Arkib Tag: hong leong yamaha motor

Harga jualan Yamaha XMAX 250 naik RM300 – kini RM22,298

PADA Mac lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha XMAX 250 yang dikemas kini dengan enjin dan beberapa ciri baharu. Kini, syarikat itu mengumumkan pula pilihan warna baharu untuk skuter maxi tersebut.

Untuk model tahun 2022, XMAX 250 boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu merah dan hijau matte. Ia menggantikan pilihan warna sebelum ini iaitu Icon Grey dan Power Grey.

Boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula bulan ini, XMAX 250 dijual pada harga RM22,298 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Ini menunjukkan kenaikan sebanyak RM300 berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, dari segi mekanikal dan kelengkapan, tiada sebarang perubahan. XMAX 250 masih dikuasakan oleh enjin 250 cc silinder tunggal SOHC yang menjana 22.5 hp (16.8 kW) pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,000 rpm.

Enjin yang melepasi piawaian emisi Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi jenis tali sawat-V automatik. Kapasiti tangki bahan api adalah 13 liter.

Selain itu, ia juga hadir dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, perumah lampu yang lebih gelap dengan efek ‘smoked’, bar hendal dan penghadang angin boleh laras, panel instrumen LCD, soket 12V dan kunci pintar dengan rekaan baharu.

Di bawah tempat duduk, terdapat ruang penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga dua buah topi keledar.

Untuk sistem keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan ABS bahagian depan dan belakang, serta sistem Traction Control.

 

Yamaha NMax kini dalam dua warna matte baharu – RM9,498

YAMAHA NMax generasi semasa, yang dilancarkan di Malaysia pada Disember 2020, kini diberikan penampilan lebih segar menerusi dua pilihan warna baharu iaitu Matte Green dengan rim berwarna emas dan Matte Blue dengan rim hitam.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), model tahun 2022 ini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara mulai 19 Julai 2022.

Ia dijual pada harga RM9,498 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans), menunjukkan peningkatan sebanyak RM500 berbanding harga jualan sebelum ini iaitu RM8,998. Seperti biasa, setiap pembelian disertakan dengan kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

Selain pilihan warna baharu ini, spesifikasi NMax dilihat kekal seperti sebelum ini. Ini bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin SOHC 155 cc VVA (Variable Valve Actuation) yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,000 rpm.

Enjin tersebut dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api dan sistem penyejukan cecair, selain mempunyai sistem Stop & Go untuk penjimatan bahan api. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh tali sawat V-automatik.

NMax menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala sistem breknya terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS tidak disertakan pada model ini.

Kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu LED depan dan belakang, soket pengecas 12 V dan ruang penyimpanan berkapasiti 23.3 liter di bawah tempat duduk. Semua maklumat penting pula dipaparkan pada panel LCD.

Yamaha Y15ZR 2022 tampil dengan warna baharu, harga RM8,498

MODEL Yamaha Y15ZR hadir dengan varian baharu sekaligus menjadikan ia bertambah ‘garang’.

Semalam, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan varian baharu Yamaha Y15ZR dengan warna yang lebih ‘segar’.

Warna ditampilkan adalah hijau gelap disulami grafik hitam, biru, kelabu dan cyan.

Foto ihsan Yamaha

Bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan terhadap perincian lain termasuk komponen enjin (satu silinder SOHC penyejukan cecair 150cc).

Kotak gear juga masih sama iaitu lima kelajuan suntikan bahan api bagi menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

Foto ihsan Yamaha

Berikut antara ciri-ciri lain terdapat pada Yamaha Y15ZR 2022:

  • Meter jenis LCD digital
  • Lampu utama LED
  • Rim 17 inci
  • Fork teleskopik hadapan
  • Monoshock belakang
  • Pemula enjin elektrik
  • Passing light
  • Butang kill switch

Harga Yamaha Y15ZR 2022 ditetapkan bermula RM8,498 iaitu sedikit tinggi berbanding model sebelum ini iaitu RM8,168.

Setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000km dan kunci cakera brek secara percuma.

Yamaha 135LC dengan enjin FI baharu, tiga warna, RM7,798

YAMAHA 135LC sememangnya sebuah motosikal kapcai empat-lejang yang cukup berjaya dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Untuk 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan 135LC FI baharu dan seperti pada namanya, FI merujuk kepada fuel injection atau suntikan bahan api. Ya, Yamaha 135LC kini dengan enjin baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia.

Enjin silinder tunggal SOHC 4-injap ini menjana 9.3kW (12.4hp) pada 8,000rpm dan 12.2Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin dengan penarafan Euro4 ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, tiada lagi pilihan klac manual, hanya klac automatik.

Menurut HLYM, mereka mahu memfokuskan klac manual kepada model Y15ZR, dan klac automatik untuk 135LC FI ini.

Yamaha 135LC FI ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED, Pilot Light, tangki minyak 4.6 liter dan panel meter digital baharu untuk paparan maklumat lebih jelas.

Dari segi keselamatan, 135LC kini diberikan brek cakera belakang dan swing arm belakang yang direka semula.

Yamaha 135LC FI dijual pada harga RM7,798 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan didatangkan dengan tiga warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan, dan Midnight Star.

Yamaha 135LC FI

Oh ya, ada satu kejutan, dimana HLYM turut mendedahkan Yamaha 135LC FI Special Edition.

Apa yang istimewa? Pertamanya, ia hadir dengan warna unik Desert Storm matte dengan grafik lebih ringkas, tulisan “135LC” tiga-dimensi pada badan, dan Yamaha Premium Basket.

Bakul ini hanya khas untuk 135LC FI Special Edition dan menurut Yamaha, buat masa ini mereka tidak merancang untuk menawarkannya sebagai aksesori untuk versi biasa.

Bakul ini juga dilengkapi ruang simpanan khas yang boleh melindungi barangan dari terkena hujan, selain slot pengecaj USB.

135LC FI Special Edition ini dijual pada harga RM8,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans).