Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

smart #6 EHD: Spesifikasi dan imej rasmi didedahkan

Inilah dia model kenderaan yang paling besar dihasilkan oleh smart, iaitu sedan #6 EHD.

Dari segi ukuran, smart #6 EHD mempunyai dimensi badan sepanjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm, tinggi 1,508 mm.

Ia juga menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,926 mm – yang paling panjang berbanding model-model smart sedia ada.

Sedan ini dikuasakan oleh sistem plug-in hybrid EHD NordThor Hybrid 2.0, terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo 161 hp, motor elektrik, transmisi DHT tiga-kelajuan dan bateri lithium iron phosphate.

Secara keseluruhan, sistem ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 429 hp dengan jarak pandu keseluruhan sejauh 1,810 km dan kadar penggunaan bahan api serendah 3.9 liter/100 km.

Ia juga mampu bergerak dalam mod EV sejauh 285 km.

Unit lampu utama depan dan belakang tampil ringkas tanpa garis dan bentuk yang berserabut.

Terdapat perumah penderia Lidar pada bahagian bumbung, diikuti dengan kehadiran kamera sisi pada bahagian dapra depan.

smart turut menawarkan opsyen rekaan rim yang berbeza, angkup brek berwarna kuning diikuti dengan sayap belakang adaptif untuk varian yang lebih sporti.

 

Lexus LFA muncul kembali sebagai sebuah supercar elektrik

Sejak bertahun-tahun, golongan petrolhead dan para pencinta deruman nadi V10 disuap berita tentang kemunculan model pengganti LFA.

Berita baik untuk anda: Lexus LFA kini muncul semula sebagai sebuah konsep supercar dengan penampilan yang cukup cantik untuk dipandu atas jalan raya.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang Lexus LFA Concept:

 

1. Kongsi casis dengan GR GT

Lexus LFA Concept menggunakan kerangka badan aluminium yang ringan dan kuat, di mana ia merupakan casis yang sama digunakan pada model GR GT dan GR GT3.

Ia menawarkan kelebihan dari segi titik graviti yang rendah, jisim yang ringan dengan kadar ketegaran yang tinggi serta prestasi aerodinamik.

 

2. Tiada enjin V10

Sayang sekali, Lexus LFA Concept ini tidak mewarisi enjin bentangan V10 yang dibawakan pada model terdahulu, dan tidak langsung menggunakan enjin bentangan V8 berkuasa lebih 640 hp dan 850 Nm itu.

Ia merupakan sebuah supercar dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuh masa.

Pihak Lexus (dan Toyota) juga masih belum mendedahkan perincian seperti bilangan motor, sistem pacuan, output serta kapasiti bateri yang bakal dipasang pada LFA Concept ini.

 

3. Dimensi

LFA Concept membawakan ukuran sepanjang 4,690 mm, lebar 2,040 mm, tinggi 1,195 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,725 mm.

Berbanding LFA V10, LFA Concept ini mempunyai dimensi 185 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar, 25 mm lebih rendah dengan jarak antara roda 120 mm lebih panjang.

 

4. Luaran ada elemen LFA V10

Tidak dinafikan, bentuk badan Lexus LFA Concept ini tampak lebih seimbang dan lebih tegap bila meluncur atas jalan.

Ia juga mempunyai beberapa rujukan elemen rekaan daripada LFA V10 seperti bonet hadapan berliang, serta skup udara di bahagian sisi.

Ketika di Japan Mobility Show, Lexus turut memperlihatkan fungsi spoiler belakang aktif pada model ini.

 

5. Kabin fokus kepada pemandu

LFA Concept menjanjikan posisi pemanduan ideal yang sama ditawarkan pada model GR GT dan GR GT3.

Namun, tidak seperti dua model supercar V8 itu tadi, LFA Concept menampilkan stereng jenis yoke, diikuti susun atur skrin paparan hadapan pemandu yang agak unik.

Tuil penukaran gear diposisikan pada kolum stereng, dan terdapat juga butang F-Mode dan Custom bersaiz besar, diikuti keupayaan untuk menetapkan tahap tujahan dan brek yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Menurut Lexus, tiga huruf “LFA” pada LFA Concept ini tidak terikat kepada supercar berenjin pembakaran dalaman seperti model terdahulu.

Ia kini melambangkan sebuah kenderaan dilengkapi pelbagai teknologi kejuruteraan termaju yang harus dipelihara dan diturunkan oleh jurutera pada zamannya kepada generasi akan datang.

Kalau dulu, Lexus LFA membawa maksud berikut:
L – Lexus
F – F-Sports (cabang prestasi tinggi Lexus), juga melambangkan Fuji Speedway
A – Apex

Apa pendapat anda tentang Lexus LFA Concept? Haruskah ia ditawarkan sebagai supercar EV atau patut dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman?

Mercedes-Maybach S-580 4MATIC Night Series rasmi di Malaysia – dari RM2.4 juta

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan sedan ultra-mewah Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series untuk pasaran tempatan dengan harga jualan dari RM2,404,888 (atas jalan tanpa insurans).

Tidak seperti S-Class Maybach yang pernah ditawarkan sebelum ini, edisi Night Series menampilkan motif gelap eksklusif yang membawakan kemewahan dan sporti yang diperhalusi ke satu aras baharu.

Terdapat beberapa warna luaran yang tersedia termasuklah kelabu, hitam dan putih, serta kombinasi warna dua tona seperti onyx black/Mojave silver dan Manufaktur opalite white bright/obsidian black.

Ia turut diserikan dengan beberapa kemasan terperinci seperti elemen rose gold dan krom metalik gelap pada unit lampu utama, serta kemasan dark shadow gloss pada jeriji hadapan dan bampar, bintang Mercedes, pemegang pintu serta emblem Maybach.

Selain itu, terdapat kemasan hitam berkilat pada struktur keliling tingkap, tiang B, serta perumah cermin sisi, diikuti ambang pintu bercahaya dengan skrip “MAYBACH Night Series”.

Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim aloi ringan Maybach tujuh jejari bersaiz 20 inci.

Ruang kabin S580 Night Series ini dilengkapi dengan balutan kulit nappa dengan kombinasi warna Black/Black Pearl, kemasan golden-grey berkilat, sistem pencahayaan ambien aktif dengan skema warna Garnet Glow, trim kayu Manufaktur serta kemasan gaya kristal hitam dengan corak Maybach pada konsol tengah.

Bahagian corong pendingin hawa pula diberikan kemasan dark shadow gloss pada bahagian depan dan belakang.

Bersesuaian dengan tema hitam, sedan ini turut dilengkapi dengan animasi permulaan bertemakan mistik pada skrin paparan.

Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 496 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 700 Nm @ 2,000-4,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan, sistem pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid EQ-Boost (tambahan kuasa 23 hp/205 Nm).

BYD, Denza anjur Festival Light the Change di Desa ParkCity selama sebulan!

The Waterfront @ Desa ParkCity akan dimeriahkan dengan Festival Light the Change yang dianjurkan oleh BYD dan Denza.

Jenama mobiliti elektrik itu akan berkampung selama sebulan bermula 28 November hingga 4 Januari dengan bermacam aktiviti dan persembahan telah diatur setiap minggu.

Festival ini bertujuan untuk memperkukuh komitmen BYD dan Denza terhadap tanggungjawab alam sekitar selain mencetuskan kesedaran terhadap kelestarian, iklim dan masa depan mobiliti.

Selain itu, BYD turut melaksanakan inisiatif global “One Degree. One Future” untuk menurunkan suhu Bumi sebanyak satu darjah menerusi penyelesaian mobiliti elektrik.

Antara aktiviti menarik termasuklah:

  • Ikrar tanaman di Zon Greenfield
  • Penerokaan Mobiliti Elektrik
  • Sesi Pandu Uji (jam 10 pagi hingga 6 petang)
  • Persembahan Golden Hour (Jumaat-Ahad, 8-9 malam)

 

Minggu Tarikh Persembahan Golden Hour
Minggu 1 28 – 30 November Bubble Show
Minggu 2 5 – 7 December
Minggu 3 12 – 14 December LED Butterfly Dance Performance
Minggu 4 19 – 20 December Bamboo Music Performance by Alena Murang
Minggu 5 22 – 28 December Xmas Snowfall
Minggu 6 2 – 4 January New Year Light Show

Sejak memasuki sektor kenderaan tenaga baharu, BYD telah berjaya mengurangkan lebih daripada 9.3 juta tan pelepasan CO2 di seluruh dunia.

Di peringkat tempatan, BYD dan Denza berjaya menjual sebanyak 12,872 unit setakat November 2025, atau peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sejak hari pertama, jualan keseluruhan di Malaysia telah melepasi 25,233 unit bersamaan dengan pengurangkan 62,191 tan CO2 setiap tahun atau penanaman hampir 2.5 juta pokok.

Sime Motors turut memainkan peranan penting dalam mempercepatkan mobiliti elektrik di Malaysia.

Dalam tempoh tiga tahun, Sime Motors dan BYD telah memperkenalkan tujuh model EV, menubuhkan 39 cawangan jualan dan pemasaran, 24 cawangan selepas jualan dan 12 pusat badan dan cat yang sah.

Disokong oleh Pusat Latihan BYD khusus dan gudang berpusat, Sime Motors memastikan perkhidmatan serta sokongan premium untuk pelanggan BYD di seluruh negara.

Honda Malaysia umum dua pemenang pertama kempen ulangtahun ke-25

Honda Malaysia mengumumkan dua orang pemenang bertuah pertama bagi kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun yang ke-25.

Untuk pusingan pertama, Honda Malaysia menyampaikan dua hadiah berupa sebuah City Hatchback RS dan WR-V RS.

Pemenang bertuah City Hatchback RS, Chin Boon Hao dari Perak menyertai peraduan tersebut setelah membeli sebuah Civic RS.

Jelasnya, memiliki sebuah Civic telah menjadi impiannya sekian lama disebabkan penampilan dan prestasi yang sejajar dengan DNA Civic.

“Saya teruja menerima kereta baharu saya, namun memenangi sebuah City Hatchback RS menjadikannya lebih istimewa.

“Saya tidak sabar untuk memandu kedua-dua Honda atas jalan dan menikmati pengalaman pemanduan yang berbeza,” ujarnya lagi.

Pemenang Honda WR-V RS, Avis Ou Xiao Qian dari Sarawak pula diwakili oleh suaminya, Liew Jeng Siong untuk menerima hadiah tersebut.

Beliau yang membeli sebuah CR-V sebagai kereta keluarga menjelaskan, “saya mahu sebuah SUV yang menawarkan pakej lengkap, seperti keselesaan, luas dan rekaan elegan.

“Saat saya melihat CR-V, saya tahu ia adalah kereta untuk saya dan keluarga saya.

City Hatchback RS dan WR-V RS merupakan antara enam hadiah utama yang ditawarkan sepanjang kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun Honda Malaysia yang ke-25.

 

Nissan Serena e-Power C28 dipertontonkan – pelancaran Q1 2026 sebagai model CKD

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model MPV baharu yang bakal dilancarkan pada tahun depan, iaitu Nissan Serena e-Power.

Generasi keenam Nissan Serena e-Power (C28) itu dikuasakan oleh sistem pacuan e-Power yang terdiri daripada enjin 1.4 liter, motor elektrik 163 PS dan 315 Nm dan pek bateri lithium-ion 1.769 kWh.

Tidak seperti kenderaan hibrid di pasaran, sistem e-Power ini bergantung sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak.

Enjin 1.4 liter itu tadi hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa, namun tetap didatangkan dengan teknologi sistem pancitan terus dan Mirror Bore Coating yang mampu mengurangkan geseran, gegaran dan bunyi.

Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dan MPV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km untuk setangki minyak penuh.

Daripada segi penampilan, Serena e-Power C28 ini membawakan imej yang lebih moden, dimulakan dengan jeriji V-motion dan bampar yang lebih kemas, lampu belakang dengan grafik boomerang, serta logo Nissan baharu.

Rim pula bersaiz 16 inci.

Menurut ETCM lagi, Nissan Serena e-Power merupakan model e-Power yang pertama akan dipasang di kilang Serendah.

Harga jualan serta spesifikasi penuh Nissan Serena e-Power akan diumumkan pada pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama 2026 (Q1 2026).

Peugeot Motocycles sah masuk Malaysia, Aveta jadi pengedar rasmi

Jenama motosikal dan skuter tertua di dunia, Peugeot Motocycles akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi di bawah edaran Aveta International Sdn Bhd.

Aveta dipilih sebagai pengedar rasmi disebabkan oleh beberapa faktor seperti rangkaian pengedar dan servis meluas, kepakaran teknikal dan program perkhidmatan pelanggan seperti ‘Aveta Care on Wheels’.

Kemasukan jenama Peugeot Motocycles ke pasaran Malaysia dijangka memperkenalkan pelbagai pilihan premium dan mampu milik bercirikan Eropah kepada pengguna.

Model pertama Peugeot Motocycles bakal dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun 2026.

Untuk info, Peugeot Motocycles ditubuhkan pada tahun 1898 dan kini dipasarkan di lebih 3,000 lokasi di seluruh dunia.

Jenama ini menawarkan rangkaian model yang komprehensif digerakkan oleh tiga hab pengeluaran global yang terletak di Perancis, China dan juga Vietnam.

Antara model yang ditawarkan termasuklah Peugeot Metropolis, XP400, Pulsion, Django Classic dan juga Speedfight.

Honda NSX NA1 ‘lahir semula’, dikenali sebagai “Tensei”

Pininfarina dan JAS Motorsport mendedahkan imej rasmi projek restomod Honda NSX generasi pertama yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Ia juga turut mendapat nama rasmi, iaitu “Tensei” yang membawa maksud kelahiran semula (rebirth) dalam bahasa Jepun.

Daripada imej yang dibekalkan, rupa asal NSX NA1 masih lagi dikekalkan dengan berhati-hati, seperti lampu hadapan jenis pop-up, spoiler belakang kekal dan bumbung kanopi hitam.

Namun, terdapat beberapa perubahan seperti penambahan lampu nyalaan siang (DRL) LED, liang pada hud hadapan serta liang pengudaraan yang lebih besar pada dapra belakang.

Penampilan Tensei juga telah ditambah baik dengan jarak runut belakang yang lebih lebar, serta jarak overhang belakang yang telah dipendekkan.

Buat masa ini, spesifikasi sebenar Tensei masih lagi belum didedahkan.

Namun dalam siaran terdahulu, pihak JAS Motorsport akan menala kembali enjin asal bentangan V6 3.0 liter, sudah pasti kuasanya akan melebihi angka atas kertas 270 hp/285 Nm semasa dilancarkan tahun 90-an.

Pihak JAS Motorsport turut mengesahkan Tensei ini bakal menampilkan binaan badan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Aspark Owl Roadster kini kereta produksi terpantas di dunia, 0-100 km/j dalam 1.72 saat!

Mahukan sebuah kereta berprestasi tinggi buatan Jepun dengan pecutan mengalahkan Rimac Nevera? Anda boleh pertimbangkan Aspark Owl Roadster.

Syarikat kejuruteraan Jepun ini mendakwa EV Owl Roadster boleh memecut sepantas 1.72 saat dari 0-100 km/j!

Dengan kelebihan sebanyak 0.02 saat, Owl Roadster ini merupakan kereta produksi paling pantas di dunia.

Terdapat sebuah lagi kereta paling pantas, iaitu McMurty Speirling yang mampu memecut 0-100 km/j sepantas 1.40 saat, namun harus diingat ia bukanlah sebuah kereta untuk kegunaan jalanan.

 

Apa yang membuatkan Aspark Owl Roadster ini begitu pantas?

Pertama sekali, ia mempunyai casis monocoque karbon dan badan gentian karbon penuh yang mempunyai berat keseluruhan 2,050 kg dan digandingkan dengan empat motor elektrik berkuasa 1,953 hp/1,920 Nm.

Ia mampu mencapai kelajuan tertinggi 413 km/j, namun dihadkan secara elektronik kepada 350 km/j untuk kegunaan di jalan raya.

Bateri 69 kWh pula menawarkan jarak pandu melebihi 250 km untuk sekali cas penuh.

Owl Roadster ini mempunyai empat mod pemanduan iaitu Rain-Snow, City-Comfort, Sport-Dynamic dan High Boost.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi double wishbone dengan ketinggian boleh laras, sayap belakang aktif, sistem brek seramik karbon (angkup 10-omboh depan/4-omboh belakang), serta rim 20 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R.

Sejak tahun 2019, Aspark memindahkan operasi pengeluaran ke Itali, dan untuk model Owl Roadster ini produksi dihadkan kepada 20 unit sahaja untuk satu dunia.

Setiap satu dianggarkan bernilai US$3.5 juta (RM14.45 juta).

Terdapat pengeluar lain yang berminat dengan enjin boxer selain Porsche dan Subaru

Bila kita berbicara tentang enjin bentangan rata atau boxer, dua nama pengeluar ini akan mula bermain di fikiran, iaitu Porsche dan Subaru.

Konfigurasi enjin yang unik ini menawarkan manfaat dari segi pengendalian kenderaan yang lebih baik disebabkan titik graviti yang rendah berbanding enjin konvensional.

Anda mungkin tidak menyangka satu nama yang cukup popular di China akan turut terjebak dalam menghasilkan enjin boxer.

Tidak lain dan tidak bukan, BYD!

Berita ini ternyata mengejutkan kerana BYD itu sendiri sudah mempunyai keluarga enjin yang tersendiri untuk barisan model plug-in hybrid (PHEV).

Enjin boxer 2.0 liter turbo serba baharu ini akan digandingkan dengan empat motor elektrik untuk menggerakkan sedan mewah Yangwang U7.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 1,287 hp dan 1,680 Nm.

Pecutan 0-100 km/j pula boleh diselesaikan dalam tempoh 2.9 saat sahaja, satu angka yang cukup impresif untuk sedan seberat 3 tan!

Menariknya, enjin tersebut hanya berkhidmat sebagai unit penjana (Range Extender) untuk mengecas bateri yang kemudiannya menyalurkan kuasa kepada motor elektrik.

Namun dalam keadaan tertentu, enjin tersebut boleh menyalurkan kuasa 272 hp/380 Nm terus kepada gandar belakang.

Dengan bantuan enjin boxer itu tadi, BYD mampu menghasilkan Yangwang U7 dengan rekaan hud enjin yang lebih rendah, menjadikan penampilan sedan yang lebih sporti.

Selain itu, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) sedan ini juga jauh lebih baik disebabkan oleh kurang gegaran yang dihasilkan oleh enjin boxer.

Dengan pakej unit penambah jarak boxer itu tadi, Yangwang U7 boleh bergerak sejauh 966 km untuk satu tangki penuh dan bateri cas penuh, manakala jarak sifar emisi pula boleh mencapai sehingga 193 km.

Di China, BYD Yangwang U7 dijual pada harga bermula dari RMB628,000 hingga RMB708,000 (RM367 ribu-RM414 ribu).

Pengguna Shell App kini boleh semak Budi95 terus dalam aplikasi

Shell Malaysia baru-baru ini mengumumkan penyepaduan BUDI95 ke dalam aplikasi dalam taliannya, Shell App.

Pelanggan boleh membuat pembelian bahan api bersubsidi dengan melengkapkan pengesahan eKYC TNG eWallet sekali sahaja.

Setelah pengesahan dibuat, mereka boleh menekan butang BUDI95 dan membuat bayaran dengan lebih selamat untuk menikmati kadar subsidi serta-merta.

Menurut Seow Lee Ming selaku Pengurus Besar Shell Mobility and Convenience Malaysia berkata, “Kami percaya Shell App yang telah dipertingkatkan ini dapat membantu rakyat Malaysia untuk memaksimumkan setiap wang Ringgit yang dibelanjakan.

“Selain bahan api Shell FuelSave95 yang dapat membantu pemandu pergi lebih jauh untuk setiap tangki penuh, Shell App menawarkan kemudahan dan peluang untuk menikmati ganjaran setiap kali berkunjung ke stesen minyak.

Shell Malaysia turut mengumumkan dua kempen eksklusif untuk pengguna Shell App, berupa baucar Shell sehingga RM2 juta dan peraduan minyak percuma untuk tiga tahun!

Pelanggan yang berjaya membuat pengesahan eKYC TnG eWallet dan membuat transaksi BUDI95 minimum RM10 akan layak menerima baucar RM5 secara automatik dalam aplikasi.

Pengguna baharu Shell App pula akan menerima baucar tambahan RM5.

Untuk layak menyertai Free Fuels Contest, pelanggan hanya perlu membeli produk Shell Helix atau Shell Advance terpilih di mana-mana stesen Shell untuk menerima baucar istimewa.

Baucar ini boleh ditebus menerusi Shell App, sekaligus melayakkan mereka untuk menyertai Free Fuels Contest.

Moda Aero-E rasmi di Malaysia, harga dari RM5,189

Syarikat Mdua Motor Sdn Bhd hari ini melancarkan model skuter terbaharu Moda Aero-E untuk pasaran tempatan.

Skuter ini dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan udara bersesaran 118.8 cc dengan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.5 Nm @ 6,000 rpm dipadankan dengan transmisi CVT.

Aero-E menggunakan tetapan suspensi jenis teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera untuk roda depan dibantu dengan brek gelendong di belakang.

Moda Aero-E didatangkan dengan ciri seperti unit lampu projektor LED berkembar, lampu belakang LED, skrin paparan LCD, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta rim bersaiz 14 inci.

Skuter ini turut dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 5.5 liter, ruang simpanan bawah pelana 6.5 liter dan tinggi pelana sekitar 780 mm.

Terdapat dua warna menarik ditawarkan iaitu Cobalt Blue dan Carmine Red. Harga jualan pula bermula dari RM5,189 tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Perodua QV-E dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV elektrik pertama keluaran Perodua, iaitu QV-E memperoleh skor lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, Perodua QV-E memperoleh skor keseluruhan setinggi 88.36 mata berdasarkan empat kategori berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 36.63/40.00
  • Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.73/20.00
  • Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 15.00/20.00

 

Perodua QV-E merupakan SUV elektrik segmen B yang tersedia dalam varian tunggal, menawarkan ciri standard seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang, sistem pengesan penumpang belakang, cagak ISOFIX dan sistem pengesan kehadiran kanak-kanak (CPD).

EV itu juga turut dilengkapi ciri keselamatan termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Pengesan Titik Buta (BSD) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Perodua QV-E ditawarkan pada harga bermula RM80,000 tidak termasuk insurans, sementara pakej pajakan bateri pula bermula dari RM275/bulan untuk tempoh 9 tahun.

Perodua QV-E 2026 rasmi dilancarkan – harga dari RM80,000

Perodua akhirnya secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, dikenali dengan nama QV-E.

Dengan harga jualan bermula dari RM80,000 (tidak termasuk insurans dan bateri), Perodua QV-E merupakan kereta penumpang pertama di Malaysia yang hadir dengan skim pajakan bateri.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Projek kerjasama dengan Magna Steyr

Untuk makluman, QV-E merupakan projek usahasama antara Perodua dan Magna Steyr!

Untuk itu, sebuah platform serba baharu dibangunkan supaya ia dapat disesuaikan dengan pelbagai jenis bentuk badan kenderaan di dalam segmen A dan B.

Bukan sekadar EV, platform ini juga boleh disesuaikan dengan unit pacuan hibrid, serta EV yang dilengkapi dengan unit penambah jarak (REEV).

 

2. Dimensi

QV-E membawakan ukuran sepanjang 4,170 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,502 mm dengan jarak antara roda speanjang 2,680 mm.

Ia juga turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 158 mm.

Jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, QV-E memiliki kelebihan dimensi yang lebih panjang (+35 mm) dan jarak antara roda 30 mm lebih panjang.

QV-E juga jauh lebih panjang, lebih lebar namun sedikit rendah berbanding model Myvi.

 

3. Prestasi

Perodua QV-E dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 201 hp dan daya kilas 285 Nm, membolehkan pecutan sepantas 7.5 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 165 km/j.

Ini menjadikan QV-E sebagai model Perodua yang paling pantas pernah dihasilkan.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

 

4. Bateri

Pek bateri 52.5 kWh daripada CATL membolehkan EV ini bergerak sejauh 445 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

QV-E menyokong pengecasan AC 6.6 kW di mana bateri boleh dicas penuh 0-100 peratus SoC dalam masa 8 jam.

Untuk memudahkan urusan, pengguna boleh memanfaatkan pengecasan pantas DC 60 kW di mana bateri boleh dicas sepantas 30 minit dari 30-80 peratus SoC.

Bateri ini turut mempunyai sistem sejukan cecair serta penarafan IP68 (air) dan IP69 (habuk).

 

5. Luaran

Reka bentuk SUV coupe pada QV-E membawakan satu kelainan yang tidak didapati pada mana-mana model Perodua sedia ada.

Secara standard, QV-E mendapat ciri seperti rim aloi 18 inci, lampu utama LED berserta lampu nyalaan siang DRL, pemegang pintu terbenam, plastik pelindung pada bahagian sisi, serta spoiler bumbung.

Port pengecasan pula tersedia pada bahagian dapra hadapan sebelah kiri.

 

6. Kabin

Untuk ruang kabin pula, terdapat roda stereng jenis bawah rata, skrin kluster digital 10.25 inci TFT, skrin tengah sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta cermin pandang belakang digital.

QV-E masih lagi mengekalkan butang-butang fizikal untuk fungsi kawalan pendingin hawa di bahagian bawah corong udara, serta tuil pemilihan mod pemanduan dan tombol rotari PRND pada konsol tengah.

Ciri lain termasuklah tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam tahap, sistem pendingin hawa automatik, sistem pencahayaan suasana, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, dan tempat duduk balutan kulit separa.

 

7. Keselamatan

QV-E dibekalkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), kamera perakam pemanduan, cagak ISOFIX dan sistem kamera pemantauan keliling (SVM).

Aspek keselamatan aktif pula terdiri daripada brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), bantuan lebuh raya (HWA), amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem pengesanan titik buta (BSD), amaran keluar lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Terdapat juga ciri pengesan kehadiran kanak-kanak (CPD) untuk tempat duduk baris kedua, serta sistem panggilan kecemasan (SOS).

 

8. Battery as a Service

Perodua menawarkan khidmat pajakan bateri bagi memastikan prestasi yang terjamin sepanjang tempoh kontrak 9-tahun (108 bulan).

Yuran langganan bateri serendah RM275/bulan itu akan dimasukkan sekali ke dalam pembiayaan kenderaan.

Di bawah program ini, bateri tersebut akan berada di bawah pemilikan Perodua, namun boleh dimiliki sepenuhnya oleh pelanggan selepas 9 tahun.

Selepas bateri tersebut mencapai akhir kitaran hayat (End of Life), ia perlu diserahkan kepada Perodua untuk dilupuskan dengan cara yang betul.

Perodua juga turut memasang peranti penjejak bateri (battery tracker) untuk meminimumkan risiko terhadap alam sekitar sekiranya ia dicabut keluar daripada kenderaan atau tersadai untuk satu tempoh masa yang lama.

Program pajakan bateri ini bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan pelanggan terhadap nilai jualan semula EV yang rendah, serta kos penggantian bateri EV yang agak tinggi pada ketika ini.

 

Chery Tiggo 7 PHEV berjaya capai misi 1,200 km tanpa isi minyak – pandu uji

Chery Malaysia telah pun melancarkan model SUV plug-in hybrid terbaharunya Tiggo 7 PHEV dua bulan lepas, dengan harga jualan dari RM129,800.

Ini menjadikan Tiggo 7 PHEV sebagai salah satu pilihan yang cukup berbaloi untuk dipertimbangkan, terutama bagi mereka yang terkesan dengan pelaksanaan subsidi Budi95 dan tidak mahu menjadikan kereta elektrik (EV) sebagai kenderaan utama.

Atas kertas, Chery Tiggo 7 PHEV dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo (143 PS/215 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (204 PS/310 Nm), dengan kuasa keseluruhan 279 PS dan 365 Nm.

Dengan gandingan pek bateri 18.3 kWh (jarak gerak elektrik 90 km) dan tangki bahan api 60 liter, Tiggo 7 PHEV boleh mencapai jarak perjalanan sejauh 1,200 km.

Persoalannya sekarang: mampukah Tiggo 7 PHEV mencapai jarak perjalanan yang didakwa itu?

Baru-baru ini Chery Malaysia menganjurkan sesi pandu uji media yang dinamakan sebagai Endless Horizon Challenge.

Cabarannya mudah, buktikan Tiggo 7 PHEV mampu capai jarak pandu 1,200 km tanpa perlu membuat pengisian bahan api atau mengecas bateri.

Untuk mengelakkan sebarang penipuan, kedua-dua penutup tangki bahan api dan port pengecasan ditampal dengan pelekat, dan kami hanya perlu bergantung sepenuhnya dengan apa yang telah dibekalkan dari garis permulaan.

 

Hari Pertama: Kuala Lumpur-Kuala Terengganu

Perjalanan kami bermula di Bamboo Hills berbekalkan tangki minyak penuh 60 liter dan bateri 100 peratus.

Sementara bacaan di meter pula menunjukkan jarak perjalanan sejauh 862 km, itu pun sudah cukup untuk membuatkan mana-mana pemandu rasa berpeluh. “Boleh ke SUV ni cecah 1,200 km?”

Pemanduan meredah kesesakan trafik pagi di Kuala Lumpur bukanlah satu cabaran besar.

Ini kerana sistem Chery Super Hybrid (CSH) itu dengan pintarnya menentukan operasi yang bertepatan dengan input pendikit yang ditekan oleh kaki kanan pemandu.

Sepanjang masa, ia hanya bergantung kepada operasi motor elektrik, manakala enjin pula hanya masuk campur apabila keadaan memerlukan terutama ketika mendaki laluan bercerun di Lebuhraya KL-Karak.

Dalam mod Tandem, pemandu langsung tidak perasan bila masa enjin diaktifkan lantaran operasinya yang terlalu lancar dan tidak menyalurkan sebarang gegaran kepada penumpang dalam ruang kabin.

Masuk sahaja kawasan Pantai Timur, hujan turun dan keadaan itu memaksa kami untuk memandu pada kelajuan yang lebih perlahan – bukan satu masalah pun kerana kami memang mahu capai misi 1,200 km yang telah ditetapkan.

Ruang kabin juga dirasakan luas, di mana ruang kaki dan kepala yang cukup besar dan boleh mengurangkan rasa penat ketika membuat perjalanan jauh.

Kami tiba di Kuala Terengganu pada jam 8 lebih malam dengan jumlah jarak perjalanan keseluruhan sekitar 471 km, manakala baki jarak perjalanan pula sekitar 721 km.

Kadar penggunaan bahan api pula dicatatkan 3.5 liter untuk setiap 100 km.

 

Hari Kedua: Kuala Terengganu-Royal Belum-Pulau Pinang

Hujan yang turun sejak tengah malam menjadikan hari kedua nampaknya lebih mencabar.

Kami bermula dari Hotel Raia Kuala Terengganu dalam keadaan hujan lebat, menjadikan kelajuan purata lebih rendah berbanding semalam.

Selain itu, kami juga perlu menempuh keadaan jalan biasa yang mempunyai pelbagai jenis kualiti tar dan beberapa kawasan yang dinaiki air.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar kerana Chery Tiggo 7 PHEV ini mempunyai keupayaan untuk meredah air sedalam 500 mm.

Cabaran yang lebih besar menanti kami di laluan Lebuhraya Timur-Barat yang biasanya sinonim dengan lori-lori besar dan haiwan liar.

Ketika menempuh jalan mendaki dan bilangan selekoh yang tidak terhingga, bacaan meter minyak dilihat turun agak pantas berbanding kebiasaan.

Namun disebabkan keadaan jalan yang masih basah, kami memandu Tiggo 7 PHEV dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Setibanya di kawasan Rehat & Rawat Titiwangsa di Gerik, Perak, meter minyak mencatatkan jarak gerak sekitar 470 km sahaja.

Itu pun sudah cukup untuk membuatkan kami bimbang kerana masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh.

Namun, kelebihan CSH terserlah apabila Tiggo 7 PHEV mula menurun cerun di mana sistem mengambil kesempatan untuk mengecas semula bateri menggunakan sistem janaan semula (regenerative).

Kami hanya menggunakan tetapan brek yang paling rendah untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar.

Selepas makan tengah hari di Royal Belum, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pulau Pinang, dan perlu mengambil jalan alternatif disebabkan terdapat laluan yang ditenggelami air sebelum sampai ke Sungai Petani.

Setelah menempuh jarak sejauh 433 km, kami tiba di Hotel Crowne Plaza dengan meter minyak mencatatkan jarak 368 km.

 

Di sepanjang laluan Timur-Barat ini, kami perasan satu perkara: Tiggo 7 PHEV menawarkan tahap pengendalian dan pemanduan yang jauh lebih baik berbanding model ICE.

Kami sempat bertanya tentang hal ini, dan pihak Chery Malaysia mengakui ada talaan khusus diberikan oleh unit R&D tempatan pada Chery Tiggo 7 PHEV untuk menjadikan pengendalian yang lebih baik serta pemanduan yang lebih selesa.

Hal ini akan kami ulas dengan lebih lanjut sekiranya diberikan peluang kelak.

 

Hari Ketiga: Pulau Pinang-Ipoh-Kuala Lumpur

Hari terakhir tiba untuk kami menyelesaikan misi 1,200 km tanpa perlu mengisi minyak dan mengecas bateri.

Dari hotel bermalam di Pulau Pinang, kami meneruskan perjalanan ke arah Ipoh dan Kuala Lumpur merentasi Lebuhraya Utara Selatan.

Selain kesesakan trafik yang biasa berlaku di kawasan Terowong Menora, hujan yang turun sepanjang perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur ‘memaksa’ kami memandu dengan lebih berhemah pada kelajuan yang sopan.

Semua ini demi memastikan Tiggo 7 PHEV ini tidak terkandas di tengah jalan.

Saat meter perjalanan memaparkan angka 1,200 km di kawasan Bestari Jaya, kami bertiga bersorak keriangan kerana berjaya mencapai misi yang telah ditetapkan oleh Chery Malaysia.

Setibanya di Bamboo Hills, Tiggo 7 PHEV ini mencatatkan jarak pemanduan keseluruhan sejauh 1,248 km dengan meter kluster memaparkan jarak gerak tersisa sekitar 93 km dan bateri yang boleh membenarkan SUV ini bergerak sejauh 16 km tanpa setitik petrol.

Kadar penggunaan bahan api secara keseluruhan pula adalah sekitar 4.5 liter per 100 km, jauh lebih rendah berbanding angka rasmi 5 liter/100 km.

Siapa sangka, kenderaan PHEV yang paling murah di Malaysia ini masih mampu menunjukkan prestasi yang setanding dengan model PHEV lain dalam pasaran yang jauh lebih mahal harganya.

Mahukan imej yang sporti? Pengendalian yang meyakinkan? Kabin yang selesa, luas dan senyap? Jimat bahan api? Chery Tiggo 7 PHEV ini dapat memenuhi apa yang anda harapkan.

Kia Sales Malaysia ambil alih operasi daripada Bermaz bermula Januari 2026

Setelah empat tahun, Kia Corporation dan Bermaz Auto Berhad akhirnya menamatkan kerjasama strategik sekaligus menandakan era baharu operasi Kia di Malaysia.

Bermula 1 Januari 2026, Kia Sales Malaysia akan mengambil alih segala aspek urusan jualan, selepas jualan, pemasaran, khidmat pelanggan, serta latihan di seluruh Malaysia daripada Bermaz.

Entiti baharu itu akan diterajui oleh Hyung Ho Kim selaku Presiden dan CEO, dan Emily Lek sebagai Pengarah Urusan yang sebelum ini pernah berkhidmat di Omoda | Jaecoo Malaysia.

Dalam satu kenyataan rasmi, Ki Seok Ahn selaku Presiden dan CEO Kia Asia Pasifik berkata, “Kia amat teruja untuk memperkukuhkan semula kehadiran jenama di Malaysia.

“Kami percaya strategi dan inovasi berpusatkan pelanggan akan terus memperkayakan pengalaman pelanggan dalam usaha kami untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri automotif Malaysia.

Kia Sales Malaysia juga akan terus membuat penambahbaikan terhadap jaringan pengedar Kia, pelaburan untuk perkhidmatan selepas jualan serta pengenalan model baharu kelak.

Sepanjang tempoh peralihan ini, mana-mana tempahan yang telah dibuat sebelum 30 November akan terus dipenuhi.

Pelanggan boleh membuat tempahan untuk kenderaan baharu bermula Januari 2026 demi memberikan laluan kepada peralihan operasi yang lebih lancar.

 

Yamaha Ego Gear Pro rasmi di Malaysia – harga RM6,198

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan ketibaan skuter baharu Yamaha Ego Gear Pro dengan harga jualan RM6,198 tidak termasuk insurans.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc Blue Core Hybrid dengan bantuan Smart Motor Generator (SMG), menghasilkan kuasa 8.4 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 9.9 Nm @ 5,000 rpm.

Enjin ini turut mendapat fungsi Power Assist untuk pecutan yang lebih bertenaga, diikuti operasi Start & Stop yang lebih lancar.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dibantu dengan tetapan lengan ayun dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED, lantai pijak anti-gelincir yang lebar, ruang storan bawah pelana 18.6 liter, tangki bahan api sebesar 5.1 liter, skrin paparan LCD serta sokongan sambungan kepada aplikasi Y-Connect.

Terdapat tiga warna iaitu Stellar White, Navy Green dan Cosmic Blu.

iCaur V23 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM119,800

iCaur Malaysia baru-baru ini mengumumkan harga jualan rasmi bagi SUV off-road elektrik V23 untuk pasaran tempatan, bermula dari RM119,800 untuk versi 2WD, dan RM132,800 untuk versi iWD.

Varian 2WD dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan 136 PS dan 180 Nm, digandingkan dengan bateri LFP 59.9 kWh untuk jarak pandu sejauh 360 km (data NEDC).

Sementara varian iWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 211 PS dan 292 Nm, bateri NMC 81.8 kWh untuk jarak gerak sejauh 430 km.

V23 menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC 85 kW, atau sehingga 104 kW untuk varian iWD.

V23 membawakan ukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.

Dengan unjuran pendek di kedua-dua hujung, V23 boleh menawarkan sudut pelepasan 41 darjah serta sudut pendekatan 42 darjah.

Tidak ketinggalan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, dan keupayaan untuk meredah air sedalam 600 mm.

Antara ciri di bahagian luar termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang LED, tempat pemijak sisi, serta rim saiz 21 inci atau saiz 19 inci untuk varian 2WD.

Ruang kabin V23 menempatkan skrin infohibur sebesar 15.4 inci yang dipacu oleh unit pemproses Qualcomm Snapdragon 8155, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio dengan 7 pembesar suara, serta butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan mod pemanduan (Eco, Comfort, Sport, Individual, Slippery, Off-road).

Ruang kargo adalah sebesar 234 liter, dan boleh mencecah sehingga 744 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Ciri keselamatan termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran penukaran lorong (LCW), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran belakang (RCW), pengelakan keluar lorong (LDP), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pengesanan titik buta (BSD) dan amaran bukaan pintu (DOW).

Selain itu, terdapat juga sistem kamera keliling (AVM) 540 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga unit pembaca NFC yang diletakkan di dapra sisi pemandu.

Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Off Road Orange, Khaki White, Army Green, Slate Silver dan Carbon Black.

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej berikut:

  • Jaminan kenderaan 7-tahun atau had 150,000 km
  • Jaminan bateri dan unit pacuan 8-tahun atau had 160,000 km
  • Jaminan penggantian bateri sekiranya SoC turun bawah 70 peratus

Untuk 1,000 pembeli pertama, iCaur Malaysia menawarkan pengecas dinding 7 kW percuma bernilai RM3,400 serta unit kluster instrumen tambahan bersaiz 6.86 inci bernilai RM1,000.

Selain itu, pembeli akan menerima jaminan lanjutan bateri, motor elektrik dan unit kawalan kuasa sehingga 10 tahun atau had 200,000 km.

Proton Saga 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – dari RM37,990

Proton akhirnya secara rasmi mengumumkan harga jualan bagi sedan Proton Saga 2026 untuk pasaran Malaysia.

Berikut merupakan harga jualan bagi setiap varian yang ditawarkan:

  • 1.5 Standard – RM37,990
  • 1.5 Executive – RM43,990
  • 1.5 Premium – RM48,990

Proton Saga 2026 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter i-GT yang mampu menjana kuasa 120 PS @ 6,100 rpm dan daya kilas 150 Nm @ 4,000 rpm.

Terdapat dua pilihan transmisi, iaitu automatik 4-kelajuan untuk varian Standard dan Executive, sementara varian Premium pula mendapat kotak gear CVT.

Dari segi dimensi, Saga baharu membawakan ukuran sepanjang 4,390 mm, lebar 1,690 mm, tinggi 1,525 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,465 mm. Radius putaran adalah sekecil 5.2 meter.

Suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di depan, dibantu dengan tetapan torsion beam di belakang.

Antara ciri luaran yang tersedia termasuklah unit lampu projektor LED, lampu nyalaan siang DRL LED, rim aloi 15 inci (14 inci untuk varian Standard), cermin sisi larasan elektrik, serta lampu belakang LED melintang penuh.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster meter tujuh inci, skrin infohibur sebesar 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara (dua untuk varian Standard), tempat duduk balutan leatherette (fabrik untuk dua varian terendah), dan port pengecasan USB.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HHA), serta fungsi-fungsi ADAS seperti:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHBC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)

Seiko lancar 3 jam tangan bertemakan jentera lagenda Datsun 240Z, harga serendah RM4,500

Pengeluar jam tangan terkemuka dunia Seiko mengumumkan tiga model jam tangan baharu di bawah siri Speedtimer, iaitu SPB517, SRQ057 dan SSC957.

Ketiga-tiga jam tangan tersebut mempunyai rekaan tersendiri yang diinspirasikan daripada jentera lagenda Datsun 240Z.

Jam tangan SPB517 menampilkan logo klasik Datsun pada bahagian dial dan penutup belakang.

Seiko SPB517 dikuasakan oleh pergerakan automatik Caliber 6R55, dengan casis 39.5 mm dan ketahanan kalis air sehingga 20 bar.

Hanya 2,500 unit sahaja dihasilkan, dan setiap satu dijual pada harga RM6,000.

Sementara SRQ057 pula mempunyai nama Datsun dalam tulisan berangkai, dan logo Datsun yang digunakan pada jentera rali pada komponen penutup belakang.

Jam tangan Seiko SRQ057 pula dikuasakan oleh pergerakan automatik Caliber 8R48 yang dilindungi casis 42 mm, dan ketahanan kalis air 10 bar.

Hanya 500 unit sahaja tersedia dan setiap satu berharga RM16,500.

Akhir sekali, SSC957 menampilkan tulisan Datsun dalam fon yang lebih kemas, dan penutup belakang yang mempunyai lakaran asli Datsun 240Z.

Seiko SSC957 mempunyai sistem pergerakan chronograph solar V192 dengan casis sebesar 41.4 mm dan ketahanan kalis air sehingga 10 bar.

Hanya 4,000 unit sahaja yang akan dihasilkan, setiap satu dijual pada harga bermula dari RM4,500.

Siri Speedtimer bermula pada tahun 1969 di mana Seiko pada ketika itu melancarkan jam tangan chronograph automatik yang pertama di dunia yang menampilkan teknologi canggih klac menegak (vertical clutch) dan roda kolum (column wheel).

Pada tahun yang sama, Datsun 240Z menjadi satu model yang sangat popular di seluruh dunia, terutama di Jepun dan Amerika Utara.

Berkongsi semangat untuk menyahut cabaran, Seiko turut menyokong aktiviti sukan permotoran Datsun 240Z pada awal 1970-an.

Pada tahun 1971, Datsun 240Z bernombor 11 dan logo Seiko di bahagian sisi berjaya meraih kejayaan di dalam Rali Safari Afrika Timur sejauh 6,200 km yang disifatkan sebagai salah satu perlumbaan paling sukar di dunia.