fbpx

Proton Saga Black Knight ini sedang dipamerkan di Royal Automobile Club, London!

proton saga black knight rotunda cars 12

ANDA masih ingat akan Proton Saga Black Knight yang menjadi juara Concours de I’Ordinaire di Hagerty Festival of the Exceptional, UK tahun lepas?

Kini Proton Saga lagenda itu sedang dipamerkan di Royal Automobile Club (RAC) di Pall Mall yang terletak di tengah-tengah kota London.

Proton Saga Black Knight itu kini menghiasi ruang Rotunda iaitu pintu masuk utama kelab eksklusif itu yang hanya khas untuk ahli-ahli berdaftar sahaja.

Jon Coupland, pemilik kepada Saga Black Knight itu menghubungi Engear memaklumkan kereta kesayangannya terpilih untuk menjadi kenderaan pameran di lokasi istimewa itu.

“Ianya (RAC) merupakan satu lokasi yang sangat eksklusif dan ini suatu pencapaian bersejarah untuk Proton,” katanya.

“Hagerty UK yang menganjurkan Festival of the Unexceptional ditanya sama ada mereka mahu mencadangkan sebuah kereta untuk diletakkan di Rotunda iaitu ruang masuk utama.

“Mereka bertanya saya adakah saya berminat untuk mempamerkan Proton saya memandangkan ianya pemenang keseluruhan dalam acara tahun lepas,” terang Coupland.

Proton Saga Black Knight milik Coupland ini akan dipamerkan selama dua minggu. Ini kerana RAC menukar kereta pameran di ruang Rotunda itu kira-kira setiap dua minggu.

Jika dilihat senarai kereta yang pernah dipamerkan di sini antaranya adalah Aston Martin Vantage Volante 1966, Alfa Romeo 6C 1750, Mercedes-Benz 300SL Roadster, Ferrari Dino 246 GT, Land Rover Series 1, Bugatti Type 57S Atlantic, Morris Minor MM 1948, malah jentera Formula 1 Mercedes W10 EQ Power.

Semuanya bukan calang-calang! Sememangnya satu saat bermakna untuk Proton.

Berkenaan Proton Saga milik Jon Coupland ini, keretanya ialah satu-satunya yang masih berada di jalan dari kesemua Black Knight Edition yang pernah dijual oleh Proton di UK.

Ia hampir sama dengan Proton Saga 1.5 GL biasa, tetapi Black Knight mendapat aksesori tambahan iaitu penutup rim unik, pelekat badan khas, dan spoiler! Dan ironinya, warna badan Black Knight bukanlah hitam, tetapi lebih kepada gunmetal grey.

Lain dari itu, ia sama sahaja dengan Saga 1.5 GL, termasuklah enjin 1.5-liter 4G15 dan kotak gear manual 5-kelajuan.

Menurut Coupland, pemilik asal menyimpan kereta itu sejak 1993 kerana kurang sihat, dan ia hanya memiliki perbatuan sekitar 3,600 batu (5,794km).

Saga itu tersadai hingga 2017 sebelum dijual kepada pemilik sebelumnya dan ia dipandu lagi kira-kira 10,000 batu (16,093km).

Kini Coupland memandunya sekali-sekala untuk mempertontonkannya di acara-acara seperti Hagerty’s Festival of the Unexceptional.

Gambar oleh: Jon Coupland

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved