Arkib Kategori: DUNIA

Mitsuoka M55 Zero Edition, jualan bermula 2025, 100 unit, harga dari RM234k

“Dodge Challenger” jadian yang anda sedang lihat dalam artikel ini akan mula dijual di pasaran Jepun bermula tahun 2025.

Hanya 100 unit sahaja yang akan diproduksikan, dan setiap satu dijual pada harga 8,085,000 yen (RM234 ribu).

Tapi, model apa ini sebenarnya?

Untuk makluman, ini ialah sebuah Mitsuoka M55 Zero Edition, versi produksi sebenar untuk model konsep M55 yang diperlihatkan pada tahun 2023 sebagai meraikan ulang tahun Mitsuoka yang ke-55.

Ia menggunakan asas sebuah Honda Civic FL1, dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 182 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 240 Nm @ 1,700-4,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan.


Buktinya anda boleh lihat sendiri pada struktur tingkap sisi di bahagian kiri dan kanan, manakala rekaan keseluruhan termasuklah muka depan dan belakang merupakan ciptaan Mitsuoka yang mengingatkan kita pada kereta muscle Dodge Challenger.

M55 Zero Edition didatangkan standard dengan tingkap air terjun, set roda aluminium, serta upholsteri kulit tulen lengkap dengan sulaman logo “Zero Edition”.

Jika anda perasan, susun atur papan pemuka M55 ini mengekalkan rekaan asal yang dipinjamkan daripada Honda Civic, cuma logo H pada stereng telah diubah kepada logo Mitsuoka.

Selain daripada model M55 yang agak aneh ini, Mitsuoka sebelum ini pernah tampil dengan beberapa model unik, seperti Viewt yang menggunakan asas Yaris, serta Himiko menggunakan asas Miata.

Lotus buat u-turn, batal perancangan jadi jenama EV

Keengganan pembeli kereta mewah untuk beralih kepada EV membuatkan Lotus terpaksa membatalkan perancangan asal untuk menjadi jenama EV sepenuhnya pada tahun 2028.

Perubahan tersebut disahkan oleh CEO Lotus, Feng Qingfeng ketika berdepan dengan para pengamal media di acara Guangzhou Motor Show baru-baru ini.

“Saya percaya kenderaan bahan api masih lagi mempunyai tempoh kitaran yang panjang”, sambil menyatakan kebanyakan pemandu Lotus memandu sejauh 30,000 km setahun secara purata.

Ini bermakna, jarak gerak adalah satu faktor penting buat pelanggan dan membuatkan sebahagian mereka tidak begitu tertarik untuk beralih kepada EV.

Menurut Qingfeng, masalah kebimbangan jarak bukanlah satu-satunya isu yang dibangkitkan.

“Kadar penembusan kenderaan elektrik tulen dalam segmen kereta mewah adalah perlahan disebabkan enjin kereta mewah sudah sedia berkuasa dan pengalaman pemanduan yang serupa dengan enjin lapan dan 12 silinder menunjukkan prestasi yang baik.

“Peningkatan kuasa yang ditawarkan tidak begitu ketara, membuatkan sesetengah pelanggan tidak begitu berminat untuk beralih,” ujarnya lagi.

Feng Qingfeng menjelaskan, Lotus akan membangunkan teknologi “Super Hybrid” yang menampilkan pengecasan ultra-pantas 900 voltan, serta enjin pembakaran dalaman dengan induksi paksaan turbo untuk menawarkan jarak gerak sejauh 1,094 km.

Lotus buat masa ini tidak mendedahkan model mana yang bakal menerima sistem hibrid baharu ini, namun besar kemungkinan ia lebih sesuai untuk dimuatkan pada model seperti Eletre dan Emeya, berbanding kereta sports seperti Emira.

BYD jadi pengeluar kenderaan pertama hasilkan 10 juta NEV

Sambutan ulang tahun ke-30 BYD menjadi lebih bermakna apabila syarikat itu mengeluarkan kenderaan tenaga baharu (NEV) ke-10 juta di kilang pengeluaran Xiaomo, Shenzhen.

Menurut BYD, pencapaian ini adalah bukti komitmennya terhadap pembangunan mampan. Syarikat itu berkata mereka merupakan pengeluar kenderaan pertama di dunia yang mencapai angka berkenaan.

BYD mengambil masa 15 tahun untuk menghasilkan lima juta unit pertama dan mencapai lima juta lagi masa 15 bulan, menunjukkan tumpuan strategik syarikat pada NEV dan kemajuan teknologi berterusan.

Kenderaan yang ke-10 juta itu adalah sebuah Denza Z9 milik Feng Ji, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Game Science, syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan permainan video Black Myth: Wukong.

Z9 ditawarkan dalam versi shooting brake (digelar sebagai GT) dan sedan, dengan pilihan trenkuasa PHEV atau EV. Versi PHEV menggabungkan enjin 2.0-liter empat silinder dan tiga motor elektrik untuk menghasilkan 870 PS.

Versi EV pula mempunyai 965 PS yang dibekalkan oleh tiga motor elektrik, serta bateri berkapasiti 100 kWj yang memberikan jarak pandu sekitar 630 km.

Berkenaan perancangan untuk masa depan, BYD berkata mereka akan membuat pelaburan bernilai 100 bilion yuan (RM62 bilion) dalam pembangunan teknologi pintar yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem automotif.

 

Ferrari mahu hidupkan semula F40 di bawah siri Icona

Jika sebelum ini Lamborghini mengambil langkah berani menghidupkan semula nama ikonik Countach, Ferrari juga mungkin akan menggunakan pendekatan yang sama menerusi model ikonik Prancing Horse: F40.

Menurut laporan daripada Top Gear memetik sumber “yang sangat dipercayai”, sebuah F40 versi moden mungkin akan dibangkitkan semula sebagai sebahagian daripada siri model Icona Ferrari.

Pada ketika ini, Ferrari sudah pun membina beberapa model Icona, iaitu Monza SP1, Monza SP2 serta Daytona SP3 yang dihasilkan dalam unit terhad.

Ferrari F40 merupakan supercar V8 yang dihasilkan dari tahun 1987 hingga 1992, dan merupakan model terakhir yang diiktiraf dan diluluskan oleh Enzo Ferrari.

Dengan rekaan yang dihasilkan oleh Pininfarina, F40 merupakan salah satu supercar dengan bentuk badan yang paling cantik untuk menghiasi dinding golongan petrolhead era tersebut.

Untuk mengekalkan tema F40, Ferrari mungkin akan menggunakan tetapan nadi V8 turbo berkembar hibrid daripada SF90 Stradale pada model Icona terbaharu tersebut.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada kemunculan semula F40 versi moden itu akan diterima dengan baik oleh peminatnya ataupun tidak.

Lihat saja tahap penerimaan terhadap Lamborghini Countach moden, di mana rekaan supercar itu dikritik keras dan tidak mendapat pengiktirafan daripada pereka asal Countach, Marcello Gandini.

Apa pendapat anda? Adakah wajar model ikonik ini diberikan nafas baharu seperti model pesaing Lamborghini Countach?

Gran Turismo 7 Update 1.54 ada sediakan jentera klasik F1 Mercedes!

Polyphony Digital selaku pembangun permainan simulasi Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.54 (bersaiz 32GB!) yang boleh dimuat turun awal oleh pengguna PlayStation 5, dan untuk semua pemain bermula 21 November 2024.

Kemaskini terbaharu ini membawakan lima kereta baharu untuk dimainkan, termasuklah sebuah jentera Formula Satu klasik tahun 1955, iaitu Mercedes-Benz W196 R.

Mengikut spesifikasi, W196 R dikuasakan oleh enjin lapan silinder sebaris bersesaran 2,496 cc dengan kuasa 257 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 247 Nm @ 6,300 rpm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.

Empat lagi kereta baharu yang bakal ditawarkan termasuklah Ford Escort RS Cosworth 1992 yang sangat sinonim dengan spoiler ekor ikan paus, Porsche Mission X 2023, Suzuki Jimny Sierra JC 2018 (lebih lebar berbanding keicar Jimny XC), dan Porsche 911 Turbo S 2020.

Selain itu, terdapat Extra Menu koleksi Ferrari yang ditambah pada menu Cafe, jenama rim baharu Rofiform, serta acara baharu seperti Jimny Cup (Grand Valley – South), Porsche Cup (Laguna Seca) dan Race of Turbo Sportscars (Panorama Circuit).

 

 

Ford Escort RS Cosworth 1992

Mercedes-Benz W196 R 1955

Porsche 911 Turbo S 2020

Porsche Mission X Concept 2023

Suzuki Jimny Sierra JC 2018

Hyundai Elantra N TCR Edition – dari litar lumba ke jalan raya

Dengan rekaan yang agresif serta ekzos yang mampu mengeluarkan bunyi ‘letup-letup’, Hyundai Elantra N sebenarnya sudah cukup menonjol walaupun dalam versi standard.

Namun mungkin kerana merasakan sedan berprestasi tinggi ini masih mempunyai potensi untuk dipertingkatkan, Hyundai telah memperkenalkan model edisi istimewa yang dikenali sebagai Elantra N TCR Edition.

Diinspirasikan daripada kereta lumba yang bertanding dalam kejohanan TCR World Tour, Elantra N TCR Edition tampil dengan beberapa penambahbaikan.

Sudah tentu, penambahan yang paling ketara di sini adalah spoiler jenis leher angsa (swan neck) yang diperbuat daripada karbon yang boleh dilaraskan untuk pelbagai kondisi pemanduan.

Tidak cukup dengan itu, Elantra N TCR Edition mendapat rim tempaan 19 inci yang lebih ringan berbanding rim standard. Tersembunyi di sebalik rim ini adalah sistem brek N Performance dengan angkup empat piston.

Entah apa sebabnya, livery TCR Edition berwarna biru, merah dan putih, dengan huruf ‘N’ bersaiz besar ini hanya ditawarkan untuk pasaran Korea Selatan.

Ruang dalaman pula menampilkan stereng yang dibalut Alcantara dengan penanda pukul 12 berwarna Performance Blue pada stereng, tali pinggang keledar berwarna Performance Blue dan lencana eksklusif TCR Edition.

Sayangnya, enjin tidak disentuh bermakna seperti versi standard, Elantra N TCR Edition mempunyai 280 PS dan 392 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder.

Elantra N ditawarkan dengan dua jenis transmisi iaitu automatik klac berkembar (DCT) lapan kelajuan dan transmisi manual. Gambar-gambar rasmi yang disiarkan oleh Hyundai menunjukkan versi DCT, namun tidak dapat dipastikan jika kereta ini juga boleh didapati dalam versi manual.

Elantra N TCR Edition akan dilancarkan di Korea Selatan pada Disember dan akan disusuli dengan pasaran global bermula tahun depan.

Lexus ES 2025 facelift muncul di Guangzhou Auto Show 2024

Dengan lebih satu juta unit terjual, Lexus ES masih lagi mempunyai peminat yang tersendiri di pasaran China.

Generasi ketujuh sedan mewah buatan Jepun itu kini telah dikemas kini untuk kali kedua selepas model facelift pertama dilancarkan pada tahun 2021.

Diperlihatkan secara rasmi di Guangzhou Auto Show 2024, Lexus ES membawakan perubahan bersifat kosmetik terutama pada bahagian muka depan dan belakang.

Unit lampu matriks LED telah disemak semula rekaannya, kini menampilkan grafik boomerang berkembar, sementara struktur jeriji spindle hadapan pula menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada model Lexus RX.

Beralih ke belakang, unit lampu LED turut dikemaskini dengan grafik huruf L berkembar diikuti dengan bar lampu melintang penuh yang menepati trend semasa.

Masuk ke dalam ruang kabin, Lexus ES kini mengguna pakai skrin infohibur sebesar 14 inci menggantikan skrin asal sebesar 12.3 inci, dan lengkap dengan dua tombol kawalan tetapan iklim dan media.

Tombol penukaran gear juga turut direka semula, diikuti dengan pilihan trim dan upholsteri baharu.

Lexus ES masih lagi mengekalkan penawaran enjin yang sama seperti model pra-facelift, di mana varian ES 200 hadir dengan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 170 hp.

Sementara varian ES 300h pula dijana dengan enjin 2.5 liter hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 215 hp.

Generasi ketujuh Lexus ES telah berada di pasaran sejak 2018 lagi, dan kehadiran model facelift kedua ini dilihat mampu menjadikan penawaran yang lebih malar segar untuk tempoh beberapa tahun lagi sebelum model generasi baharu muncul.

Terdapat ura-ura di mana Lexus bakal melancarkan sedan berkuasa elektrik sepenuh masa untuk model generasi baharu ES kelak.

Nissan N7 EV 2025 didedahkan, sedan elektrik khas untuk pasaran China

Seperti yang kita maklum, Nissan merupakan antara pihak terawal yang mempelopori kenderaan elektrik untuk pasaran massa.

Namun untuk bergantung sepenuhnya kepada jualan model Nissan Ariya dan LEAF yang sudah agak berusia itu mungkin akan membuatkan Nissan lebih ketinggalan jauh di belakang, terutama bila berdepan pesaing seperti BYD dan Tesla.

Baru-baru ini, syarikat kerjasama Dongfeng Nissan memperlihatkan sedan elektrik yang direka khusus untuk pasaran China, iaitu Nissan N7 EV.

Dibina menggunakan pelantar modular, sedan saiz pertengahan ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,930 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,487 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,915 mm.

Elemen rekaan V-motion masih lagi diterapkan pada N7, namun dengan pendekatan yang lebih moden.

Terdapat jalur LED yang melintang penuh terdiri daripada 710 unit LED, diikuti dengan struktur lampu utama berbentuk boomerang, manakala bahagian belakang pula menampilkan struktur lampu melintang terdiri daripada 882 unit OLED.

Reka bentuk Nissan N7 yang aerodinamik itu membolehkan ia mencapai angka pekali seretan (Cd) serendah 0.208, dibantu dengan rekaan pemegang pintu yang tertanam kemas.

Nissan N7 juga turut menampilkan binaan pintu tanpa kehadiran bingkai tingkap.

Biarpun tiada sebarang imej ruang kabin dibekalkan, Nissan mengesahkan kokpit N7 ini akan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8295P dengan storan 256GB dan memori 32GB.

Menerusi kerjasama dengan Momenta, Dongfeng Nissan akan melengkapkan N7 dengan sistem bantuan pemandu termaju yang dinamakan sebagai ‘Navigate on Autopilot’.

Kehadiran sedan elektrik N7 EV ini dijangka akan mengembalikan semula reputasi Nissan di pasaran China apabila ia mula dijual pada separuh pertama tahun 2025.

Perincian lanjut seperti spesifikasi serta jarak gerak sedan elektrik ini juga hanya akan diketahui menjelang pelancaran rasmi pada tahun hadapan.

Honda Passport 2026, SUV Honda paling lasak setakat ini

Honda bukanlah jenama pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang off-road namun syarikat itu berharap dapat mengubahnya dengan Passport generasi keempat baharu.

Seperti model-model generasi terdahulu, Passport hanya akan dijual di pasaran Amerika Utara. Untuk model tahun 2026, ia akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu RTL, TrailSport dan TrailSport Elite, dengan harga jualan bermula dari pertengahan $40,000 (RM178,708).

Setiap varian diberikan penampilan berbeza. RTL menampilkan trim dan gril berwarna hitam, spoiler bumbung dan skid plate perak pada bahagian depan. Ia memakai rim 18 inci dalam warna Shark Grey dan tayar all-season berukuran 265/60 R18.

TrailSport dan TrailSport Elite pula boleh dibezakan menerusi penampilan lebih rugged dan kelengkapan off-road seperti cangkuk tunda berwarna oren, skid plate keluli yang lebih tebal dan tayar all-terrain General Grabber dalam saiz 275/60 R18.

Jika dibandingkan dengan model generasi ketiga, Passport baharu mempunyai jarak roda yang lebih panjang (+2.75 inci) untuk pemanduan yang lebih selesa, serta track yang lebih lebar (+1.3 inci di depan, +1.5 inci di belakang) untuk prestasi lebih stabil di selekoh.

Apa yang menarik, terdapat kemasan hitam matte pada bahagian belakang yang membolehkan pemilik menyandarkan segala jenis barang tanpa perlu risau tentang calar atau kerosakan.

Untuk ruang dalaman, Honda berkata ia sedia untuk rutin harian atau pun aktiviti kembara hujung minggu. RTL didatangkan dengan upholsteri kulit, manakala varian-varian TrailSport mendapat upholsteri kulit sintetik yang mudah untuk dibersihkan.

Syarikat itu berkata Passport 2026 mempunyai ruang kargo terbesar dalam sejarah model itu, dengan ruang sebesar 83.5 kaki padu di belakang tempat duduk barisan pertama dan 44 kaki padu di belakang barisan kedua.

Ruang kargo juga lebih luas dan boleh memuatkan beg golf bersaiz penuh, stroller besar atau dua buah basikal (tayar depan dicabut) jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.

Dari segi kelengkapan, terdapat panel instrumen digital 10.2 inci dan skrin sentuh 12.3 inci (54% lebih besar berbanding sebelum ini) yang menawarkan sistem Google, serta Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Passport dikuasakan oleh enjin 3.5 liter V6 yang menghasilkan 285 hp dan 355 Nm, mewakili peningkatan kuasa sebanyak 5 hp. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan baharu yang ditala khas untuk Passport.

Selain itu, SUV ini juga mendapat sistem pemvektoran tork i-VTM4 generasi kedua yang boleh menampung 40% lebih kapasiti tork dan mempunyai tindak balas 30% lebih cepat. Ini memberikan tahap cengkaman yang optimum dalam semua senario pemanduan.

Turut dipertingkatkan adalah sistem suspensi, yang kini mempunyai lengan keluli dan knuckle besi tuang yang lebih kuat, serta topang MacPherson dan multilink baharu untuk pemanduan yang lebih meyakinkan. Nisbah stereng ditala semula untuk pengendalian yang lebih responsif.

Porsche akhiri produksi 911 Dakar, unit terakhir dihiasi liveri istimewa tiga tona

Ada dua berita kurang baik untuk para peminat Porsche 911 Dakar.

Pertama, kesemua 2,500 unit telah pun habis terjual dan mempunyai pemilik masing-masing.

Kedua, unit terakhir telah pun selesai diproduksikan.

Ya, unit yang anda lihat ini merupakan Porsche 911 Dakar yang ke-2,500, dilayangkan dengan liveri kustom tiga tona seperti yang diminta oleh pemiliknya dari Itali.

Liveri istimewa ini dihasilkan oleh divisyen Sonderwunsch Porsche, dengan tiga warna berasingan iaitu Signal Yellow, Gentian Blue Metallic dan Lampedusa Blue yang dinamakan bersempena satu pulau Mediterranean.

Rim Porsche 911 Dakar ini diwarnakan dengan Signal Yellow, diikuti dengan aksen Lampedusa Blue pada bibir rim.

Malah, aksen Lampedusa Blue juga turut dipadankan pada unit lampu utama LED jentera ini.

Untuk ruang kabin, ia dikuasai dengan aksen dan jahitan warna Signal Yellow pada konsol tengah, papan pemuka dan panel pintu, diikuti dengan logo 911 Dakar pada tempat duduk dan kemasan warna serupa pada tombol gear.

Tiada sebarang perubahan kuasa, bermakna 911 Dakar ini masih lagi kekal dengan enjin bentangan rata enam silinder 3.0 liter turbo berkuasa 475 hp yang dipadankan dengan kotak gear PDK lapan nisbah kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Geely mahu satukan jenama Lynk & Co, Zeekr

Gergasi automotif China, Geely dilapor akan menyatukan operasi jenama Lynk & Co dan Zeekr, menurut laporan daripada Economic Daily.

Langkah penyatuan tersebut dibuat supaya Geely dapat menumpukan sumbernya pada pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) yang sedang berkembang pantas, selain mengurangkan persaingan dalaman sesama sendiri.

Jenama Lynk & Co ditubuhkan oleh Geely dan Volvo sebagai satu jenama premium yang disasarkan kepada golongan pengguna muda.

Ia pernah menjadi salah satu jenama kereta China yang paling berjaya dengan mencecah jualan satu juta unit dalam masa enam tahun.

Sayang sekali, jenama Lynk & Co pada ketika ini hanya mempunyai satu sahaja model BEV, iaitu Z10 yang baharu sahaja dilancarkan tahun ini, berbanding Zeekr yang sudah melancarkan enam model EV sejak tahun 2021.

Bermula November 2024, Zeekr menguasai 51 peratus pegangan di dalam Lynk & Co, manakala selebihnya dipegang oleh Geely Auto.

Proton Saga LHD mula dipasang di Mesir Disember ini

Proton dijangka akan memulakan proses pemasangan kenderaan (CKD) di Mesir pada Disember ini menerusi pembukaan kilang di Kaherah, Mesir.

Perasmian kilang CKD tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bersempena dengan lawatan rasminya ke negara itu.

Terletak di Al Oula Industrial Park, Giza, fasiliti yang dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) bernilai US$35 juta ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit dan mampu menyediakan 400 peluang pekerjaan.

Perasmian kilang CKD tersebut merupakan susulan daripada penghantaran pertama unit CKD ke Mesir pada 9 September yang lalu.

Unit pertama Proton Saga versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dijangka akan meluncur keluar dari barisan produksi pada bulan Disember ini dengan sasaran pengeluaran 1,400 unit untuk tahun 2024.

Angka tersebut akan meningkat kepada 5,000 unit pada tahun 2025, dengan unjuran pengeluaran sebanyak 16,000 unit Saga CKD versi LHD untuk tempoh sehingga tiga tahun sehingga akhir tahun 2026 dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Selain pasaran domestik Mesir, Proton juga akan mengeksport model kenderaan ke negara-negara di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Proton juga merancang untuk menjadikan Mesir sebagai salah satu hab terpenting pengeluar itu di rantau tersebut.

Rekaan sedan bandar Honda Amaze 2025 didedahkan, pelancaran rasmi bulan depan

Faktor kekangan saiz menyebabkan tidak banyak model sedan segmen A dalam pasaran global mempunyai reka bentuk yang cantik dan seimbang.

Honda nampaknya cuba untuk memecahkan pandangan skeptikal tersebut menerusi imej rekaan Amaze 2025 generasi ketiga serba baharu.

Secara asasnya, Honda Amaze 2025 merupakan sebuah sedan bandar berukuran panjang bawah empat meter dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 4 Disember ini.

Ia menggandingkan rekaan hadapan yang diinspirasikan daripada SUV HR-V, diikuti bahagian belakang daripada sedan City, sementara ruang kabin pula membawakan susun atur yang lebih ringkas seakan kabin Civic.

Ruang kabin Amaze ini berkemungkinan besar menggunakan kelengkapan yang sama digunakan pada Honda Elevate, dengan skrin sentuh 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin hawa digital serta corong angin berbentuk segi empat.

Honda Amaze dijangka mengekalkan penggunaan enjin empat silinder sebaris 1.2 liter berkuasa 90 PS dan 110 Nm, atau pilihan enjin diesel i-DTEC 1.5 liter berkuasa 100 PS dan 200 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual atau CVT.

Apabila dilancarkan secara rasmi kelak, Honda Amaze 2025 bakal bersaing dengan Maruti Suzuki Dzire, Hyundai Aura serta Tata Tigor.

Enjin baharu Mazda Skyactiv-Z bakal ganti Skyactiv-G, Skyactiv-X, muncul tahun 2027

Selain berusaha untuk menghasilkan kembali nadi rotari yang selama ini menjadi identiti jenama, Mazda juga mahu menambah baik penawaran enjin pembakaran dalaman sedia ada.

Menurut satu laporan kewangan yang dibentangkan baru-baru ini, Mazda mendedahkan projek pembangunan enjin empat silinder baharu Skyactiv-Z bagi menggantikan peranan enjin Skyactiv-G dan Skyactiv-X.

Hasil daripada input pembangunan enjin empat silinder Skyactiv-Z ini akan digunakan untuk pembangunan unit enjin enam silinder sebaris akan datang.

Enjin baharu ini akan menggunakan kaedah pembakaran lambda (λ) satu (lambda one combustion method), di mana ia mewakili nisbah udara dan bahan api yang seimbang dicapai semasa proses pembakaran.

Dalam senario ini, enjin Skyactiv-Z mampu menjanjikan kecekapan operasi, prestasi yang cemerlang, dan dalam masa yang sama meminimumkan pencemaran.

Mazda mahu memperkenalkan enjin Skyactiv-Z ini di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat menjelang tahun 2027, sekaligus beransur-ansur menghentikan penggunaan enjin Skyactiv-G dan Skyactiv-X sedia ada.

Selain daripada enjin empat silinder sebaris, Mazda juga serius untuk mengekalkan enjin rotari yang telah menjadi identiti jenama itu.

Jika anda masih ingat, awal tahun yang lalu Mazda telah menubuhkan satu pasukan khas yang akan bertanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap enjin rotari.

Pasukan yang terdiri daripada 36 orang jurutera itu akan terus mengembangkan kegunaan enjin rotari bukan sahaja sebagai unit penambah jarak, malah boleh disesuaikan dengan penggunaan bahan api neutral karbon (CNF) supaya dapat memenuhi regulasi di pasaran utama dunia.

Kereta sports enjin rotari berkembar sedang dipertimbangkan – Mazda

Rosenbauer Panther 6×6 Electric, trak bomba sifar emisi untuk lapangan terbang

Syarikat pengeluar kenderaan bomba dan penyelamat dari Austria, Rosenbauer memperlihatkan model baharu yang direka khas untuk operasi di lapangan terbang, iaitu Panther 6×6 Electric.

Ia dikategorikan sebagai kenderaan penyelamat dan pemadam kebakaran pesawat (ARFF) dan merupakan versi sifar emisi kepada Panther 6×6 diesel.

Biarpun menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik, Panther 6×6 Electric ini masih lagi membawakan keupayaan yang sama seperti model diesel, dilengkapi dengan tangki air 12,000 liter, tangki buih 1,450 liter dan tangki serbuk 250 kg.

Untuk menggerakkan trak seberat 40 tan ini, Panther 6×6 Electric dijana oleh empat motor elektrik berkuasa 980 hp (atau setinggi 1,200 hp menggunakan mod boost).

Pecutan 0-80 km/j boleh dicapai dalam tempoh 19.7 saat sahaja sebelum mencapai kelajuan maksimum 120 km/j

Pek bateri berkapasiti 256 kWh pula mampu membenarkan jumlah tenaga yang mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas di dalam kawasan lapangan terbang.

Pengecasan pantas DC 300 kW membolehkan bateri dicas dari sifar ke 100 peratus dalam tempoh 45 minit sahaja.

Menurut Rosenbauer, lebih daripada 90 peratus operasi harian Panther boleh dikendalikan menggunakan kuasa elektrik semata-mata.

Terdapat sistem tenaga sandaran menggunakan enjin diesel untuk menampung kuasa yang diperlukan oleh pam berprestasi tinggi semasa melakukan tugas-tugas kecemasan.

Dengan adanya alternatif trak sifar emisi ini, ia sudah pasti akan menjadi pilihan di kalangan pengendali lapangan terbang dan industri aviasi dalam usaha untuk mencapai misi nyahkarbon.

 

SAH: Kereta sports Mazda Iconic SP akan diproduksikan, kekal dengan enjin rotari?

Setelah setahun berlalu, Mazda akhirnya mengumumkan perancangan untuk menghasilkan model konsep Iconic SP menjadi sebuah model produksi yang sebenar.

Menurut ketua unit rekaan Mazda, Masashi Nakayama berkata, “konsep ini bukanlah sekadar kereta pameran yang kosong, ia telah direka dengan niat yang sebenar untuk mengubahnya menjadi model produksi tidak lama lagi.

Sebelum ini, terdapat beberapa bayangan di mana Mazda mahu merealisasikan projek tersebut.

Petunjuk pertama muncul ketika acara Japan Mobility Show 2023, di mana presiden dan CEO Mazda Masahiro Moro menyifatkan Iconic SP sebagai mercu tanda “komitmen masa depan” jenama itu.

Beberapa bulan kemudian, Mazda dilapor menyertai pakatan yang ditubuhkan oleh Mazda untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yang dapat mencapai sasaran neutral karbon, di mana pengeluar itu komited untuk mengekalkan enjin rotari ikonik mereka.

Sebagai pengganti kepada kereta sports RX-7 dan RX-8, kereta konsep Mazda Iconic SP dilengkapi dengan enjin rotari rotor berkembar yang dipadankan dengan unit rangkaian kuasa elektrik (EV), dan output keseluruhan mampu mencecah 365 hp.

Mazda mendakwa unit enjin rotari penambah jarak itu boleh menggunakan apa jua bahan api neutral karbon yang mampu mengurangkan penghasilan emisi sehingga 90 peratus.

Selain daripada itu, Mazda juga kini sedang menguji teknologi yang dapat memerangkap CO2 daripada emisi ekzos, di mana ia mungkin memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan masa depan pengeluar itu.

 

Enjin rotari generasi baharu

 

Mazda Iconic SP Concept @ Japan Mobility Show 2023

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Mazda Iconic SP bawa semula enjin rotary, lampu pop-up!

Brabus Big Boy 1200, inilah rumah mewah bergerak yang sebenar!

Inginkan sebuah rumah bergerak yang serba lengkap dan mewah?

Anda mungkin sekali memerlukan sebuah Brabus Big Boy 1200, sebuah motorhome atau RV tiga gandar yang dibangun menerusi kerjasama dengan STX Motorhomes.

Dibina berdasarkan pelantar Mercedes Actros, RV sepanjang 12 meter, lebar 2.5 meter dan tinggi 4 meter ini mampu menyediakan kemudahan seperti bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan ruang dapur, lengkap dengan tangki air bersih dan kotor yang cukup besar.

Terdapat juga sepasang TV 4K bersaiz 43 inci, konsol permainan PS5, dan sistem audio premium yang mampu menemani sepanjang kembara.

Tidak cukup dengan saiz yang tersedia?

Pihak STX turut memasang sehingga empat modul berkuasa elektrik yang boleh diluncurkan keluar untuk ruang untuk berehat atau bekerja yang lebih luas dan selesa, lengkap dengan jek hidraulik untuk memastikan kestabilan struktur.

Kemudahan bermalam yang disediakan termasuklah katil kelamin, dua sofa dan tambahan katil tunggal yang boleh ditarik turun pada bahagian belakang kokpit.

Ruang dapur pula menyediakan pelbagai perkakasan moden termasuklah tungku memasak, ketuhar, peti sejuk beku, mesin kopi dan mesin pembasuh pinggan mangkuk.

Aspek ketersambungan bukanlah masalah besar kerana Brabus Big Boy 1200 ini dilengkapi dengan piring satelit Starlink dan penghala Wi-Fi.

Selain itu, Brabus turut memasang sehingga lapan panel solar, pek bateri dan unit penjana kuasa untuk memastikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk tempoh masa di luar grid yang lebih lama.

Untuk menggerakkan motorhome tiga gandar ini, Brabus Big Boy 1200 dikuasakan oleh enjin diesel turbo 12.8 liter menghasilkan 523 hp dan 2,600 Nm, di mana kelajuan dihadkan kepada 90 km/j sahaja.

Harga untuk satu unit Brabus Big Boy 1200 bermula dari €1,260,504.20 (RM6 juta).

Toyota ‘dedah’ barisan kereta sports baharu dalam siri anime GRIP

Selain daripada siri animasi Jepun “Initial D” dan “MF Ghost” yang memaparkan watak utama memandu sebuah kereta berjenama Toyota, terdapat juga siri animasi yang dihasilkan secara rasmi oleh pengeluar tersebut.

Siri anime “GRIP” yang boleh ditonton secara halal di saluran YouTube kini sudah pun masuk musim kedua dan ia mempunyai telur Easter yang mampu menggembirakan hati para peminatnya.

Dikongsikan dalam laman forum Supra MKV, telur Easter tersebut muncul pada papan contengan dalam satu babak di mana terdapat senarai kereta sports GR yang mungkin akan muncul kelak, iaitu Supra Mk6, Celica Mk8, MR2 Mk4, GR86 Mk3 dan GR GT3.

Jika anda perasan, nama GR Yaris dan GR Corolla langsung tidak tercatat dalam senarai tersebut, diikuti dengan GR Starlet yang digembar-gemburkan sebagai alternatif mampu milik kepada model hatchback GR Yaris.

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Toyota Gazoo Racing akan menghidupkan semula beberapa nama ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah sukan permotoran jenama itu.

Celica dijangka akan muncul sebagai sebuah coupe pacuan semua roda dengan enjin 2.0L turbo 400 hp, manakala MR2 pula berkemungkinan besar hadir sebagai kereta sports berenjin tengah berdasarkan model konsep FT-Se.

Selain daripada GR86 dan GR Supra yang muncul dalam generasi baharu, terdapat juga GR GT3/Lexus LFR yang mungkin sekali dikuasakan oleh nadi V8.

Sumber gambar: Best Car Web JP

Toyota juga mahu menghasilkan sebuah lagi model pantas GR Starlet yang diposisikan sebagai pelengkap kepada barisan hot hatch sedia ada (GR Yaris, GR Corolla).

Tidak seperti dua model dengan sistem pacuan GR-Four, GR Starlet akan menggunakan enjin tiga silinder sebaris berkuasa sekitar 150 hp dan 220 Nm untuk memacu roda hadapan sahaja.

 

Honda Super Cub 50 Final Edition, selamat jalan motosikal ikonik mampu milik!

Honda sebelum ini mengesahkan pengeluaran model Super Cub 50 cc akan ditamatkan kerana pelaksanaan peraturan emisi yang lebih ketat.

Sebagai satu cara untuk mengucapkan selamat jalan kepada motosikal mampu milik itu, Honda melancarkan Super Cub 50 Final Edition dengan membawakan warna klasik putih dan Bonnie Blue yang diinspirasikan daripada warna asal Super Cub.

Super Cub 50 Final Edition itu turut mempunyai pelana tunggal dua tona, emblem khas “Honda 50 Final Edition”, kluster instrumen klasik, rak belakang serta kunci rekaan istimewa.

Untuk pasaran Jepun, Super Cub 50 didatangkan dengan enjin 49 cc berkuasa 3.6 hp dan 3.8 Nm.

Produksi bagi model Final Edition ini akan dihadkan kepada 2,000 unit sahaja, setiap satu berharga ¥270,000 (RM7,743).

 

Di Jepun, motosikal bersesaran 50 cc merupakan antara tunjang utama sistem pengangkutan di Jepun semasa ledakan ekonomi pasca perang.

Disebabkan harga yang mampu milik dan jimat bahan api, ia juga merupakan antara pilihan yang popular di kalangan golongan pekerja dan pelajar.

Selain faktor undang-undang emisi yang semakin ketat, populariti e-bike dan skuter elektrik yang semakin meningkat turut menyumbang kepada penurunan angka jualan motosikal sesaran kecil ini.

 

Honda sahkan model Super Cub takkan hilang di dunia