Nissan N7 EV 2025 didedahkan, sedan elektrik khas untuk pasaran China
Seperti yang kita maklum, Nissan merupakan antara pihak terawal yang mempelopori kenderaan elektrik untuk pasaran massa.
Namun untuk bergantung sepenuhnya kepada jualan model Nissan Ariya dan LEAF yang sudah agak berusia itu mungkin akan membuatkan Nissan lebih ketinggalan jauh di belakang, terutama bila berdepan pesaing seperti BYD dan Tesla.
Baru-baru ini, syarikat kerjasama Dongfeng Nissan memperlihatkan sedan elektrik yang direka khusus untuk pasaran China, iaitu Nissan N7 EV.
Dibina menggunakan pelantar modular, sedan saiz pertengahan ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,930 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,487 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,915 mm.
Elemen rekaan V-motion masih lagi diterapkan pada N7, namun dengan pendekatan yang lebih moden.
Terdapat jalur LED yang melintang penuh terdiri daripada 710 unit LED, diikuti dengan struktur lampu utama berbentuk boomerang, manakala bahagian belakang pula menampilkan struktur lampu melintang terdiri daripada 882 unit OLED.
Reka bentuk Nissan N7 yang aerodinamik itu membolehkan ia mencapai angka pekali seretan (Cd) serendah 0.208, dibantu dengan rekaan pemegang pintu yang tertanam kemas.
Nissan N7 juga turut menampilkan binaan pintu tanpa kehadiran bingkai tingkap.
Biarpun tiada sebarang imej ruang kabin dibekalkan, Nissan mengesahkan kokpit N7 ini akan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8295P dengan storan 256GB dan memori 32GB.
Menerusi kerjasama dengan Momenta, Dongfeng Nissan akan melengkapkan N7 dengan sistem bantuan pemandu termaju yang dinamakan sebagai ‘Navigate on Autopilot’.
Kehadiran sedan elektrik N7 EV ini dijangka akan mengembalikan semula reputasi Nissan di pasaran China apabila ia mula dijual pada separuh pertama tahun 2025.
Perincian lanjut seperti spesifikasi serta jarak gerak sedan elektrik ini juga hanya akan diketahui menjelang pelancaran rasmi pada tahun hadapan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.