Honda Access lancar pakej aksesori “Bulldog Style” untuk Super-ONE, imbau kenangan City Turbo II

Honda Super-ONE Bulldog Style

Bakal pembeli Honda Super-ONE EV kini boleh dapatkan pakej aksesori tulen “Bulldog Style” daripada Honda Access.

Ia direka untuk menonjolkan karakter yang lebih sporti, serta personaliti unik untuk EV kompak ini.

Senarai aksesori menarik untuk Super-ONE

Sekali imbas, ia dilihat sebagai satu penghormatan kepada model klasik Honda City Turbo II 1983 yang turut digelar “Bulldog” oleh golongan peminatnya.

Lebih-lebih lagi jika dilihat pada set decal sisi Bulldog yang menggunakan semula gaya tulisan City Turbo II.

Model asal memaparkan tulisan “Turbo II With Intercooler”, namun pada Honda Super-ONE ia membawakan mesej era baharu: “Bulldog With Electric Power”.

Terdapat juga spoiler tailgate berlekuk untuk imej yang lebih agresif, diikuti lampu kabus dwi-warna (putih atau kuning), serta rim ME-027 saiz 15 inci.

Akhir sekali, Super-ONE ini dikemaskan dengan pakej logo H hitam, serta emblem nama model dalam kemasan gelap.

Pelancaran rasmi tahun ini

Honda dijangka akan melancarkan model ini di pasaran Jepun menjelang pertengahan tahun ini.

Dengan berat sekitar 1,090 kg, Super-ONE EV merupakan antara kereta elektrik yang ringan di dalam kelasnya.

Ia juga mempunyai titik graviti yang lebih rendah berbanding kereta petrol setara, dan mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 274 km (data WLTC).

EV ini juga menawarkan mod pemanduan khas “Boost” yang mampu melonjakkan kuasa daripada 63 hp kepada 94 hp untuk pecutan yang lebih bertenaga.

Selain itu, ia mampu mensimulasikan penukaran gear tujuh-kelajuan dan sistem kawalan bunyi aktif yang meniru bunyi enjin pembakaran dalaman.

Mengikut laporan rakan media Paultan, model ini juga dijangka masuk pasaran Malaysia kelak.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved