Mitsubishi Minicab EV 2027 diperkenalkan di Jepun dengan beberapa perubahan. Van ini mengingatkan kepada Proton Juara namun lebih canggih dengan kuasa elektrik.
Di antara ciri baharu seperti penambahan fungsi connected, sistem keselamatan yang dipertingkat serta beberapa perubahan pada kelengkapan dalaman.
Minicab EV menggabungkan prestasi alam sekitar dengan ciri praktikal sebagai kenderaan komersial ringan.
Ia direka untuk kegunaan seperti operasi penghantaran dan aktiviti jualan, selain menawarkan operasi yang senyap serta pemanduan elektrik yang lancar.
Minicab EV 2027 mula dijual di seluruh Jepun pada 17 September 2026.
Harga ditawarkan dari ¥2,541,000 (RM65,964) hingga ¥2,651,000 (RM68,820) termasuk cukai penggunaan 10 peratus.
Mitsubishi Minicab EV Dengan Fungsi Connected
Bagi kegunaan syarikat dan pengusaha perniagaan, Mitsubishi menawarkan unit komunikasi dalam kenderaan atau Telematics Control Unit (TCU) sebagai pilihan pengeluar.
TCU ini membolehkan Minicab EV menggunakan perkhidmatan sokongan operasi kenderaan yang terdiri daripada Dashboard Service untuk pengurus operasi dan MITSUBISHI CONNECT untuk pemandu.
Dashboard Service mengumpulkan serta menganalisis data seperti sejarah perjalanan, jarak perjalanan dan penggunaan tenaga.
Data operasi juga boleh diurus secara berpusat melalui pelayar web pada komputer bagi membantu pengurusan kenderaan.
Menerusi MITSUBISHI CONNECT pula, pengguna boleh mengawal beberapa fungsi dari jauh.
Antaranya termasuk tetapan pendingin hawa, kunci dan buka kunci pintu, pengurusan pengecasan termasuk tetapan pengecasan mengikut pemasa serta panggilan SOS.
Perkhidmatan ini memerlukan bayaran bulanan berasingan.
Sistem Keselamatan Mitsubishi e-Assist Dipertingkat
Mitsubishi turut meningkatkan fungsi keselamatan pencegahan Mitsubishi e-Assist pada Minicab EV.
Sistem brek mitigasi pelanggaran atau Forward Collision Mitigation System (FCM) kini diperluaskan untuk mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu malam.
Fungsi pencegahan salah operasi ketika bergerak ke hadapan pula turut boleh mengesan pejalan kaki yang tidak bergerak.
Minicab EV juga menerima sistem pengecaman tanda jalan atau Traffic Sign Recognition System (TSR).
Sistem ini boleh mengecam tanda berhenti dan tanda larangan masuk menggunakan kamera hadapan yang dipasang pada bahagian atas cermin depan.
Maklumat tanda jalan kemudiannya dipaparkan pada panel meter bagi memberi peringatan kepada pemandu.
Port USB Type-C Untuk Peranti Mudah Alih
Mitsubishi turut mengemas kini port pengecasan USB yang ditawarkan sebagai pilihan pengeluar.
Konfigurasi terdahulu menggunakan satu port Type-A dan satu Type-C.
Kini, ia ditukar kepada dua port Type-C bagi memenuhi penggunaan peranti mudah alih terkini yang semakin meluas.
Jarak Sehingga 180 km
Mitsubishi Minicab EV menggunakan sistem pacuan elektrik sepenuhnya dengan konfigurasi 2WD pacuan roda belakang.
Motor elektrik tunggal berkod YA1 menghasilkan kuasa maksimum 31 kW (42 PS) dan tork maksimum 195 Nm.
Motor tersebut mempunyai kuasa berkadar 25 kW.
Bateri jenis litium-ion berkapasiti 20.0 kWj dengan voltan 330V digunakan untuk membekalkan tenaga kepada motor elektrik.
Model ini turut mempunyai keupayaan pengecasan pantas DC.
Berdasarkan ukuran WLTC, Mitsubishi Minicab EV mempunyai jarak pemanduan sehingga 180 km untuk sekali cas.
Kadar penggunaan tenaga purata pula ialah 127 Wh/km, bersamaan kira-kira 7.87 km/kWj.
Pecahan penggunaan tenaga mengikut kitaran WLTC adalah:
- WLTC-L (bandar): 102 Wh/km
- WLTC-M (luar bandar): 119 Wh/km
- WLTC-H (lebuhraya): 142 Wh/km
Harga Mitsubishi Minicab EV 2027
Mitsubishi menawarkan Minicab EV dalam konfigurasi dua dan empat tempat duduk.
- CD 20.0kWj (2-tempat duduk): ¥2,541,000 (RM65,964)
- CD 20.0kWj + Pengecas Pantas (2-tempat duduk): ¥2,596,000 (RM67,392)
- CD 20.0kWj (4-tempat duduk): ¥2,596,000 (RM67,392)
- CD 20.0kWj + Pengecas Pantas (4-tempat duduk): ¥2,651,000 (RM68,820)
Harga tersebut tidak termasuk bayaran kitar semula, insurans, cukai selain cukai penggunaan serta kos berkaitan pendaftaran atau pengisytiharan kenderaan.
Minicab EV Layak Terima Subsidi Di Jepun
Mitsubishi Minicab EV merupakan antara kenderaan yang layak menerima skim subsidi kerajaan Jepun.
Bagi pembelian untuk kegunaan persendirian, model ini layak menerima subsidi sebanyak ¥574,000 (RM14,901) di bawah skim subsidi kenderaan tenaga bersih bagi tahun fiskal 2025.
Bagi kenderaan yang digunakan untuk tujuan perniagaan, terdapat juga skim subsidi berasingan berkaitan peralihan kepada struktur ekonomi rendah karbon.
Selain itu, skim subsidi yang ditawarkan kerajaan tempatan turut boleh digunakan bergantung kepada kawasan.
