fbpx

Koleksi kereta Ratu Elizabeth II dari 1950an hingga kini

land rover series

RATU Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun pada 8 September baru-baru ini.

Sepanjang pemerintahannya selama 70 tahun, baginda menzahirkan minat dan koleksi kenderaan. Selain jenama-jenama British seperti Bentley dan Rolls-Royce yang menjadi kereta kebiasaan untuk kerabat diraja negara itu, baginda juga memiliki kereta-kereta lain yang sesuai dengan keperluannya.

Mari kita lihatkan beberapa koleksi kereta baginda.

1953: Land Rover Series 1

Kenderaan ini merupakan antara kereta pertama dimiliki baginda dari jenama Land Rover. Series 1 khas ini tidak didaftarkan dan pernah dibawa mengelilingi dunia dalam sebahagian lawatannya ke negara-negara Komanwel selama enam bulan di awal pemerintahannya.

Ia mempunyai platform khas untuk pasangan diraja itu berdiri di belakangnya. Land Rover Series 1 ini digunakan dari 1945 hingga 1956, kemudian diganti dengan Series 2 dan 3 sebelum diganti dengan Range Rover lebih baharu.

Daimler Empress Mk2

Sedan empat pintu dengan rekaan sleek dan klasik ini juga digunakan di awal pemerintahan Ratu, lengkap dengan meja walnut boleh dilipat dan tempat duduk ala takhta.

Hanya 33 unit pernah dibina, kereta ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter dan menjadi antara kegemaran keluarga diraja pada 1950an.

1954: Aston Martin Lagonda Drophead Coupe

Kereta ini dipandu oleh Putera Philip, dan hanya 20 unit versi Mk1 pernah dihasilkan. Ia juga merupakan kereta yang menjadikan Aston Martin mendapat status Royal Warrant.

Apa yang menarik, Aston Martin Lagonda ini dilengkapi dengan hud depan yang boleh dibuka secara automatik dengan kuasa elektrik dan inovasi ini disukai oleh baginda.

1955: Rolls-Royce Phantom IV State Landaulette

Kereta ini dibina khas oleh Hooper dan merupakan model pertama Rolls-Royce dengan enjin 5.7-liter 8-silinder.

Hanya 18 unit pernah dibina, casis 4BP5 mempunyai pengudaraan dan pemanas khas, serta radio keselamatan dengan pembesar suara luaran dan antena di bawah badan. Khas untuk keluarga diraja juga adalah pemegang di bumbung dan panel Perspex untuk lebih cahaya ke dalam kabin.

1960: Rolls-Royce Phantom V State Limousine

Antara limousine British paling ikonik, Phantom V telah menjadi kenderaan rasmi ramai orang termasuk Shah Iran hinggalah Elvis Presly dan John Lennon. Ratu Elizabeth memiliki dua buah dan kedua-duanya aktif dalam perkhidmatan. Kini salah satunya dipamerkan di Transport Museum di Sandringham Estate.

Semasa digunakan, mascot perak kesukaan Ratu iaitu St George dan Dragon diletakkan di atas gril depan menggantikan logo biasa Spirit of Ecstasy.

1961: Vauxhall Cresta PA Friary Estate

Ratu Elizabeth bertukar selera pada awal 1960 untuk sebuah kereta lebih luas yang juga buatan British, iaitu wagon Vauxhall. Ia dilengkapi dengan sangkar anjing, rak senapang, dan rod memancing yang dipasang di bumbung.

1963: Rover P5B 3.5-liter

Walaupun Ratu biasa dipandu ke sana sini di kota London, baginda juga gemar memandu sendiri, antaranya dengan Rover P5B 3.5-liter ini. Ada yang berkata Rover diibaratkan seperti ‘Rolls-Royce murahan’, kereta milik Ratu ini lengkap dengan kulit mewah dan kemasan kayu gelap.

1978: Land Rover Series 3

Seperti biasa, keluarga diraja memilih kenderaan pacuan empat-roda dari Land Rover. Model Series 3 milik Ratu ini mempunyai bahagian penumpang dengan bumbung boleh dibuka di belakang pemandu menggunakan sistem lampu isyarat.

Lampu-lampu ini memberi amaran awal kepada pemandu bila untuk memperlahankan kenderaan atau berhenti. Ada yang berkata rekaan ini mendapat sentuhan dari Putera Philip sendiri, termasuk kemasan tempat duduk kulit berwarna putih.

2001: Daimler V8 Super Saloon LWB

Sedan long-wheelbase dengan warna British Racing Green ini menjadi kenderaan peribadi Ratu Elizabeth selama tiga tahun, dengan jarak perbatuan 17,700km.

Antara modifikasi pada kereta ini termasuklah pemegang gelungsur untuk beg tangan dan suis khas untuk membuka tingkap belakang di bahagian penumpang.

2002: Bentley State Limousine

Bentley menghadiahkan Ratu Elizabeth dengan dua kenderaan rasmi untuk sambutan jubli perak baginda. Enjin V8 twin-turbo telah dimodifikasi secara menyeluruh dengan rekaan bumbung lebih tinggi.

Keret aini menampilkan cermin dan badan kalis peluru, tayar dengan Kevlar khas, dan kabinnya boleh dikedapkan untuk menempuhi serangan gas.

Land Rover Defender 110

Sebuah Defender 2002 telah dibina khas untuk baginda dan menjadi antara kenderaan kegemaran. Ia diasaskan model long-wheelbase 110 dengan enjin 4.2-liter V8, dan direka untuk kegunaan memburu, kemasan kulit hijau di dalam, dan suspense lebih tinggi.

Semasa dilelong pada 2014, ia dilaporkan turut mempunyai penyimpan shotgun dan peta menembak di dalam ruang simpanan papan pemukanya.

2009: Jaguar X-Type Sovereign Estate

Jaguar X-Type ini merupakan model varian tertinggi dengan pengesan parkir, tempat duduk dengan pemanas, dan tempat simpanan anjing penjaga.

Wagon dengan enjin V6 ini banyak digunakan untuk dipandu sekitar Windsor, dengan perbatuan cuma 12,200 semasa dijual pada 2016.

2015: Range Rover LWB Hybrid

Mendiang Ratu telah memandu berbagai jenis Range Rover, dan untuk model ini, ia direka dengan versi landaulette open-top dan platform lebih tinggi untuk membolehkan baginda dilihat dengan lebih mudah.

2017: Bentley Bentayga

Bentley memasuki segmen SUV dengan Bentayga dan sebagai meraikannya, mereka menyerahkan unit pertama SUV mewah itu kepada Ratu Elizabeth.

Semasa baru dikeluarkan, Bentley Bentayga merupakan SUV paling laju di dunia, kini ia berdepan dengan persaingan sengit dari model-model seperti Lamborghini Urus dan Aston Martin DBX 707.

Sumber gambar: Autoevolution, Bentley, Carscoops, CNN, Deccan Chronicle, Flickr, Gentleman’s Journal, Stuff.co.nz, Telegraph.co.uk, The Telegraph.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved