Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Ford Ranger Raptor Sport tiba di Malaysia – harga dari RM273,888

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia mengumumkan pelancaran trak pikap Ford Ranger Raptor Sport 3.0 serba baharu.

Dijual pada harga bermula dari RM273,888, Ford Ranger Raptor Sport dikuasakan oleh enjin EcoBoost V6 3.0 liter turbo berkembar dengan kuasa 397 PS @ 5,650 rpm dan daya kilas 583 Nm @ 3,500 rpm.

Sama seperti Ranger Raptor yang terdahulu, varian Sport ini turut dilengkapi sistem suspensi adaptif Fox dengan penyerap hentak Live Valve Internal Bypass 2.5 inci dan sistem Bottom-Out Control.

Selain itu, terdapat penambahan rekaan decal Raptor khas pada bahagian sisi, Sport Hoop baharu, serta rim gaya beadlock saiz 17 inci yang direka untuk pemanduan off-road.

Terdapat dua warna ditawarkan iaitu Arctic White dan Meteor Grey.

Setiap pembelian Ranger Raptor Sport dilindungi jaminan pengeluar lima-tahun, serta pakej servis percuma dua-tahun.

Pelanggan juga akan diberikan beg penyejuk eksklusif “Live The Ranger Life” sebagai cenderamata penghantaran.

Baca: Ford Ranger Raptor 2022 
Baca: Ford Ranger Raptor 2023 versi diesel

smart #5 rasmi di Malaysia – dua varian, dari RM199,800

PRO-NET selaku pengedar sah kenderaan jenama smart di Malaysia selesai melancarkan sebuah lagi SUV elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu smart #5.

Terdapat dua varian yang ditawarkan, dimulakan dengan varian Premium yang dilengkapi motor elektrik tunggal dan sistem pacuan roda belakang (RWD).

Dengan kuasa 358 hp dan daya kilas 373 Nm, #5 Premium boleh memecut sepantas 6.5 saat dari 0-100 km/j.

Pek bateri 100 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 590 km mengikut data WLTP, selain menyokong pengecasan AC 22 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 400 kW (10-80 peratus SoC dalam 15 minit).

Sementara varian Brabus pula dikuasakan oleh dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang mampu menghamburkan 637 hp dan 710 Nm.

Versi Brabus boleh memecut sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, dan boleh dipandu sejauh 540 km.

Secara standard, smart #5 mendapat kelengkapan seperti:

  • ruang kargo sebesar 1,530 liter serta ruang frunk 72 liter
  • skrin paparan OLED berkembar 13 inci
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 25.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • sistem audio Sennheiser dengan 20 pembesar suara dan teknologi Dolby Atmos
  • upholsteri kulit Nappa
  • kemasan kayu oak
  • bumbung kaca panorama sebesar 1.7 meter persegi
  • peti pendingin terbina dalam ruang simpanan konsol tengah

Varian Brabus pula mendapat ciri tambahan seperti Launch Mode, kemasan upholsteri mikrofiber Dinamica, angkup brek merah, rim Brabus Monoblock Z 21 inci serta talan suspensi sport.

Ciri keselamatan termasuklah struktur casis keluli berkekuatan tinggi dengan ketegaran sehingga 42,000 Nm, tujuh beg udara, Highway Pilot Assist (HWA) dengan fungsi Stop & Go, serta sistem kamera 360 darjah.

Harga jualan smart #5 bermula dari RM199,800 untuk varian Premium, dan mencecah sehingga RM249,800 untuk varian Brabus.

Varian Premium ditawarkan dalam empat warna iaitu Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby, dan Saturn Beige Matte, semuanya dilengkapi dengan bumbung berwarna Eclipse Black.

Varian BRABUS pula menampilkan tiga kemasan eksklusif iaitu Atom Grey Matte, Meta Black, dan Digital White, bersama kemasan bumbung bewarna Eclipse Black.

smart Malaysia turut menawarkan konsep Pemilikan Premium Menyeluruh merangkumi perkara berikut:

  • Jaminan Bateri Bervoltan Tinggi selama 8 Tahun / 200,000km
  • Jaminan Komponen Bervoltan Tinggi selama 8 Tahun / 150,000km
  • Jaminan Kenderaan 4 Tahun tanpa had perbatuan
  • Jaminan Alat Ganti 2 Tahun tanpa had perbatuan
  • Khidmat Bantuan Tepi Jalan 24 jam
  • Pengecas Wallbox percuma bernilai RM3,200
  • Penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM800
  • Pakej Aksesori percuma dengan 6 item bernilai RM2,000
  • Data Internet percuma 3 Tahun, 3GB/bulan (108GB)

Aveta Vanguard 250 SE dapat warna baharu Twilight Blue – harga kekal dari RM16,388

Aveta Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu Twilight Blue untuk skuter maxi Vanguard 250 varian SE sebagai pelengkap kepada warna Majestic Green dan Titanium Grey sedia ada.

Selain warna baharu, Aveta Malaysia turut mengesahkan Vanguard 250 versi Standard tidak lagi ditawarkan secara rasmi.

Vanguard 250 ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal 244.2 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm, serta dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Bosch.

Merujuk kepada spesifikasi yang diumumkan sebelum ini, Vanguard 250 SE hadir dengan kelengkapan seperti fork teleskopik 37 mm, penyerap hentak berkembar gas di belakang, angkup brek empat omboh di depan dan dua omboh di belakang, diikuti dengan padanan rim 15 inci depan dan 14 inci belakang.

Ciri lain termasuklah kamera perakam tunggangan, skrin paparan TFT tujuh inci, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem brek ABS dua saluran, serta kawalan cengkaman (TCS).

Harga jualan kekal tidak berubah, bermula dari RM16,388 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Dalam perkembangan terbaharu, Aveta Malaysia telah diiktiraf oleh syarikat TARO Motor (pengeluar China) sebagai Rakan Jualan Terbaik Global atas kejayaan mencatatkan prestasi jualan luar biasa bagi model Vanguard 250.

Pencapaian ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran dalam jaringan global TARO.

BYD Sime Motors lancar siri jelajah BYD Tech Discovery di Malaysia, 14-16 Nov di Plaza Arkadia

BYD Malaysia bersama-sama BYD Sime Motors melancarkan siri jelajah teknologi EV yang digelar sebagai BYD Tech Discovery, bermula di Kuala Lumpur pada 14-16 November ini.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk para pengunjung.

Antaranya ialah Zon Pandu Uji & Pandu Percubaan yang menyediakan cabaran Camel Bridge & Cross-Axle yang digerakkan oleh teknologi DMO, serta aksi pusingan 360 darjah & Crabwalk menggunakan Denza Z9GT.

Selain itu, pengunjung berpeluang untuk menimba ilmu tentang teknologi teras Bateri Blade, sistem pengecasan pintar dan ciri keselamatan canggih sambil menikmati hidangan kopi percuma dan mendapatkan barangan eksklusif BYD.

Turut disediakan promosi istimewa untuk model-model terpilih seperti:

  • Penjimatan sehingga RM20,000 dan peluang cabutan bertuah sehingga RM38,888 untuk tempahan model BYD M6, BYD Atto 3 Ultra atau BYD Sealion 7
  • Tawaran trade-in termasuk rebat sehingga RM11,000 untuk BYD Atto 2 dan BYD Seal
  • Rebat RM15,000 atau pembiayaan tanpa faedah untuk Denza D9

Bertempat di Car Park 3 Plaza Arkadia, Desa ParkCity, BYD Tech Discovery ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Enam perkara yang perlu anda tahu tentang trak pikap BYD Shark 6

Bersempena dengan penganjuran acara BYD Tech Discovery 2025 di Plaza Arkadia (14-16 November ini), BYD Sime Motors mengambil kesempatan untuk mempertontonkan trak pikap Shark 6 buat kali pertama.

BYD menggunakan model ini untuk mempamerkan teknologi Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid kepada umum.

Uunit yang dipamerkan ini merupakan unit pemanduan sebelah kanan (RHD), memberikan petanda ia mungkin sekali akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang BYD Shark 6:

 

1. Platform

Trak pikap ini menggunakan binaan casis body-on-frame, berkongsi platform yang sama dengan model SUV Fangchengbao Bao 5 (atau Leopard 5).

Untuk info, SUV Bao 5 pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024.

 

2. Enjin

Shark 6 bukanlah sebuah trak pikap berkuasa elektrik, akan tetapi trak pikap dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).

Sistem DMO Super Hybrid itu terdiri daripada:

  • enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (181 hp/260 Nm)
  • dua motor elektrik
  • pek bateri LFP 29.58 kWh

Kuasa keseluruhan mencecah 430 hp dan 650 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan kelajuan maksimum cuma 160 km/j.

 

3. Jarak gerak

Untuk pemanduan sifar emisi, BYD Shark 6 menawarkan jarak sehingga 100 km.

Namun, bila digandingkan dengan tangki bahan api sebesar 59 liter, Shark 6 boleh bergerak sejauh 840 km mengikut data NEDC.

 

4. Pengecasan

Pek bateri LFP itu tadi menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 55 kW.

Dengan keupayaan tersebut, bateri boleh dicas sepantas 25 minit dari 30-80 peratus SoC.

Shark 6 turut menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 6.6 kW.

 

5. Dimensi

Dari segi saiz, BYD Shark 6 membawakan ukuran sepanjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm, tinggi 1,925 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,260 mm.

Dengan bantuan tetapan suspensi bebas double wishbone di belakang, BYD Shark 6 mempunyai jarak kelegaan tanah 230 mm.

Sudut pendekatan adalah pada 31 darjah, sementara sudut pelepasan pula 19 darjah.

Ruang kargo belakang boleh menampung kapasiti 1,450 liter dengan had muatan 835 kg.

 

6. Kelengkapan

Berdasarkan unit RHD yang dipamerkan ini, antara kelengkapan yang boleh dilihat pada bahagian luar termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, rim aloi 18 inci, kehadiran port pengecasan pada bahagian kanan, serta soket V2L.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta skrin paparan head-up.

Kedai dalam talian GIVI Point Malaysia rasmi dilancarkan, harga promosi serendah RM130

Givi Asia Sdn Bhd mengumumkan pelancaran platform membeli-belah dalam talian rasminya, GIVI Point Malaysia.

Platform ini memudahkan golongan penunggang motosikal di Malaysia untuk mendapatkan barangan serta aksesori tulen GIVI seperti helmet, beg, baju hujan, kotak storan dan sebagainya dengan cara yang lebih selamat dan lancar.

Bersempena dengan pelancaran tersebut, GIVI Asia turut menawarkan promosi masa terhad kepada pelanggan, sah dari 13 November 2025 (jam 11.00 AM) hingga 14 November 2025 (jam 11.59 PM) merangkumi:

  • penghantaran percuma (Semenanjung Malaysia)
  • diskaun 10 peratus untuk semua produk dengan kod baucar WELCOME10
  • lima barangan GIVI terpilih bernilai RM130 sahaja

 

Menurut Aaron On selaku Penolong Pengarah Urusan GIVI Asia Sdn Bhd, “Melalui GIVI Point Malaysia, kami berhasrat untuk membawa produk kami dengan lebih dekat kepada penunggang motosikal sambil mempertingkatkan pengalaman membeli belah dalam talian mereka.

“Ini menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan GIVI untuk terus berkembang mengikut keperluan pelanggan kami,” ujarnya lagi.

GIVI Point Malaysia boleh dilayari menerusi alamat https://point.givi.com.my/

Volvo Malaysia perkenal semula jaminan sepanjang hayat untuk alat ganti tulen

Volvo Car Malaysia memperkenalkan semula inisiatif jaminan selepas jualan yang pertama dalam industri di bawah nama Program Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo.

Program ini menawarkan jaminan seumur hidup tanpa caj tambahan untuk alat ganti Volvo yang dipasang di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara.

Program ini direka khas untuk pelanggan yang kenderaan Volvonya telah tamat tempoh jaminan standard, menegaskan komitmen berterusan Volvo terhadap kualiti produk, kepuasan pelanggan, serta pengurangan kos pemilikan jangka panjang dengan alat ganti yang dijamin “Untuk Sepanjang Hayat”.

Berbeza dengan jaminan standard yang datang bersama pembelian kereta baharu, Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo menawarkan perlindungan seumur hidup termasuk kos buruh untuk semua alat ganti Volvo yang dipasang oleh pengedar sah di luar tempoh jaminan pengeluar asal.

Semua alat ganti Volvo dilindungi di bawah jaminan lanjutan ini, kecuali alat ganti jualan borong, pembelian di-atas kaunter, barangan guna habis, bateri, aksesori, serta komponen yang tertakluk kepada haus dan lusuh.

Alat ganti yang dilindungi di bawah program ini boleh diganti semula tanpa had, tertakluk kepada pengecualian yang telah ditetapkan.

Jaminan lanjutan ini turut meliputi Alat Ganti Volvo yang dibaik pulih (remanufactured parts) yang dijual dan dipasang melalui pengedar sah Volvo.

Ia juga terpakai bagi alat ganti yang diganti oleh bengkel sah Volvo di negara lain yang mengambil bahagian dalam program ini, sekiranya kerosakan berlaku ketika kenderaan berada di sana.

Jika alat ganti yang rosak dan dilindungi di bawah program ini menyebabkan kerosakan pada alat ganti lain yang turut layak menerima perlindungan, alat ganti tersebut juga akan digantikan secara percuma.

Untuk layak menerima perlindungan ini, alat ganti mesti dibeli dan dipasang pada atau selepas 1 Oktober 2021 di pengedar sah Volvo, dengan invois sah sebagai bukti pemasangan.

Jaminan seumur hidup ini tidak boleh dipindah milik dan hanya sah untuk satu pemilik, termasuk bagi kenderaan milik syarikat atau fleet. Pelanggan juga perlu memastikan kenderaan diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang disyorkan oleh Volvo.

Kenderaan yang tidak dihantar ke bengkel sah Volvo selama lebih dua tahun selepas tamat jaminan standard perlu menjalani pemeriksaan kesihatan kenderaan atas kos pemilik bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai.

Kesahan program Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo tertakluk kepada penyelenggaraan berterusan di rangkaian servis sah Volvo.

Untuk menyemak sama ada alat ganti Volvo anda layak di bawah program ini, sila kunjungi pengedar sah Volvo terdekat.

Maklumat lanjut boleh didapati di: https://www.volvocars.com/my/l/volvo-genuine-parts-extended-warranty/.

 

BMW M 1000 R Competition rasmi di Malaysia – harga dari RM219,500

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu berprestasi tinggi BMW M 1000 R Competition sebagai pelengkap kepada penawaran model M 1000 RR Competition yang telah dilancarkan sebelum ini.

Jentera Hyper Naked ini dikuasakan oleh empat silinder sebaris 999 cc menghasilkan 210 hp @ 13,750 rpm dan daya kilas 113 Nm @ 11,000 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 250 km/j, dalam masa yang sama masih mematuhi piawaian emisi Euro 5+.

Aspek kawalan tunggangan dibantu dengan sistem pendikit jenis short-stroke, Dynamic Traction Control (DTC), pilihan mod tunggangan Riding Modes Pro (Rain, Road, Dynamic, Race, dan 3 mod Race Pro), kawalan jelajah, serta Gear Shift Assistant Pro.

Antara ciri standard yang dibekalkan termasuklah kit casis M, bateri ringan M, brek M, ekzos titanium M, pelana, serta skrin paparan lengkap dengan animasi permulaan M.

Jentera ini ditawarkan dalam varian eksklusif M Competition dengan warna Blackstorm metallic M Motorsport yang turut mendapat pakej penuh M Competition merangkumi:

  • M Carbon Package
  • M Carbon Wheels
  • M Carbon Winglets
  • M Endurance Chain
  • M Passenger Kit
  • M GPS-Laptrigger

 

BMW M 1000 R Competition ini dijual pada harga bermula dari RM219,500 lengkap dengan pakej jaminan tiga-tahun dan bantuan tepi jalan 3-tahun, tanpa insurans.

Dengan pakej pembiayaan BMW Group Financial Services Malaysia, jentera ini boleh didapati pada harga ansuran bulanan RM3,068 berdasarkan pinjaman 90 peratus dan tempoh tujuh-tahun.

Royal Enfield Hunter 350 versi kemas kini rasmi dilancarkan – harga dari RM21,900

Royal Enfield Malaysia mengumumkan kehadiran model roadster mampu milik Hunter 350 yang telah dikemas kini untuk pasaran Malaysia.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara/minyak dengan hamburan kuasa 20.2 hp @ 6,100 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi lima-kelajuan dan bantuan klac Assist & Slipper.

Kerangka jenis twin downtube spine itu disokong dengan suspensi fork depan teleskopik 41 mm di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar yang menawarkan larasan pra-beban 6-tahap.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup dua omboh dan rotor 300 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor saiz 270 mm di belakang. Sistem ABS dua saluran turut dibekalkan.

Hunter 350 mendapat ciri moden seperti unit pencahayaan LED, paparan meter digital-analog lengkap dengan bantuan navigasi Tripper Pod, serta port pengecasan USB Type-C.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 13 liter, sementara pelana pula setinggi 790 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Royal Enfield Hunter 350 dijual pada harga bermula dari RM21,900 untuk varian warna Rio White dan Dapper Grey, dan dari RM22,500 untuk warna Tokyo Black, London Red dan Rebel Blue.

Yamaha Y15ZR kini dengan tiga warna baharu, harga dari RM8,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan kemaskini penawaran bagi model kapcai Yamaha Y15ZR dengan tiga warna baharu.

Warna yang dimaksudkan ialah Blue Spark, Aqua Violet dan Mecha Green.

Yamaha Y15ZR dengan warna baharu ini sudah tersedia di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 6 November lalu, dengan harga jualan dari RM8,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Spesifikasi asas Yamaha Y15ZR masih kekal dengan nadi silinder tunggal 150 cc sejukan cecair SOHC menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti dengan lengan ayun di belakang, manakala sistem brek pula menggunakan tetapan rotor tunggal untuk kedua-dua roda.

Y15ZR menawarkan tangki sebesar 4.2 liter dengan tinggi pelana 780 mm.

Shell Recharge App kini rasmi, nikmati kadar istimewa RM1.11/kWh pada 11 November

Shell Malaysia hari ini melancarkan aplikasi pengecasan rentas sempadan Shell Recharge App serba baharu bagi menggantikan aplikasi Park Easy yang akan ditamatkan operasinya hujung bulan ini.

Aplikasi Shell Recharge ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi kedai dalam talian Apple AppStore dan Google PlayStore.

Dalam aplikasi baharu itu, ia menawarkan beberapa ciri yang dapat meningkatkan lagi pengalaman pengecasan EV seperti:

  • Quick Payments – pautkan kad debit atau kredit untuk pembayaran pantas
  • Reserve & Recharge – tempah slot sebelum tiba ke stesen pengecasan
  • Cross-Border Roaming – guna aplikasi yang sama untuk pengecasan rentas sempadan Malaysia-Singapura
  • Live Charging Updates – jejak status pengecasan dalam masa nyata
  • Find a Charger Easily – cari lokasi pengecas berdekatan

Pelancaran ini menekankan komitmen Shell dalam mengembangkan lagi jaringan pengecasan Shell Recharge di seluruh negara.

Sehingga kini, Shell mempunyai kemudahan pengecasan berprestasi tinggi di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, jaringan pengecasan Pantai Timur-Pantai Barat, serta hab pengecasan altitud tinggi yang terletak di Genting Highlands.

Bersempena dengan pelancaran aplikasi baharu ini, Shell menawarkan promosi untuk tempoh masa terhad.

Pada 11 November 2025, semua pengguna Shell Recharge App akan dapat menikmati kadar istimewa RM1.11/kWh apabila mengecas di Shell Recharge HPC di seluruh Malaysia, tertakluk kepada terma dan syarat.

Bateri Madani tawar harga 50 peratus lebih rendah berbanding pasaran

Sejamas World Sdn Bhd selaku penyedia penyelesaian automotif milik Bumiputera mengumumkan pengenalan Bateri Madani – jenama bateri kereta bebas penyelenggaraan mampu milik untuk pasaran tempatan.

Dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia semasa Karnival Mega 3 Damansara, Bateri Madani direka untuk memberikan kebolehpercayaan, kemampuan, dan aksesibiliti kepada semua pemandu Malaysia, terutamanya dalam komuniti B40 dan M40.

Bateri gred premium ini dijual pada harga bermula dari RM130 (termasuk pemasangan, diagnostik dan penentukuran), di mana harga tersebut 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran biasa.

Setiap Bateri Madani juga disertakan dengan jaminan 1 tahun atau 20,000km untuk kenderaan persendirian dan kini boleh didapati di seluruh negara melalui cawangan perkhidmatan Sejamas yang semakin meluas dan pengedar sah.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Alfred Kenneth Jingulam Jr, Jurucakap Sejamas World berkata, “Misi kami dengan Bateri Madani adalah untuk memastikan bateri automotif berkualiti tinggi tersedia dan mampu dimiliki oleh setiap pemandu Malaysia.

“Pengangkutan persendirian adalah kritikal kepada rakyat Malaysia – terdapat lebih 38.7 juta kenderaan di jalan raya negara kita. Apabila kos sara hidup meningkat secara menyeluruh, kami berbesar hati untuk menawarkan produk yang membantu mengurangkan beban tersebut dengan cara yang bermakna.

“Ini adalah inovasi berteraskan sosial — bukan sekadar produk komersial tetapi pergerakan di nasional untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui penyelesaian automotif yang praktikal dan mampu milik.”

Bateri Madani boleh didapati menerusi:

Proton Saga 2026: Tempahan dibuka, tiga varian, harga anggaran dari RM40k

Proton mengumumkan tempahan untuk model sedan Saga baharu telah pun rasmi dibuka.

Proton Saga 2026 boleh didapati dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium dengan harga jualan anggaran bermula dari RM40,000 hingga RM50,000.

Proton turut menawarkan ganjaran eksklusif untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

20,000 pembeli terawal yang membuat membuat tempahan dari 10 November 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi dan melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025 layak mendapat tawaran berikut:

  • Pakej Servis Percuma 1 Tahun atau had 20,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Kad Touch ‘n Go Saga Serba Baharu Edisi Terhad

Perincian tentang Proton Saga 2026 boleh dibaca menerusi pautan berikut:

4 Perkara yang anda perlu tahu tentang Proton Saga 2026

UMWT umum peraduan Toyota Dream Car Art kembali untuk edisi ke-19

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan peraduan Toyota Dream Car Art (DCAC) kembali untuk edisi ke-19.

Peraduan edisi ke-19 ini akan berlangsung di Malaysia bermula 1 Oktober 2025 hingga 8 Februari 2026 bertemakan “Your Dream Car”, dan terbuka kepada tiga kategori umur seperti berikut:

  • Kumpulan 1: 7 tahun dan ke bawah
  • Kumpulan 2: 8-11 tahun
  • Kumpulan 3: 12-15 tahun

Lima pemenang utama akan dipilih berdasarkan kategori umur, dan daripada situ sembilan pemenang (tiga bagi setiap kategori) akan dipilih untuk mewakili Malaysia ke peringkat dunia di Jepun.

Senarai pemenang peringkat nasional akan diumumkan pada bulan April 2026.

Untuk pertandingan tahun ini, peserta digalakkan untuk mengirim hasil lukisan tangan dan digital tanpa mengira bahan, media dan teknik menggunakan format kertas A3 atau format digital JPG atau PNG.

Sejak tahun 2004, Toyota Dream Car Art Contest telah menjadi pentas bagi hampir 9.4 juta kanak-kanak di seluruh dunia untuk berkongsi idea dan imaginasi yang mungkin dapat mengubah kenderaan masa depan.

Dalam edisi terdahulu, pertandingan ini telah menarik sejumlah 665,326 penyertaan dari 90 buah negara yang menonjolkan jangkauan globalnya dan keupayaan untuk memberi insprasi kepada pemikiran kreatif merentas sempadan.

Info lanjut boleh didapati menerusi pautan:
https://www.toyota.com.my/en/discover-toyota/toyota-dream-car-art-contest.html

Toyota Hilux 2026: Generasi ke-9 debut di Thailand

Toyota Motor Asia (TMA) hari ini secara rasmi mendedahkan generasi ke-9 trak pikap Toyota Hilux yang akan dipasarkan bermula tahun 2026.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Pilihan rangkaian kuasa

Hilux baharu masih kekal dengan enjin diesel turbo 2.8 liter (kod 1GD-FTV) yang boleh dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan (204 PS/420 Nm) atau transmisi automatik 6-kelajuan (204 PS/500 Nm).

Toyota turut menawarkan Hilux berkuasa elektrik (Travo-e di pasaran Thailand) yang dijana oleh dua motor elektrik dan kuasa keseluruhan 196 PS.

Dengan pek bateri lithium-ion 59.2 kWh, Hilux Travo-e boleh bergerak sejauh 315 km (data NEDC).

Selari dengan pendekatan berbilang cara (multi-pathway), Toyota akan membangunkan sebuah model sel bahan api hidrogen (FCEV) yang akan diperkenalkan di pasaran Eropah dan Oceania bermula 2028.

 

2. Casis

Hilux generasi baharu ini masih lagi kekal dengan pelantar IMV (Innovative International Multi-purpose Vehicle), namun telah ditambah baik dengan pelbagai teknologi moden.

Antaranya ialah naik taraf mekanikal yang digelar sebagai Dynamic Cloud merangkumi:

  • titik sambungan tambahan pada kerangka badan untuk struktur yang lebih kukuh dan lebih stabil
  • talaan suspensi untuk pengendalian yang lebih lancar
  • cagak enjin hidraulik untuk mengurangkan kesan gegaran
  • aci stereng yang lebih besar untuk kawalan yang lebih responsif

 

3. Rekaan luaran

Hilux 2026 membawakan perubahan bersifat visual seperti:

  • muka hadapan Cyber Sumo dengan unit lampu utama lebih nipis
  • kewujudan tempat pemijak sisi pada bed belakang
  • lampu belakang dengan grafik yang lebih kemas
  • rim aloi 18 inci rekaan baharu

 

4. Ruang kabin

Susun atur kabin Hilux baharu membawakan tema Robust Simplicity yang menampilkan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin tengah 12.3 inci
  • butang kawalan iklim dengan paparan digital
  • roda stereng dan tombol gear gaya Land Cruiser
  • rekaan tempat duduk yang lebih ergonomik

Selain itu, Hilux baharu turut didatangkan dengan tetapan sistem brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Brake Hold, serta tetapan stereng kuasa elektronik (EPS).

 

5. Keselamatan

Kesemua varian Hilux yang dijual di pasaran Thailand mendapat ciri keselamatan standard seperti penderia jarak belakang, kamera undur, amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sistem amaran titik buta (BSM).

Selain itu, ciri Toyota Safety Sense 3 (TSS) 3 kini dengan fungsi pra-pelanggaran dan pengekalan lorong yang ditambah baik, diikuti dengan sistem pemantauan keliling panorama (PVM) dan Multi-Terrain Monitor (MTM).

Toyota Hilux BEV 2026

MGS5 EV dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV keluaran MG, iaitu MGS5 EV menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, MGS5 EV memperoleh skor keseluruhan setinggi 92.39 mata berdasarkan empat kategori berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.90/40.00
  • Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.99/20.00
  • Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 17.50/20.00

 

MGS5 EV merupakan sebuah crossover elektrik segmen C dengan lima tempat duduk yang menawarkan kelengkapan keselamatan termasuklah tujuh beg udara, ABS, peringatan tali pinggang keledar, serta pengesan penumpang belakang.

Ciri keselamatan termaju yang turut tersedia termasuklah sistem brek kecemasan autonomi (AEB City, Inter-Urban, Pedestrian & Motorcycle), sistem pengesan titik buta (BSD), bantuan suluhan tinggi (AHB), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW) serta bantuan kekal lorong (LKA).

Rakyat Malaysia boleh mendapatkan MGS5 EV dengan harga bermula serendah RM107,900 untuk varian Com, RM117,900 untuk varian Com Long Range, dan RM127,900 untuk varian Lux Long Range.

Tempahan Jetour T2 2026 dibuka, pelancaran Q1 2026, harga anggaran RM178,888

Pihak Jetour Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV premium lasak Jetour T2, dengan harga anggaran dari RM178,888.

Dengan kemunculan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) baru-baru ini, ia sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara pasaran terawal di dunia yang menyambut kemunculan model ini.

Untuk info, Jetour T2 versi RHD ini telah pun dipamerkan semasa acara pameran Shanghai Auto Show pada bulan April yang lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Jetour T2 yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2026 (Q1 2026):

 

1. Enjin

Jetour T2 dikuasakan oleh enjin petrol 2.0L TGDi dengan hamburan kuasa 245 PS dan daya kilas 375 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, sistem pacuan empat roda serta mod pemanduan pintar X-Intelligent yang boleh disesuaikan mengikut permukaan dan keadaan jalan.

 

2. Dimensi

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan dengan ukuran dimensi sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi, 1880 mm dengan jarak antara roda 2,800 mm.

 

3. Kelengkapan

Jetour T2 mendapat kelengkapan seperti unit pencahayaan LED berserta logo Jetour bercahaya, rel bumbung serta kotak storan luaran pada pintu kargo belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tidak ketinggalan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara.

 

4. Keselamatan

Jetour Malaysia mengesahkan SUV T2 ini akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera keliling 360 darjah, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh membuat tempahan di semua pengedar sah Jetour dengan yuran tempahan RM1,000.

JMS 2025: 3 prinsip baharu Toyota demi capai visi Mobiliti Untuk Semua dan Neutraliti Karbon

Pendekatan pelbagai cara (multi-pathway approach) yang dibawakan oleh Toyota sejak beberapa tahun yang lepas bukanlah sekadar untuk mencapai neutraliti karbon menerusi teknologi moden seperti sel bahan api hidrogen (FCEV), hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV).

Terdapat juga penyelesaian yang lebih mampan dan boleh disesuaikan dengan keadaan setempat, seperti contoh penggunaan bahan api bio dan gas asli termampat (CNG).

Dengan menawarkan penyelesaian mobiliti rendah emisi dan sifar emisi yang lebih mudah diakses, Toyota dapat memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengguna di Asia.

Dalam masa yang sama, ia dapat memberikan nilai faedah yang berkekalan kepada manusia dan masyarakat.

Tiga prinsip baharu yang turut diterapkan oleh Toyota di bawah “Multi-Pathway Approach” ini ialah Best in Town, Customer Comes First, dan Start by Doing. 

 

Best in Town

Falsafah ini menekankan penyampaian produk yang terbaik serta perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan mobiliti setiap pasaran Asia yang unik.

Salah satu contoh yang diberikan ialah platform global IMV yang diperkenalkan sejak 2002 dengan matlamat untuk mencipta pelantar yang dapat menyokong pelbagai kenderaan untuk memenuhi keperluan mobiliti pasaran membangun.

Akio Toyoda berkata, “Kami tidak boleh menggembirakan pelanggan dengan mempromosikan jumlah kenderaan, apa yang penting ialah menjadi yang terbaik di dalam bandar.”

 

Customer Comes First

Di Japan Mobility Show 2025, Toyota memperkenalkan barisan jenama – Century, Lexus, Gazoo Racing, Toyota dan Daihatsu – setiap satu memainkan peranan yang tersendiri berteraskan “Mobiliti untuk Semua”.

Ia juga selaras dengan tema “To You” Toyota yang diperkenalkan pada tahun ini, di mana tiada seorang pun yang harus ketinggalan di belakang.

Akhir sekali, pendekatan berbilang jalan dalam mencapai neutraliti karbon yang menawarkan pelbagai pilihan penyelesaian yang mampan kepada pengguna.

 

Start by Doing

Untuk mencapai apa yang disasarkan, ia perlulah dilakukan segera.

Untuk itu, Toyota melakukan beberapa projek menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak seperti contoh Commercial Japan Partnership Technologies Corporation (CJPT) yang memacu industri logistik ke arah era kecekapan dan pengurangan karbon yang dipacu oleh data.

Selain itu, projek komuniti Toyota Mobility Foundation’s (TMF) bertujuan untuk meningkatkan aspek keselamatan, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap kebolehcapaian.

Toyota percaya mobiliti bukanlah sekadar mod pengangkutan, akan tetapi ia lebih kepada akses untuk peluang, keterhubungan dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Menurut Masahiko Maeda selaku CEO Rantau Asia Toyota Motor Corporation, “Di Toyota, kami percaya untuk mencapai sasaran Mobiliti untuk Semua dan Neutraliti Karbon memerlukan lebih daripada satu penyelesaian kenderaan, tenaga dan data.

“Kami percaya masa depan mobiliti adalah milik kita untuk dicipta menerusi kerjasama, tujuan bersama dan tindakan bersama. Hasilnya, kita dapat membina ekosistem yang mampu membawa senyuman kepada rakyat di seluruh rantau Asia.

GWM Tank 500 Black Edition dilancarkan di Malaysia – harga dari RM336,800

GWM Malaysia mengumumkan penawaran Tank 500 edisi hitam (Black Edition) untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM336,800.

Sesuai dengan nama yang diberikan, Tank 500 Black Edition ini mendapat kemasan berwarna hitam berkilat pada beberapa bahagian seperti jeriji, emblem Tank, rim 20 inci, pemegang pintu serta perumah tayar simpanan.

Tank 500 juga turut mendapat unit lampu LED dengan efek asap.

Spesifikasi asas Tank 500 Black Edition masih lagi kekal tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan.

Berbeza dengan Tank 500 Black Edition, Tank 500 edisi standard dijual pada harga RM328,800.

GWM Ora Good Cat GT mendarat di Malaysia – 171 PS, 250 Nm, harga dari RM119,800

Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini mengumumkan ketibaan model kenderaan elektrik (EV) dengan spesifikasi yang lebih sporti, iaitu Ora Good Cat GT.

Harga jualan bermula dari RM119,800.

Terdapat beberapa perbezaan antara Ora Good Cat GT dengan varian Ultra yang turut ditawarkan.

Berikut merupakan beberapa perincian ringkas berkenaan Ora Good Cat GT:

 

1. Dimensi

Berbanding Ora Good Cat Ultra, Ora Good Cat GT membawakan dimensi sepanjang 4,254 mm (+19 mm) dan lebar 1,848 mm (+23 mm).

Ukuran tinggi dan jarak antara roda masih kekal, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 135 mm.

 

2. Prestasi

Ora Good Cat GT dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana 171 PS dan daya kilas 250 Nm, atau 28 PS dan 40 Nm lebih bertenaga berbanding varian Ultra.

Namun begitu, kelajuan tertinggi dihadkan kepada 150 km/j sahaja.

Varian GT menawarkan mod pemanduan seperti Normal, Sport, ECO, ECO+, Auto dan Individual.

Sama seperti varian Ultra, Ora Good Cat GT dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 57.7 kWh yang mampu membenarkan jarak pandu sejauh 460 km.

Secara standard, Ora Good Cat GT menyokong pengecasan AC 6.6 kW (pengecasan penuh 9 jam), serta pengecasan pantas DC 60 kW di mana pengecasan 30-80 peratus dalam masa 38 minit sahaja.

Ora Good Cat juga hadir dengan sokongan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.

 

3. Ciri luaran

Membezakan varian GT dengan varian Ultra ialah penampilan luaran yang lebih sporti.
Varian GT mendapat kelengkapan seperti:

  • bampar depan dan belakang lebih agresif
  • angkup brek berwarna kuning
  • rim aloi hitam dengan trim kuning saiz 18 inci
  • pintu belakang berkuasa bebas tangan
  • spoiler belakang GT
  • aksen kuning pada bampar
  • perumah cermin sisi berwarna kuning

 

4. Ruang kabin

Kedua-dua varian Ora Good Cat hadir dengan kemasan warna dua tona, namun varian GT diberikan gandingan warna hitam dan kuning yang lebih menyerlah.

Selain itu, varian GT turut mendapat ciri eksklusif seperti tempat duduk baris depan sporti dengan fungsi pengudaraan dan urut, serta kemasan kulit suede.

Ciri standard lain yang dibekalkan termasuklah:

  • skrin paparan digital tujuh inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W
  • sistem pendingin hawa automatik dengan penapis PM 2.5
  • sistem audio enam pembesar suara
  • bumbung kaca panorama

 

5. Keselamatan

Ciri keselamatan standard pada kedua-dua varian termasuklah:

  • enam beg udara
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • Kawalan Cengkaman (TCS)
  • cagak ISOFIX
  • kamera 360 darjah
  • fungsi kamera tembus casis
  • sistem bantuan parkir pintar (IIP)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Pemusatan Tengah Lorong (LCK)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Mula Mendaki (HSA)

 

6. Varian Ultra

Ora Good Cat varian Ultra turut ditawarkan secara rasmi dengan harga jualan bermula dari RM109,800 yang membawakan spesifikasi berikut:

  • motor elektrik tunggal
  • kuasa 143 PS, daya kilas 210 Nm
  • jarak gerak 480 km
  • mod pemanduan Normal, Sport, ECO, ECO+ dan Auto
  • rim aloi 18 inci
  • pilihan kemasan dalaman Green/Grey, Brown/Rice, atau Green/Rice (bergantung warna luaran)
  • upholsteri kulit sintetik

 

Ora Good Cat GT

Ora Good Cat Ultra