fbpx

Enjin baharu Mazda Skyactiv-Z bakal ganti Skyactiv-G, Skyactiv-X, muncul tahun 2027

Skyactiv-X

Selain berusaha untuk menghasilkan kembali nadi rotari yang selama ini menjadi identiti jenama, Mazda juga mahu menambah baik penawaran enjin pembakaran dalaman sedia ada.

Menurut satu laporan kewangan yang dibentangkan baru-baru ini, Mazda mendedahkan projek pembangunan enjin empat silinder baharu Skyactiv-Z bagi menggantikan peranan enjin Skyactiv-G dan Skyactiv-X.

Hasil daripada input pembangunan enjin empat silinder Skyactiv-Z ini akan digunakan untuk pembangunan unit enjin enam silinder sebaris akan datang.

Enjin baharu ini akan menggunakan kaedah pembakaran lambda (λ) satu (lambda one combustion method), di mana ia mewakili nisbah udara dan bahan api yang seimbang dicapai semasa proses pembakaran.

Dalam senario ini, enjin Skyactiv-Z mampu menjanjikan kecekapan operasi, prestasi yang cemerlang, dan dalam masa yang sama meminimumkan pencemaran.

Mazda mahu memperkenalkan enjin Skyactiv-Z ini di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat menjelang tahun 2027, sekaligus beransur-ansur menghentikan penggunaan enjin Skyactiv-G dan Skyactiv-X sedia ada.

Selain daripada enjin empat silinder sebaris, Mazda juga serius untuk mengekalkan enjin rotari yang telah menjadi identiti jenama itu.

Jika anda masih ingat, awal tahun yang lalu Mazda telah menubuhkan satu pasukan khas yang akan bertanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap enjin rotari.

Pasukan yang terdiri daripada 36 orang jurutera itu akan terus mengembangkan kegunaan enjin rotari bukan sahaja sebagai unit penambah jarak, malah boleh disesuaikan dengan penggunaan bahan api neutral karbon (CNF) supaya dapat memenuhi regulasi di pasaran utama dunia.

Kereta sports enjin rotari berkembar sedang dipertimbangkan – Mazda

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved