Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition dengan pakej aksesori unik, terhad 1,000 unit, RM140k

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) hari ini memperkenalkan edisi khas untuk Triton iaitu Phantom Plus Edition. Ia hadir dengan pelbagai aksesori yang menaikkan lagi serinya, menampakkan Triton ini lebih rugged dan lasak.

Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition boleh didapati dengan warna eksklusif Jet Black Mica dan terhad kepada 1,000 unit sahaja.

Di bahagian luaran, aksesori khas untuk Phantom Plus ini adalah bampar depan dan belakang khas berwarna hitam-merah, kemasan sisi pintu, dan rim aloi hitam 18-inci dengan tayar All-Terrain Yokohama Geolandar.

Terdapat juga Tailgate Assist, dekal badan Phantom Plus, spoiler khas di ruang kargo, dan paling menarik, lampu bumbung LED.

Di bahagian dalam, trak pikap ini mendapat tempat duduk balutan kulit dengan jahitan bertulis “Phantom Plus”, perakam video (dashcam), pemijak sisi dengan tulisan “TRITON”, karpet rekaan khas, dan sistem infotainmen berskrin 9-inci dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Tiada perubahan pada enjin dan kotak gear, jadi Triton Phantom Plus Edition ini dipacu oleh unit 2.4-liter MIVEC dengan output 181hp dan 430Nm tork.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 6-kelajuan, dan sistem pacuan semua-roda 4WD dengan sistem Easy Select.

Untuk keselamatan, tiada sistem ADAS seperti pada Triton Athlete, tetapi edisi khas ini masih dilengkapi dengan ciri seperti ABS, EBD, Brake Assist, Active Stability Control, Traction Control, Rest Reminder, Hill-Start Assist, dan Trailer Stability Assist.

Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition dijual pada harga RM139,700, dan hadir dengan jaminan 5-tahun atau 200,00km (yang mana dahulu).

Tiada lagi Mitsubishi di Rusia, pasaran automotif mulai terjejas?

RUSIA terus berdepan tekanan susulan tindakan menyerang negara jiran, Ukraine.

Terbaharu, industri automotif Rusia pula menerima ‘tamparan’ hebat selepas sebuah syarikat pengeluaran kenderaan dari Jepun memberi bayangan menghentikan pengeluaran di negara itu.

Mitsubishi Motors seperti dilapor Reuters berkata, syarikat itu bukan sahaja bakal menghentikan pengeluaran malah, menghentikan jualan kenderaan di Rusia.

Salah sebuah keluaran Mitsubishi yang terbaharu iaitu model Xpander. – Foto ihsan Mitsubishi

Ia berikutan langkah sekatan ekonomi dikenakan oleh beberapa kuasa besar termasuk Jepun yang mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. 

Sejak dua minggu lalu, ketegangan mula memuncak selepas Rusia mengarahkan tenteranya menceroboh Ukraine.

Tindakan Rusia terus dikecam majoriti negara Eropah yang menggesa serangan bersenjata dihentikan segera.

Sementara itu, konflik bukan sahaja menyaksikan kehilangan nyawa orang awam tetapi turut melibatkan kerosakan infrastruktur dan harta benda.

Antonov AN-225. Foto ihsan Wikipedia

Media melaporkan pesawat terbesar di dunia, Antonov AN-225 turut musnah dibedil tentera Rusia.

Insiden itu menyebabkan ramai pihak mengkritik tindakan Rusia yang secara tidak langsung menghapuskan identiti Antonov sebagai pesawat terbesar dibina sejak 1988.

Mitsubishi tawar uji kenderaan tanpa pengiring untuk pelanggan Lembah Klang

PARA pelanggan menetap sekitar Lembah Klang berpeluang menguji kenderaan Mitsubishi tanpa diiringi konsultan jualan.

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) berkata, ini kerana terdapat banyak permintaan daripada pelanggan untuk memandu uji kenderaan terutama model Triton Athlete dan XPander.

Pelanggan berminat memandu uji boleh melayari laman web rasmi MMM dan menghantar permohonan untuk sesi pandu uji.

Kakitangan MMM kemudian akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan dan menghantar kenderaan pandu uji ke lokasi terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM Shinya Ikeda berkata, pandemik Covid-19 telah merubah gaya perniagaan dan pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami melihat peluang ini untuk meningkatkan pengalaman dan kemudahan para pelanggan.

“Caranya mudah, dengan mengisi borang jadual temujanji dengan pengedar bertauliah malahan, kami akan menguruskan semua proses termasuk penghantaran,” katanya.

Bagaimanapun, para pelanggan boleh memilih sama ada ingin diiringi konsultan jualan atau sebaliknya.

Terdahulu, MMM memberitahu para pelanggan tidak perlu bimbang dengan tahap kebersihan kenderaan kerana proses sanitasi akan dilakukan oleh petugasnya.

Setiap pelanggan hanya diberi masa sejam untuk memandu uji sebelum mengembalikannya ke lokasi asal.

Mitsubishi Evo Final Edition yang terakhir ini berharga hampir RM500k, mileage 99km sahaja!

PENGAKHIRAN Lancer Evolution pada 2016 sememangnya satu berita besar (dan sedih untuk kaki kereta), dan sebagai ucapan selamat tinggal, Mitsubishi melancarkan Final Edition untuk model itu.

Hari ini, sebuah pusat pengedar di Ontario, Kanada meletakkan harga CAD148,899 untuk unit terakhir yang dijual di pasaran negara itu.

Mitsubishi Lancer Evo X Final Edition 2015 itu belum didaftar dan mempunyai mileage perbatuan 99km sahaja pada odometernya. Dari 3,100 unit Final Edition di seluruh dunia, 350 unit dijual di Canada.

Pengedar Mitsubishi menyatakan “Lancer Evolution yang akhir sekali dikeluarkan!! Ya betul, inilah 350 dari 350 seperti tertulis pada plat nombor!”

“Kereta ini baharu sepenuhnya – hanya pernah dipandu sejauh 99km! Kereta ini disimpan rapi di fasiliti kami setiap kali musim sejuk.”

Badan luarnya dicat putih dan untuk Final Edition ini, ia mendapat beberapa perbezaan dari Evo biasa seperti bumbung hitam, lencana Final Edition di but, dan rim BBS. Selain itu, terdapat juga spoiler besar, ruang kemasukan udara besar, dan brek Brembo dengan angkup merah.

Bahagian luar agak standard dengan sedikit perubahan seperti jahitan merah dan plak nombor siri untuk membezakannya dari Evo biasa. Pada plak ini tertulis “350 of 350”, iaitu Final Edition terakhir untuk Canada.

Nadi kepada Evo ini ialah enjin 2.0-liter turbo 4-silinder sebaris yang sudah terkenal. Untuk Final Edition, enjin ini menerima penambahan kuasa sehingga 303hp dan 414Nm tork, berbanding pada Evo biasa sebanyak 291hp dan 407Nm. Kotak gear ialah manual 5-kelajuan dan kuasa dihantar melalui sistem pacuan semua-roda.

Apa pendapat anda dengan harganya? Berbaloi untuk dibeli dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang?

Semua gambar adalah ihsan John melalui Carscoops.