smart #3 buat kemunculan pertama di Asia Tenggara – sehingga 424hp dan 543Nm, tempahan kini dibuka
SEPERTI dilaporkan sebelum ini, smart Malaysia kini telah mempertontonkan #3 buat kali pertama untuk tatapan umum. Pengenalan di acara Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS, Serdang itu juga merupakan kemunculan pertama SUV elektrik (EV) itu di Asia Tenggara.
Harga belum diumumkan, tetapi smart Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk smart #3 kini dibuka.
Tiga varian ditawarkan iaitu BRABUS, Premium dan Pro. Varian Pro mempunyai bateri berkapasiti 49kWh manakala Premium dan Brabus adalah 66kWh.
Varian Pro dan Premium mempunyai motor elektrik tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, memberikan pecutan 0-100 dalam 5.8 saat.
smart #3 Brabus pula mendapat dua motor di gandar depan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 428hp dan 543Nm tork. Disebabkan #3 Brabus menjadi jentera AWD, pecutan 0-100 adalah jauh lebih pantas, sekitar 3.7 saat sahaja.
Kelajuan maksima kesemua varian adalah 180km/j. Jarak pemanduan pula sekitar 455km untuk Pro dan Premium, dan 415km untuk Brabus.
Varian seperti BRABUS dan Premium, kedua-duanya menawarkan pengecas AC 22kWh yang terbaik dalam segmennya dengan keupayaan untuk mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang dari 3 jam.
Selain itu, smart #3 juga menambah baik teknologi keselamatan terkini, dengan 23 sensor berketepatan tinggi yang menyokong 21 fungsi ADAS demi memastikan keselamatan pemandu di jalan raya.
Antara ciri standard smart #3 adalah Panoramic Halo Roof, CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, gril depan menyala.
Tempah smart #3 di pengedar rasmi smart yang terdekat atau melalui Aplikasi Hello smart. Pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menerima barangan rasmi smart eksklusif bernilai sehingga RM1,500.
Tawaran terhad ini dikhaskan kepada 333 pelanggan pertama, dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.
smart #1 kini lebih mampu milik
Dalam acara sama, smart Malaysia juga mengumumkan harga baharu #1 yang kini lebih rendah. Harga-harga baharu smart #1 adalah seperti berikut:
smart #3 Premium – RM209,000
smart #1 Pro – RM169,000
Sebagai tambahan, smart Malaysia menawarkan pakej servis kenderaan 4-tahun secara percuma kepada pemilik sedia ada smart #1 Premium dan Pro.
Kami telah pandu uji smart #3 baru-baru ini di litar ujian Proton, anda boleh baca di sini.
Galeri smart #3 Pro
Galeri smart # Brabus
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.