fbpx

Proton tubuh PRO-NET untuk penjualan, pengedaran EV jenama smart

smart #1 02

SELEPAS menandatangani perjanjian pengedaran am bersama smart pada 18 Ogos lalu, Proton kini mengumumkan penubuhan syarikat baharu iaitu Proton New Energy Technology (PRO-NET) untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri.

Merupakan anak syarikat milik penuh Proton, PRO-NET akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang berasingan manakala kakitangan operasi akan terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

Ia diketuai oleh Zhang Qiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan telah bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian.

Dari kiri: Sua Chek Hoong, Zhang Qiang dan Salawati Mohd Yusoff

Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati binti Mohd Yusoff sebagai Ketua Pegawai Jenama (CBO) dan Sua Chek Hoong sebagai Ketua Pegawai Informasi.

Pasukan pengurusan ini bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan disokong oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Wang Huaibing, Ketua Pegawai Kewangan Proton, dan Amran Mohd Tomin, Naib Presiden Modal Insan & Pentadbiran Proton.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku keempat 2023. Model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1 dan PRO-NET kini membuat persediaan untuk pemasarannya. Keutamaan syarikat adalah penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan dan rancangan semasa adalah untuk menggunakan rangkaian pengecasan berasaskan rumah dan awam.

“Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Tambah beliau lagi, PRO-NET juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan stesen pengecasan mereka, sekaligus memastikan ia boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

“Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” kata Dr Li Chunrong.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved