fbpx

5 aksesori kereta yang HARAM dibeli!

aksesori haram thumb

BUKAN semua aksesori kereta yang dijual itu bagus, ada yang kurang selamat. Senang cerita kami haramkan terus lah! Jom terus tengok senarai lima aksesori yang haram dibeli.

1. Dummy seat belt clip

Ini paling kami pantang. Kenapa nak beli? Semata-mata tak tahan bunyi bising seat belt reminder (penggera tali pinggang)?

Lepas tu pandu tak pakai tali pinggang, bila kemalangan, kereta ‘ingat’ anda pakai, sebenarnya tak pakai, bila beg udara meletup, jadi lagi bahaya.

Kita beli kereta mahal-mahal mahu macam-macam sistem keselamatan, kenapa tak ‘izinkan’ ciri keselamatan itu berfungsi? Doa sahaja tak cukup, perlu ada ikhtiar sekali.

Ini haram dibeli dan dijual.

2. Removable car tint

Ya, Malaysia memang panas. Tetapi removable car tint atau filem penebat haba jenis sementara ini bahaya sebab biasanya terlalu gelap dan besar, terutamanya yang jenis plastik.

Ada yang hingga menutup separuh tingkap depan, jadi kami rasa aksesori ini lebih banyak bahaya dari kebaikan. Pemandu kurang nampak persekitaran, bahaya keluar simpang, tak nampak penunggang motosikal di luar kereta, dan macam-macam.

Kalau anda nak kabin selesa, boleh labur dengan filem penebat haba berkualiti. Tak perlu terlalu gelap, masih ikut spesifikasi JPJ, tapi mampu tapis/pantulkan UV dengan baik.

3. Steering wheel knob

Anda pandu kereta atau forklift? Jentera berat seperti forklift atau backhoe dipandu perlahan dan banyak membelok semasa bekerja, dan kadang2-kadang ada beban berat, jadi knob atau tombol ini memudahkan operasi stereng.

Kereta anda tak perlu. Kita pandu kereta pada kelajuan lebih tinggi, dan tak banyak buat belokan tajam. Sebenarnya jika anda tahu cara belok stereng dengan betul, anda takkan perlu tombol forklift ini.

Dari aspek keselamatan, tombol ini boleh menjadi bahaya sekiranya dalam situasi kecemasan atau perlanggaran.

4. Pemegang telefon stereng (steering-mounted phone holder)

Tak dinafikan zaman sekarang kita memandu berpandukan aplikasi seperti Waze dan Google Maps untuk mudah sampai ke destinasi.

Tapi perlu kita pertimbangkan untuk pasang telefon pintar kita di tempat yang sesuai dan tak mengganggu pandangan. Paling tak sesuai ialah pasang di kawasan stereng.

Dari segi praktikal, bagaimana kita nak pandang telefon dengan betul bila stereng dipusing-pusing, bukan? Selain itu, mata kita akan banyak bergerak turun naik untuk padang telefon dan jalan di depan.

Dari segi keselamatan, sama macam tombol di atas tadi, sebarang objek di stereng boleh mengundang bahaya.

Jadi cara terbaik ialah letak telefon pintar anda di kawasan pandangan mata seperti sekitar papan pemuka atau cermin depan.

5. Lampu strobe

Akhir sekali aksesori haram kita hari ini ialah lampu strob.

Jika anda tak tidur semasa kursus sekolah memandu, anda pasti masih ingat bahawa kita perlu memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan lampu strob dan siren seperti kereta polis, ambulans, bomba, atau petugas-petugas keselamatan lain.

Tetapi kita sebagai orang awam tidak dibenarkan memasang lampu sebegini kerana akan mengelirukan pengguna jalan raya lain.

Jadi kalau anda berhasrat nak beli salah satu dari lima aksesori ini, janganlah teruskan. Buang saja barang itu dari cart Shopee itu.

Dan kalau anda telah beli dan sedang guna, kami sarankan buang sahaja dan lupakan terus. Sama-samalah kita jadi pemandu bijak.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved