Mitsubishi Xpander 2024 facelift, tempahan dibuka, harga anggaran RM115k


Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan pembukaan tempahan bagi model MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander 2024 facelift.
Menurut CEO Mitsubishi Motors Malaysia, Shinya Ikeda berkata, “Xpander bukan sahaja meraih populariti di Malaysia, malah ia juga popular di rantau ASEAN.
“MMM telah memperkenalkan Xpander untuk pasaran Malaysia pada tahun 2020, dan pada bulan lepas kami meraikan 40,000 pemilik Xpander di atas jalan raya. Sebagai model MPV bukan nasional nombor satu, Xpander kini merupakan salah satu model terpenting bagi Mitsubishi Motors,” ujarnya lagi.
Versi facelift membawakan perubahan bersifat kosmetik, di mana Xpander 2024 kini tampil dengan unit pencahayaan yang lebih moden dan agresif, kit badan berserta spoiler belakang yang dapat memenuhi citarasa gaya hidup aktif.
Xpander juga menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 225 mm – yang terbaik dalam kelasnya – serta ruang kargo sebesar 837 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Selain itu, Xpander facelift didatangkan dengan ciri seperti kamera perakam video pemanduan serta brek parkir elektrik yang dapat membantu meningkatkan pengalaman pemanduan secara keseluruhan.
Untuk pasaran Malaysia, Xpander 2024 masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 105 PS dan 141 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, berbanding transmisi CVT di pasaran ASEAN yang lain.
Untuk tempoh terhad, Mitsubishi Xpander 2024 facelift boleh ditempah pada harga RM115k, di mana 500 pelanggan pertama yang menempah menerusi Mitsubishi Online Showroom akan menerima Naturehike Camping Wagon bernilai RM400.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.