Arkib Tag: UMW Toyota Motor

6,637 kereta Toyota dan Lexus dijual pada Julai 2022, Hilux kekal trak pikap terlaris Malaysia

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan kemaraan mereka dengan mendaftarkan sebanyak 6,624 unit kenderaan Toyota dan 13 unit kenderaan Lexus pada bulan Julai 2022.

Dengan catatan ini, jualan keseluruhan UMWT bagi Julai 2022 adalah 6,637 unit manakala jumlah jualan tahunan setakat ini adalah 52,548 unit, naik 48% berbanding 35,561 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Toyota Hilux mengekalkan gelarannya sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005 dengan jualan sebanyak 1,788 unit pada bulan lalu.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata pihaknya sedang bertungkus-lumus untuk mempergiatkan pengeluaran bagi memastikan penghantaran lebih cepat kepada pemilik kereta baharu yang telah sabar menunggu.

“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas kesabaran dan pemahaman mereka,” tambah beliau.

Promosi Yaris dan Vios

Untuk bulan Ogos, UMWT menawarkan faedah bernilai RM4,000 di samping rebat tunai kepada peminat Yaris dan Vios. Syarikat itu menjangkakan jualan akan terus meningkat apabila rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran dan penjimatan untuk menaik taraf kepada kenderaan moden dengan prestasi hebat, ciri keselamatan canggih dan keselesaan.

Sasaran neutraliti karbon

Sejajar dengan komitmen Toyota Global untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan menyokong Toyota Environmental Challenge 2050, UMWT baru-baru ini telah mengadakan dua program iaitu penanaman pokok di Kuala Selangor Nature Park dan ‘Hike and Clean’ di Bukit Broga, Semenyih.

Program penanaman pokok itu menyaksikan seramai 80 peserta menanam sebanyak 1,500 anak pokok bakau yang bakal tumbuh untuk bertindak sebagai sink karbon yang dapat mengasingkan dua hingga empat kali lebih banyak karbon berbanding hutan hujan matang.

Sementara itu, aktiviti ‘Hike and Clean’ pula merupakan sebahagian daripada Toyota Environmental Challenge 2050 yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat masa depan yang hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.

UMW Toyota jual hampir 9,000 kenderaan pada Jun 2022

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa untuk bulan Jun 2022, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 8,939 unit, dengan 8,870 unit disumbangkan oleh Toyota dan 69 unit oleh Lexus. Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding jualan keseluruhan pada Mei iaitu 7,579 unit.

Dengan angka jualan Jun ini, jualan tahunan UMWT kini berada pada 45,911 unit bagi kedua-kedua jenama, 35% lebih tinggi berbanding 34,111 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut UMWT, penamatan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka akan memberikan impak negatif jangka pendek pada jualan, namun kesannya akan dikurangkan dengan tanda-tanda awal pemulihan semula bekalan semi konduktor dan cip mikro pada separuh kedua tahun ini.

Ini membolehkan syarikat meningkatkan produksi dan dengan pelancaran model-model baharu yang lebih canggih, pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

“Masuk ke separuh kedua 2022, UMW Toyota Motor kini memfokuskan kepada ‘Extra Mile’ untuk memberikan pemilik Toyota pengalaman pemilikan dan selepas jualan terbaik. Memandang ke depan, perubahan tingkah laku pengguna mungkin akan meletakkan nilai pada teknologi automotif termaju dan ciri keselamatan komprehensif yang disokong oleh pelbagai perkhidmatan selepas jualan,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

Seperti yang diumumkan pada Jun lalu, UMWT akan melancarkan Toyota Veloz serba baharu. Ditawarkan dalam satu varian sahaja, pengganti Avanza itu hadir dengan enjin 1.5-liter dan transmisi D-CVT serta platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan suspensi baharu.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), skrin sentuh berukuran sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan tidak dilupakan pengecas wayarles Qi.