masih mengenakan tindakan larangan rentas negeri.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, hasil maklumat yang diperoleh, pihaknya mendapati jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu menunjukkan peningkatan berbanding hari biasa

Menurut Abdullah, peningkatan peratusan kemasukan kenderaan di SJR itu dikesan berlaku bermula pagi tadi sehingga pukul 12 tengah hari.

Gambar hiasan. Sumber: Malay Mail

“Namun, dua SJR di Pasir Puteh yang menjadi pintu masuk dari Terengganu dan Gua Musang untuk perantau dari ibu negara dilihat tiada berlaku peningkatan kemasukan kenderaan setakat ini,” katanya.

“Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan di sekitar kawasan Kota Bharu juga meningkat sebanyak 15 peratus pada hari ini berbanding sebelumnya.

“Peningkatan kenderaan di Kota Bharu juga berkemungkinan orang ramai keluar untuk membeli barangan keperluan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha,” tambah Abdullah.

Dalam pada itu, Abdullah berkata pihaknya turut mendapati peningkatan kenderaan yang berada di atas jalan raya di daerah Tumpat dan Machang hari ini.

Sehubungan itu, Abdullah turut menasihatkan perantau yang pulang ke Kelantan agar menyediakan dokumen yang lengkap dengan alasan kukuh supaya tidak menimbulkan masalah ketika mereka tiba di SJR untuk ke negeri ini.

“Seeloknya, semua perantau tidak pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Pemandu Honda City rempuh motosikal di lampu isyarat pandu dalam keadaan bogel

SEMALAM tular video sebuah Honda City yang dipandu melulu dan merempuh sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampur isyarat merah.

Video rakaman dashcam pengguna jalanraya berdekatan menunjukkan Honda City itu dipandu laju menyelit di antara kereta-kereta di dua lorong yang sedang berhenti sebelum merempuh seorang penunggang motosikal wanita hingga cedera parah.

Gambar oleh: Facebook

Menurut Harian Metro, pemandu tersebut telah melanggar 12 lampu isyarat, tiga sekatan jalan raya dan tiga kenderaan awam sebelum itu.

Polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan berbogel, sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18, Kuala Berang, Terengganu.

Pemandu berusia 45 tahun itu dikatakan memecut kenderaannya menghala ke bandar Kuala Terengganu sebaik menyedari kenderaannya dikejar kereta peronda.

Dalam satu ciapan di Twitter, mangsa dikatakan mengalami beberapa kecederaan pada tubuh badan sehingga memerlukan bantuan pernafasan oksigen kerana sukar bernafas. Dia dikejarkan ke Hospital Hulu Selangor untuk rawatan.

Mengulas kejadian itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, “Kes disiasat mengikut Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu.

“Semakan rekod mendapati lelaki terbabit menghidap masalah sakit mental iaitu Schizophrenia.

“Ujian air kencing, darah dan ujian saringan Covid-19 turut dilakukan dan keputusannya negatif Covid-19,” tambahnya.

Volkswagen Arteon R-Line 2021 dilancar secara rasmi – CKD, 280hp, 4Motion, dari RM248k

SETELAH tempahan dibuka kira-kira sebulan lepas, Volkswagen Arteon R-Line facelift didedahkan secara rasmi hari ini.

Pelancaran itu dibuat secara maya oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM). Jujurnya kedatangan Arteon R-Line facelift ini menunjukkan usaha VPCM dalam merancakkan pasaran sedan segmen-D yang kian mengecil.

Oh ya, Volkswagen Arteon ini bukanlah sedan sepenuhnya, tetapi lebih kepada sebuah fastback. Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion ditawarkan pada harga RM247,670.97 dengan pengecualian cukai, dan merupakan model CKD (dipasang di Malaysia). Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun.

Jangan ingat rupa eksekutif Arteon ini tiada prestasi. Di bawah ‘kulitnya’ terdapat enjin EA888 2.0-liter turbo yang menjana 280hp dari (5,100-6,500rpm) dan 350Nm (1,700-5,600rpm), yang menghantar kuasa ke semua roda melalui DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan 4Motion.

Dengan ini, pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.6 saat sahaja. Untuk konteks, pecutan ini lebih pantas dari Honda Civic Type-R (5.8 saat) dan Golf GTi (6.4 saat).

Kelengkapan luaran Arteon termasuklah lampu depan LED sepenuhnya, lampu belakang LED dengan signal sequential, dan rim Montevideo dwi-tona aloi 19-inci. Satu ciri yang menjadi magik untuk Arteon ialah penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC), menjadikan ia sedap dipandu.

Ciri di bahagian dalaman pula termasuklah kemasan kulit Nappa, sistem audio Harman Kardon 700-watt dengan 12 pembesar suara, kamera 360-darjah, dan sistem infotainmen dengan skrin 9.2-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.

Arteon baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna metalik iaitu kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna mutiara; hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Harga Arteon ini sudah memasuki ‘wilayah’ BMW 3-Series G20 dan Mercedes-Benz C-Class W205. Jenama Jerman mana yang jadi pilihan anda?

Hyundai Kona 1.6 Turbo N Line bakal tiba – Crossover kompak dengan 198hp dan 265Nm!

SATU pesaing dalam segmen crossover kompak bakal tiba tak lama lagi, iaitu Hyundai Kona 1.6 Turbo N Line. Dengan 198hp dan 265Nm tork, ia akan menjadi crossover paling berkuasa dalam kelasnya di Malaysia.

Perkara ini diumumkan oleh Hyundai dalam satu kenyataan, bahawa Kona 1.6 Turbo dan 1.6 Turbo N Line akan dilancarkan, bakal menggoncang pasaran SUV segmen-B. Jaga-jaga Proton X50!

Kedua-dua model ini menggunakan enjin sama, bezanya varian N Line mendapat gaya dan prestasi tambahan berbanding model biasa.

Antara penambahannya adalah:

  • Kemasukan udara lebih besar dengan gril honeycomb
  • Kit badan lebih agresif dan sporti dengan skirt tepi dan diffuser
  • Rim 18-inci dan tayar premium

Enjin pada Kona 1.6 Turbo dan N Line ialah unit Smartstream G1.6 T-GDi 4-silinder yang dipadankan dengan kotak gear 7DCT yang merupakan dwi-klac generasi kedua Hyundai.

Bahagian dalaman N Line juga unik dengan kemasan kulit hitam disulami suede, serta tempat duduk dengan pendingin hawa dan pemanas untuk pemandu dan penumpang depan.

Terdapat juga jahitan merah di seluruh kabin, pedal besi, serta logo N pada tombol gear, roda stereng dan tempat duduk.

Hyundai Kona juga hadir dengan pakej keselamatan aktif dan bantuan pemanduan Smartsense. Ini merangkumi Autonomous Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Front Departure Alert dan Auto High Beam.

Tempahan untuk Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N Line sudah dibuka, dan jika berminat, anda boleh terus pergi ke www.hyundai.com.my/clicktobuy/.

Nantikan laporan penuh kami selepas pelancaran rasmi nanti.

Kerajaan pertimbang kelonggaran untuk individu lengkap dua dos vaksin

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.

Beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran,” katanya.

“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan Covid-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas.”

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pertimbangan kelonggaran pergerakan itu adalah satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.

Beliau turut meminta masyarakat bersabar kerana jangka masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya sehingga akhir tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, antara fokus program vaksinasi yang kini sudah mencapai lebih 400,000 suntikan sehari ialah di Lembah Klang.

Tambahnya: “Saya percaya dengan langkah tumpuan khusus untuk kawasan ini, maka kes COVID-19 dapat kita uruskan dengan baik”

“Jadual (sasaran imuniti kelompok) yang kita unjurkan dalam PPN iaitu sebelum akhir tahun, insya-Allah (dicapai).”

McLaren 720S hilang kawalan sebelum ‘terbang’ di Singapura

SEBUAH McLaren 720S hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum ‘terbang’ di sebuah lebuh raya di Singapura.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7:40 pagi pada 7 Julai lepas, dimana ia dirakamkan oleh dashcam sebuah kereta.

Dalam video itu, kereta dashcam tersebut berada di lorong paling kanan, dan dapat dilihat sebuah McLaren 720S datang dari lorong kiri dan seperti menukar lorong ke kanan dengan agak agresif.

Supercar itu kemudian hilang kawalan dan menghentam pembahagi jalan di sebelah kanan, lalu ‘terbang’ ke udara. Ia kemudian terhenti di atas pembahagi jalan tersebut, dikelilingi bunga-bunga.

Tidak dapat dipastikan apa puncanya. Sama ada pemandu McLaren itu mahu memotong dari kiri dan ‘pancung’ kereta dashcam itu, atau dia mahu kekal di lorong kiri tetapi hilang kawalan lalu oversteer ke lorong kanan.

Bahagian depan supercar itu remuk teruk dan lampunya hilang. Bahagian belakang pula tersangkut pada pembahagi jalan. Yang penting, pemandu McLaren ini berjaya keluar dengan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Yang pasti, McLaren 720S ini nampaknya seperti total lost dan mungkin akan dihantar terus ke tempat pelupusan.

Apa yang lebih menyedihkan ialah McLaren 720S ini sangat mahal di Singapura, harganya kira-kira RM3.06 juta. Di Malaysia, harga McLaren 720S Coupe ini bermula pada RM2.45 juta.

McLaren 720S ialah model dari siri Supercar pengeluar United Kingdom itu, dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menjana 720hp dan 770Nm tork.

Dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, McLaren mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 2.9 saat, 200km/j dalam 7.8 saat dan mencapai kelajuan maksima 341km/j.

Habib, mekanik MotoGP anak tempatan beri inspirasi kepada lebih 250 pelajar

SEBAGAI satu-satunya mekanik warganegara Malaysia dalam MotoGP, Habib baru-baru ini memberi inspirasi kepada lebih 250 orang pelajar bidang automotif dari Kolej Despark.

Habib berkongsi gambaran sebenar industri bagi memperkasakan generasi baharu para profesional dalam industri sukan pemotoran.

Sejak pandemik, para pelajar kolej dan universiti di Malaysia terpaksa melalui pembelajaran secara maya selama lebih setahun dan ini membawa pelbagai cabaran kepada mereka.

Bagi para pelajar di sekolah-sekolah vokasional yang melibatkan latihan kemahiran secara amali dan praktikal, cabaran ini menjadi bertambah berat.

Sesi ceramah maya ini dianjurkan oleh Petronas Lubricants International (PLI), dengan kerjasama Kolej Despark dan merupakan acara kedua dalam siri ‘Menyediakan Graduan untuk Industri’.

Para pelajar teruja mendengar kisah perjalanan profesional Habib atau nama sebenarnya Hibbatuulah Bin Mohamad Fuad, yang bermula daripada seorang mekanik muda dan kini menjadi mekanik profesional untuk Petronas Sprinta Racing, sebuah pasukan Moto2 dalam Kejohanan MotoGP Dunia.

“Kami di Petronas Lubricants percaya bahawa para peneraju industri dari kalangan warga Malaysia berpeluang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka yang luas untuk menyuntik semangat kepada generasi baharu dalam industri automatif,” jelas Giuseppe Pedretti, Pengarah Urusan Rantau Asia, PLI.

“Kerjasama dengan Kolej Despark ini bertujuan merebut peluang yang sama – menambah pengalaman pembelajaran para pelajar dengan gambaran keseluruhan dan pengalaman industri yang eksklusif dan yang paling penting iaitu merapatkan jurang antara teori dan pengetahuan praktikal,” tambahnya.

Para pelajar Kolej Despark berpeluang memperoleh gambaran menyeluruh tentang industri dan pengalaman Habib sebagai mekanik MotoGP yang bekerja sebaris dengan jurutera dan saintis antara yang terbaik dalam bidang ini.

Antara peranan Habib sebagai mekanik pasukan Moto2 adalah bekerja dengan cecair dan pelincir yang dibangunkan oleh Fluid Technology Solutions Petronas.

Selain menerangkan tentang aspek teknikal sebagai seorang mekanik pasukan, Habib turut berkongsi cerita tentang cabaran dan keseronokan dalam membantu pasukan Petronas selain memberi nasihat tentang kerjaya kepada para pelajar.

Diharapkan lebih ramai anak muda kita akan dapat menyerlahkan bakat mereka untuk pasukan-pasukan yang bersaing dalam kemuncak sukan permotoran dunia seperti Petronas Sprinta Racing.

PKP berpanjangan mula tunjuk kesan kepada jualan Toyota, UMW harap pemulihan dan kelonggaran segera

DENGAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak 1 Jun 2021, banyak operasi sektor perniagaan telah ditutup. Tidak terkecuali juga sektor automotif, mengakibatkan jualan kenderaan baru seluruh industri merudum bagi Jun.

Mengulas situasi berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K. berkata, penutupan berterusan semua bilik pameran Toyota dan Lexus di seluruh negara bermakna tiada perniagaan yang boleh dilakukan.

Dalam masa sama, pengeluaran kenderaan termasuk usaha rantaian bekalan serta logistik juga perlu dihentikan sementara, lantas memberi cabaran tersendiri buat UMW.

Beliau menambah, “Kami berharap agar larangan pergerakan dapat dilonggarkan untuk membolehkan kami beroperasi dalam kapasiti terhad dan selamat.

“Kami selalu mematuhi semua SOP yang ditetapkan, seperti yang telah ditunjukkan tahun lalu.”

Dengan bilik pameran kekal ditutup, pelanggan masih boleh mendapatkan perincian berkaitan model-model Toyota dan Lexus melalui laman web masing-masing toyota.com.my dan lexus.com.my.

“Kami galakkan pelanggan untuk membuat tempahan secara dalam talian kerana itu membolehkan kami merancang pengeluaran di dua kilang pemasangan untuk mengurangkan tempoh menunggu sebaik sahaja larangan pergerakan ini ditamatkan,” tambah Ravindran.

Sokongan lepas jualan terpilih masih tersedia

Beberapa pusat servis UMW Toyota Motor terpilih terus beroperasi mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, bertujuan untuk memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

Bantuan 24/7 juga tersedia dan boleh didapati dengan menghubungi masing-masing di:

  • 1-800-888-247 (Toyota)
  • 1800-225- 3987 (Lexus)

Festival Toyota Gazoo Racing

Tahun ini meyaksikan penganjuran acara Festival Toyota Gazoo Racing (TGR Festival) memasuki tahun keempat berturut-turut.

Acara berkenaan semakin popular dan skala penganjurannya semakin berkembang setiap tahun, dengan tarikan utamanya ialah perlumbaan Vios Challenge yang merupakan satu-satunya perlumbaan one-make race di Malaysia.

“Ketika kami menganjurkan pusingan pertama yang mengujakan pada 2 Mac lalu di Litar Sepang, kami tidak sabar untuk membawakan pula pusingan kedua serta pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, yang juga merupakan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia.

“Mari kita sama-sama memainkan peranan masing-masing dan berdoa agar angka kes Covid-19 menurun segera, untuk membolehkan kerajaan memberi kelonggaran bagi penganjuran acara umum secepatnya,” tambahnya lagi.

Power dan jimat, ini 9 kereta diesel padu bawah RM30k

UNTUK video kali ini, kita buat rojak sedikit. Tapi bukan rojak apa, cuma campur semua jenis kategori badan kereta, asalkan semuanya diesel.

Di sini ada sembilan kereta diesel yang mungkin anda minati.

Kenapa diesel? Sebenarnya banyak kelebihan, cuma kurang popular di Malaysia. Di Eropah, sebelum terjadinya skandal Volkswagen Dieselgate, lebih 50 peratus jumlah jualan kenderaan penumpang di sana menggunakan enjin diesel.

Tetapi diesel tidak begitu popular di Malaysia, faktor utamanya adalah kualiti minyak. Enjin diesel terkini biasanya memerlukan kualiti lebih tinggi seperti Euro 5.

Dari segi kelebihan pula, diesel sebenarnya lebih cekap dan menjimatkan, serta lebih kuat (tork lebih tinggi).

Satu liter diesel boleh pergi lebih jauh dari petrol. Dan disebabkan enjin diesel tidak mempunyai palam pencucuh dan menggunakan pembakaran berbeza dari petrol, ini membolehkannya menjana lebih tork.

Biasanya diesel dikaitkan dengan kenderaan komersial seperti trak pikap, tetapi hari ini kita akan bawakan kereta-kereta lebih menarik. Hatchback ada, SUV pun ada.

1. Land Rover Discovery 2 Td5 – RM25,000

Model pertama ialah Land Rover Discovery 2 Td5, dengan enjin 2.5-liter diesel. Ia sebuah SUV ikonik, macho, menawarkan pemanduan sedap, boleh off-road, dan mempunyai kabin selesa.

Tetapi Land Rover terkenal dengan kos alat ganti mahal, jadi anda mungkin mahu cari mekanik yang pandai baiki dulu sebelum membeli Discovery ini.

2. Ford Focus TDCi – RM25,500

Ia model tahun 2012 dengan enjin 2.0-liter. Di Malaysia, orang risau Ford dengan masalah elektronik dan kotak gear.

Kereta ini pun mungkin ada. Jika betul berminat, pastikan kereta diselenggara dengan betul, semak semua sejarah servis. Pastikan juga semua recall dari Ford telah dibuat pada kereta ini.

Kalau semua okey, Ford Focus ni memang sedap bawak. Dengan diesel, pecutannya tangkas dan padu.

3. BMW X5 3.0 – RM28,800

Menarik iklan yang kami jumpa ini. “Six-speed, Dato’ owner” katanya.

Satu perkara dengan model diesel canggih seperti BMW ini, kami cadangkan isi minyak kereta di stesen bandar-bandar besar.

Kerana stesen minyak high volume mempunyai kualiti diesel lebih baik, dan ini penting untuk kereta diesel seperti ini.

4. Toyota Prado GX – RM25,000

Untuk model 1998 yang sudah berusia 23 tahun, dikira agak mahal. Tapi biasalah, Toyota kan? Harga memang susah jatuh, dah macam emas!

Land Cruiser Prado ini terletak di Lahat Datu, Sabah. Jadi ia pasti dipandu hari-hari, bukan low mileage, tapi dah sedia dipandu lasak.

Bawak balik KL pun okey, tapi lebih baik untuk orang Sabah kerana cukai jalan lebih rendah.

5. Mercedes-Benz E220 CDI – RM26,888

Untuk yang minat sedan eksekutif, kami ada Mercedes E-Class W211. Menurut iklan, pemiliknya pengurus bank, dengan perbatuan asal, dan tiada apa perlu dibaiki. Kira ‘cuci tangan’ lah.

W211 ini boleh dikatakan antara generasi E-Class yang agak bagus.

6. SsangYong Actyon – RM22,900

Actyon merupakan SUV kompak, bersaiz kecil sedikit dari Rexton. Unit ini dibekalkan dengan enjin 2.0-liter diesel, dari tahun 2011 dan dengan perbatuan 85,000km.

Ini boleh jadi pilihan yang tak ‘ngeri’ sangat. Cuma kita tak tahu sama ada jenama ini masih aktif di Malaysia, dan macam mana nak dapat alat ganti.

Tapi biasanya tiada masalah sangat enjin diesel SsangYong, kerana teknologi asal mereka dari Mercedes-Benz.

7. Ford Everest – RM28,500

Sebuah model dari 2008 dengan enjin 3.0-liter. Selain cukai jalan yang mungkin akan membebankan kalau tak biasa, Ford Everest ni tahan lasak dan tiada isu-isu pelik.

Cuma kalau tak tahu pusat servis Ford yang bagus, mungkin akan jadi masalah sikit. Tapi memang lasak sebab dibina atas casis ladder frame, dan agak lapang untuk tujuh tempat duduk.

8. Chevrolet Captiva – RM29,800

Satu lagi pilihan agak unik ialah Chevrolet Captiva. SUV ini berusia kurang 10 tahun, dibekalkan dengan enjin 2.0-liter.

Pemanduannya dia macam SUV keluarga biasa, tidak terlalu selesa, dan tidak juga terlalu sporti.

Ia berasal dari Korea, dibangunkan oleh jurutera Chevrolet di sana. Cuma di Malaysia ni tiada lagi wakil Chevrolet, dan kilang besar di Thailand pun dah tutup. Jadi alat ganti mungkin susah sikit.

9. Toyota Hilux 2.5 – RM26,800

Akhir sekali, Raja Trak Pikap! Sebenarnya agak sukar mencari Hilux di bawah RM30k. Model 2003 ini satu-satunya yang kami jumpa menepati kriteria senarai ini.

Walaupun berusia, dijamin tahan lasak, terutamanya model generasi ini. Ia terkenal dengan kelasakannya. Kalau jahanam, memang salah korang.

Baik, itu sahaja untuk senarai kali ini. Untuk peminat diesel, boleh cuba lihatkan kerana bagi peminat diesel yang pernah merasa, memang susah nak tinggal disebabkan tork yang best, dan juga penjimatan bahan api.

Bayar minyak tanpa keluar dari kereta dengan Touch n Go RFID di Shell

ANDA kini boleh membuat bayaran minyak petrol tanpa perlu keluar dari kereta dengan projek pilot menggunakan RFID di stesen Shell terpilih.

Untuk menjadi sebahagian dari percubaan ini, pertama sekali tentulah kereta anda harus dilengkapi dengan Touch ‘n Go (TnG) RFID pada cermin atau lampu depan.

Gambar oleh: Malay Mail

Kemudian melalui aplikasi Touch ‘n Go, daftarkan ke Activate Fuelling dengan memasukkan jumlah petrol yang hendak dibeli, kemudian sahkan dengan kata laluan OTP. Bila berjaya, anda akan mendapat satu push notification.

Untuk memastikan transaksi berjalan lancar, pengguna disarankan untuk mengaktifkan RFID repayment sebelum ke mana-mana stesen minyak dan memastikan baki eWallet melebih nilai isian.

Di tempat mengisi minyak, akan terdapat pengimbas di atas yang akan membaca frekuensi radio dari tag RFID sebelum menolak nilai dari eWallet.

Pembayaran RFID ini akan tetap berfungsi walaupun isyarat telefon pintar anda lemah, cuma push notification akan diperoleh sedikit lambat.

Anda harus mengangkat pam minyak dalam masa 80 saat selepas bayaran dibuat, jika tidak pam akan dikunci dan amaun pra-bayar akan dipulangkan semula.

Gambar oleh: Shell

Projek pilot ini telah bermula semalam (13 Julai) dan akan berlangsung hingga 12 Ogos ini. Stesen Shell yang terlibat adalah:

  • Bandar Sri Manjalara
  • Mint Hotel
  • NKVE Damansara
  • Taman Connaught
  • Taman Tun Dr Ismail

Shell juga memberikan insentif kepada mereka yang mengambil bahagian. RM20 cashback akan dikreditkan ke eWallet jika mereka mengisi sekurang-kurangnya dua kali, dan setiap transaksi minima RM10.

Mereka juga perlu melengkapkan satu bancian yang akan dihantar ke emel sebelum 15 Ogos.

Selain itu, transaksi juga akan memberikan mata ganjaran ke BonusLink jika ia dihubungkan dengan eWallet.

Anda kini boleh tempah Lotus Emira, bakal tiba di Malaysia Februari 2022

BERMINAT dengan Lotus Emira yang baru dilancarkan? Berita baik, ia akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Februari 2022 depan. Anda boleh buat tempahan kereta sports terbaharu dari Norwich ini melalui Lotus Karz, iaitu pengedar rasmi di Malaysia.

Harga dan spesifikasi penuh belum ada, hanya akan didedahkan menjelang pelancaran nanti. Di United Kingdom (UK), harganya bermula sekitar 60,000 Pound (kira-kira RM345k).

Sebagai perbandingan, Lotus Evora 400 semasa tiba di Malaysia dulu berharga sekitar RM600k, jadi kita boleh jangkakan harga Emira nanti pasti lebih sedikit dari itu (sekurang-kurangnya).

Lotus Emira ialah model baharu sepenuhnya untuk menggantikan Elise, Exige dan Evora yang ikonik.

Emira dibangunkan dari casis baharu Lotus Sports Car Architecture yang juga menggunakan teknologi aluminium bonded extruded seperti Elise. Emira juga akan mendapat suspensi double-wishbone untuk semua penjuru dan stereng berkuasa hidraulik.

Lotus terkenal dengan ‘dietnya’, maka Emira ini juga agak ringan, kira-kira 1,405kg sahaja. Ia akan bersaing dengan kereta sports seperti Porsche 718 Cayman dan BMW M2.

Untuk enjin, dua pilihan akan ditawarkan. Yang pertama ialah unit 3.5-liter V6 supercaj, iaitu enjin dari Toyota yang digunakan pada Evora dan Exige.

Satu lagi pilihan enjin ialah 2.0-liter turbo dari AMG. Enjin M139 4-silinder ini ialah unit sama yang memacu model-model AMG 45 seperti CLA45 dan A45 S, dengan kuasa sekitar 400hp.

Sama seperti Mercedes-AMG, enjin ini akan digandingkan dengan transmisi dwi-klac 8-kelajuan. Jika anda mahu pilihan manual, anda harus pilih enjin V6 3.5-liter tadi.

Lotus tidak mendedahkan secara terperinci kuasa Emira, tetapi dari segi prestasi, ia mampu memecut ke 100km/j dalam kurang 4.0 saat, dan kelajuan maksima pada 290km/j.

Jika anda pilih Lotus Drivers Pack, ia akan turut dibekalkan dengan Launch Control, suspensi lebih keras, dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 menggantikan Goodyear Eagle F1 Supersport standard.

Varian First Edition dengan enjin V6 akan diperkenalkan semasa pelancaran sebagai model flagship.

Lanjutan percuma satu tahun untuk kenderaan perkhidmatan awam – MOT

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi pelanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan di dalam syarat lesen/permit kenderaan.

Gambar oleh: Malaymail

Inisiatif ini adalah demi membantu pemain-pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Lanjutan ini juga adalah termasuk kepada yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, serta mencapai had usia maksima penggunaan untuk tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Keputusan ini diambil susulan sesi perbincangan antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya.

Mazda x Mizuno ialah kasut memandu dengan rekaan Kodo Design

INI ada satu produk menarik untuk pemilik dan peminat Mazda. Pengeluar itu bekerjasama dengan jenama sukan Jepun, Mizuno, untuk memperkenalkan kasut memandu yang membawakan falsafah rekaan mereka.

Kasut memandu ini direka dengan garisan-garisan ringkas dan minima, sama seperti apa yang kita boleh lihat pada kenderaan-kenderaan Mazda.

Dinamakan Mazda x Mizuno, kasut ini bukan untuk rupa semata-mata. Menurut kenyataan Mazda, kasut ini direka untuk memberikan “kawalan pedal ringan, stabil dan selesa.”

Terdapat juga ciri penting lain seperti sokongan dorsiflexion yang menambahbaik kebolehkawalan dan ketepatan pedal.

Selain itu, mempunyai tapak melengkung yang meningkatkan sentuhan pada lantai, sambil membolehkan kaki digerak semasa memandu. Jaring berstruktu pada tendon Achilles pula menyerap gerakan dan mengekalkan keselesaan kaki.

Walaupun kebanyakan kasut memandu mempunyai tapak nipis dan keras, lantas menjadikannya kurang selesa di luar kereta, Mizuno menampilkan teknologi Cob untuk ‘kusyen’. Ini membolehkan rasa dan tindakbalas menerus dari pedal, tetapi masih selesa untuk berjalan.

Kasut Mazda x Mizuno ini baru permulaan untuk pengeluar kereta itu membabitkan diri dalam barangan gaya hidup.

Kasut memandu ini boleh didapati untuk pra-tempahan di Makuake dengan harga 39,600 Yen (RM1,502). Penghantaran dijangka bermula pada Mac 2022. Tetapi penghantaran ke luar Jepun tidak dinyatakan.

Korang pemilik Mazda minat dengan kasut ini? Patutkah Mazda Malaysia bawa masuk sebagai pilihan aksesori?

Intip: Porsche 911 dengan spring lebih tinggi, versi Safari bakal kembali?

TIDAK cukup dengan berpuluh variasi 911 yang Porsche tawarkan, ada lagi beberapa tambahan yang sedang dibangunkan oleh pengeluar Jerman itu.

Antaranya ialah varian hibrid, tetapi bukan model itu yang hendak kita bincangkan hari ini. Sebaliknya imej-imej intipan menampakkan 911 yang sangat berbeza.

Tiada powertrain hibrid di sini (setakat yang kita tahu) tapi yang pasti, nampaknya ia mempunyai ground clearance lebih tinggi dari 911 biasa. Tetapi ia tidak setinggi 911 Safari yang pernah dikeluarkan dulu.

Imej-imej intipan di Nurburgring ini menampakkan satu dari dua konsep Safari yang dibina berdasarkan 911 generasi terbaharu. Selain dari suspensi lebih tinggi, prototaip ini juga mengenakan gerbang roda tambahan yang mungkin memberi petunjuk kepada gandar depan dan belakang lebih lebar.

911 Safari sebelum ini mendapat pacuan semua-roda (AWD), jadi tidak mengejutkan ia akan diasaskan dari varian Carrera 4S. Adakah ia akan menjadi varian kekal untuk 911, juga masih belum diketahui.

Memandangkan prototaip pertama mula dilihat pada Oktober 2020, boleh disimpulkan bahawa pelancaran rasmi mungkin dibuat menjelang hujung tahun ini atau awal 2022 nanti.

Kakitangan Proton mula terima vaksin hari ini

PROTON memulakan proses vaksinasi bagi semua kakitangannya hari ini. Pekerja yang bertempat di Tanjung Malim dan Shah Alam yang belum divaksin akan mendapat temujanji di aplikasi MySejahtera.

Program itu berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang mendaftar untuk memperoleh vaksin akan mendapatkan dos pertama mereka.

Bagi mempercepatkan usaha di Tanjung Malim, pengeluar automotif nasional itu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa peringkat negeri dan persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

Dengan kapasiti maksimum harian kira-kira 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan warga Proton serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin mereka.

Bagi kakitangan di Shah Alam pula, mereka akan mendapat vaksin mereka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kerana kekangan ruang yang besar dan syarat pematuhan SOP diperlukan oleh Proton untuk mewujudkan PPV sementara.

Dr Li Chunrong, CEO Proton berkata, “Proton berharap dengan proses vaksinasi warga kerja, kami akan membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Dengan inisiatif sama dari syarikat lain, ia mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan”, tambahnya.

Dengan permulaan hari ini, proses vaksinasi ini akan diulangi semula tiga minggu kemudian bagi warga Proton mendapatkan dos kedua mereka.

Syarikat itu menjangkakan kebanyakan kakitangan mereka akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos.