Rekaan sedan bandar Honda Amaze 2025 didedahkan, pelancaran rasmi bulan depan


Faktor kekangan saiz menyebabkan tidak banyak model sedan segmen A dalam pasaran global mempunyai reka bentuk yang cantik dan seimbang.
Honda nampaknya cuba untuk memecahkan pandangan skeptikal tersebut menerusi imej rekaan Amaze 2025 generasi ketiga serba baharu.
Secara asasnya, Honda Amaze 2025 merupakan sebuah sedan bandar berukuran panjang bawah empat meter dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 4 Disember ini.
Ia menggandingkan rekaan hadapan yang diinspirasikan daripada SUV HR-V, diikuti bahagian belakang daripada sedan City, sementara ruang kabin pula membawakan susun atur yang lebih ringkas seakan kabin Civic.
Ruang kabin Amaze ini berkemungkinan besar menggunakan kelengkapan yang sama digunakan pada Honda Elevate, dengan skrin sentuh 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin hawa digital serta corong angin berbentuk segi empat.
Honda Amaze dijangka mengekalkan penggunaan enjin empat silinder sebaris 1.2 liter berkuasa 90 PS dan 110 Nm, atau pilihan enjin diesel i-DTEC 1.5 liter berkuasa 100 PS dan 200 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual atau CVT.
Apabila dilancarkan secara rasmi kelak, Honda Amaze 2025 bakal bersaing dengan Maruti Suzuki Dzire, Hyundai Aura serta Tata Tigor.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.