Arkib Tag: PRO-NET

EON Berhad dilantik sebagai pengedar rasmi smart Malaysia

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) hari ini mengumumkan pelantikan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia.

Ini menjadikan EON, yang merupakan cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, sebagai pengedar sah smart kedua di negara ini selepas Hap Seng Smart.

Menurut PRO-NET, pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit bagi kenderaan jenama smart. Ini akan disusuli dengan lima lagi pengedar baru yang bakal diumumkan kelak.

Kerjasama ini juga akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama EV itu di kalangan pembeli kereta di Malaysia menjelang pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.

Pelantikan EON yang merupakan pengedar pelbagai jenama mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia.

Perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

“PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM berkata,”EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan.”

Pro-Net lantik Hap Seng Smart sebagai pengedar

SEBAGAI persediaan untuk pelancaran kenderaan elektrik smart #1 pada penghujung tahun ini, Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net) mengumumkan pelantikan Hap Seng Smart Sdn. Bhd. sebagai pengedar sah pertama smart di Malaysia.

Pro-Net merupakan anak syarikat Proton yang bertanggungjawab menguruskan penjualan dan pengedaran kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.

Konsep dalaman Hap Seng Smart KL

Hap Seng Smart pula anak syarikat Hap Seng Group yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang penjualan automotif, khususnya kenderaan Mercedes-Benz.

Bilik pameran pertama Hap Seng Smart akan dibuka pada suku keempat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur diikuti sebuah lagi bilik pameran di Balakong, Selangor.

Konsep luaran Hap Seng Smart Balakong

“Pro-Net percaya kecemerlangan automotif bukan hanya setakat mencipta kenderaan terbaik malah turut menyediakan kemudahan yang komprehensif dan pengalaman yang unik kepada pelanggan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

“Jalinan kerjasama antara Kumpulan Hap Seng melalui Hap Seng Smart dan Pro-Net mencerminkan bukan sahaja keyakinan kami terhadap daya tarikan universal jenama smart malah turut memperlihatkan komitmen kami di dalam menyokong agenda mobiliti hijau bagi mencapai matlamat mobiliti rendah karbon di Malaysia,” jelas Harald Behrend, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng.

Kerjasama dengan Hap Seng Smart menjadi titik mula kemasukan Pro-Net ke dalam pasaran automotif premium di Malaysia. smart akan bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang terbaik di dalam industri untuk memperkenalkan produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium.

Beberapa pengedar sah smart yang lain akan dilantik dan bakal diumumkan kelak.

PRO-NET, Gentari jalin kerjasama – 20 pengecas DC akan dibina pada 2023

PROTON New Energy Technology (PRO-NET), anak syarikat Proton yang mengendalikan kenderaan tenaga baharu bertukar dokumen perjajnjian dengan Gentari Sdn. Bhd., anak syarikat Petronas, di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM).

Susulan perjanjian pengedaran am yang ditandatangani dengan smart pada bulan Ogos dan pembentukan PRO-NET pada bulan September, pertukaran dokumen dengan Gentari adalah langkah seterusnya yang diambil oleh Proton bagi usaha memasuki dan menyumbang kepada ekosistem dalam ruang EV dan NEV negara.

Pelan awal adalah untuk membina 20 pengecas DC pada tahun 2023 di mana PRO-NET akan bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa. Gentari pula akan bertanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur pengecasan dan penyelesaian pengendali.

Selain daripada pembangunan infrastruktur pengecasan, Proton bekerjasama dengan smart, melalui anak syarikatnya, untuk memastikan tawaran EV mereka sepadan dengan profil penggunaan pembeli EV di Malaysia.

Pengeluar kereta nasional itu juga melabur dalam mengembangkan pengetahuannya dalam bidang NEV dengan menghantar 16 jurutera ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam semua aspek bidang tersebut.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata pertukaran dokumen itu merupakan sebahagian daripada langkah Proton ke pasaran NEV. Ia juga membuka peluang untuk bekerjsama dengan Petronas untuk menyumbang kepada pembinaan infrastruktur pengecasan di Malaysia.

“Ini adalah langkah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan menjadi pusat serantau bagi NEV,” kata beliau.

“Menangani keperluan pelanggan EV dan NEV di Malaysia memerlukan penyertaan banyak pihak dan kerjasama antara pemain industri automotif. Ini adalah benar terutamanya berkaitan dengan infrastruktur pengecasan yang memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara dan PRO-NET akan menawarkan penyelesaian pengecasan yang komprehensif kepada pelanggan.

“Kami juga menjangka pelanggan NEV mempunyai faktor pendorong yang berbeza berbanding dengan pembeli kereta tradisional. Oleh itu, kami mahu mencipta pengalaman baharu yang memenuhi keperluan mereka. Justeru, PRO-NET akan merekrut pengedar baharu secara aktif dan mengalu-alukan cadangan inovatif untuk pengalaman jenama dan transaksi,” tambah Roslan.

Proton tubuh PRO-NET untuk penjualan, pengedaran EV jenama smart

SELEPAS menandatangani perjanjian pengedaran am bersama smart pada 18 Ogos lalu, Proton kini mengumumkan penubuhan syarikat baharu iaitu Proton New Energy Technology (PRO-NET) untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri.

Merupakan anak syarikat milik penuh Proton, PRO-NET akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang berasingan manakala kakitangan operasi akan terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

Ia diketuai oleh Zhang Qiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan telah bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian.

Dari kiri: Sua Chek Hoong, Zhang Qiang dan Salawati Mohd Yusoff

Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati binti Mohd Yusoff sebagai Ketua Pegawai Jenama (CBO) dan Sua Chek Hoong sebagai Ketua Pegawai Informasi.

Pasukan pengurusan ini bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan disokong oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Wang Huaibing, Ketua Pegawai Kewangan Proton, dan Amran Mohd Tomin, Naib Presiden Modal Insan & Pentadbiran Proton.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku keempat 2023. Model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1 dan PRO-NET kini membuat persediaan untuk pemasarannya. Keutamaan syarikat adalah penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan dan rancangan semasa adalah untuk menggunakan rangkaian pengecasan berasaskan rumah dan awam.

“Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Tambah beliau lagi, PRO-NET juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan stesen pengecasan mereka, sekaligus memastikan ia boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

“Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” kata Dr Li Chunrong.