fbpx

Ini 9 model Mitsubishi paling lejen sepanjang masa

senarai mitsubishi

MITSUBISHI terkenal menghasilkan kereta-kereta padu dan ikonik seperti Evo, Pajero dan 3000GT. Jenama Mitsubishi boleh dikatakan antara jenama untuk enthusiast atau peminat tegar kereta, sama seperti Mazda dan Subaru.

Sebab itu kadang-kadang kereta mereka kurang laku sebab enthusiast tak ramai, dan jenama yang laku ialah yang menghasilkan kereta praktikal dan mudah dipandu untuk pemandu biasa.

Apa pun, mari kita lihatkan model-model Mitsubishi paling lejen sepanjang zaman. Peminat Mitsubishi wajib tahu!

1. Colt Galant GTO GSR Coupe 1975

Kereta-kereta sports Jepun pada tahun 1970-an banyak mengambil inspirasi Ford Mustang dan Colt Galant GTO GSR ini tidak terkecuali.

GTO bermaksud Gran Turismo Omologato, dan Galant ini disasarkan terus kepada Ford Capri, Opel Manta dan Toyota Celica.

Ia mendapat enjin 2.0-liter Astron 80, cukup untuk 115hp serta kelengkapan sporti seperti tepat duduk bucket, gril honeycomb, wheel arch khas, dan lampu belakang ala Mustang.

2. Lancer (A70) 1600 GSR

Inilah dia ‘atuk’ kepada Lancer Evo, dan telah mendominasi rali Group A. Enjin 1.6-liter 4-silinder padanya cukup lasak, membolehkan kereta ini memenangi Safari Rally Kenya dua kali (pada 1974 dan 1976).

3. Starion

Kalau korang peminat Jackie Chan, mesti biasa nampak. Mitsubishi Starion ini bukan setakat jadi bintang filem di Asia, tapi juga di Hollywood, dalam filem Cannonball Run 2.

Selain itu, Mitsubishi Starion juga cukup berjaya di litar, pernah memenangi perlumbaan SCCA (Sports Car Club of America).

Starion merupakan antara kereta Jepun pertama yang menggunakan enjin turbo lengkap dengan suntikan bahan api elektronik. Kira canggih untuk masa itu.

Satu kisah menarik mengenai namanya, ada yang berkata sebab Jepun susah menyebut ‘Stallion’, jadi mereka guna nama Starion.

Tapi ada juga yang berkata sebenarnya nama ini kombinasi perkataan ‘Star’ dan ‘Arion’. Mana satu versi yang korang rasa betul?

4. Pajero/Montero/Shogun

Tak sah rasanya kalau sebut Mitsubishi tanpa petik nama Pajero. Di sesetengah pasaran, ia juga dikenali sebagai Montero atau Shogun.

Generasi awalnya mesti biasa kita nampak, digunakan oleh JKR, polis, dan banyak jabatan kerajaan, tapi di dalam rali, Pajero cukup berjaya.

Pajero memenangi Dakar Rally sebanyak 12 kali! Ini memberikannya gelaran “King of the Desert”.

Sayang sekali nama Pajero akan ditamatkan. Edisi terakir dikeluarkan untuk pasaran Australia dengan hanya 800 unit.

5. FTO

Baik, model seterusnya ni pasti menggamit memori kaki Gran Turismo kerana ia antara kereta terawal kita dalam ‘karier’ perlumbaan.

Dalam kehidupan sebenar pun Mitsubishi FTO agak mantap, merupakan model sports FWD (front-wheel drive), dengan enjin V6 MIVEC, dihasilkan dari 1994 hingga 2000. Ia diletakkan antara model Eclipse dan 3000GT.

Betapa bagusnya kereta ini, ia memenangi anugerah Car of the Year selama dua tahun berturut-turut (1994 dan 1995) di Jepun.

6. Eclipse

Ini satu model yang cukup popular, disebabkan Need For Speed, Gran Turismo dan The Fast and The Furious.

Tapi ia bukan glamour semata-mata, Eclipse menawarkan platform mantap untuk kaki modifikasi dan track day terutamanya di pasaran Amerika.

Ia berkongsi enjin dengan Evo, jadi tiada masalah alat ganti sangat, dan banyak potensi untuk naik taraf.

7. 3000GT

Teknologi seperti aerodinamik aktif, all-wheel drive dan twin-turbo mungkin suatu kebiasaan hari ini, tapi bayangkan 20 tahun dulu, dah ada pada Mitsubishi 3000GT.

Ia lebih kepada kereta GT dan bukan sports car kerana badannya yang agak berat. Ini kerana ia padat dengan bermacam teknologi. Mitsubishi meletakkan segala teknologi dan pengetahuan mereka kepada kereta ini.

3000GT mendapat enjin 3.0-liter V6 yang manjana sekitar 324hp, kotak gear manual 5-kelajuan dan sistem agihan tork 45/55. Pecutan 0-100 ialah 5.5 saat dan untuk model VR-4, ia lebih laju; 4.8 saat.

8. Galant VR-4

Seterusnya ialah Galant VR-4, antara model Mitsubishi paling ikonik, juga terkenal di dunia rali. Kereta ini model pertama yang mendapat enjin ‘lejen’ 4G63T dengan sistem AWD dan juga four-wheel steering.

Galant VR4 dikira sedan yang agak canggih untuk zaman 80-an, pesaing terdekat dia Subaru Impreza.

9. Lancer Evo

Akhir sekali, tak lain tak bukan, Mitsubishi Lancer Evo. Ini kalau korang tak pernah dengar, tak tahu nak cakap apa lah.

Dengan latar belakang kejayaan rali, sedan high performance ini antara kereta all-wheel drive paling berjaya sepanjang masa.

Ada 10 generasi dan yang paling ikonik ialah Evo VI (atau dikenali sebagai Evo 6.5) Tommi Makinen Edition (TME). Ia dihasilkan untuk meraikan kejuaraan keempat Tommi Makinen dalam WRC.

Tapi tiada lagi produksi selepas Evo X yang terakhir. Pada 2016, satu Evo X Final Edition dikeluarkan sebagai ucapan selamat tinggal, berakhirnya satu legenda.

Mana satu dalam senarai ni yang paling ikonik bagi korang?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved