fbpx

Mercedes Vision EQXX berjaya jelajah lebih 1,000km, masih berbaki 300km

mercedes eqxx 05

MERCEDES sekali lagi menghantar kereta elektrik (EV) konsep mereka – Vision EQXX – untuk perjalanan jarak jauh bagi menguji kecekapannya. Kali ini, ia diuji di Semenanjung Arab, dan digunakan bagi membuktikan EV boleh dipandu jauh walaupun dengan kepanasan padang pasir.

Vision EQXX baru-baru ini menjelajah sejauh 627.6 batu (1,010km) dari Mercedes-Benz Center di Riyadh, Arab Saudi ke Mercedes-Benz Brand Center di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Perjalanan itu mengambil masa 14 jam 42 minit.

Walaupun suhu mencecah 34 darjah Celsius, EV itu tetap cekap dengan penggunaan kuasa 7.4kWh per 100km sahaja. Sebagai perbandingan, ia mencatatkan 8.3kWh/100km semasa ujian dari Jerman ke England.

Vision EQXX juga mempunyai baki jarak 192 batu (309km) semasa ia sampai ke destinasi di Dubai. Ini bermakna, secara teori, EV ini mampu dipandu sejauh 820 batu (1,319km) dengan cas penuh.

Ujian ini suatu keputusan positif buat jurutera Mercedes kerana suhu ekstrem (terlalu panas atau sejuk) boleh memberi kesan negatif kepada jarak pemanduan EV.

Bagi mengurangkan kesan suhu kepada bateri, Vision EQXX menggunakan pam haba khas untuk menyejukkan kabin, yang mana Mercedes dakwa hampir tidak memberikan kesan kepada jarak pemanduan.

Untuk lebih menjaga lagi kecekapan kuasa, unit Vision EQXX ujian ini dilengkapi dengan 117 sel solar. Semasa ujian ini, sel itu menjana 1.8kWh tenaga, menambahkan jarak sebanyak 15 batu (24km). Mercedes berkata mereka akan menggunakan ciri ini untuk kereta produksi.

Turut diuji dalam pemanduan ini ialah sistem bantuan pintar padanya. Sistem ini mencadangkan kepada pemandu bagaimana memandu dengan lebih cekap, dan ia memang benar-benar pintar.

Dalam kes ini, ia turut mengambil kira angin lintang dari pantai untuk membantu pemandu memaksimakan jarak dari bateri. Semasa berhenti pula, ia membantu mencari ruang parkir paling ideal untuk mendapat cahaya matahari bagi mengecas sistem solar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved