fbpx

Kia Carnival adalah alternatif kepada Alphard/Vellfire yang berbaloi – Pandu Uji

Kia Carnival 8 seater pandu uji 01

Di Malaysia, jika bercakap tentang MPV mewah, suka atau tidak suka model-model yang akan terlintas di fikiran adalah Toyota Alphard dan Vellfire.

Sekali sekala, Mercedes-Benz Vito dan Lexus LM akan meniti di bibir mereka yang bercitarasa kayangan tetapi selain daripada itu, memang Alphard dan Vellfire sentiasa menjadi sebutan.

Tiada salahnya kerana penulis pasti kedua-dua model berkenaan memang hebat dan berbaloi untuk dibeli tetapi jika anda inginkan kelainan, pesaing terdekat mereka iaitu Kia Carnival memang berbaloi untuk dimiliki.

Kenapa?

Pertama sekali, saiz. Penulis berpendapat mereka yang membeli MPV biasanya meletakkan ‘saiz’ sebagai antara kriteria tertinggi sebelum membuat keputusan.

Oleh itu jika anda inginkan sebuah kenderaan yang cukup besar dan luas, dapatkan Carnival kerana ia sebenarnya lebih besar berbanding Alphard/Vellfire.

Sebagai perbandingan, Carnival mempunyai ukuran panjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,740 mm dan jarak roda 3,090 mm.

Kembar Alphard/Vellfire pula berukuran panjang 5,010 mm (5,005 mm untuk Vellfire), lebar 1,850 mm, dan tinggi 1,950 mm, dengan jarak roda 3,000 mm.

Dari segi reka bentuk pula, Carnival membawakan rekaan lebih sporty yang nampak lebih seperti sebuah wagon panjang kerana badannya yang rendah dan lebar. Ini diserlahkan lagi dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam, yang menggantikan rim 18 inci sebelum ini.

MPV-MPV Toyota itu pula tidaklah hodoh tetapi rekaan berkotaknya membuatkan kedua-duanya nampak sedikit konvensional jika diletakkan bersebelahan lawannya dari Korea itu.

Untuk ruang dalaman, penulis boleh katakan yang kualiti dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh Carnival setanding dengan model-model Jepun itu walaupun hakikatnya perbezaan harga antara model-model ini mencecah hampir RM300,000!

Ya, harus diakui bahawa Alphard/Vellfire terasa lebih mewah sedikit memandangkan ia menampilkan sentuhan Lexus dan material lebih premium seperti balutan kulit Nappa, namun Carnival juga tidak kurang hebatnya.

Material yang membaluti tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu dirasakan cukup berkualiti, begitu juga dengan segala butang fizikal yang ada.

Kelengkapan yang ada juga cukup banyak. Antaranya termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa tiga zon, fungsi pemanas dan ventilasi tempat duduk pemandu dan penumpang depan, serta sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Bukan itu sahaja, Carnival varian High juga mendapat sistem Blind Spot View Monitor (BVM) yang berfungsi untuk memaparkan paparan video dari kamera cermin sisi pada kluster instrumen digital. Ciri ini boleh diaktifkan dengan menggunakan lampu isyarat membelok.

Secara ringkasnya, penulis boleh katakan kualiti dan kelengkapan yang ditawarkan oleh Carnival berbaloi dengan harganya yang hampir mencecah RM250,000.

Unit yang penulis pandu uji baru-baru ini adalah varian 8 tempat duduk yang mempunyai konfigurasi 2-3-3. Kerusi tengah pada tempat duduk barisan kedua cukup besar untuk penumpang dewasa tetapi jika ia tidak digunakan, ia boleh dilipat menjadi meja kecil, lengkap dengan dua pemegang cawan.

Apa yang lebih menarik, kerusi itu juga boleh dipusingkan ke belakang bagi menghadap tempat duduk barisan ketiga atau ditanggalkan terus.

Bagi mana-mana MPV pun, tempat terbaik untuk duduk adalah di belakang sebagai penumpang. Sama sahaja dengan Carnival, di mana keselesaan penumpang terjamin dengan adanya kawalan pendingin hawa sendiri pada bahagian bumbung, penghadang cahaya matahari dan bumbung suria.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak juga tidak perlu berebut port untuk mengecas gajet masing-masing kerana di dalam Carnival, setiap tempat duduk mempunyai port USB masing-masing.

Menjadi perkara lazim bagi mana-mana kenderaan tiga barisan tempat duduk mempunyai ruang kargo yang terhad apabila semua kerusi dinaikkan. Dengan Carnival, ini bukan satu masalah kerana di bawah tempat duduk barisan ketiga adalah ruang storan yang besar dan dalam.

Bagaimana dengan prestasi pemanduannya?

Carnival dikuasakan oleh enjin turbodiesel Smartstream 2.2-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda depan.

Enjin ini menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm yang boleh diakses sepenuhnya seawal 1,750 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin turbo 2.4-liter pada Alphard, kuasa kudanya lebih rendah namun jumlah torknya lebih tinggi sedikit sebanyak 10 Nm.

Seperti yang boleh dijangka dari enjin diesel, ketersediaan tork pada julat rpm rendah membuatkan Carnival terasa lancar sewaktu mula bergerak. Malah cara ia memecut langsung bukan seperti sebuah kenderaan dengan berat melebihi dua tan.

Ketika menyusuri lebuh raya, enjin terasa begitu senyap. Jika anda perlu memotong, jangan risau tentang kuasa kerana ia sentiasa terasa cukup walaupun dalam mod Normal.

Kotak gear agak responsif, bermakna anda boleh tekan pedal bila-bila masa sahaja dan ia akan segera menurunkan gear bagi memberikan hamburan kuasa yang diperlukan bagi membolehkan Carnival memotong dengan mudah.

Dengan penyelarasan harga diesel, mungkin ada di antara anda yang khuatir tentang kadar penggunaan bahan api Carnival.

Untuk pengetahuan anda, penulis mencatat penggunaan bahan api sekitar 15 km/l atau 6.7 l/100 km untuk pemanduan bercampur iaitu di bandar dan lebuh raya.

Carnival mempunyai tangki bahan api sebesar 72 liter, bermakna secara teorinya, penulis boleh memandu sejauh kira-kira 1,080 km sebelum perlu membuat pengisian semula.

Sekiranya anda membayar harga diesel tanpa subsidi iaitu RM3.35 seliter, anda perlu membelanjakan sebanyak RM241.20 untuk isian penuh. Adakah berbaloi membayar RM241.20 untuk jarak pemanduan melebihi 1,000 km? Terpulang kepada anda.

Akhir sekali, talaan suspensi dan NVH Carnival juga patut dipuji. Suspensinya agak lembut, bermakna anda boleh melalui permukaan tidak rata dengan yakin dan tanpa perlu menekan brek dengan terlalu kerap.

Walaupun begitu, ada sesuatu pada talaan suspensi yang membuatkan ia Carnival terasa cukup kukuh dan stabil pada kelajuan tinggi. Ini sebenarnya yang membuatkan MPV ini sedap untuk dilenjan.

Aspek NVH dijaga rapi dan sebagai penumpang, anda pastinya akan mengalami perjalanan yang selesa kerana bunyi angin dan tayar diminimumkan dengan cemerlang. Bunyi enjin diesel itu juga jarang kedengaran, kecuali jika anda berdiri di luar.

Konklusi?

Tidak banyak perkara yang penulis boleh katakan tentang Carnival kecuali ia cukup bagus, seronok untuk dipandu dan ada segalanya untuk memenuhi keperluan pembeli. Dan yang paling bagus, harganya yang kompetitif bermakna ia lebih mudah diakses oleh lebih ramai pembeli dalam segmen MPV.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan yang penyelarasan harga diesel mungkin membuatkan sesetengah pihak berfikir dua kali untuk mendapatkan kereta ini.

Tetapi bagi penulis, jika anda boleh berkira-kira untuk membeli sebuah MPV besar dengan harga melebihi RM200,000, anda sebenarnya sudah mampu untuk membayar bahan api tanpa subsidi.

Spesifikasi Kia Carnival 8-Seater High

Harga: RM245,888
Enjin: Smartstream 2.2-liter, empat silinder turbodiesel
Kotak gear: Automatik lapan kelajuan
Kuasa: 202 PS @ 3,800 rpm
Tork: 440 Nm @ 1,750 rpm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved