Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Auto ConneXion-Ford anjur CSR salur bantuan kepada golongan yang memerlukan

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan.

Dalam kempen selama 11 hari, seramai lebih 600 penerima bantuan termasuklah keluarga B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf fakir dan miskin serta masyarakat Orang Asli menerima bantuan berbentuk makanan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.

Bantuan yang diberikan adalah seperti berikut:
·      Lembah Klang: 200 penerima (Kumpulan B40, Asnaf, dan OKU di Pangsapuri Putra Ria & Abdullah Hukum).
·      Pulau Pinang: 100 penerima (Komuniti B40 dan Asnaf di George Town & Jalan Patani).
·      Ipoh: 150 penerima (Ibu tunggal, kumpulan B40, dan Asnaf di Sungai Rokam).
·      Kuantan: 150 penerima (masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Bungor, Gambang).

Teras kepada kempen tempatan ini ialah penggunaan Klinik Bergerak Ford yang dilancarkan pada Februari tahun ini.

Dalam usaha sama melibatkan Auto ConneXion-Ford, Yayasan Sime Darby, Ford Philantrophy dan MyFundAction, Klinik Bergerak Ford menempatkan tenaga profesional penjagaan kesihatan ke empat lokasi tersebut untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di kawasan luar bandar.

Aktiviti di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada Bulan Keprihatinan Global Ford, iaitu program sukarelawan global tahunan di bawah inisiatif Ford Philantrophy.

Usaha tempatan ini menyumbang kepada penganjuran Kempen Derma Makanan Pengedar Automotif Terbesar Dunia di bawah inisiatif Membina Bersama Ford melibatkan lebih 1,600 pengedar Ford di 31 buah negara.

Program ini berjaya mengumpulkan lebih 907,000 kg bekalan makanan, melebihi sasaran asal sebanyak 500,000 kg.

Auto ConneXion-Ford sebelum ini pernah melaksanakan bantuan kemasyarakatan seperti Projek Air Bersih di Gerik dan Operasi Dunia Lebih Baik di Kuala Lumpur.

Suzuki Fronx Hybrid rasmi di Malaysia – harga RM147,888

Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan SUV terbaharu Suzuki Fronx Hybrid untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM147,888.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Fronx Hybrid membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,995 mm, lebar 1,765 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,520 mm.

Ia turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, dengan ruang kargo sebesar 308 liter.

 

2. Enjin

Fronx dikuasakan oleh enjin hibrid ringan 1.5 liter (kod K15C) dengan kuasa 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

Dengan tangki bahan api sebesar 37 liter, Suzuki Fronx Hybrid ini mampu bergerak sejauh 700 km (data WLTP).

 

3. Suspensi & brek

Sistem gantungan Fronx terdiri daripada topang MacPherson di depan, dibantu dengan tetapan torsion beam di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera berliang pada gandar depan, diikuti dengan brek gelendong di belakang.

 

4. Kelengkapan luaran

Secara standard, Fronx Hybrid mendapat kelengkapan seperti rel bumbung, rim 16 inci, lampu utama LED berserta lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED, skid plate pada bahagian depan, sisi dan belakang, visor pintu, serta kemasan krom pada jeriji depan.

 

5. Dalaman

Untuk ruang kabin, terdapat tempat duduk balutan fabrik/kulit, roda stereng kuasa elektrik (EPS) tiga jejari, paddle shifter, skrin infohibur sebesar 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin paparan head-up, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Fronx Hybrid turut menyertakan ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran keluar lorong (LDW), pengelakan keluar lorong (LDP), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan penukaran lorong (LCA), bantuan suluhan tinggi (HBA) dan sistem kamera keliling 360 darjah.

Terdapat beberapa warna ditawarkan termasuklah Magma Gray, Pearl Snow White, Cool Black, Pearl Mellow Deep Red serta tiga warna dua tona iaitu Rising Orang/Cool Black, Ice Grayish Blue/Cool Black dan Savanna Ivory/Cool Black.

Setelah 10 tahun, jenama Alfa Romeo kembali ke Malaysia

Setelah lebih 10 tahun, jenama Alfa Romeo membuat kemunculan semula di pasaran Malaysia.

Jenama tersebut kini dikendalikan oleh DLSB Partners Sdn Bhd, sebuah pengedar bebas yang dibantu oleh ahli Atlantis Motor Group dengan fokus untuk menawarkan sokongan jangka panjang serta kepuasan pemilik demi memperkukuh kehadiran serta warisan jenama ini di seluruh negara.

Kepulangan semula Alfa Romeo ke pasaran Malaysia turut diserikan dengan kehadiran dua model paling signifikan dalam era moden – iaitu Giulia Veloce dan Stelvio Veloce.

Berikut merupakan spesifikasi ringkas bagi kedua-dua model tersebut:

 

Alfa Romeo Giulia Veloce

  • Enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo
  • Kuasa 280 hp dan daya kilas 400 Nm
  • Transmisi automatik lapan nisbah kelajuan
  • Sistem pacuan roda belakang
  • Pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat
  • Kelajuan maksimum 240 km/j
  • Sistem suspensi Alfa™ Link
  • Nisbah agihan berat hampir 50:50
  • Aci pemacu gentian karbon
  • Pembeza gelincir terhad Q2
  • Skrin paparan TFT 12.3 inci
  • Tempat duduk sport
  • Roda stereng tiga jejari balutan kulit
  • Kemasan aluminium

 

Alfa Romeo Stelvio Veloce

  • Enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo
  • Kuasa 280 hp dan daya kilas 400 Nm
  • Transmisi automatik 8 nisbah kelajuan
  • Sistem pacuan semua roda Q4
  • Nisbah agihan berat badan 50:50
  • Sistem suspensi Alfa™ Link
  • Tempat duduk sport balutan kulit
  • Kemasan aluminium
  • Ruang kargo fleksibel

Dalam masa yang sama, Alfa Romeo Malaysia mengumumkan pembukaan Pusat 3S premium terbaharu ‘Casa Alfa Romeo’ yang terletak di Rhapsody Square, TREC Kuala Lumpur.

Sebagai hab komuniti Alfisti, pelanggan boleh meneroka dan memandu uji model terbaharu, serta menghantar kenderaan untuk diservis.

Alfa Romeo Malaysia turut memperkenalkan set keistimewaan pemilikan eksklusif berupa:

  • La Bella Vita – acara gaya hidup di dalam dan luar negara
  • Speed Dating – pengalaman litar yang unik
  • Alfa Concierge – layanan peribadi untuk pemilik baharu

Sebagai penghargaan kepada pemilik Alfa Romeo sedia ada, Alfa Romeo Malaysia memperkenalkan program Famiglia Alfa Romeo yang menawarkan sokongan profesional merangkumi juruteknik bertauliah, alat ganti tulen dan bantuan tepi jalan tanpa mengira model moden atau klasik.

TGR Asia Esports 2025: Chong Kai Chang raih kedudukan ketiga, Malaysia nombor dua!

Pelumba Malaysia, Chong Kai Chang berjaya meraih kedudukan ketiga dalam kejohanan Toyota Gazoo Racing (TGR) Asia Esports GT 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya hujung minggu yang lalu.

Kejohanan tersebut menyaksikan pertempuran sengit antara lima belas pelumba sim dari negara Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan juga Malaysia (diwakili oleh Taj Aiman, Iqbal Suji, & Chong Kai Chang) menerusi platform Gran Turismo 7.

Dalam kategori individu, pelumba Indonesia Andika Rama menduduki tangga teratas podium dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 74 poin, diikuti rakan senegaranya Moreno Pratama (62 poin).

Chong Kai Chang mencatatkan mata terkumpul sebanyak 59 poin.

Dengan dua orang pemandu menguasai podium, Indonesia mencatatkan mata terkumpul 169 poin dalam kategori negara, diikuti Malaysia (151 poin) dan Singapura (93 poin).

Tiga individu dan pasukan teratas masing-masing membawa pulang hadiah tunai bernilai USD 8,000 (RM33,176), USD 4,500 (RM18,662) dan USD 3,000 (RM12,441).

Anugerah khas juga turut diberikan sebagai pengiktirafan ke atas prestasi luar biasa seperti berikut:

  • Driver of the Day: Andika Rama (Indonesia)
  • Best Racecraft Driver: Chong Kai Chang (Malaysia)
  • Fastest Race Pace: Fadtris Isa (Singapura)

Perlumbaan akhir mengambil tempat di tiga lokasi, iaitu Litar Suzuka (Jepun) menggunakan jentera GR Yaris, diikuti Litar Interlagos (Brazil) dengan jentera GR010 Hybrid, dan akhir sekali di Litar Watkins Glen (Amerika Syarikat) menggunakan jentera GR Supra.

Rakaman kejohanan TGR Asia Esports GT 2025 boleh ditonton semula menerusi pautan di bawah:

Moto Morini X-Cape 1200 2026 sah masuk Malaysia – harga RM49,888

Moto Morini Malaysia turut mengumumkan sebuah lagi jentera adventure sesaran tinggi yang bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi, iaitu X-Cape 1200.

Harga jualan diumumkan bermula dari RM49,888.

Jentera ini mendapat enjin bentangan V2 87 darjah Corsa Corta Evo sesaran 1,187 cc, menghasilkan kuasa setinggi 129 hp @ 8,75 rpm dan daya kilas 106 Nm @ 7,000 rpm.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 220 km/j.

Terdapat lima mod tunggangan disediakan seperti All-Terrain, Off Road, Road, Sport dan Wet.

Ia turut mendapat kelengkapan seperti sistem suspensi KYB boleh laras sepenuhnya terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal, diikuti dengan sistem brek Brembo M4.32 dan balutan tayar Pirelli pada rim saiz 19 inci depan/17 inci belakang.

Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT dengan fungsi navigasi terbina, skrin penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta fungsi pemanas untuk pelana dan grip bar hendal.

Ciri keselamatan pula termasuklah penderia unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS) dengan tiga tahap larasan, kawalan jelajah, radar pengesan titik buta, kamera perakam tunggangan serta penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 24.5 liter sementara tinggi pelana pula 840 mm.

Moto Morini X-Cape 700 2026 rasmi – harga dari RM33,888

Moto Morini Malaysia turut mengumumkan kehadiran model baharu X-Cape 700 untuk pasaran Malaysia, dijangka tiba pada Januari 2026.

Harga jualan dianggarkan bermula dari RM33,888.

Jentera adventure ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 693 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 68 Nm @ 6,500 rpm.

Terdapat dua mod disediakan iaitu Road dan Off-Road.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan KYB jenis terbalik (USD) boleh laras (jarak pergerakan 175 mm), diikuti penyerap hentak tunggal KYB boleh laras di bahagian belakang.

Brek pula menggunakan unit Brembo yang terdiri daripada angkup dua omboh dan rotor berkembar 298 mm di depan, dibantu dengan angkup dua omboh dan rotor 255 mm di belakang.

Antara ciri yang disertakan termasuklah skrin paparan TFT 7-inci, skrin penghadang angin boleh laras, pelindung bar hendal, pemanas grip dan pelana, serta port pengecasan USB Type-A & Type C.

Ciri keselamatan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS), kamera perakam tunggangan serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 18 liter, sementara tinggi pelana boleh didapati dalam versi 820 mm atau 845 mm.

Moto Morini Alltrhike 450 2026 sah masuk Malaysia – dari RM28,888

Moto Morini Malaysia mengumumkan model adventure baharu Alltrhike 450 2026 yang dijangka tiba di Malaysia pada bulan Januari 2026.

Harga jualan dianggarkan bermula dari RM28,888.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 449 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 44.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik KYB boleh laras, dibantu dengan penyerap hentak tunggal KYB di belakang.

Brek pula menggunakan sistem brek J.Juan terdiri daripada angkup empat omboh dengan rotor 320 mm di depan, diikuti angkup dua omboh dan rotor 255 mm di belakang.

Ciri lain termasuklah skrin paparan TFT 6 inci, sistem navigasi terbina, penghadang angin boleh laras, serta port pengecasan USB Type-A & Type-C.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah ABS dua-saluran, serta kawalan cengkaman (TCS).

ARIIC XGobi 250 2026 bakal mendarat di Malaysia – harga anggaran RM14,388

Sebuah lagi skuter sesaran 250 cc jenama ARIIC bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun depan, iaitu ARIIC XGobi 250.

Skuter kembara ini berkongsi nadi silinder tunggal 249 cc yang sama dengan Touch 250, namun hadir dengan tangki bahan api 12.5 liter dan kadar penggunaan bahan api sekitar 2.9 liter/100 km.

Secara fizikalnya, XGobi 250 dilengkapi dengan beberapa ciri dan penampilan yang lebih lasak.

Antaranya ialah padanan crash bar secara standard, fork hadapan jenis terbalik (USD), skrin penghadang angin larasan manual, serta rim lidi aloi aluminium.

Ciri lain yang tersedia termasuklah unit lampu LED, sistem permulaan tanpa kunci, sistem brek cakera depan belakang, serta skrin paparan TFT saiz 7-inci.

Aspek keselamatan pula terdiri daripada ciri seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS), serta kamera perakam tunggangan (depan).

Sama seperti ARIIC Touch 250, ARIIC XGobi 250 juga bakal memasuki pasaran Malaysia selewat-lewatnya Mei 2026, dengan harga anggaran RM14,388.

ARIIC Touch 250 2026 bakal tiba di Malaysia – harga anggaran RM13,888

Mforce Bike Holdings mengumumkan model skuter baharu segmen 250 cc yang bakal memasuki pasaran Malaysia kelak, iaitu ARIIC Touch 250.

Skuter maxi ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc menghasilkan kuasa 22.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 23.5 Nm @ 5,000 rpm.

Dengan tangki bahan api 11 liter, Touch 250 boleh bergerak sejauh 370 km dengan kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 3.0L/100 km.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan (jarak pergerakan roda 80 mm) serta penyerap hentak berkembar di belakang, sementara brek pula menggunakan rotor saiz 260 mm di depan dan 220 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, penghadang angin larasan elektrik, sistem permulaan tanpa kunci, skrin paparan TFT 6.75 inci dengan sokongan Bluetooth dan navigasi, mod tunggangan, serta pelana setinggi 760 mm.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan juga kamera perakam tunggangan (depan).

Skuter ini dijangka masuk pasaran Malaysia selewat-lewatnya Mei 2026 dengan harga anggaran RM13,888.

Unit prototaip ARIIC 400GS diperlihatkan – bakal masuk Malaysia tahun depan

Bertempat di Jinlang Motorcycle Culture Week di Taizhou, China, ARIIC memperlihatkan unit prototaip skuter kembara 400GS yang turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia tahun depan.

Dari segi kuasa, 400GS dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 396 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 33.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 38.3 Nm @ 5,500 rpm.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 3.62 liter/100 km.

Tidak banyak perincian didedahkan buat masa ini, cuma yang pasti 400GS ini hadir dengan sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (HSCT), skrin panel instrumen LCD penuh, serta skrin penghadang angin boleh laras empat-tahap.

Pihak Mforce Bike Holdings turut mengesahkan skuter ini bakal dipasarkan di Malaysia, dengan pelancaran rasmi dirancang pada acara Mforce Motorshow yang berlangsung bulan Mei 2026.

QJMotor SRK921 sah masuk Malaysia – harga akan diumumkan Mei 2026

Selain skuter dan sportsbike, QJMotor Malaysia turut memperlihatkan sebuah jentera naked segmen 1,000 cc yang bakal masuk Malaysia tahun hadapan, iaitu QJMotor SRK921 2026.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 921 cc sejukan udara/minyak dengan kuasa 129 PS dan daya kilas 80 Nm.

Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Beginner, Standard dan Sport.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak gas tunggal di belakang, peredam stereng Marzocchi, angkup brek empat omboh Brembo di depan serta angkup dua omboh di belakang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, kawalan pendikit ride-by-wire, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS), kawalan jelajah, penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah, serta kamera perakam tunggangan secara standard.

Mforce Bike Holdings akan mengumumkan harga jualan rasmi SRK921 ini semasa Mforce Bike Show 2026 yang akan berlangsung pada Mei tahun hadapan, dijangka 30 peratus lebih murah berbanding model pesaing dalam pasaran.

QJMotor SRK 450 RR 2026 rasmi – harga serendah RM25,888 sahaja

Sebuah lagi jentera ’empat dapur’ dilancarkan oleh QJMotor Malaysia, iaitu sportsbike SRK 450 RR dengan harga jualan yang agak murah – serendah RM25,888 sahaja.

Menurut Mforce, jentera ini disasarkan untuk golongan pengguna motosikal bersesaran rendah yang mahu naik taraf kepada motosikal bersesaran lebih tinggi pada harga yang lebih mampu beli.

Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 421 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 77.6 hp @ 14,000 rpm dan daya kilas 39 Nm @ 13,000 rpm, dengan dua mod tunggangan tersedia iaitu Standard dan Sport.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik (USD) Marzocchi, penyerap hentak tunggal di belakang, serta sistem brek Brembo dengan tetapan dua cakera di depan.

 

Ciri lain termasuklah sistem ambilan udara RAM Air, skrin paparan TFT saiz 7 inci, tangki bahan api 16.5 liter, tinggi pelana 795 mm, serta rim saiz 17 inci.

SRK 450 RR turut dilengkapi ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, dan kawalan cengkaman (TCS).

QJMotor SRK 250 RD 2026 rasmi di Malaysia – harga RM21,888

Selain skuter kembara, QJMotor Malaysia turut membawakan model sportsbike SRK 250 RD untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM21,888.

Ia membawakan enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menjana 40 hp @ 15,500 rpm dan daya kilas 22 Nm @ 12,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban di belakang, serta sistem brek Brembo depan dan belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, sistem ambilan udara RAM, skrin paparan TFT tujuh inci, tangki bahan api berkapasiti 16.5 liter, pengecas peranti pintar 18W, tinggi pelana 795 mm, rim 17 inci serta winglet aerodinamik.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), kamera perakam tunggangan depan dan belakang, dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

QJMotor ATX 250 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM12,988

QJMotor Malaysia mengumumkan model skuter terbaharu ATX 250 yang bakal tiba di pasaran Malaysia menjelang Januari 2026.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc menghasilkan 25.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Varian standard mendapat kelengkapan seperti fork hadapan konvensional, skrin penghadang angin boleh laras manual, rim aloi, crash bar, lampu LED, serta skrin paparan TFT saiz lima inci.

Varian ATX 250X pula mempunyai ciri eksklusif seperti fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak berkembar gas di belakang, rim lidi saiz 14 inci depan/13 inci belakang, serta kotak storan di belakang.

Ciri keselamatan termasuklah sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Harga jualan bermula dari RM12,988 untuk versi standard, dan RM13,988 untuk varian ATX 250X.

Morbidelli T502X 2026 rasmi – harga dari RM28,888

Morbidelli Malaysia melancarkan sebuah lagi motosikal jenis adventure sesaran pertengahan, iaitu Morbidelli T502X 2026.

T502X ini dilengkapi dengan enjin parallel-twin 486 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 45 Nm @ 6,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 43 mm (jarak pergerakan 180 mm), diikuti penyerap hentak tunggal Pro-Link dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 69 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup dua omboh J.Juan dengan rotor berkembar saiz 300 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT tujuh inci menegak, dua mod tunggangan, sokongan Bluetooth dan navigasi, suis bar hendal yang bercahaya dan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

T502X turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistm pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana 840 mm.

Morbidelli T502X bakal tiba di pasaran Malaysia dengan harga jualan dari RM28,888.

Morbidelli T252X 2026 turut diumumkan untuk pasaran Malaysia – harga RM16,888

Sebuah lagi jentera kembara 250 cc dilancarkan oleh Morbidelli Malaysia, iaitu Morbidelli T252X 2026.

Tidak seperti T250X, T252X ini hadir dengan tetapan enjin parallel-twin 249.5 cc yang mampu menghasilkan 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Casis jenis kerangka perimeter itu disokong oleh suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm (jarak pergerakan 160 mm), serta penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 300 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Morbidelli T252X ini membawakan ciri seperti unit lampu LED, skrin paparan TFT saiz tujuh inci menegak, tiga mod tunggangan (Normal, Sport, Off-Road), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Ciri keselamatan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 820 mm.

Morbidelli T252X dijual pada harga bermula dari RM16,888 dan dijangka akan mula diedarkan seawal bulan hadapan.

Morbidelli T250X 2026 bakal tiba di Malaysia – harga dari RM9,888

Morbidelli Malaysia mengumumkan kehadiran model adventure mesra lesen B2, iaitu Morbidelli T250X 2026.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan udara dengan kuasa 24.4 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 22.3 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 41 mm di depan (jarak pergerakan 177 mm), serta penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 55 mm).

Brek pula menggunakan angkup dua omboh di bahagian depan dan belakang, dengan rotor saiz 265 mm di depan dan 220 mm di belakang.

Antara ciri yang hadir pada jentera ini termasuklah skrin paparan menegak jenis LCD tujuh inci, butang kawalan bar hendal bercahaya, port pengecasan USB Type-A, lampu LED depan dan belakang, pelindung bar hendal serta skrin penghadang angin.

Aspek tunggangan dibantu dengan ciri keselamatan ABS dua-saluran serta kawalan cengkaman (TCS).

Untuk pasaran Malaysia, Morbidelli T250X ini dijual pada harga bermula dari RM9,888 untuk versi standard, serta dari RM11,288 untuk versi yang lengkap dengan kotak storan.

Morbidelli F252 rasmi di Malaysia – harga RM14,888

Segmen motosikal naked 250 cc di Malaysia dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, iaitu Morbidelli F252.

Jentera gaya streetfighter ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.5 cc DOHC dengan janaan kuasa 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21.0 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 41 mm di depan (jarak pergerakan 120 mm), serta penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang (jarak pergerakan 122 mm).

Brek pula menggunakan angkup empat omboh dan rotor terapung saiz 300 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT lima inci, tiga mod tunggangan (Normal, Sport & Expert), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua-saluran, serta sistem kawalan cengkaman (TCS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 15 liter sementara tinggi pelana 790 mm.

Morbidelli F252 disahkan masuk pasaran Malaysia menjelang Disember ini dengan harga jualan RM14,888.

Keeway RKR250 2026 – harga dari RM13,888, bakal masuk Malaysia

Sebuah lagi model baharu diumumkan oleh pihak Keeway Malaysia, iaitu sportsbike Keeway RKR250.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.3 cc DOHC dengan hamburan kuasa 31.5 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 9,500 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac slipper.

Kerangka jenis diamond itu disokong oleh suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 40 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.

Brek pula menggunakan angkup empat omboh dengan rotor 320 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor saiz 240 mm di belakang.

RKR250 menawarkan tangki bahan api berkapasiti 12 liter, tinggi pelana 770 mm, sistem pencahayaan LED, suis bar hendal bercahaya serta skrin paparan TFT lima inci.

Ciri keselamatan yang disertakan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Keeway RKR250 dijual pada harga RM13,888 dan dijangka akan tiba di Malaysia dalam masa terdekat.

Keeway BX 200i diumumkan untuk pasaran Malaysia – harga dari RM7,988

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pelancaran skuter terbaharu untuk pasaran tempatan, iaitu Keeway BX 200i.

Skuter ini dijana oleh enjin silinder tunggal 174 cc sejukan cecair dengan kuasa 18.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 17.2 Nm @ 6,500 rpm.

Kotak gear pula adalah jenis automatik CVT.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik (jarak pergerakan 75 mm) dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang (jarak pergerakan 65 mm).

Brek pula menggunakan angkup dua omboh dengan rotor 220 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm di belakang.

Ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL, skrin paparan LCD berwarna, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta ciri keselamatan ABS dua-saluran.

Keeway BX200i akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan harga jualan dari RM7,988 hingga RM8,288 untuk versi Special Edition.