fbpx

Mitsubishi ASX 2023 tampil dengan reka bentuk Renault Captur

Mitsubishi ASX 2023 01

MITSUBISHI telah memperkenalkan crossover kompak generasi baharunya iaitu ASX untuk pasaran Eropah. Jangan gosok mata anda kerana reka bentuknya memang saling tak tumpah seperti Renault Captur. Ini kerana ia menggunakan platform CMF-B oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Juga dikenali sebagai RVR atau Outlander Sport di pasaran-pasaran lain, ASX akan dipasang di kilang Renault di Valladolid, Sepanyol dan akan memasuki pasaran Eropah bermula Mac 2023.

Dari segi reka bentuk, tiada perbezaan ketara dapat dilihat antara ASX dan Captur, selain penggunaan lencana Mitsubishi pada gril. Bagaimanapun, tiada logo syarikat itu pada tailgate. Ia digantikan dengan perkataan ‘MITSUBISHI’, ditemani dengan ‘ASX’ dan ‘PHEV’ pada bahagian bawah.

Di dalam, pelanggan boleh memilih sama ada untuk mendapatkan kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci dengan navigasi 3D, skrin 7.0 inci atau pun meter analog dengan skrin 4.2 inci di tengah-tengah. Skrin sistem infohibur pula boleh didapati dalam versi 7.0 inci atau 9.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pasaran Eropah, ASX akan ditawarkan dengan lima pilihan enjin seperti berikut:

  • 1.0-liter tiga silinder dengan manual enam kelajuan – 90 hp/160 Nm
  • 1.3-liter empat silinder mild-hybrid dengan manual enam kelajuan – 138 hp/260 Nm
  • 1.3-liter empat silinder mild-hybrid dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan – 156 hp/270 Nm
  • 1.6-liter empat silinder hibrid – 141 hp/148 Nm
  • 1.6-liter hibrid plug-in – 160 hp/144 Nm

Varian 1.6-liter hibrid didatangkan dengan bateri kecil berkapasiti 1.3 kWh manakala varian 1.6-liter hibrid plug-in pula mempunyai bateri 10.5 kWh yang memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 49 km.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada teknologi Mi-Pilot yang menggabungkan Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Centering Assist (LCA) untuk bantuan pemanduan di lebuh raya. Turut disertakan adalah Emergency Brake Assist, Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition dan Parking Assist.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved