Nissan dedah teaser Skyline generasi baharu
Setelah 12 tahun berlalu, Nissan akhirnya bersedia untuk menggantikan sedan Skyline sedia ada dengan model generasi baharu.
Pengeluar Jepun itu turut sama mendedahkan beberapa keping gambar acah yang menunjukkan rupa depan dan belakang sedan sporti itu.
Ilham model Skyline terdahulu
Menurut pengarah rekaan global Nissan Alfonso Albaisa, Skyline baharu ini mengambil ilham daripada model Skyline yang lama.
Pengaruh sedan terdahulu (terutama Hakosuka) boleh dilihat pada bentuk lampu depan yang bersegi dan agresif.
Terdapat juga logo ‘S’ pada bahagian depan.
Bahagian belakang pula menampilkan unit lampu berbentuk bulat berkembar, diikuti dengan tulisan berangkai ‘Skyline’ pada bahagian fender sisi.
Buat masa ini, tiada sebarang perincian lanjut tentang spesifikasi enjin yang bakal digunakan pada model Skyline baharu ini.
Kemunculan versi GT-R?
Kehadiran sedan Skyline generasi baharu sayang sekali tidak memberikan petunjuk tentang kehadiran model baharu GT-R.
Ini kerana GT-R merupakan plet nama prestasi tinggi yang berdiri sendiri sejak berpisah daripada model R34 dan diguna pakai pada model R35 sejak tahun 2007.
Tiga model baharu selain Skyline
Dalam masa yang sama, Nissan turut mendedahkan tiga buah model serba baharu, iaitu Nissan Juke EV, Nissan Rogue/X-Trail e-Power dan Nissan XTerra.
Nissan Juke EV dibina berdasarkan platform CMF-EV, menampilkan rekaan yang jauh lebih radikal.
Nissan Rogue e-Power pula dilengkapi dengan sistem rangkaian kuasa yang terdiri daripada enjin 3-silinder dan dua motor elektrik.
Akhir sekali Nissan XTerra, sebuah SUV body-on-frame yang bakal tiba pada tahun 2028, dan membawakan rekaan hadapan yang agresif.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.





