fbpx

Nissan GT-R 2021 dengan T-Spec, bukan baharu sepenuhnya

nissan gt-r t-spec 2021 02

RUPA-rupanya Nissan GT-R baharu 2021 yang dikatakan cumalah varian T-Spec, dan bukan baharu sepenuhnya. Sebenarnya jika anda mengikuti perkembangan industri automotif, anda pasti dapat mengagak perkara ini.

Ini kerana tidak mungkin Nissan akan menghasilkan GT-R generasi baharu (R36?) memandangkan pembangunan jentera sports sebegini memerlukan belanja besar tetapi mempunyai jumlah pembeli niche.

Ini ditambah dengan pengenalan jentera sports Nissan Z baru-baru ini, agak mustahil untuk Nissan menawarkan dua model sports dengan prestasi hampir sama dalam satu masa.

Apa pun, memandangkan berita kali ini mengenai GT-R iaitu satu nama ikonik dan penting, mari kita lihatkan apa yang baharu.

Setelah 14 tahun dalam pasaran, Nissan memperkenalkan GT-R T-Spec untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) yang hadir dengan warna Millennium Jade. Bagi peminat tegar GT-R dan Skyline, anda pasti tahu bahawa warna ini suatu yang istimewa, kali terakhir ia diberikan pada R34 V-Spec II Nür, antara model paling rare.

Warna ini juga tidak pernah ditawarkan untuk pasaran Amerika Utara, jadi ini kali pertama Millennium Jade dibawa secara rasmi. Selain itu, terdapat pilihan warna Midnight Purple, yang juga pernah diberikan pada R34 V-Spec.

Apa lagi yang baharu? GT-R 2021 mendapat fender depan lebih lebar dari Track Edition serta spoiler belakang gentian karbon, rim aluminium Rays berwarna emas dan brek karbon-seramik.

Saluran udara untuk brek dari GT-R Nismo turut diberikan, selain corong udara hitam pada hud, dan banyak lencana T-Spec di luar dan dalam.

Bercakap mengenai dalam, GT-R 2021 dilengkapi kemasan kulit suede dan Alcantara dengan warna Mori Green baharu.

Tiada perubahan pada janaan kuasa, bermakna Nissan GT-R T-Spec dipacu enjin 3.8-liter twin-turbo V6 yang mampu mengeluarkan 565hp dan kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 6-kelajuan.

Nissan berkata GT-R T-Spec ditawarkan di atas GT-R Premium, tetapi mereka tidak mendedahkan berapa unit akan dihasilkan. Kita boleh jangkakan ia akan menjadi model terhad juga, dengan harga bermula dari USD138,490 (RM576,395) di AS.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved