fbpx

Haval H6 HEV, SUV hibrid paling berbaloi? – Pandu Uji Ringkas

HAVAL H6 HEV 2024 (23)

Beberapa hari lepas, pihak GWM Malaysia telah menjemput kami untuk merasai sendiri pengalaman memandu sebuah SUV hibrid yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Haval H6 HEV.

Dengan harga anggaran sekitar RM145,000, ia mungkin sekali satu pembelian yang sangat berbaloi untuk mereka yang mahu mencari SUV yang jimat minyak, besar, dan juga selesa untuk seisi keluarga.

Kita bercerita serba sedikit berkenaan spesifikasi SUV Haval H6 HEV ini.

Dimulakan dengan unit rangkaian kuasa, Haval H6 HEV dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 150 PS/230 Nm, sementara motor elektrik pula mampu menjana kuasa tambahan 130 PS/300 Nm.

Secara keseluruhan, Haval H6 HEV ini berkuasa 243 PS dan daya kilas 530 Nm, antara yang paling bertenaga dalam kelasnya.

Berdasarkan pemanduan ringkas selama dua hari merentasi sempadan yang tidak memerlukan buku merah, penulis dapati kuasa yang dihamburkan oleh SUV ini tidak putus-putus terutama saat kita memerlukan kuasa ektra untuk memotong lori balak di hadapan.

Atas kertas, angka 530 Nm itu mungkin agak tinggi, namun sepanjang pemanduan kami tidak merasakan sentakan kuasa yang mampu menyebabkan kesakitan leher.

Ini kerana kuasa yang dihasilkan saat pedal pendikit ditekan itu masuk dengan cara yang lebih lembut dan lancar, tidak agresif seperti kebanyakan kereta elektrik.

Sistem hibrid ini juga sangat cekap, di mana boleh dikatakan penulis dan rakan-rakan langsung tidak merasai bila masa operasi enjin dimulakan.

Tiada gegaran enjin ketara yang dapat dirasakan, malah bunyi bising enjin juga ditapis dengan baik daripada memasuki ruang kabin.

Dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.8 liter/100 km, GWM mendakwa Haval H6 HEV ini mampu mencapai jarak sejauh 1,000 km untuk setangki penuh.

Perkara ini mungkin kami boleh uji dengan lebih mendalam sekiranya ada peluang untuk memandu SUV ini kelak.

Aspek NVH juga berada di tahap memuaskan, di mana sepanjang masa kami dapat berborak dengan rancak di dalam kabin tanpa perlu meninggikan suara atau menggunakan mikrofon.

Bunyi bising angin yang cuba menerjah masuk kabin tidak berjaya mengganggu tumpuan, cuma bunyi bising tayar sahaja.

Itupun sebab kualiti tar yang digunakan adalah tidak memuaskan di sesetengah tempat.

Dengan sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang, SUV ini tidak membawakan sebarang masalah besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Untuk jaringan jalan raya di Malaysia, ia menawarkan talaan suspensi yang seimbang untuk pemanduan yang sedikit agresif dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan untuk seisi keluarga.

Malah, olengan badan yang dihasilkan sewaktu meratah selekoh-selekoh juga berada pada tahap yang boleh diterima, tidak membuatkan badan SUV ini berbuai-buai.

Dari segi dimensi, Haval H6 HEV membawakan saiz yang jauh lebih besar berbanding SUV popular segmen C, iaitu Honda CR-V dan Proton X70.

Jarak antara roda yang panjang juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan lima orang pada satu-satu masa.

Tidak cukup dengan itu, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, atau sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 itu dilipat.

Susun atur papan pemuka juga agak kemas, namun kombinasi tiga warna (hitam, putih dan rose gold) itu mungkin kurang digemari oleh sesetengah pihak.

Terdapat skrin kluster sebesar 10.25 inci (dengan pilihan tema yang agak terhad), diikuti skrin infohibur sebesar 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dengan pakej spesifikasi serta harga jualan bermula bawah RM145,000, Haval H6 HEV mungkin sekali mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi, terutama bagi mereka yang tidak memiliki bajet untuk membeli SUV hibrid harga cecah RM200,000.

Lebih banyak perincian dan pandangan bakal kami kongsikan sekiranya ada peluang untuk memandu uji Haval H6 HEV ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved