Mitsubishi Pajero 2027: Nama ikonik lagenda kembali!
Inilah dia generasi baharu SUV off-road Mitsubishi Pajero 2027 setelah kali terakhir nama tersebut digunakan pada tahun 2021.
Bermula tahun 2027, Mitsubishi Pajero akan mula dijual di lebih 100 buah negara termasuklah ASEAN, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Produksi akan mengambil tempat di Thailand, Jepun dan juga Australia.
Dimensi
Dari segi ukuran, Pajero generasi baharu ini membawakan dimensi sepanjang 4,920 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,910 mm dengan jarak antara roda 2,870 mm.
Berbanding Pajero terdahulu, Pajero 2027 menawarkan kelebihan saiz yang lebih besar, serta ruang kabin yang lebih luas.
Jarak kelegaan tanah adalah setinggi 230 mm, diikuti sudut pendekatan 30.4°, sudut pelepasan 25.8° dan sudut breakover 22.6°.
Casis & Enjin
Pajero dibina berdasarkan kerangka ladder frame trak pikap Mitsubishi Triton.
Tetapan suspensi terdiri daripada sistem double-wishbone di hadapan dan tetapan five-link di bahagian belakang.
Talaannya pula diilhamkan daripada program kejuruteraan Rali Dakar Mitsubishi.
Pajero dipacu enjin 2.4 liter diesel dengan unit turbo tunggal VGT, dengan daya kilas mencecah sehingga 480 Nm atau 470 Nm untuk sesetengah varian.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada empat roda menerusi transmisi automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan empat roda 4WD.
Terdapat sistem kawalan Super-All Wheel Control (S-AWC), Active Yaw Control (AYC) dan tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand & Rock).
Luaran
Selari dengan perkembangan semasa, Mitsubishi Pajero membawakan penampilan yang bergaya, disumbangkan oleh reka badan berpetak serta fender berotot.
Selain itu, ia juga turut mendapat unit lampu LED berbentuk T depan dan belakang, struktur tiang C bertekstur, dan rekaan pintu tailgate yang mengingatkan kita kepada elemen Dynamic Shield.
Karakter Pajero diserlahkan dengan dua warna baharu iaitu Armor Copper Metallic dan Phantom Blue Metallic.
Kabin
Pajero menampilkan konfigurasi tiga baris yang boleh memuatkan 7 orang penumpang pada satu-satu masa.
Tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan kedudukan sehingga 150 mm dan mekanisme keluar masuk yang lebih mudah.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah skrin berkembar 14.3 inci dengan pilihan 16 visual grafik, paparan meter ikonik Pajero serta kawalan iklim 3-zon.
Tiga tolok ikonik itu tadi digunakan untuk memaparkan info altimeter, kompas, suhu, sudut condong badan dan kawalan AYC.
Panel instrumen dan trim pintu menggunakan bahan lembut dengan teknik jahitan yang diinspirasikan daripada kraftangan Jepun.
Aspek keselesaan kabin dipertingkatkan dengan penambahan penebat bunyi pada bahagian cermin depan, cermin pintu depan dan belakang.
Sistem audio Yamaha pula terdiri daripada 12-pembesar suara, dua amplifier dan sistem pembetulan bunyi automatik.
Keselamatan
SUV ini dilengkapi dengan lapan beg udara, kamera keliling 3D, sistem bantuan lebuh raya MI-PILOT, serta ciri-ciri seperti:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
- Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (FCM)
- Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELA)
- Amaran Ramalan Pelanggaran Hadapan (PFCW)
- Bantuan Pencegahan Salah Tekan Pedal (EAPM)
- Amaran Lintasan Kenderaan Hadapan (FCTA)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.










