Proton menerusi anak syarikat Pro-Net melanjutkan pakej Power Pack yang ditawarkan untuk SUV elektrik Proton e.MAS 7 kepada 3,000 pelanggan seterusnya, bersama-sama dengan rebat RM4,000.
Untuk makluman, pakej pelancaran Power Pack tersebut terdiri daripada:
• Power Home: Pengecas 7kW Home Charger Percuma bernilai RM 1,500
• Power Plus: V2L Adaptor Percuma bernilai RM 500
• Power Online: 5-Tahun Data Internet Tanpa Had bernilai RM 1,800
• Power Thru: Jaminan Kenderaan Jarak Tanpa Had selama 6 tahun, dan jaminan Bateri dan Komponen Bervoltan Tinggi 8-Tahun / 160,000km
• Power Exchange: Rebat Eksklusif Proton Owner Trade-In bernilai RM 1,200
Dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Disember yang lalu, Proton e.MAS 7 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 215 hp dan 320 Nm, dengan jarak gerak yang mampu mencecah sehingga 345 km untuk varian Prime, atau sehingga 410 km untuk varian Premium.
Harga jualan Proton e.MAS 7 bermula dari RM105,800.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, “Disebabkan permintaan luar biasa, kami dengan gembira melanjutkan tawaran ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai Proton e.MAS 7 dan manfaat memiliki EV.”
“Pencapaian ini menunjukkan kepercayaan pelanggan terhadap kami serta kesungguhan mereka untuk bergerak ke arah masa depan yang lebih hijau.”
Proton eMAS 7, yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari lalu, akan memasuki pasaran Singapura menerusi VinCar Group selaku pengedar rasmi.
Dalam satu hantaran di Facebook, VinCar Pte Ltd mengesahkan bahawa eMAS 7 akan dilancarkan di negara republik itu pada awal 2025.
Syarikat itu juga berkata ia akan membuka sebuah bilik pameran bertaraf flagship yang terletak di Leng Kee Automotive Belt.
Untuk pasaran Malaysia, eMAS 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.
Perbezaan utama antara Prime dan Premium terletak pada kapasiti bateri. Varian Prime didatangkan dengan bateri berkapasiti 49.52 kWj yang menjanjikan jarak pandu sejauh 345 km dengan satu cas penuh, manakala varian Premium dengan bateri 60.22 kWj boleh dipandu sejauh 410 km.
eMAS 7 menggunakan bateri LFP Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.
Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.
Harga jualan eMAS 7 bermula dari RM109,800 untuk Prime dan RM123,800 untuk Premium. Namun sempena pelancarannya, Proton menawarkan rebat RM4,000 untuk 3,000 pelanggan pertama.
Setelah beberapa siri pendedahan dibuat (termasuklah sesi pandu uji), Proton menerusi divisyen Pro-Net akhirnya secara rasmi melancarkan SUV elektrik pertama e.MAS 7 untuk pasaran tempatan.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Proton e.MAS 7 merupakan sebuah SUV elektrik dalam segmen C, dengan ukuran dimensi sepanjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,750 mm.
Radius putaran adalah sekecil 5.4 meter.
Secara standard, e.MAS 7 dilengkapi dengan topang MacPherson di hadapan diikuti dengan tetapan multilink di bahagian belakang.
2. Kuasa
e.MAS 7 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 215 hp dan daya kilas 320 Nm.
Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam tempoh 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 175 km/j.
3. Dua pilihan pek bateri
Untuk pasaran tempatan, Proton e.MAS 7 tersedia dalam dua varian, iaitu Prime dan Premium.
Varian Prime dilengkapi dengan pek bateri LFP 49.52 kWh dengan jarak gerak sejauh 345 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), sementara varian Premium pula dengan pek bateri 60.22 kWh yang membenarkan jarak pandu sejauh 410 km.
Bateri bilah pendek Aegis ini menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC 100 kW (80 kW untuk bateri kapasiti kecil) di mana bateri boleh dicas 30-80 peratus sepantas 20 minit sahaja.
4. Kelengkapan luaran
Tidak banyak perubahan yang dibuat oleh Proton untuk membezakan model e.MAS 7 ini dengan model penderma Geely Galaxy E5.
Ciri standard yang dimuatkan pada bahagian luar SUV elektrik ini termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 225/55 R18, rel bumbung, serta cermin sisi boleh laras dengan fungsi pemanas tersedia.
Varian Premium pula mendapat tambahan ciri bumbung kaca panorama, pintu tailgate berkuasa, dan fungsi Active Grille Shutter.
5. Ruang kabin
Sama seperti bahagian luar, kelengkapan dalaman juga adalah hampir sama sahaja dengan model Geely.
Anda akan mendapat ciri seperti skrin kluster digital 10.2 inci, skrin tengah 15.4 inci tanpa sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem Flyme OS, serta skrin paparan head-up 13.8 inci.
Selain itu, e.MAS 7 didatangkan dengan tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap (empat untuk penumpang hadapan), fungsi ventilasi, upholsteri leatherette, sistem pencahayaan ambien 256 warna, serta kehadiran beberapa slot pengecasan USB.
Di bahagian belakang, e.MAS 7 menawarkan ruang kargo sebesar 461 liter atau sehingga 1,877 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Selain itu, ada tersedia ruang storan tambahan 51 liter, storan bawah tempat duduk sebesar 14 liter dan ruang bawah konsol tengah sebesar 10.8 liter.
6. ADAS
Buat pertama kalinya, Proton menawarkan kelengkapan keselamatan ADAS Tahap 2 standard untuk semua varian e.MAS 7.
Ia merangkumi fungsi penting seperti sistem brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran keluar lorong (LDW), pengelakan keluar lorong (LDP), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), bantuan penukaran lorong (LCA), serta tidak ketinggalan kawalan jelajah adaptif (ACC).
Selain itu, e.MAS 7 dilengkapi dengan enam beg udara, fungsi auto hold, radar depan dan belakang serta sistem kamera 360 darjah.
7. Harga
Harga jualan untuk Proton e.MAS 7 adalah seperti berikut:
e.MAS 7 Prime – RM109,800
e.MAS 7 Premium – RM123,800
Untuk 3,000 pelanggan pertama, Proton menawarkan promosi rebat bernilai RM4,000, di mana harga jualan bermula serendah RM105,800 untuk varian Prime, dan sehingga RM119,800 untuk varian Premium.
Berikut merupakan pakej yang bakal diterima oleh pembeli Proton e.MAS 7:
• Unit pengecas di rumah 7kW (bernilai RM1,500)
•Penyesuai V2L (bernilai RM500)
•Pakej pembiayaan faedah serendah 1.98% (bernilai RM3,000)
•Pakej data internet tanpa had lima tahun (bernilai RM1,800)
•Rebat RM1,200 untuk pemilik Proton sedia ada
•Jaminan kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan, dan jaminan untuk komponen bateri bervoltan tinggi sehingga 8 tahun atau 160,000 km.
smart Malaysia telah memperkenalkan program kesetiaan pelanggan yang dikuasakan oleh sistem blockchain Geno W3-D2C (Web3 Direct-to-Customer) bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.
Program ini menyediakan ekosistem yang telus serta membolehkan pelanggan memperoleh ganjaran menarik menerusi aktiviti harian seperti berinteraksi di media sosial, membuat rujukan, dan pemanduan.
Dengan melakukan aktiviti harian berkenaan, pelanggan boleh mengumpul smart Points, mata ganjaran yang tidak pernah luput dan disimpan menggunakan kontrak smart berasaskan blockchain.
Terdapat tiga cara utama untuk mengumpul mata iaitu Social-to-Earn, Referral-to-Earn dan Drive-to-Earn. Berikut adalah mata ganjaran yang menanti bagi setiap aktiviti atau tugasan yang dilakukan:
Dengan menggunakan aplikasi Hello smart, pelanggan boleh menukarkan mata yang terkumpul dengan pelbagai ganjaran eksklusif seperti kredit pengecasan EV dan barangan rasmi smart.
Menurut syarikat itu, tawaran penebusan pengecasan memberi nilai yang signifikan, memberikan pemilik kenderaan elektrik cara yang lebih menjimatkan untuk mengecas EV mereka, sekali gus meningkatkan pengalaman pemanduan secara keseluruhan.
“Di smart Malaysia, kami percaya bahawa kesetiaan pelanggan lebih daripada sekadar program ganjaran yang ditawarkan. Inisiatif program kesetiaan pelanggan ini direka untuk mewujudkan hubungan yang erat bersama pelanggan kami dan mengiktiraf penglibatan mereka dengan jenama smart,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
PRO-NET dan EV Connection (EVC) iaitu pengendali rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) JomCharge telah melancarkan Program Infrastruktur Pengecasan EV Kondominium ‘PRONET-EVC’.
Di bawah program ini, EVC akan memperuntukkan dana untuk pemasangan pengecas EV di 100 kondominium yang pada masa ini tidak mempunyai kemudahan pengecasan EV.
Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk memastikan kadar pengecasan yang kompetitif di sekitar 70 kondominium yang telah menjadi sebahagian daripada rangkaian JomCharge.
Hal ini menandakan pengembangan kerjasama sedia ada antara PRO-NET dan EVC yang kini mengendalikan pembekalan, pemasangan, operasi, dan penyelenggaraan pengecas dinding rumah untuk pemilik smart – dengan lebih daripada 400 pemasangan berjaya diselesaikan setakat ini.
Selain itu, JomCharge milik EVC telah diintegrasikan ke dalam rangkaian pengecasan PRO-NET, dengan menawarkan sekitar 600 poin pengecasan dan menyediakan 2,000 sesi pengecasan sejak pelancaran kenderaan smart.
Kedua-dua pihak juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan perlaksanaan program infrastruktur pengecasan EV di kondominium yang mempunyai dua matlamat utama.
Pertama, memastikan ketersediaan pengecas EV di bangunan kediaman jenis bertingkat, dan kedua, memastikan kadar pengecasan EV yang mampu milik di Malaysia.
Matlamat pertama adalah selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia untuk mencapai sasaran 10,000 poin pengecasan menjelang akhir tahun 2025.
Matlamat kedua, dengan mengambil kira bahawa sekitar 70% penduduk Lembah Klang tinggal di bangunan jenis bertingkat, adalah penting untuk memastikan kumpulan ini mempunyai akses kepada pengecasan EV pada kadar yang berpatutan seterusnya dapat mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia.
Bagi kondominium yang tidak mempunyai kemudahan pengecasan EV, mereka boleh menghantar minat untuk memasang pengecas EV percuma ini melalui laman web EVC.
Permohonan tersebut akan disemak oleh EVC dan PRO-NET. Pemohon yang berjaya layak menerima pakej percuma yang merangkumi pengecas EV, kerja infrastruktur yang diperlukan untuk pemasangan pengecas, kos penyesuaian, sistem pengurusan pengecas, dan integrasi ke dalam rangkaian JomCharge.
Malah, kondominium tersebut juga layak berkongsi keuntungan/hasil melalui program ini. Kadar pengecasan ditetapkan pada harga yang sangat kompetitif iaitu RM0.70/kWh untuk kondominium ini.
Dari segi harga untuk kondominium baharu yang disebutkan di atas dan juga bagi kondominium sedia ada dalam rangkaian JomCharge, pengguna Proton e.MAS 7 akan menikmati diskaun tambahan 10% daripada kadar pengecasan semasa bermula Januari 2025. Ini bermakna kadar yang sangat kompetitif iaitu RM0.63/kWh – hampir sama dengan kadar tarif kediaman TNB untuk pemilik hartanah berstrata.
Begitu juga, pengguna di kondominium yang mempunyai kadar pengecasan berasaskan masa juga akan mendapat manfaat daripada diskaun ini.
Pro-Net baru-baru ini mengumumkan pelantikan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS iaitu melebihi dua kali ganda berbanding 17 pengedar yang diumumkan pada Jun lalu.
Menurut syarikat itu, pelantikan ini menekankan komitmennya dalam meningkatkan pasaran EV di Malaysia serta memperluaskan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.
Peningkatan jumlah pengedar Proton e.MAS ini disertai dengan lawatan ke Institut Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou, China, yang disertai lebih daripada 40 eksekutif dan pengurus pengedar dari Malaysia.
Lawatan selama tiga hari ini bertujuan untuk memberikan peluang untuk merasai teknologi canggih Geely dalam mendapatkan input mengenai cara pengendalian operasi jualan dan servis model EV premium dari rangkaian pengedar di bawah syarikat Geely.
“Sejak pelancaran jenama Proton e.MAS pada bulan Jun yang lalu, kecepatan pembangunan menjelang pelancaran model pertama kami harus diberi pujian. Penambahan 19 buah pengedar baru ke dalam ekosistem kami menunjukkan semangat juang yang tinggi terhadap ketibaan EV nasional pertama Proton,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.
Lawatan ke GRI di Teluk Hangzhou membolehkan pengedar Pro-Net mendalami dengan lebih lanjut mengenai teknologi canggih dan inovasi di dalam model Proton e.MAS 7.
Selain sesi perkongsian teknologi, para pengedar juga berpeluang untuk merasai sendiri teknologi tersebut dengan pandu uji Geely E5 di litar percubaan.
Selain itu, mereka turut singgah di Pusat Pengesahan Kenderaan Tenaga Baharu untuk melihat bagaimana Geely menjalankan ujian pra-pengeluaran, penilaian dan pengesahan bagi pembuatan dan teknologi kenderaan EV.
Lawatan ke pelbagai pengedar premium di bawah rangkaian luas Geely juga diatur sebagai sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan tanda aras piawaian yang telah ditetapkan kepada pengedar dan prosedur-prosedur mengenai perkhidmatan pelanggan, strategi jualan dan latihan kepada kakitangan.
“Kesempatan kami untuk melawat GRI sangat membuka mata. Merasai pengalaman teknologi canggih yang sedang dibina, diuji, dan disahkan mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap teknologi dan inovasi global yang dibangunkan bersama Geely dan Proton yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik pertama Malaysia,” kata Abdul Hakim Bin Basri, Pengurus Pengedar Proton e.MAS Kota Bharu – JM Otomobil (EV).
Dengan revolusi EV yang semakin pesat membangun, misi Pro-Net bukan sahaja mempeluas penerimaan EV tetapi juga menyediakan laluan kerjaya bagi mereka yang berminat untuk membangunkan dan memelihara ekosistem EV tempatan dengan matlamat mobiliti lestari.
Mereka yang berminat untuk menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang semakin berkembang boleh menghubungi Proton melalui emel Zhaole@proton.com/affendyk@proton.com.
Proton meraikan pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Jelajah Proton e.MAS 7 di Centre of Excellence (COE).
Acara bersejarah ini menyaksikan penyerahan baton daripada Jelajah Dunia Geely E5 kepada Proton e.MAS 7 yang akan memulakan babak baharu yang penuh dengan inovasi dan eksplorasi di seluruh Malaysia.
Jelajah Proton e.MAS 7 ini bertujuan untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia serta memberikan mereka peluang pandang pertama untuk mengalami sendiri kenderaan ini.
Ia akan menempuh lebih daripada 2,000 km merentasi pelbagai jenis laluan dan landskap, dari jalan pantai sehingga ke kawasan pergunungan sambil mempamerkan prestasinya.
Jelajah Proton e.MAS 7 akan bermula pada 5 Oktober 2024, mengembara ke setiap negeri di dalam Malaysia. Bermula dengan Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor pada peringkat pertama, kemudian bergerak ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan, diikuti oleh Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.
Jelajah ini akan diteruskan melalui KL dan Selangor sebelum menuju ke Malaysia Timur, bermula di Sabah dan berakhir di Sarawak.
Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata matlamat pihaknya adalah untuk memberikan rakyat Malaysia pengalaman yang menarik tentang bagaimana kenderaan ini mengharungi keadaan jalan dan iklim unik di negara kita.
“Jelajah ini bukan sahaja akan meraikan komuniti kita yang berwarna-warni ini tetapi juga memupuk hubungan yang erat dengan para pelanggan kami,” kata Zhang Qiang.
Sebelum jelajah ini bermula, orang ramai berpeluang untuk melihat Proton e.MAS 7 dan pasukan PRO-NET beraksi di Putrajaya pada 25 September dan Shah Alam pada 26 September.
Perjalanan 3,700 km ke selatan Geely E5 menghadapi keadaan mencabar akibat Taufan Yagi. Sebagai model kembar Proton e.MAS 7, Geely E5 berjaya mengharungi air banjir dan pelbagai keadaan jalan tanpa sebarang insiden, menguatkan lagi kebolehpercayaan teknologinya.
“EV baharu ini berjaya mengharungi cuaca buruk dan keadaan jalan yang mencabar, termasuk air banjir. Ketahanan, kebolehpercayaan, dan kualiti Galaxy E5 mempamerkan keunggulan kejuruteraannya di sebalik Proton e.MAS 7 di mana menunjukkan bagaimana ia akan menjadi pengubah permainan untuk pasaran kita,” tambah Zhang Qiang.
Pro-Net mendedahkan bahawa kenderaan elektrik nasional pertama iaitu e.MAS 7 kini sedang menjalani ujian jalan raya tempatan.
Menurut Pro-Net, fasa ujian intensif itu melibatkan enam unit e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.
Ia merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).
Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.
Sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.
Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.
Sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat.
Jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.
Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.
Ujian ketahanan kenderaan, termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.
Jurutera Pro-Net telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.
Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan — di mana hasil ujian e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400 mm.
Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan.
Seterusnya, e.MAS 7 akan menjalani akreditasi ASEAN NCAP. Ia juga akan menjalankan QRT untuk mencapai 100,000 km dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa. Di samping itu, ujian perisian juga menjadi fokus utama jurutera Proton.
Pro-Net juga mengumumkan beberapa pakej jaminan sewaktu pelancaran, antaranya:
Pengecas smartCharge rumah 22kWh bernilai RM3,200
Pakej aksesori bernilai RM2,500
Adaptor V2L bernilai RM800
Data internet 60GB percuma 5-tahun
Pakej jaminan standard
Selain itu, jaminan standard untuk smart #3 ini termasuklah jaminan kenderaan 4-tahun tanpa had perbatuan, jaminan 8-tahun/150,000km untuk komponen voltan tinggi, jaminan bateri 8-tahun/200,000km, dan bantuan tepi jalan 24/7.
Dari segi spesifikasi, varian Pro mempunyai bateri berkapasiti 49kWh manakala Premium dan Brabus adalah 66kWh.
Varian Pro dan Premium mempunyai motor elektrik tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, memberikan pecutan 0-100 dalam 5.8 saat.
smart #3 Brabus pula mendapat dua motor di gandar depan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 428hp dan 543Nm tork. Disebabkan #3 Brabus menjadi jentera AWD, pecutan 0-100 adalah jauh lebih pantas, sekitar 3.7 saat sahaja.
Kelajuan maksima kesemua varian adalah 180km/j. Jarak pemanduan pula sekitar 455km untuk Pro dan Premium, dan 415km untuk Brabus.
Varian seperti BRABUS dan Premium, kedua-duanya menawarkan pengecas AC 22kWh yang terbaik dalam segmennya dengan keupayaan untuk mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang dari 3 jam.
Selain itu, smart #3 juga menambah baik teknologi keselamatan terkini, dengan 23 sensor berketepatan tinggi yang menyokong 21 fungsi ADAS demi memastikan keselamatan pemandu di jalan raya.
Antara ciri standard smart #3 adalah Panoramic Halo Roof, CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, gril depan menyala.
Selain smart, anak syarikat Proton iaitu Pro-Net akan menguruskan satu lagi jenama EV iaitu Proton e.MAS.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pro-Net berkata ia telah diberikan tanggungjawab untuk membangunkan jenama e.MAS bagi mengukuhkan pasaran serta menjalankan persiapan untuk pelancaran produk yang akan datang.
Pro-Net akan merekrut sebuah pasukan yang berdedikasi, menubuhkan rangkaian pengedar yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengecas bagi memastikan ekosistem EV berjalan dengan lebih lancar.
Melihat rekod prestasi daripada pelancaran smart #1 yang kini menjadi pesaing utama dalam segmen SUV premium dan juga pengenalan smart #3 yang akan datang, Pro-Net telah bersiap sedia untuk menerajui jenama Proton e.MAS.
Tambah Pro-Net, ia akan memanfaatkan rangkaiannya yang kukuh, berserta pengembangan platform digitalnya dan juga kakitangan yang pakar dalam teknologi EV bagi memastikan e.MAS bukan sahaja dapat menyaingi tetapi juga melangkaui kejayaan yang dinikmati oleh smart.
Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Pro-Net.
“Kepakaran yang telah dibangunkan oleh Pro-Net sepanjang dua tahun lepas meletakkan kami pada kedudukan yang unik bagi mengangkat jenama Proton e.MAS ke barisan hadapan dalam industri EV di Malaysia.
Bakal pelanggan kami bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, malah, melebihi jangkaan mereka, sama seperti pemilikan pengalaman premium yang disediakan kepada pemilik kenderaan smart,” kata Dr. Li.
Pemenang peraduan teka jenama baharu
Keterujaan terhadap jenama e.MAS jelas dilihat apabila lebih dari 25,000 peserta telah menyertai peraduan meneka jenama baru tersebut. Berikut adalah senarai pemenang:
Hadiah Utama RM5,000 – Puteri Hanna Batrisha binti Ibrahim
Hadiah Naib Johan RM1,500 – Noor Hidayah Binti Mohd Rodzi
Hadiah Ketiga RM1,000 – Ahmad Norrizzuan Bin Noor Azhar
Selain itu, Pro-Net mengumumkan bahawa akaun media sosial rasmi Proton e.MAS kini aktif dengan nama pengguna “Proton e.MAS Cars” di Facebook dan Xiaohongshu, dan “@protonemasofficial” di Instagram dan TikTok.
SMART Malaysia telah melancarkan program perkhidmatan selepas jualan smartCare yang direka untuk memastikan kebolehgunaan semua kenderaan smart dan menyediakan sokongan proaktif kepada pemilik sedia ada.
Program smartCare merangkumi lapan ciri penting kepada ekosistem perkhidmatan selepas jualan smart seperti berikut:
Pemantauan bateri bervoltan tinggi (HV) secara langsung
Perkhidmatan digital selepas jualan melalui aplikasi Hello smart
Pembaikan bateri HV tempatan
Rakan gudang & logistik
Kemudahan outlet servis dengan bilik penyimpanan bateri HV
Pengecas EV di seluruh pengedar smart
Juruteknik yang berkelayakan
Kemudahan baik pulih badan dan cat kenderaan
Pemantauan bateri HV secara langsung direka khas untuk menawarkan solusi pencegahan bagi isu yang berpotensi berlaku melalui pemantauan kesihatan bateri secara langsung di dalam kenderaan smart.
Sistem ini membolehkan kereta menghantar notifikasi terus ke smart Central, bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera.
Selain itu, kerjasama smart dengan perkhidmatan pembaikan bateri HV tempatan membolehkan syarikat itu menyediakan pembaikan dengan segera dan mesra alam dengan menggunakan semula komponen yang berfungsi, sekaligus meminimumkan masa menunggu dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Pasukan smart Malaysia yang terdiri daripada pakar EV yang terlatih disokong oleh smart Central di China, memastikan perkhidmatan selepas jualan yang bertaraf tinggi melalui latihan intensif yang berterusan dan pengetahuan terkini mengenai teknologi EV.
Pembaikan bateri HV tempatan adalah penting untuk menjamin keselamatan pengguna dan membina keyakinan dalam pemilikan kenderaan elektrik smart.
Untuk perkhidmatan selepas jualan, smart Malaysia kini mempunyai lebih 3,000 SKU dan 10,000 alat ganti dalam unit penyimpanan stok. Ini mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bagi pemilik smart yang memerlukan pembaikan kereta dengan segera.
Selain itu, syarikat itu juga mempunyai bilik bateri HV yang memastikan bateri disimpan dalam keadaan baik dan sebarang tugasan dilakukan dengan selamat dan terjamin.
Satu lagi kemudahan yang disediakan adalah baik pulih badan dan cat (Body & Paint) di cawangan-cawangan smart di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Di samping itu, kesemua 10 pengedar smart di seluruh negara dilengkapi dengan pengecas AC dan DC.
PROTON hari ini memperkenalkan e.MAS sebagai sub-jenama model-model elektrik sepenuhya (EV) mereka.
Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, cara sebutan e.MAS ialah “imas”, seperti abjad ‘e’ disambung dengan perkataan ‘mas’. Ianya bermaksud Electrifying Malaysia.
Proton juga memperkenalkan logo e.MAS iaitu paparan kepala harimau tetapi ‘tidak berkurung’. Menurut Proton, ianya selaras dengan aliran reka bentuk semasa untuk jenama EV yang cenderung kepada grafik yang lebih bersih dan kurang rumit.
“Pelancaran jenama dan logo e.MAS hari ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Proton ke arah melancarkan model EV kami sendiri,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
“Sebagai sebuah syarikat yang terikat dengan perindustrian Malaysia, kami sedar bahawa kami bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia.
“Oleh itu, Proton telah mempertimbangkan pendekatan nya terhadap EV dengan teliti untuk membangunkan pangkalan pengetahuan dan memastikan kami mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang produk, teknologi dan keperluan pengguna sebelum jualan bermula,” tambahnya.
Turut diumumkan pada majlis ini ialah pelantikan 17 pengedar EV Proton pertama yang telah memeterai perjanjian mereka pada awal hari ini.
Li Chunrong turut menambah, “Sebagai jenama automotif pertama di Malaysia, adalah penting bagi Proton untuk melabur dalam infrastruktur bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh kepada pembeli EV dan bukannya hanya menjual produk.
“Oleh itu, apabila model Proton e.MAS mula dijual, pelanggan boleh yakin bahawa setiap keperluan mereka akan diuruskan sama seperti pembeli model Proton semasa.”
Proton turut berkongsi kepada pengamal media bahawa semasa permulaan kerjasama dengan Geely pada 2017, rancangan telah dibuat untuk memperkenalkan model Proton EV.
Walaupun rancangan tertunda semasa pandemik, aktiviti disambung semula dengan bertungkus-lumus dengan upcara menandatangan Memorandum Perjanjian (MOA) antara Proton dan smart pada 19 Januari 2022.
Ini diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Pengedaran Am (GDA) antara kedua-dua pihak pada 18 Ogos serta pembentukan PRO-NET pada 9 September untuk menerajui jualan dan pengedaran kenderaan smart dan tawaran EV masa hadapan daripada Proton.
Langkah seterusnya ialah tandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Gentari di bulan Oktober untuk bekerjasama dalam pengasasan infrastruktur mengecas.
Ini diikuti dengan penghantaran 16 jurutera ke China pada Disember 2022 untuk Latihan Dalam Kerja (OJT) dalam EV dan bidang berkaitan seperti pengecasan dan servis.
Pada tahun 2023, Proton telah melantik pengedar untuk smart dan mengambil pekerja dari pelbagai industri untuk memperkuatkan pasukan pekerja untuk menguruskan jenama itu.
Mengulas mengenai jenama EV baharu, Dr Li Chunrong menambah, “Jenama e.MAS dan produknya adalah lanjutan daripada tiga nilai teras Proton iaitu teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa.
“Ini adalah langkah seterusnya dalam evolusi syarikat dan pada beberapa bulan yang akan datang, kami akan membuat pengumuman baru untuk membina pengiktirafan jenama dan promosi produk menjelang pelancaran Proton e.MAS EV pertama pada Disember tahun ini.”
PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat penuh Proton mengumumkan satu pertandingan bagi rakyat Malaysia menamakan EV pertama mereka.
“Pertandingan ini menandakan kesediaan kami dalam pelancaran kereta elektrik pertama yang akan datang,” kata Proton dalam satu siaran media hari ini.
Pemenang hadiah utama berpeluang memenangi wang tunai RM5,000, selain RM1,500 untuk tempat kedua dan RM1,000 bagi tempat ketiga.
Lima yang teratas juga akan diberi ganjaran, dengan setiap pemenang menerima RM100 tunai. Tunjukkan kreativiti anda dan berpeluang memenangi hadiah yang menarik.
Berikut adalah tiga langkah mudah bagi anda mencurahkan idea kepada EV Proton yang pertama:
Langkah 1: Isi borang pendaftaran di https://protonev.pronet.my
Langkah 2: Nyahkod dan susun semula imej atau kenyataan yang diberikan
Langkah 3: Kongsi pautan pertandingan kepada rakan-rakan untuk menyertainya
Lawati https://protonev.pronet.my untuk nyahkod dan teka nama untuk anda berpeluang memenangi hadiah yang menarik. Pertandingan berakhir pada 5 Jun 2024.
“Proton sangat menghargai sokongan rakyat Malaysia selama 41 tahun ini dan berhasrat untuk memulakan perjalanan EV ini bersama mereka yang berada di barisan hadapan dalam menerajui visi kami,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
PRO-NET, pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia, telah mengembangkan lagi rangkaian infrastruktur pengecasannya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Sejak memperkenalkan pengecas DC di ibu pejabat Proton pada Oktober tahun lalu, Pro-Net telah mengambil langkah proaktif dalam memperluas infrastruktur pengecasannya KE seluruh pengedar Proton Edar.
Dengan kerjasama Gentari, syarikat itu telah berjaya membuka enam pengecas DC, dengan jumlah keseluruhan 12 ruang pengecas dengan setiap satunya dilengkapi dengan dua nozel. Ia melibatkan unit pengecas 50 kW, 100 kW, dan 120 kW, serta tiga unit pengecas 60 kW.
Sementara itu, pemasangan lima pengecas DC dan 13 pengecas AC telah meningkatkan jumlah keseluruhan pengecas kepada 22 ruang pengecas.
Pro-Net juga bersedia meluaskan kehadirannya dalam perancangan yang akan datang untuk memperkenalkan infrastruktur pengecasan tambahan sebagai sebahagian daripada rangkaian pembangunan pengedar di Sabah.
Pada masa kini, lebih 70% daripada stesen pengecasan awam boleh diakses melalui Aplikasi Hello smart, hasil usaha kerjasama strategik dengan chargEV, JomCharge, dan Gentari.
Aplikasi Hello smart mengakses pengguna ke rangkaian stesen, termasuk status penggunaan stesen dan dapat memulakan sesi pengecasan dengan mudah.
MODEL EV pertama yang dijual dan diedarkan oleh Pro-Net iaitu smart #1 berjaya mendapat tempat ke-3 dalam kategori SUV EV yang berharga melebihi RM180,000.
Menurut Pro-Net, pasaran EV Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan jumlah jualan EV melonjak daripada 3,079 unit pada 2022 kepada 11,624 unit pada 2023. Ini disertai dengan peningkatan ketara dalam bahagian pasaran, meningkat dari 0.43% kepada 1.45%.
Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia berkata, “Pencapaian ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian mobiliti bandar di rantau ini dan mengesahkan semula matlamat smart untuk meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam segmen EV premium.”
Direka oleh Mercedes-Benz dan dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA), smart #1 boleh didapati dalam tiga varian iaitu Pro (RM189,000), Premium (RM219,000) dan Brabus (RM249,000).
Varian Pro dan Premium didatangkan dengan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 272 PS dan 343 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat.
Sementara itu, smart #1 Brabus pula mempunyai motor elektrik berkembar dengan output sebanyak 428 PS dan 543 Nm. Dengan kuasa yang lebih tinggi dan pacuan AWD, ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Pro adalah satu-satunya varian yang didatangkan dengan bateri 49 kWj yang memberikan jarak pandu sejauh 315 km. Varian Premium dan Brabus masing-masing mempunyai bateri 66 kWj namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 440 km untuk Premium dan 400 km untuk Brabus.
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan ia telah memperoleh pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank Berhad untuk pembiayaan inisiatif mobiliti hijau dan import dan pengedaran smart #1 di Malaysia.
Pro-Net adalah pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand. Dilancarkan pada November 2023, smart #1 merupakan model pertama yang dijual oleh Pro-Net. Ia dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dan digayakan oleh Mercedes-Benz.
Dengan ekosistem yang merangkumi 13 lokasi cawangan pengedar, perkhidmatan selepas jualan, serta aplikasi digital ‘Hello smart’ dengan akses kepada lebih 70% rangkaian pengecasan awam, Pro-Net menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik holistik bersama-sama dengan jaminan pelan perkhidmatan pelanggan yang mantap.
Syarikat itu juga bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen Proton terhadap agenda kenderaan elektriknya dan bersedia memainkan peranan penting apabila ia memimpin peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Roslan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, menyatakan, “Pengiktirafan dari CIMB terhadap peluang pasaran serta pendekatan proaktif mereka dalam menyokong inisiatif pengembangan kami menunjukkan jenis perkongsian yang amat kami hargai di PRO-NET.”
Menurut Roslan, pembiayaan berkenaan akan digunakan untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV, serta mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar.
Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan, CIMB Group, menyatakan, “Kami dengan penuh sukacita menyokong PRO-NET dalam memajukan inisiatif mobiliti hijau. Urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda ESG mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.
“Langkah ini selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami.”
CIMB telah melancarkan rangkaian penyelesaian kewangan EV yang komprehensif untuk merangsang penggunaan EV dan menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan di seluruh ASEAN.
Penyelesaian ini merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk kadar pembiayaan kereta utama, perlindungan insurans, dan pelbagai keistimewaan eksklusif lain yang memudahkan pengguna dalam setiap aspek memiliki EV.
Sebagai perantara kewangan yang berusaha mencapai tujuan berkelanjutan, CIMB Group terus memperkukuhkan inovasi dalam kemampanan untuk mencapai sasaran kewangan mampan sebanyak RM100 bilion menjelang 2024 di bawah Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Hijau, Sosial, Impak Mampan (GSSIPS) Kumpulan.
BEBERAPA tahun yang lalu, Mercedes-Benz menerusi Daimler AG telah menandatangani perjanjian bersama Geely untuk pemilikan 50:50 jenama smart.
Dengan termeterainya perjanjian tersebut, smart telah memasuki era kenderaan elektrik (EV) di mana setiap produk keluarannya akan menggunakan teknologi Geely dan reka bentuk Mercedes-Benz.
Model pertama yang terhasil daripada gabungan unik Jerman-China ini adalah smart #1. Ia telah dilancarkan di Malaysia pada November 2023 dengan anak syarikat Proton iaitu Pro-Net (smart Malaysia) sebagai pengedar rasmi.
Baru-baru ini, saya telah dijemput oleh pihak smart Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman memandu uji EV berkenaan dari Selangor ke Pulau Pinang.
Secara ringkasnya, terdapat dua varian yang disediakan iaitu Premium dan Brabus dengan pihak media berpeluang memandu kedua-dua varian berkenaan secara bergilir-gilir. Berikut adalah pendapat saya mengenai smart #1:
Ia mungkin antara EV tercantik dalam segmennya
Jika anda inginkan sebuah EV yang rendah dan kelihatan agresif seperti sebuah kereta sport, #1 bukan untuk anda. Ini kerana ia merupakan sebuah SUV dengan bumbung yang agak tinggi dan garisan-garisan badannya juga agak lembut.
Bagaimanapun, terima kasih kepada Mercedes-Benz, ada beberapa elemen reka bentuk yang berjaya menarik perhatian saya. Ini termasuk lampu depan dan belakang yang mempunyai bentuk ‘X’, efek bumbung terapung dan tingkap sisi tidak berbingkai.
Bukan itu sahaja, #1 juga mempunyai party trick yang boleh digunakan untuk menarik perhatian orang. Apa yang saya maksudkan adalah logo pada bahagian sisi akan bercahaya apabila kereta dicas, manakala lampu hadapan akan memainkan welcome sequence setiap kali butang unlock ditekan.
Rekaan kabin minimalis dan futuristik
Jika anda suka rekaan luaran #1, ruang dalamannya yang ringkas tetapi bergaya pasti akan membuatkan anda teruja. Pemandu dan penumpang hadapan dipisahkan oleh papan pemuka berbentuk T yang menampilkan warna hitam pada bahagian bawah dan putih pada bahagian atas.
Anda tidak akan menemui banyak butang di sini kerana majoriti fungsi yang ada boleh diakses menerusi skrin sentuh 12.8 inci yang terletak di atas corong pendingin hawa tengah. Untuk pemandu, terdapat paparan 9.2 inci yang sebenarnya agak nipis namun mujurlah ada head-up display 10 inci yang sangat membantu.
Selain itu, terdapat pelbagai ciri premium yang bagi penulis membuatkan tanda harga #1 rasa lebih berbaloi. Antaranya adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, pengecas wayarles, empat port USB, bumbung panoramic, penyejuk tempat duduk hadapan dan yang paling menarik, sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara.
Ruang dalamannya luas dan praktikal tetapi…
Dengan ukuran tapak roda 2,750 mm (lebih panjang berbanding Kia Niro EV dan Mercedes-Benz EQA), serta ditambah pula dengan bumbung yang agak tinggi, tidak dinafikan ruang kabin #1 memang terasa cukup luas dan selesa untuk perjalanan jauh.
Tidak cukup dengan itu, anda juga mendapat banyak ruang storan. Kereta ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemegang cawan dan di bawah papan pemuka, terdapat ruang storan yang cukup luas untuk menyimpan beg kecil dan sebagainya. Masih tidak mencukupi? Terdapat satu lagi ruang storan di bawah perehat tangan.
Bagaimanapun, jika anda ingin membawa seisi keluarga bercuti, anda mungkin perlu fikir dua kali kerana kapasiti but #1 agak kecil iaitu 411 liter sahaja. Di bawah hud, terdapat frunk 15 liter yang cukup-cukup untuk memuatkan kabel pengecas.
Kuasa dan pengendalian? #1 tak kurang hebatnya
Sebelum bertolak ke Pulau Pinang, kami sempat mencuba keupayaan dinamik #1 di litar go-kart Pinnacle Kart USJ. Litar ini agak mencabar kerana laluannya agak sempit dan terdapat banyak selekoh tajam atau hairpin turn.
Di laluan lurus, varian Premium menunjukkan yang ia mempunyai prestasi pecutan setanding kebanyakan hot hatch dengan enjin pembakaran dalaman. Bagaimanapun, ia tidak begitu mengujakan seperti varian Brabus.
Ini kerana varian berkenaan mempunyai output yang jauh lebih tinggi dan ini sudah tentu menjadikan pecutan lebih pantas dan sedikit menakutkan. Bukan itu sahaja, bunyi enjin palsu juga akan disalurkan ke dalam kabin setiap pendikit ditekan dengan agresif bagi menjadikan pemanduan lebih seronok.
Dari segi pengendalian pula, jelas sekali yang #1 tidak direka untuk pemanduan agresif kerana saya dapat merasakan olengan badan yang ketara terutamanya apabila ia ‘dipaksa’ di selekoh-selekoh tajam yang ada di litar go-kart tersebut.
Di sini, #1 Brabus lebih cemerlang kerana ia mempunyai peredam yang lebih keras, menjadikan badan lebih stabil. Kehadiran motor elektrik pada setiap gandar pula memberikan varian ini kelebihan dari segi cengkaman.
Tiada lagi ‘range anxiety’
Dengan #1, penyakit range anxiety yang tidak asing lagi dalam kalangan pemandu EV sedikit sebanyak dapat diubati dengan adanya ciri Charging Map yang membolehkan anda mencari stesen pengecas terdekat dengan mudah.
Menurut smart Malaysia, ciri ini memberikan akses kepada 70% stesen pengecasan awam yang terdapat di seluruh negara.
Bukan itu sahaja, ciri ini juga boleh memaparkan peta yang menunjukkan sejauh mana #1 boleh dipandu dengan tenaga bateri yang masih ada, serta baki tenaga yang akan tinggal setelah sampai di destinasi. Pendek kata, perancangan perjalanan menjadi lebih mudah dengan adanya ciri ini.
Infrastruktur pengecasan EV kita masih belum bersedia
Secara keseluruhannya, perjalanan dari USJ ke Hotel Angsana pada hari itu lancar sahaja walaupun pemanduan dimulakan dengan kapasiti bateri sekitar 85% dengan jarak pandu kira-kira 360 km sahaja.
Kami berhenti di stesen pengecas pantas (DC) 100 kW Gentari di Sunway X Park, Ipoh dengan kapasiti bateri berbaki 30%. Walaupun terdapat sebuah lagi #1 yang sedang menggunakan pengecas tersebut ketika itu, bateri berjaya dicas sehingga 80% dalam masa kurang 30 minit.
Seperti yang dikatakan, semuanya berjalan lancar bagi pihak kami. Namun, ada rakan media lain yang menghadapi masalah teknikal dengan pengecas sehingga mereka terpaksa mencari stesen lain dengan kapasiti bateri berada pada tahap membimbangkan.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, giliran kereta kami pula berdepan dengan isu pengecasan. Pengecas pantas yang sepatutnya boleh menyalurkan kuasa sehingga 40 kW hanya mampu ‘menyuntik’ 8 hingga 10 kW walaupun tiada EV lain ketika itu.
Ini menyebabkan kami terpaksa menunggu lebih lama dari yang sepatutnya. Dengan kuasa bateri berbaki kurang 50%, kami tekad untuk meneruskan perjalanan ke ibu pejabat Proton di Shah Alam. Kami tiba ke destinasi dengan bateri berbaki 8% dan jarak pandu pula hanya tinggal 32 km.
Kesimpulannya…
Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah kebanyakan yang ada EV di pasaran ketika ini tidak mempunyai masalah untuk melakukan perjalanan jarak jauh. Dengan sedikit perancangan dan gaya pemanduan yang berhemah, perjalanan dari ibu kota ke Utara atau Selatan dengan satu cas penuh bukanlah sesuatu yang mustahil.
Isu utama di sini adalah infrastrukur pengecasan. Di samping bilangannya yang masih rendah, saya berpendapat bahawa penyedia solusi pengecasan EV perlu lebih proaktif dalam memastikan kemudahan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi memastikan kelancaran kepada pengguna.
PROTON baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023.
Perjanjian ini dimeterai tepat 20 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani dokumen yang serupa pada tahun 2022 yang membawa kepada pelantikan Proton sebagai pengedar rasmi smart di Malaysia dan Thailand.
MoA tersebut ditandatangani oleh Roslan Abdulah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Mandy Zhang, Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan, bagi pihak smart Automobile.
Turut hadir di majlis itu ialah Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, Tong Xiangbei, Presiden Global smart Automobile, dan Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET dan Unny Shankar, Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai wakil kementerian.
MoA pertama adalah untuk meneroka potensi Proton untuk menjual penawaran EV smart di ASEAN, manakala dokumen baharu ini pula adalah untuk kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan untuk memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang Proton di Tanjung Malim.
Dr Li Chunrong berkata MoA baharu ini membawa kerjasama Proton dan smart ke tahap baharu denga perbincangan mengenai pemasangan kenderaan smart di negara ini.
“Sebagai pengeluar automotif, Proton sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan kerana kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely,” katanya.
Sejak pemeteraian MoA pertama, Proton telah menghantar kumpulan pekerja ke China untuk menjalani latihan sambil kerja khusus untuk industri EV.
Ia juga telah menguji smart #1 secara meluas di Malaysia untuk mendapatkan pengetahuan tentang prestasinya apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.
PRO-NET juga telah menandatangani MoU dengan Gentari, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.
Langkah terbaharu ialah pelancaran aplikasi Hello smartApp yang menawarkan empat ciri pertama di Malaysia termasuk penyepaduan 70 peratus peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, untuk mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara.
“Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau,” tambah Dr Li Chunrong.
SELEPAS dipertontonkan kepada wakil media Julai lalu, smart #1 kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.
Hatchback elektrik itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga anggaran bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan.
Menurut smart Malaysia, tempahan untuk #1 (disebut hashtag one) boleh dibuat menerusi aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.
Apa yang menarik, 501 pelanggan pertama yang membuat pra-pesanan akan menerima manfaat #1 Early-Bird berbentuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.
Varian Pro tampil dengan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.
Ia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 315 km berdasarkan kitaran WLTP.
Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya dan bateri NMC berkapasiti 66 kWh dengan jarak pandu sejauh 440 km.
#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. #1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.
Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.
Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.
#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2 kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22 kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.
Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.
#1 Brabus
Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.
Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.
#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400 km.
Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.
BEBERAPA minggu lepas kami siarkan gambar rasmi smart #1 (disebut sebagai hashtag one), kali ini kami dibenarkan untuk menyiarkan gambar kabin pula.
Apa yang menarik? Tidak seperti smart tahun 90an dan awal 2000 dulu, kali ini jenama merupakan hasil kerjasama 50:50 antara Mercedes-Benz dan Geely. Mercedes bertanggungjawab untuk reka bentuk, manakala Geely untuk kejuruteraan.
Ruang dalaman smart #1 mendapat ciri premium dan terkini tetapi agak unik dengan cara mereka sendiri. Antaranya ‘persembahan’ lampu semasa anda mahu membuka pintu (tanpa bingkai), kokpit dengan paparan infotainmen 12.8-inci di tengah, dan paparan instrumen 9.2-inci untuk pemandu.
Terdapat juga Head Up Display, lampu ambien dengan 64 warna (seperti Mercedes), dan rekaan keseluruhan yang nampak ‘muda’, seperti kereta ini disasarkan untuk golongan muda dan keluarga baharu.
Ciri premium lain termasuklah bumbung panoramik halo yang menurut Pro-Net, terbesar dalam segmennya. Smart #1 juga didatangkan dengan sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara, pertama dalam industri automotif. Jangan main-main.
Dalam paparan infotainmennya, terdapat maskot seperti musang comel yang berinteraksi dengan anda apabila anda menggunakan arahan suaran. Paparan skrin tengah ini penuh warna, berdefinisi tinggi dan mempunyai tema ceria.
Sambungan Android Auto dan Apple Carplay juga standard, selain sistem pendingin hawa dwi-zon, penapis kabin N95, dan sistem ADAS penuh.
Keseluruhan kabin smart #1 ini jelas terdapat kesan dari rekaan Mercedes, dan dapat dirasakan kualiti binaannya cukup tinggi dan premium.
Saiz EV ini adalah seperti MINI Countryman atau Honda HR-V. smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.
Unit yang anda lihat ini merupakan varian pertengahan iaitu Premium, dan terdapat juga varian asas serta Brabus. smart #1 Premium dipacu oleh motor tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 6.7 saat.
Kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh dan membolehkan kereta ini dipandu sehingga 440km setiap cas. Untuk pengecasan pula, ia menyokong DC sehingga 150kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 30 minit. Tetapi menggunakan AC 22kW akan memerlukan kira-kira tiga jam.
Berapa agaknya harga smart #1 selepas dilancarkan secara rasmi nanti? Boleh saing dengan Tesla Model Y?