fbpx

9 benda anda kena tahu tentang Yamaha MT-09 2024

Yamaha MT-09 2024 05

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini secara rasminya melancarkan Yamaha MT-09 tahun 2024 yang tampil dengan rekaan lebih agresif dan pelbagai ciri yang dinaik taraf.

Dalam artikel ini, kami senaraikan sembilan perkara yang anda perlu tahu tentang motosikal ini:

Enjin

Tiada sebarang perubahan dalam aspek ini. Ia masih dikuasakan enjin 890 cc, DOHC tiga silinder yang menghasilkan 119 PS pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan

Casis

Subframe MT-09 telah direka semula untuk memberi lebih banyak ruang untuk alatan berkaitan elektronik. Ini secara tidak langsung menghasilkan ekor yang lebih pendek.

Selain itu, suspensi mempunyai kadar spring yang lebih tinggi serta karakteristik redaman yang dikemas kini bagi mendapatkan prestasi lebih baik di atas pelbagai permukaan jalan.

Tangki lebih langsing

Tangki bahan api MT-09 kini direka semula menjadikan ia lebih langsing, selain memberikan posisi menunggang yang lebih agresif. Pelana, dengan ketinggian 825 mm, juga dikatakan lebih selesa.

Bar hendal dan tempat letak kaki boleh laras

MT-09 menampilkan bar hendal dan tempat letak kaki boleh laras (dua posisi) bagi mengurangkan rasa letih penunggang serta meningkatkan kawalan ke atas motosikal.

Gril akustik

Enjin Yamaha Crossplane 3 yang digunakan oleh MT-09 menghasilkan ‘ngauman’ yang garang dan bertenaga. Bunyi ini disalurkan tepat ke telinga penunggang menerusi gril akustik pada kotak udara, sekali gus membangkitkan semangat penunggang ketika beraksi di litar.

Yamaha Ride Control (YRC)

Ciri YRC membolehkan penunggang memilih karakteristik dan tahap campur tangan sistem bantuan elektronik. Terdapat tiga mod yang disediakan iaitu Sport, Street dan Rain, tidak termasuk dua lagi mod kustom.

Sistem brek Brembo

MT-09 dilengkapi dengan master cylinder Brembo yang dikatakan dapat memberikan kuasa membrek yang linear kepada angkup empat piston yang mencengkam cakera berkembar berukuran 298 mm pada bahagian depan.

Di belakang, terdapat cakera tunggal berukuran 245 mm.

Paparan TFT 5 inci dengan Y-Connect dan Garmin StreetCross

Paparan ini menawarkan empat mod berbeza dan boleh disambungkan ke telefon menerusi aplikasi Y-Connect. Untuk sistem navigasi dan info trafik masa sebenar, pembeli mendapatkan aplikasi Garmin StreetCross secara percuma.

Selain itu, terdapat suis intuitif baharu yang membolehkan penunggang mengawal fungsi-fungsi seperti navigasi, keterhubungan telefon dan Cruise Control.

Harga dan warna

Yamaha MT-09 2024 dijual pada harga RM57,998. Ia boleh didapati menerusi wakil pengedar Yamaha Big Bike dalam dua warna iaitu Midnight Cyan dan Tech Black.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved