Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition – 600 unit sahaja, RM14,998
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition ke pasaran Malaysia.
Menurut syarikat itu, model edisi Monstery Energy ini akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad sebanyak 600 unit dan boleh didapati menerusi wakil pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia bermula 13 Oktober 2023.
Tiada perubahan dari segi spesifikasi, bermakna jentera ini masih dikuasakan oleh enjin 155 cc, SOHC silinder tunggal dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dibantu dengan teknologi Quickshifter dan klac jenis Assist & Slipper. Turut disertakan adalah sistem Traction Control.
Buat pengetahuan anda, R15M mempunyai ukuran 1,990 mm panjang, 725 mm lebar, dan 1,135 mm tinggi, dengan ketinggian tempat duduk 815 mm. Kapasiti tangki bahan apinya adalah 11 liter, manakala beratnya pula adalah sekitar 140 kg.
Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik Kayaba di hadapan dan monoshock di belakang, manakala sistem brek pula adalah cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, berserta ABS dwi-saluran.
Selain itu, R15M juga didatangkan dengan lampu LED, material tempat duduk ala karbon dan paparan instrumen LCD dengan mod Street dan Track.
Harga jualan (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) sama seperti tahun lalu iaitu RM14,998. Satu lagi pilihan warna iaitu Signature M akan terus ditawarkan.
Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera bernilai RM100 secara percuma.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.