Arkib Tag: Vespa

Vespa X Disney Mickey Mouse Edition dirasmikan – RM22,900

Berita baik buat peminat Disney Mickey Mouse apabila model istimewa, Vespa X Disney Mickey Mouse kini tiba di pasaran Malaysia menerusi pengedar rasmi, Didi Group.

Watak popular dari Disney itu kini diabadikan dalam bentuk Vespa Primavera 150 yang hadir dalam warna gabungan hitam, merah, putih dan kuning. Menurut Didi Group, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition itu boleh dimiliki dengan harga RM22,900.

Menariknya, setiap pembelian model istimewa itu akan turut disertakan dengan helmet khas.

Selain warna, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition ini juga hadir dengan reka corak Mickey di bahagian panel depan dan sisi termasuk tanda tangan Mickey Mouse.

Untuk rekod, Vespa X Disney Mickey Edition ini dipacu enjin iGet satu silinder 154.8cc yang berupaya menjana 12.9hp dan 12.8Nm.

Pusat pameran 3S Vespa dan skuter Aprilia dibuka di Melaka

Berita baik buat peminat jenama Vespa dan skuter Aprilia sekitar Melaka kerana pusat pameran 3S baru sahaja dirasmikan hujung minggu lalu di Klebang, Melaka. 

Pusat pameran 3S itu menempatkan tawaran serba lengkap termasuk servis, jualan dan alat ganti dan dikendalikan sepenuhnya Zen Sports Sdn Bhd. 

Sementara itu, Pengerusi Didi Group (selaku pengedar rasmi jenama Vespa dan Aprilia di Malaysia) turut gembira dengan pembukaan pusat 3S terbaru itu yang merupakan pertama di Melaka. 

Bagi pelanggan yang hadir, mereka akan disajikan dengan identiti korporat Piaggio yang menjaminkan pengalaman yang terbaik dan efisien. 

Menurut Didi Group, pusat 3S terbaru itu menawarkan rangkain model Vespa serba lengkap termasuk Vespa Sprint 150 dan GTV terbaru serta model skuter Aprilia SR GT 200. 

Vespa 946 10° Anniversario masuk pasaran Malaysia – tak sampai 20 unit, harga RM100k!

DIDI Group, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, telah melancarkan model edisi terhad Vespa 946 10° Anniversario ke pasaran tempatan.

Dihasilkan sempena Tahun Arnab mengikut kalendar zodiak Cina, model ini dijual pada harga RM99,900 tidak termasuk insurans. Hanya 1,000 unit dihasilkan untuk pasaran global dan untuk Malaysia, Didi Group dilaporkan membawa masuk kurang 20 unit.

Apa yang menarik tentang edisi 10° Anniversario? Selain berasaskan model 946 yang sememangnya diketahui sudah cukup istimewa, edisi ini tampil menonjol dengan grafik kartun arnab pada bahagian hadapan dan belakang.

Selain itu, ia didatangkan dalam skema warna hijau muda yang diserlahkan lagi dengan kemasan berwarna kelabu pada bahagian badan dan rim. Tempat duduk pula dibalut upholsteri kulit berwarna hitam berserta jahitan tangan.

Seperti versi standard, 946 10° Anniversario menggunakan rangka steelplate monocoque dengan pelbagai komponen aluminium rim, bar hendal, panel sisi, mudguard hadapan serta penyokong tempat duduk dan cermin.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara bersesaran 155 cc yang mampu menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

Skuter bergaya ini didatangkan dengan rim aloi berukuran 12 inci dan menggunakan sistem brek yang terdiri daripada cakera berkembar 220 mm dan ABS dwi-saluran. Turut disertakan adalah sistem kawalan cengkaman ASR.

Tidak cukup dengan itu, lampu hadapan, belakang dan isyarat membelok semuanya LED, manakala panel instrumen dilengkapi dengan panel LCD pelbagai fungsi.

Didi Group buka pusat 3S Vespa dan Aprilia di Alor Setar, Kedah

PENGEDAR rasmi Vespa dan Aprilia di Malaysia iaitu Didi Group meluaskan lagi rangkaiannya dengan pembukaan pusat 3S baharu di Alor Setar, Kedah.

Dioperasikan oleh Chin Hin Jitra Motors (CHJ Motors), pusat 3S ini menampilkan identiti korporat terkini Piaggio serta menawarkan barisan model Vespa dan Aprilia, menjadikannya destinasi yang perlu dikunjungi oleh peminat dua roda.

Sebagai pusat 3S, ia juga menyediakan aksesori, alat ganti serta pusat servis yang serba lengkap bagi memenuhi keperluan pemilik Vespa dan Aprilia, terutamanya mereka yang berada di Alor Setar dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, terdapat juga ruang menunggu yang selesa dan pelbagai kemudahan gaya hidup.

Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Group berkata pelancaran ini menandakan peristiwa penting kerana ia merupakan kemudahan 3S Vespa dan Aprilia yang pertama di Kedah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Chin Hin Jitra kerana memperkenalkan dan membawa jenama skuter Vespa dan Aprilia di Kedah, yang akan membantu kami mengukuhkan lagi kedudukan kami dan meningkatkan kehadiran kami di Malaysia,” katanya.

Pusat 3S Vespa dan Aprilia kendalian CHJ Motors ini beralamat di 1001 & 1002-A, Kompleks Sri Putra, Seberang, Jalan Putra, 05150 Alor Setar, Kedah.

Vespa Primavera Color Vibe untuk yang terpaling havoc

SELAIN dari GTS 300, Didi Group juga melancarkan Vespa Primavera Color Vibe di acara sama. Color Vibe ini merupakan edisi istimewa dari rangkaian Vespa Primavera 150.

Seperti pada namanya, ia menampilkan ekspresi warna yang cukup havoc (penulis terikut tema isu semasa). Baik, mungkin penerangan paling sesuai untuk Color Vibe ini adalah vibrant atau meriah.

Dua pilihan warna boleh anda pilih, iaitu Orange Tomato atau Blue Audace, tetapi kedua-duanya ibarat disulami secara kontra. Warna oren disulami biru, dan biru disulami oren. Jangan pening, anda lihat sahaja gambar-gambar yang kami kongsikan ini.

Kemudian, terdapat juga dekal grafik khas dengan rekaan retro, menyerlahkan lagi konsep dan karakter skuter ini.

Vespa Primavera Color Vibe dipacu oleh enjin 154.8cc yang berkuasa 12.9hp pada 7,750rpm dan 12.8Nm tork pada 6,500rpm.

Enjin silinder tunggal itu juga merupakan unit empat-lejang, tiga injap dengan suntikan elektronik PFI serta menggunakan sejukan udara.

Dari segi casis, Primavera Color Vibe dilengkapi lengan tunggal dan penyerap hentak hidraulik di depan dan penyerap hentak boleh-laras di belakang. Brek pula adalah cakera 200mm di depan dengan ABS, dan cakera 140mm mekanikal di balakang.

Untuk tayar, Vespa Primavera 150 mendapat profil 110/70 R12 dan 120/70 R12 masing-masing untuk depan dan belakang. Vespa Primavera 150 Color Vibe dijual pada harga bermula RM22,300.

Vespa GTS 300 tiba di Malaysia dengan pilihan SuperSport dan SuperTech, dari RM33k

DIDI Group hari ini melancarkan Vespa GTS 300 terbaharu. Ia ditawarkan dengan dua ‘perisa’ iaitu GTS SuperSport (RM32,900) dan GTS SuperTech (RM36,900).

Setiap varian Vespa GTS baharu ini boleh dibezakan melalui skema warna badan yang unik. GTS SuperSport mendapat kemasan hitam pada badan serta rim berwarna graphite.

Penutup hendal diberikan warna seperti karbon dan oren yang agresif, sementara tempat duduk hitam juga mendapat jahitan oren.

Keseluruhan Vespa GTS SuperSport hadir dengan empat pilihan warna: Orange Tramonto AX, White Innocenza BR, Black Opaco Matt NS, dan Green Olive Matt V06.

Sementara itu, GTS SuperTech pula boleh dibezakan dari kemasan krom satin, rim berwarna graphite dengan kemasan berlian, dan grafik badan Grey Quarzo Matt G27 dan Blue Deep D13.

Terdapat juga elemen kontra pada penutup hendal dan spring depan yang diwarnakan dengan hijau neon. Tempat duduk juga diberikan warna seperti “hi-tech”, menurut Vespa.

Kedua-dua varian GTS dipacu oleh enjin 278cc silinder-tunggal, empat injap dan suntikan elektronik. Enjin ini mempunyai output 23.8hp dan 26Nm tork yang disalurkan ke roda belakang melalui transmisi CVT.

Enjin ini juga dilengkapi sistem sejukan cecair, penghidup elektrik, dan klac automatik dengan penyerap gegaran.

Vespa GTS 300 menggunakan suspensi lengan tunggal di depan dengan spring gegelung dan penyerap hentak tunggal, serta penyerap hentak hidraulik berkembar di belakang dengan pelarasan preload.

Tayar bersaiz 120/70 R12 di depan, dan 130/70 R12 di belakang. Untuk brek pula, GTS 300 didatangkan dengan cakera 220mm di depan dan belakang, lengkap dengan ABS.

MotoPlex Butterworth jadi hab jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi

DIDI Group baru-baru ini merasmikan pembukaan MotoPlex Butterworth, bilik pameran pertama yang menempatkan empat jenama premium di bawah kumpulan ini; Piaggio, Vespa, Aprilia, dan Moto Guzzi.

MotoPlex Butterworth merupakan bilik pameran konsep dinamik dan akan menampilkan barisan produk yang lengkap dan pusat servis, menjadikannya destinasi ideal untuk para peminat jentera dua roda.

Hab motosikal iniakan dikendalikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd iaitu pengedar rasmi Piaggio, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi di negara ini.

Memasuki fasiliti MotoPlex Butterowrth, anda akan disambut dengan suasana berkonsepkan Itali. Ianya mempunyai keluasan 2,600 kaki persegi untuk ruang pameran, sementara 600 kaki persegi untuk pusat servis.

Ruangan servis akan menempatkan peralatan diagnostik canggih serta mekanik dan juruteknik terlatih, menjanjikan khidmat dan alat ganti terbaik untuk pelanggan.

Rewi Hami Bugo, Pengerusi Didi Group berkata: “Pembukaan MotoPlex akan membantu kami memperkukuhkan lagi kehadiran kami di Malaysia.”

Sementara itu, Kheoh Hock Seng, Pengarah GB Motorcycles berkata, “Kami berbangga dapat menghimpunkan semua jenama premium Didi Group iaitu Vespa, Aprilia, Moto Guzzi dan Piaggio bawah satu bumbung di MotoPlex Butterworth.

“Kami juga komited untuk memberikan servis terbaik kepada para peminat di sini. Kami bukan sahaja menghasilkan kenderaan, tetapi juga mengubah cara orang bergerak,” tambahnya.

Vespa edisi Justin Bieber serba putih dengan aksesori edisi terhad – RM28,000

VESPA sering menjalankan kolaborasi dan kerjasama dengan pelbagai selebriti, artis dan pereka seluruh dunia. Kali ini, mereka berkolaborasi pula dengan penyanyi pop Justin Bieber.

Model Vespa ini mendapat sentuhan dan idea yang diinspirasi dari Bieber sendiri. Penyanyi itu juga dikhabarkan memang meminati Vespa.

“Kali pertama saya menunggang Vespa adalah semasa di Eropah, sama ada di London atau Paris. Saya teringat melihat Vespa dan berkata kepada diri sendiri, saya mahu menunggangnya,” kata Bieber.

“Dan saya memang menikmatinya. Dengan angin di rambut saya, kebebasan, ia memang seronok,” tambahnya.

Vespa x Justin Bieber ini diasaskan dari model Sprint, dengan warna serba putih dari tempat duduk hingga bilah rimnya.

Logo dan grafik api yang dilukis di sisi badan pula berwarna putih sedikit berbeza, dan Bieber mahukan ia nampak kreatif, meriah dan menyerlah.

Vespa ini dikuasakan oleh enjin 150cc dengan teknologi dan piawaian terkini. Ia turut dilengkapi dengan lampu depan LED petak, paparan TFT moden, sambungan telefon pintar, dan rim 12-inci yang sepadan.

Setiap pembelian Vespa Justin Bieber ini juga akan hadir dengan koleksi aksesori edisi terhad iaitu sebuah beg, sepasang sarung tangan, dan topi keledar putih dengan grafik api.

Vespa Justin Bieber ini dijual pada harga RM28,000 termasuk dengan flyscreen depan, dan topbox putih dengan perehat belakang.

MotoPlex PJ dibuka, himpun jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi

PIAGGIO Group baru-baru ini mengumumkan pembukaan Motoplex Petaling Jaya iaitu bilik pameran pertama yang menempatkan empat jenama premium di bawahnya – Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi.

Dikenali sebagai stor konsep dinamik, MotoPlex PJ membawakan rangkaian produk meluas serta pusat khidmat pelanggan, menjadikannya destinasi ideal untuk peminat dan pemilik jentera dua roda.

Motoplex PJ akan diselia oleh Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd iaitu pengedar rasmi yang dilantik oleh Didi Group yang bertanggungjawab membawa kesemua empat jenama tadi ke Malaysia.

Dengan rekaan berinspirasikan Itali, fasiliti berkeluasan 540 meter persegi ini dibahagikan kepada 285 meter persegi untuk ruang pameran dan 255 meter persegi untuk pusat servis.

Bahagian servisnya dilengkapi alatan diagnostik canggih dan juruteknik serta mekanik motosikal terlatih, memberikan khidmat dan alat ganti berkualiti.

“Motoplex ialah ‘rumah’ untuk jenama-jenama ikonik Piaggio. Menempatkan kesemuanya bawah satu bumbung membolehkan kami memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal pelanggan yang mahukan pengalaman tunggangan jentera Itali,” kata Simone Niccolai, naib presiden senior Piaggio Group Asia Pasifik.

MotoPlex Pj terletak di Tower B, Pacific Towers, Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

Vespa 946 Christian Dior edisi khas ini koleksi terbaharu Sultan Johor

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dilihat memiliki sebuah Vespa 946 edisi Christian Dior sebagai koleksi terkini baginda.

Sekeping gambar baginda bersama Vespa edisi khas itu tular di media sosial sejak dua hari lepas. Turut dikatakan juga Vespa 946 dengan kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal Itali itu berharga sekitar RM150,000.

Vespa 946 Christian Dior ini dihasilkan dengan tema “semangat kebebasan, pergerakan dan ekspresi” dan ia bukan sahaja dijual di bilik pameran Vespa, malah boleh didapati di butik-butik Dior seluruh dunia.

946 edisi Christian Dior menampilkan tempat duduk tunggal dihiasi dengan corak Dior Oblique berwarna putih dan emas, kombinasi yang menjadi identiti jenama fesyen itu.

Ia juga hadir dengan kotak khas yang sepadan, juga dihiasi dengan logo Dior dan dipasang di bahagian kargo belakang. Aksesori lain adalah beg tangan dan topi keledar.

Vespa 946 Christian Dior dikuasakan oleh enjin 155cc silinder tunggal yang menghasilkan 12.9hp dan 12.8Nm tork. Menurut Vespa, skuter ini mempunyai tahap kecekapan penggunaan bahan api sekitar 2 liter per 100km.

Skuter ini juga dilengkapi brek ABS dua-saluran dengan Anti-Slip Regulation (ASR). Suspensi pula adalah lengan tunggal di depan dengan penyerak hentak hidraulik, manakala belakang menggunakan penyerap hentak tunggal dengan preload boleh-laras.

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

Rata-rata mengetahui bahawa baginda Sultan Johor merupakan peminat dan pengumpul kereta sejati.

Turut terlihat dalam gambar di belakang baginda adalah Hyundai Ioniq 5, Suzuki Jimny dan Rolls-Royce Cullinan.

Vespa GTS 300 dan Primavera edisi khas sempena ulangtahun ke-75, harga dari RM23,500

DIDI Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi Vespa di Malaysia memperkenalkan dua model edisi terhad iaitu GTS 300 75th Anniversary dan Primavera 75th Anniversary. Seperti pada namanya, kedua-dua model ini diperkenalkan sempena menyambut ulangtahun Vespa yang ke-75.

Apa yang berbeza? Pertama, Vespa ulangtahun ke-75 ini diberikan warna kuning metalik yang dinamakan Giallo 75th, yang nampak hampir seperti keemasan. Warna ini dibangunkan khas sebagai tafsiran moden untuk tema retro 1940an.

Seterusnya, model Vespa 75th Anniversary ini dilengkapi panel tepi dan mudguard depan dengan nombor 75, tempat duduk kulit Nubuck khas, rim berwarna kelabu dengan machine finish, dan pelekat grafik pada mudguard, keliling panel instrumen, pelindung ekzos, cermin sisi dan – untuk GTS sahaja – pada pemijak kaki penumpang.

Satu lagi ciri unik 75th Anniversary ialah rak barangan di belakang yang diberikan warna krom, ia boleh menempatkan beg kulit bulat yang nampak seperti tempat tayar simpanan. Beg kulit Nubuck ini juga diberikan tali dan klip khas dengan mekanisma khas untuk memudahkannya dipasang dan ditanggalkan.

Walaupun hadir dengan gaya retro, Vespa ini tetap mendapat teknologi moden. Ini termasuklah paparan TFT berwarna bersaiz 4.3-inci serta panel instrumen digital dengan sambungan telefon pintar.

Untuk lebih eksklusif, setiap pembelian edisi 75th Anniversary, anda akan mendapat Welcome Kit yang mengandungi plat Vespa besi vintaj, Buku Pemilik khas, dan lapan poskad dengan imej dari sejarah hampir 80 tahun jenama Itali itu.

Harga jualan Vespa 75th Anniversary adalah seperti berikut:

Vespa Primavera 75th Anniversary: RM23,500
Vespa GTS 300 75th Anniversary: RM38,900

‘Santai’ cara baharu dengan Primavera Pic Nic 2021

PRIMAVERA Pic Nic 2021 menjadi model terbaharu taruhan syarikat pengeluar Vespa dalam memenuhi permintaan pasaran negara ini.

Mengekalkan tema klasik dan moden glamour, model kali ini ditampilkan lebih ‘santai’ sesuai untuk semua peringkat umur.

EnGear berpeluang melihat lebih dekat model Vespa ini dalam satu majlis pelancaran diadakan di Shah Alam, Selangor pada semalam.

Apa tunggu lagi? Jom check it out!

Primavera Pic Nic 2021

Sesuai dengan namanya, Primavera Pic Nic 2021 memiliki reka bentuk ‘santai’ dengan dilengkapi tali kulit berwarna kuning air atau beige pada bahagian rak depan dan belakang.

Walaupun mempunyai rekaan ‘santai’, jangan sesekali memandang rendah kuasa enjin yang terdapat pada model ini.

Memiliki enjin i-GET dengan satu silinder 150cc, ia mampu menghasilkan 9.5kW pada 7,750 rpm dan juga 12.8Nm pada 6,500 rpm.

Selain itu, Primavera Pic Nic 2021 turut dipadankan dengan suntikan elektronik serta injap tiga hala (3 valve distribution) termasuk sensor barometric bagi menghasilkan tahap pembakaran optimum dalam apa jua keadaan.

Vespa Primavera Pic Nic 2021 walau kelihatan 'cute' tetapi jangan disangkal keupayaan enjinnya.

Aksesori

Pelanggan bakal menerima selimut khas perkelahan selain bakul rotan untuk diletakkan di bahagian belakang motosikal.

Pada masa sama, pelanggan juga menerima beg penyejuk yang boleh ditempatkan dalam bakul rotan tersebut.

Antara aksesori lain yang bakal diperoleh pelanggan termasuk tumbler khas Vespa, topi fedora dan beg tote berwarna putih atau kelabu.

Vespa Primavera Pic Nic 2021 dijual pada harga RM19,900 dengan pilihan tiga varian warna iaitu White Innocenza, Green Relax serta Grey Materia.