Arkib Tag: rekod

Mercedes Vision EQXX berjaya jelajah lebih 1,000km, masih berbaki 300km

MERCEDES sekali lagi menghantar kereta elektrik (EV) konsep mereka – Vision EQXX – untuk perjalanan jarak jauh bagi menguji kecekapannya. Kali ini, ia diuji di Semenanjung Arab, dan digunakan bagi membuktikan EV boleh dipandu jauh walaupun dengan kepanasan padang pasir.

Vision EQXX baru-baru ini menjelajah sejauh 627.6 batu (1,010km) dari Mercedes-Benz Center di Riyadh, Arab Saudi ke Mercedes-Benz Brand Center di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Perjalanan itu mengambil masa 14 jam 42 minit.

Walaupun suhu mencecah 34 darjah Celsius, EV itu tetap cekap dengan penggunaan kuasa 7.4kWh per 100km sahaja. Sebagai perbandingan, ia mencatatkan 8.3kWh/100km semasa ujian dari Jerman ke England.

Vision EQXX juga mempunyai baki jarak 192 batu (309km) semasa ia sampai ke destinasi di Dubai. Ini bermakna, secara teori, EV ini mampu dipandu sejauh 820 batu (1,319km) dengan cas penuh.

Ujian ini suatu keputusan positif buat jurutera Mercedes kerana suhu ekstrem (terlalu panas atau sejuk) boleh memberi kesan negatif kepada jarak pemanduan EV.

Bagi mengurangkan kesan suhu kepada bateri, Vision EQXX menggunakan pam haba khas untuk menyejukkan kabin, yang mana Mercedes dakwa hampir tidak memberikan kesan kepada jarak pemanduan.

Untuk lebih menjaga lagi kecekapan kuasa, unit Vision EQXX ujian ini dilengkapi dengan 117 sel solar. Semasa ujian ini, sel itu menjana 1.8kWh tenaga, menambahkan jarak sebanyak 15 batu (24km). Mercedes berkata mereka akan menggunakan ciri ini untuk kereta produksi.

Turut diuji dalam pemanduan ini ialah sistem bantuan pintar padanya. Sistem ini mencadangkan kepada pemandu bagaimana memandu dengan lebih cekap, dan ia memang benar-benar pintar.

Dalam kes ini, ia turut mengambil kira angin lintang dari pantai untuk membantu pemandu memaksimakan jarak dari bateri. Semasa berhenti pula, ia membantu mencari ruang parkir paling ideal untuk mendapat cahaya matahari bagi mengecas sistem solar.

Porsche Taycan Turbo GT didedahkan – 1,019hp dalam Attack Mode, 0-100 2.2 saat

PORSCHE Taycan varian asas sudah pantass, dengan pecutan 0-100 dalam masa 4 saat. Kemudian ada Taycan Turbo S pula dengan kemampuan mencapai 100km/j dalam 2.3 saat. Jika itu pun belum cukup pantas bagi anda, terimalah Taycan Turbo GT.

Ianya versi paling berkuasa pernah Porsche hasilkan. Ia mampu menghasilkan 777hp dan 1,339Nm tork dalam keadaan standard. Kuasa boleh dinaikkan menjadi 1,019hp dalam Attack Mode. Amacam, cukup?

Sama seperti butang push-to-pass dalam Taycan biasa, Attack Mode ini melonjakkan kuasa selama 10 saat.

Dari segi prestasi, 0-100 kini boleh dicapai dalam masa 2.2 saat. Dan jika anda pilih pakej Weissach, pecutan menjadi 2.1 saat sahaja. Kemudian dalam masa 6.6 saat, Taycan Turbo GT sudah mencapai 200km/j, dan hanya 6.4 saat diperlukan untuk versi Wiessach.

Rahsia utama kepada prestasi gila ini adalah penggunaan silikon karbida pada inverter yang menjana sehingga 900 amps kepada motor belakang, berbanding 600 amps pada model Turbo S. Dipadankan dengan motor elektrik baharu, ianya lebih ringan dan cekap berbanding sebelumnya.

Pengurangan berat juga berlaku di bahagian lain seperti gentian karbon di tiang-B, cermin sisi, dan skirt sisi.

Brek karbon-seramik dan rim 21-inci juga adalah lebih ringan, dan ini dibaluti dengan tayar Pirelli P Zero Trofeo R. Jika anda pilih versi Weissach, ia akan ‘buang’ terus tempat duduk belakang.

Ciri standard lain pada Taycan Turbo GT ini adalah suspensi Active Ride, pakej aerodinamik baharu, dan spoiler belakang dengan jahitan gentian karbon unik. Ini memberikan Taycan Turbo GT Weissach sebanyak 458 pound downforce.

Bahagian kabinnya mendapat balutan kulit Race-tex dan Sports Seats Plus adaptif dengan pelarasan 18-arah dan jahitan logo Turbo GT.

Taycan Turbo GT menjadi model Taycan paling berkemampuan di litar. Dan seperti yang boleh dijangka dari Porsche, mereka telah pun membuktikannya.

Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach telah mencatat masa terpantas untuk kereta elektrik EV di Laguna Seca dengan masa 1:27.87.

Model prototaip pula telah mencatatkan masa 7:07.55 di Nurburgring, menjadikannya lebih pantas dari mana-mana model sedan empat-pintu di litar Green Hell itu.

Thailand-Malaysia-Singapura dalam masa 29 jam sahaja dengan EV, Porsche cipta rekod

PORSCHE baru-baru ini mencipta rekod terpantas untuk pemanduan dari Thailand ke Singapura dengan memandu kereta elektrik (EV).

Rekod itu dicipta dengan Porsche Taycan yang dipandu oleh tiga wartawan permotoran; Pholpat Salayakanond (Thailand), Pan Eu Jin (Malaysia), dan Desmond Chan (Singapura). Mereka mengambil masa 29 jam 15 minit sahaja.

Semua pemandu mengambil tugas secara bergilir-gilir sepanjang 1,845km perjalanan. Mereka hanya berhenti beberapa kali untuk mengecas kenderaan di stesen Shell Recharge HPC.

Rangkaian ini mempunyai pengecas dengan kapasiti antara 180kW hingga 360kW. Digandingkan dengan bateri 800volt pada Taycan, setiap pengecasan mengambil masa tidak lebih dari 25 minit secara purata.

“Bersama dengan Porsche Singapore dan Porsche Thailand, kami berbangga dapat membuat pemanduan melepasi tiga negara yang pertama menggunakan EV. Ini membuktikan perjalanan mudah untuk jarak jauh dengan EV adalah tidak mustahil,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

Jentera yang digunakan untuk pemanduan rekod ini ialah Porsche Taycan 4S Cross Turismo yang telah disediakan khas. Ia mendapat ruang simpanan dan jarak kelegaan tanah tambahan.

Taycan 4S Cross Turismo ini juga menerima kemaskini perisian terkini pada 2022, dengan Performance Battery Plus, membolehkannya dipandu sehingga 512km setiap cas. Semua ini hasil pengurusan haba inovatif, de-coupling motor elektrik dan sistem pengurusan tenaga ditambah baik.

Kesemua pemandu memulakan perjalanan awal pagi dari stesen Shell Recharge di Bang Yai, di pinggir Bangkok. Selesai mengecas pada jam 4 pagi, mereka terus memandu menghala ke destinasi penamat di Singapura.

Sepanjang perjalanan, kereta mematuhi had laju supaya rekod kekal sah dan memastikan kecekapan bateri pada tahap optima.

Pemanduan sebegini cukup menarik dan kami teruja untuk melihat lebih banyak pengeluar menjalankan aktiviti serupa. Pada masa yang sama, stesen pengecasan juga boleh ditambah di lebih banyak lebuh raya seluruh negara.

Raja baru di Nurburgring! Mercedes-AMG One lapan saat lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS

MERCEDES-AMG One telah membuat pusingan terpantas di Litar Nurburgring dengan catatan masa 6 minit 35.183 saat.

Catatan masa ini adalah lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS dengan pakej Manthey Racing yang mencatatkan pusingan 6 minit 43.0 saat, perbezaan sebanyak 7.817 saat.

Ini bermakna Mercedes-AMG One kini merupakan raja terbaharu di litar sepanjang 20.8km dengan jolokan nama The Green Hell itu.

Cubaan rekod pada 28 Oktober itu walaubagaimanapun menghadapi beberapa cabaran. Semasa mereka memulakan pemanduan, masih terdapat beberapa kawasan lembap di litar, termasuk di ‘racing line’ sesetengah sektor.

Semasa keadaan bertambah baik, pasukan Mercedes mempunyai masa kurang dari sejam sebelum slot mereka tamat. Pemandunya, Maro Engel hanya sempat membuat empat pusingan.

Engel telah pun mencipta rekod baharu sebelum masa tamat, tetapi keadaan litar masih sedang bertambah baik. Dia keluar untuk satu lagi pusingan terakhir dan berjaya mencatat masa lebih pantas.

“Saya tidak menjangkakan dapat mencatat masa sepantas itu dengan keadaan litar sebegini. Di beberapa kawasan penting, ia belum benar-benar kering, jadi agak sukar. Ianya satu cabaran unik,” kata Engel.

Mercedes juga telah melantik pakar untuk memastikan kereta yang digunakan merupakan spesifikasi produksi. Setup pada AMG One itu termasuklah angka camber pada suspensi supaya tayar berada pada tahap toleransi maksima.

Mercedes berkata pemilik biasa pun boleh menala kereta mereka seperti jentera yang digunakan untuk rekod itu.

Mercedes-AMG One dipacu oleh enjin 1.6-liter V6 dari Formula 1 dengan empat motor elektrik dan menjana 1,049hp.

Ia mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat dan mencapai 200km/j dalam 7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 352km/j.

Semasa di Nurburgring, Engel berjaya memandu One hingga mencapai 338km/j di bahagian lurus Döttinger Höhe.

Ini kereta EV paling pantas di Nurburgring – Porsche Taycan Turbo S, catatan 7:33 sahaja

PORSCHE sangat sinonim dengan ‘taman permainan’ mereka iaitu litar Nurburgring Nordschleife, boleh dikatakan hampir setiap model baharu jenama itu akan diuji di sini.

Dan dalam perkembangan terkini, Porsche Taycan Turbo S telah memecahkan rekod kenderaan elektrik (EV) terpantas di litar Green Hell itu, dengan catatan masa 7 minit 33 saat, dipandu oleh pemandu pembangunan Porsche, Lars Kern.

Sedan elektrik itu dilengkapi dengan kit prestasi baharu dan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC), lain-lain dari itu segalanya standard kilang. Cuma ia juga dipasang dengan tempat duduk perlumbaan dan sangkar guling (roll-cage) untuk tujuan keselamatan semasa ujian.

Sesi pemanduan di litar sepanjang 20.8km itu dipandu oleh wakil dari TÜV Rheinland untuk mengesahkan rekod bagi kenderaan produksi standard.

Berkenaan kit prestasi tadi, ia merangkumi rim RS-Spyder 21-inci dan tayar jalanan Pirelli P Zero Corsa baharu dengan kompaun sama dengan tayar perlumbaan.

Satu lagi elemen kit prestasi adalah Porsche 4D Chassis Control yang berfungsi dengan serasi dengan tayar sports baharu tadi. Sistem ini mampu menganalisis dan memadankan semua sistem casis Taycan secara langsung.

“Pada masa lepas, hanya kereta super sports yang mampu mencapai dalam julat 7:33,” kata Kern. “Dengan kit prestasi baharu ini saya mampu push lebih lagi dan kereta juga terasa lebih lincah dan tepat.”

Kit prestasi ini ditawarkan melalui Porsche Tequipment, dan buat masa ini hanya didapati di pasaran Jerman untuk Taycan Turbo S 2023. Walaubagaimanapun Porsche merancang untuk membolehkan pemasangan secara retrofit di bengkel-bengkel di Zuffenhausen. Jaminan pada kereta juga tidak terjejas.

Tayar sports ini direka khas untuk pemanduan di litar dan pemilik boleh menukar semula ke tayar standard bila-bila masa.

“Kami berbesar hati dengan rekod Nurburgring bagi kereta EV kini kembali ke tangan Porsche,” kata Kevin Giek, Vice President untuk Model Line Taycan.

Porsche Taycan Turbo S mempunyai kuasa standard setinggi 625hp dan dengan Launch Control, kuasa melonjak kepada 761hp.

McMurtry Speirling kereta comel paling laju di Goodwood, cuma 39.08 saat!

NAMPAKNYA kereta paling comel di Goodwood Festival of Speed baru-baru ini juga menjadi kereta terpantas yang melalui course itu.

McMurtry Speirling yang bersaiz kerdil itu telah mencatatkan rekod masa hanya 39.08 saat untuk menyempurnakan laluan Goodwood, dipandu oleh bekas pelumba Formula Satu, Max Chilton. Rekod itu dibuat pada Ahad lepas, memecahkan rekod masa sebelum ini iaitu 40.056 saat.

Kenderaan elektrik (EV) satu tempat duduk dengan pintu gullwing itu juga kira-kira 0.8 saat lebih pantas dari rekod oleh Romain Dumas yang memandu Volkswagen ID. R pada 2019.

Dengan pecutan 0 ke 100km/j dalam masa kurang satu setengah saat (1.5 saat), tidak hairanlah McMurtry Speirling mampu menjadi jentera terpantas di Goodwood. Kelajuan maksimanya dihadkan pada 150 batu sejam (241km/j).

Pengarah urusan McMurtry berkata kepada Autocar bahawa kereta ini sedang dalam proses menjadikannya street-legal (boleh dipandu di jalan awam). Thomas Yates menjanjikan untuk memberikan pecutan pantas yang sama tetapi ia tidak akan menjadi “kereta paling selesa untuk bonggol jalanan”.

Pengeluaran dikatakan akan dihadkan kepada beberapa unit sahaja dengan harga sekurang-kurangnya 1 juta pound (RM5.39 juta).

Yates juga berkata kereta produksi akan mengekalkan prestasi kuasa-kepada-berat sebanyak 1,000hp per tan, serta dua unit motor elektrik di belakang dengan pek bateri 60kWh. Ini cukup untuk memberikan jentera ini jarak pemanduan sehingga 300 batu (483km).

Dengan menambah komponen-komponen wajib seperti pengelap cermin, lampu depan dan beberapa barangan lain, Speirling versi produksi tidak akan se-aerodinamik seperti unit di Goodwood ini. Tetapi jentera versi litar ini mampu menghasilkan downforce lebih tinggi dari F1 pada kelajuan 240km/j.

Perodua pecah rekod jualan, tercatat dalam Malaysia Book of Records!

PERODUA mendaftarkan 27,858 kenderaan pada Oktober 2021, memecahkan rekod terdahulu dicatatkan tepat pada 12 bulan sebelumnya dengan 26,848 kenderaan dijual pada Oktober 2020.

Rekod ini turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai rekod tertinggi kenderaan terjual dalam sebulan.

Rekod baharu ini tercatat dengan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggan. Ini kerana pengeluar kereta kompak tersebut mensasarkan untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.

“Pencapaian ini adalah komitmen kami terhadap para pelanggan kami dan ianya mewakili peningkatan sebanyak 90.67 peratus daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutamanya untuk tahun ini,” tambahnya.

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Perodua Bezza model baharu iaitu Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya hari ini.
–fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada 27,858 kenderaan Perodua yang didaftarkan, 8,761unit adalah Myvi, 5,973 unit Axia, 5,257 unit Bezza, 3,973 unit Ativa, 2,553 unit Alza dan 1,341 unit Aruz.

Dari segi pengeluaran, beliau berkata Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dikeluarkan dengan catatan sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata pencapaian 29,803 unit itu adalah di luar kapasiti pengeluaran semasa Perodua, namun kakitangannya mampu meningkatkan produktiviti mereka dengan tahap kualiti yang sama walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.

Dato’ Zainal berkata lanjutan Pengecualian Jualan Cukai yang diumumkan baru-baru ini amatlah dialu-alukan kerana ia membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan baru-baru ini serta mengejar permintaan.

“Lanjutan Pengecualian Jualan Cukai juga akan memberi manfaat kepada semua, daripada pengguna kepada pengeluar komponen asli serta para pembekal yang juga turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global,” tambahnya.

Setakat tahun ini, Perodua mencatatkan 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5 peratus di bawah 171,861 yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2020.

“Kami berterima kasih kepada Malaysian Book of Records kerana mengiktiraf pencapaian kami tahun lepas dan kami akan terus membina pengiktirafan tersebut dengan menghasilkan dan mendaftar sebanyak mungkin kenderaan pada masa akan datang dan dengan berbuat demikian, ianya membuktikan komitmen kami kepada para pelanggan kami,” Dato’ Zainal berkata.

Ujian akhir: Porsche 718 Cayman GT4 RS catat 7 minit 9.3 saat di Nurburgring

PORSCHE 718 Cayman GT4 akan mendapat ‘adik’ yang lebih hardcore, iaitu Cayman GT4 RS yang akan membuat kemunculan global secara rasmi November ini.

Untuk fasa ujian akhir dan pemanduan penilaian, jentera ini mempamerkan prestasi dinamik dan potensinya di litar Nurburgring.

Merupakan 718 pertama yang ‘memakai’ lencana RS, Cayman ini mencatatkan masa 7:09.300 minit di litar Green Hell, dipandu oleh Jörg Bergmeister.

Ia juga sebelum ini mencatatkan masa 7:04.511 di bahagian litar lebih pendek, bermakna ia 23.6 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 ‘biasa’.

Untuk melindungi pemandunya dalam catatan masa ini, jentera berenjin tengah ini dilengkapi dengan tempat duduk perlumbaan. Tayarnya adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 R, iaitu tayar pilihan khas untuk kereta ini.

“Semasa pembangunan, kami memberikan 718 Cayman GT4 RS segalanya memberikannya karakter RS sebenar: ringan, lebih downforce, lebih kuasa, dan sudah tentu lebih respon untuk pemandu,” kata Andreas Preuninger, pengarah GT Model Line.

“Catatan masa di Nordschleife ini satu bukti kukuh tentang betapa ketaranya penambahbaikannya pada dinamik pemanduan.”

Menurut pemandu ujian, Jörg Bergmeister, 718 Cayman GT4 RS ialah jentera pemanduan yang tiada komporomi. “Ia terasa lincah seperti go-kart di jalan pergunungan, tetapi tetap stabil dan seimbang di litar.”

“GT4 RS ini antara jentera Porsche paling responsif pernah dihasilkan. Dan anda hanya perlu merasai sendiri bunyinya yang menakjubkan,” tambah Bergmeister yang juga telah menghabiskan lebih 500 jam dalam pembangunan 718 Cayman GT4 RS.

SSC mengaku Tuatara tak sampai pun kelajuan 484.5km/j!

SSC North Amerika membuat kejutan pada Oktober 2020 lepas dengan Tuatara mereka, sebuah hypercar yang didakwa mampu mencapai kelajuan luar biasa untuk kereta biasa.

Gambar: SSC North America

Menurut pengumuman rasmi mereka pada masa itu, pengganti Ultimate Aero itu mencapai 301.07 batu sejam (484.53km/j) dalam satu arah dan 331.15 batu sejam (532.93km/j) pada arah berlawanan. Purata kelajuannya ialah 316.11 batu sejam (508.73km/j).

Ternyata tidak susah untuk pemerhati dengan mata tajam untuk melihat kemusykilan dari rakaman SSC, menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap ujian rekod kelajuan Tuatara itu.

Gambar: SSC North America

Pada Januari 2021, satu lagi ujian kelajuan dibuat untuk memperjelaskan keadaan, Tuatara pada masa itu mencatat kelajuan purata 282.9 batu sejam (455.2km/j) selepas memecut pada 279.7 batu sejam (450.1km/j) dan 286.1 batu sejam (460.4km/j).

Kini, SSC mengaku pula mereka tidak pernah memecahkan rekod kelajuan 300 batu sejam, tetapi berjanji untuk melakukannya dengan betul dalam ujian pecutan akan datang.

Gambar: SSC

Dalam satu kenyataan di Instagram, SSC berkata: “Kami ingin menjelaskan bahawa secara rasmi kami tidak mencapai kelajuan yang didakwa sebelum ini iaitu 331 batu sejam, bahkan tidak mencapai 301 batu sejam pada Oktober 2020.”

Syarikat itu berkata ianya “sangat mengecewakan” dengan kegagalan mereka untuk melepasi 300 batu sejam (482.8km/j), tetapi mereka bercita-cita mencapainya “dengan telus, rasmi, dan tanpa ragu-ragu” dalam ujian akan datang.

Cubaan itu sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi SSC rancangan mereka terbantut disebabkan satu kemalangan melibatkan trak pembawa kereta yang menunda Tuatara.

Pengasas dan CEO SSC berkata, mereka “telah pulih dari kemalangan itu, dan dalam proses persediaan untuk ujian 300 batu sejam itu.”

Sementara itu, Hennessey dan Koenigsegg juga akan melakukan ujian sama dengan Venom F5 dan Jesko Absolut mereka.

Bugatti pula melaporkan mereka tidak mahu lagi mengejar rekod kelajuan. Jadi Chiron Super Sport+ dengan kelajuan 304 batu sejam (489.2km/j) menandakan satu pengakhiran buat pengeluar dari Molsheim itu. Mereka kini dalam kerjasama dengan Rimac.