Arkib Tag: Pusat 4S

Pusat 4S Kawasaki kini dibuka di Kuching

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S flagship ketiganya iaitu Kawasaki Kuching yang terletak di Kuching, Sarawak.

Terletak di bawah pengurusan Ghee Hua Co Sdn Bhd, Kawasaki Kuching merupakan pusat pameran bertaraf All-Star yang pertama di Malaysia Timur dan ketiga di Malaysia.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Law Kin Hin, Pengarah Kawasaki Kuching dan Ghee Hua Group, bersama Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas. Ia turut disaksikan oleh YB Dato Sri Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak.

Ghee Hua diasaskan pada 1968 sebagai syarikat menjual basikal sebelum ia berkembang kepada penjualan motosikal pada 1970. Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Modenas sebagai pengedar sah motosikal jenama itu pada Ogos 2000.

Dengan pembukaan Kawasaki Kuching, EMOS menjangkakan dapat memeriahkan pasaran motosikal dan skuter Kawasaki dan Modenas di Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu mensasarkan untuk membuka 10 lagi pusat 4S Kawasaki pada tahun ini dan melantik lima pengedar bertaraf All-Star dalam tahun yang sama.

Menurut EMOS, semua pusat 4S Kawasaki All Star mematuhi piawaian reka bentuk dan pembinaan Kawasaki Plaza di Jepun yang mengutamakan paparan produk dan visual.

Chery buka pusat servis 4S terbesar di Malaysia di Johor Bahru

SELEPAS kejayaan membuka bilik pameran 4S di Kuantan hujung minggu lepas, Chery Malaysia kini merasmikan satu lagi pusat 4S di negara ini.

Terletak di Johor Bahru, pusat 4S Gagner Auto Sdn Bhd di Medini itu merupakan yang terbesar seumpamanya di Malaysia.

Pembukaan itu dirasmikan oleh Yang Mulia Tunku Abu Bakar Ibni Al-Marhum Tunku Bendahara Abdul Rahman dan Yang Mulia Tunku Abdul Samad Bin Tunku Mohd Archibald, serta beberapa individu dari rakan industri dan wakil Chery Auto Malaysia.

Pusat 4S Chery terbaharu ini menempatkan fasiliti ruang jualan, servis, alat ganti, dan juga badan dan cat. Ia menampilkan ciri-ciri rekaan mesra alam dan mengamalkan penggunaan tenaga yang cekap.

Pembukaan pusat 4S ini juga menjadi platform untuk pratonton model EV pertama Chery, Omoda E5 di wilayah selatan.

Wakil Gagner Auto Sdn Bhd, Janessa Kuek berkata: “Kami sangat berbangga menjadi cawangan pertama di rantau selatan untuk membuat pratonton pertama untuk model yang akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia, iaitu Omoda E5.”

“Ini menandakan satu detik bermakna dalam komitmen kami membawakan inovasi kenderaan canggih bagi para pelanggan kami,” katanya.

Pusat 4S Kawasaki Shah Alam kini dibuka

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S pertamanya iaitu Kawasaki Shah Alam.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kawasaki Shah Alam, Chear Kin Keong, sementara EMOS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan dan Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi.

“Melihat sekitar Kawasaki Shah Alam, saya mendapat inspirasi bahawa kedai yang pertama seumpamanya ini akan menjadi platform bagi komuniti Kawasaki untuk mendapatkan pelbagai produk inovatif Kawasaki,” kata Roslan.

Kawasaki Shah Alam merangkumi empat aspek perniagaan iaitu jualan, alat ganti, servis dan bilik pameran.

Apa yang menarik, pusat 4S flagship ini juga dikategorikan sebagai Kawasaki All Star, di mana peminat motosikal boleh menemui semua model Kawasaki terkini, dari model kapasiti kecil hingga besar, termasuk model-model off-road.

George Kashiwagi berkata semua outlet Kawasaki All Star menggunakan reka bentuk Kawasaki Plaza di Jepun yang mengetengahkan paparan produk dan perdagangan visual.

“Kami percaya dengan berkongsi aspek reka bentuk dan kepercayaan yang sama, bilik pameran ini akan membuatkan pengunjung berpuas hati. Dalam erti kata lain, ia memberikan mereka pengalaman Kawasaki di mana budaya bertemu dengan minat,” katanya.

Mitsubishi buka pusat 4S pertamanya di Bintulu, Sarawak

MITSUBISHI Motors Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, berserta Auto Pacifica Sdn Bhd baru-baru ini merasmikan pembukaan fasiliti bertaraf 4S pertama yang terletak di Sarawak.

Premis dua tingkat dengan kawasan berkeluasan 10,000 kaki persegi ini menampilkan identiti jenama Mitsubishi Motors dengan slogan ‘Drive Your Ambition’.

Ia didatangkan dengan sebuah pusat servis yang cukup lengkap dan mampu melakukan kerja-kerja pembaikan bagi lima kenderaan Mitsubishi dalam satu masa, serta kemudahan-kemudahan lain seperti ruang rehat, Wi-Fi dan sudut bermain untuk kanak-kanak.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan pembaharuan insurans dan tukar-beli kenderaan di bilik pameran tersebut.

“Auto Pacifica mula beroperasi sebagai pengedar Mitsubishi Motors sejak 2007, sejurus selepas MMM
ditubuhkan pada tahun 2005. Justeru itu pengedar itu tidak asing lagi dalam keluarga Mitsubishi Motors,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Tambah Ikeda lagi, selain bilik pameran di Bintulu ini, Auto Pacifica mempunyai satu lagi bilik pameran di Miri dan akan melancarkan outlet ketiganya di Kota Samarahan pada penghujung Mac.

Fasiliti 4S Auto Pacifica ini beralamat di Lot 4463-4470 (Ground Floor) & Lot 4467-4468 (1st Floor), Pier 99-3 Storey Shophouse, 97000 Bintulu. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu, dari 8 pagi hingga 5 petang, dan Ahad dari 10 pagi hingga 2 petang.

Dengan pembukaan fasiliti ini, MMM kini mempunyai tujuh bilik pameran di Sarawak.

Pusat 4S Porsche Johor Bahru dibuka secara rasmi

PORSCHE Malaysia, yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance, merasmikan pembukaan rasmi pusat Porsche Johor Bahru pada 1 Disember 2022.

Terletak di Danga Bay, fasiliti baharu yang dibina dengan pelaburan melebihi RM28 juta itu menampilkan ciri-ciri terkini yang membezakannya daripada pusat jualan Porsche yang lain di Malaysia.

Kemudahan tiga tingkat berkeluasan 5,412 meter persegi tersebut memperkenalkan konsep seni bina korporat “Destination Porsche” yang menitikberatkan pengalaman jenama yang hebat, mewujudkan ruang berkumpul bagi peminat-peminat Porsche dan menarik minat pelanggan baharu.

Muka bangunan Pusat Porsche Johor Bahru baharu menampilkan ciri-ciri kemewahan dan mesra pengunjung. Ia direka supaya inspirasi ruang dalaman baharu ini boleh dihargai dari luar bangunan.

Di ruang dalaman, konsep seni bina “Destination Porsche” terkini menawarkan penampilan ruangan modular yang boleh disepadukan dan diubahsuai dengan mudah.

Modul-modul di dalam pusat Porsche Johor Bahru merangkumi Highlight Display, E-Performance, Porsche Classic, Fitting Lounge, Delivery Bay and Certified Pre-Owned Car. Ruang istirahat baharu menyediakan tempat perhimpunan sosial dan persekitaran yang selesa untuk pelanggan dan komuniti Porsche.

Menariknya, pengunjung juga boleh mengasah kemahiran memandu mereka dengan simulator perlumbaan e-sukan yang disediakan di Porsche Johor Bahru.

Bukan itu sahaja, pemilik Taycan yang mengunjungi pusat Porsche Johor Bahru baharu juga boleh menggunakan kemudahan pengecas DC berprestasi tinggi 175 kW dan pengecas AC 22 kW.

Porsche Johor Bahru merupakan pusat Porsche 4S yang pertama di Malaysia, yang mana bahagian jualan, servis, dan alat ganti disepadukan dengan badan dan cat (B&P) yang diperakui Porsche. Pusat B&P itu hanya menggunakan cat berasaskan air yang dirumus oleh Porsche AG dan dilengkapi dengan sistem pengudaraan dan penapisan.

Ruang bengkel pula menampilkan sembilan ruang servis yang dilengkapi dengan teknologi dan peralatan terkini, juruteknik bertauliah dan mahir, serta alat ganti Porsche tulen untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan.

“Perkhidmatan selepas jualan merupakan salah satu keutamaan kami dalam memenuhi permintaan para pemilik Porsche yang semakin meningkat di Malaysia,” kata Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance.

Proton kini mempunyai 149 pusat 3S/4S di Malaysia

PROTON baru-baru ini telah merasmikan pembukaan pusat 3S/4S mereka yang ke-149, sekaligus menjadikan syarikat itu sebagai pengeluar automotif dengan jumlah cawangan tertinggi di Malaysia.

Terletak di Kota Bharu, pusat pengedaran Harima Auto Mobil 4S (Harima) juga merupakan pengedar Proton yang terbesar di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Selaras dengan hala tuju perniagaan Proton, Harima yang telah beroperasi sebagai pengedar jenama itu di Kota Baharu sejak 1986 memutuskan untuk melabur dalam pusat 4S baharu bagi menaik taraf pengalaman pembelian, memberikan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik dan menjadi pusat tumpuan bagi pemilik Proton di negeri itu.

Pusat 4S yang terletak di Tunjong itu mempunyai keluasan binaan 2,400 meter persegi dan memuatkan 11 ruang servis dan 11 ruangan untuk kerja ketuk dan cat. Untuk keselesaan pelanggan, ia juga menyediakan kemudahan-kemudahan seperti kawasan permainan kanak-kanak, Wifi percuma dan ruang istirahat.

Lebih menarik lagi, Harima juga menjadi pengedar pertama di Kelantan yang bekerjasama dengan Proton Global Services (PGS) untuk menawarkan kemudahan ruang minuman yang menyajikan kopi Starbucks, serta sudut produk berjenama Proton dan R3.

“Apa yang paling penting ialah pelanggan gembira mengunjungi pengedar untuk membeli kereta baharu. Sebaik sahaja mereka telah membelinya, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka menghantar semula kereta mereka kepada kami untuk servis berkala. Bagaimanapun, Harima merasakan tahap kepuasan pelanggan yang diperlukan tidak dapat dicapai jika kami terus beroperasi sebagai bilik pameran kecil tanpa kemudahan yang diperlukan, justeru, keputusan untuk beroperasi sebagai pengedar 4S,” kata Pengarah Harima, Liew Vee Lee.

“Pembukaan pengedar 4S baharu Harima Auto Mobil akan membantu meningkatkan reputasi jenama Proton di Kota Bharu. Dengan memiliki rangkaian penuh kemudahan dan aset yang diperlukan untuk melayani jumlah pelanggan yang tinggi, kami berharap dapat meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memberikan pengalaman yang benar-benar premium bagi pelanggan di negeri ini,” tambah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.