fbpx

Ini kos ganti tayar Kia EV6 di Malaysia, jangan terkejut pula

Kia-EV6_UK-Version-2022-1600-c8

ORANG ramai sering mengganggap kos penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE).

Ini mungkin benar untuk penyelenggaraan komponen-komponen tertentu namun untuk penukaran tayar, pemilik sebenarnya perlu mengeluarkan belanja yang lebih tinggi.

Menurut perkongsian Alexander Wong dari SoyaCincau, salah sebiji tayar Kia EV6 yang dipandu beliau pancit dalam perjalanan ke utara baru-baru ini.

Sumber gambar: Alexander Wong/SoyaCincau

Oleh kerana EV6 tidak didatangkan dengan tayar ganti dan kit pembaikan tayar sekali guna yang dibekalkan tidak dapat membantu akibat saiz lubang yang terlalu besar, kereta terpaksa ditunda ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan sebut harga daripada Kia Malaysia, sebiji tayar Continental PremiumContact 6 berukuran 255/45 R20 berharga RM2,412, hampir RM1,000 lebih mahal berbanding tayar yang sama bagi kereta bukan EV.

Sementara itu, kos sealant adalah RM251.50 dan kos buruh adalah RM130, menjadikan kos keseluruhan penukaran sebiji tayar kepada RM2,793.50. Untuk penukaran keempat-empat tayar, rasanya anda sendiri boleh kira kos yang diperlukan.

Sumber gambar: Alexander Wong/SoyaCincau

Kenapa mahal sangat?

Apa yang menarik, tayar PremiumContact 6 merupakan tayar OEM untuk EV6 bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah juga untuk pasaran-pasaran negara lain.

Dibangunkan khusus untuk kegunaan EV, tayar PremiumContact 6 didatangkan dengan teknologi ContiSilent yang menggunakan busa polyurethan pada bahagian dalaman untuk mengurangkan bunyi golekan tayar di dalam kabin sehingga 9 dB.

Selain itu, ia juga menawarkan rintangan golekan yang rendah bagi membantu EV6 mencapai jarak pemanduan yang lebih jauh, serta mempunyai kompaun bunga yang dioptimumkan untuk prestasi brek di atas jalan basah.

Menurut Alexander, Continental bukanlah satu-satunya jenama yang mengenakan harga melebihi RM2,000 untuk sebiji tayar 20 inci. Pemeriksaannya mendapati tayar Michelin Pilot Sport EV yang digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 Max dijual pada harga kira-kira RM2,400 sebiji.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved