Lotus buat u-turn, batal perancangan jadi jenama EV


Keengganan pembeli kereta mewah untuk beralih kepada EV membuatkan Lotus terpaksa membatalkan perancangan asal untuk menjadi jenama EV sepenuhnya pada tahun 2028.
Perubahan tersebut disahkan oleh CEO Lotus, Feng Qingfeng ketika berdepan dengan para pengamal media di acara Guangzhou Motor Show baru-baru ini.
“Saya percaya kenderaan bahan api masih lagi mempunyai tempoh kitaran yang panjang”, sambil menyatakan kebanyakan pemandu Lotus memandu sejauh 30,000 km setahun secara purata.
Ini bermakna, jarak gerak adalah satu faktor penting buat pelanggan dan membuatkan sebahagian mereka tidak begitu tertarik untuk beralih kepada EV.
Menurut Qingfeng, masalah kebimbangan jarak bukanlah satu-satunya isu yang dibangkitkan.
“Kadar penembusan kenderaan elektrik tulen dalam segmen kereta mewah adalah perlahan disebabkan enjin kereta mewah sudah sedia berkuasa dan pengalaman pemanduan yang serupa dengan enjin lapan dan 12 silinder menunjukkan prestasi yang baik.
“Peningkatan kuasa yang ditawarkan tidak begitu ketara, membuatkan sesetengah pelanggan tidak begitu berminat untuk beralih,” ujarnya lagi.
Feng Qingfeng menjelaskan, Lotus akan membangunkan teknologi “Super Hybrid” yang menampilkan pengecasan ultra-pantas 900 voltan, serta enjin pembakaran dalaman dengan induksi paksaan turbo untuk menawarkan jarak gerak sejauh 1,094 km.
Lotus buat masa ini tidak mendedahkan model mana yang bakal menerima sistem hibrid baharu ini, namun besar kemungkinan ia lebih sesuai untuk dimuatkan pada model seperti Eletre dan Emeya, berbanding kereta sports seperti Emira.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.