Arkib Tag: klasik

Lambretta masuk pasaran Malaysia, bakal lancar X250 dan G350

LAMBRETTA, sebuah jenama skuter klasik yang cukup dikenali ramai, telah mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia.

Sebagai permulaan, Lambretta akan membuka lima kedai rasmi di Malaysia yang terletak secara strategik di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuching. Ia juga akan melancarkan dua model baharu iaitu X250 dan G350 tidak lama lagi.

Lambretta diasaskan pada tahun 1947 oleh Ferdinando Innocenti, dengan inspirasi daripada skuter Cushman berwarna hijau zaitun yang digunakan secara meluas di Itali semasa zaman peperangan.

Visinya adalah untuk mencipta sebuah kenderaan yang menawarkan kemudahan pemanduan, sesuai untuk lelaki dan wanita, dan membolehkan penumpang bergerak tanpa menjejaskan pakaian mereka.

Model terawal Lambretta menggunakan sistem suspensi bebas pada roda hadapan dan belakang, serta rekaan enjin tertutup dan badan streamline.

Hari ini, Lambretta masih menjadi lambang subkultur Mod, mewakili skuter sebagai kenderaan Mod yang hakiki dan memperlihatkan gaya Itali yang unik pada era tersebut.

Era baharu skuter Lambretta menggabungkan keanggunan, fungsi, dan estetik yang kekal sepanjang zaman. Dengan gaya klasik, Lambretta memberi penghormatan kepada asal usulnya sambil menggabungkan estetik berkekalan sepanjang zaman dengan inovasi kontemporari.

Ia juga menampilkan seni bina monocoque unik yang menandakan garis ketangkasan dan kekuatan yang tidak terputus melalui setiap lengkung dan kontur. Model-model baharu ini memancarkan keanggunan dan eksklusiviti, mewakili puncak warisan skuter Lambretta.

Auto Bavaria perkenal pakej servis khas untuk BMW, MINI berstatus klasik

AUTO Bavaria muncul sebagai pengedar pertama di Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan khas untuk kenderaan BMW dan MINI yang telah mencapai status klasik.

Perkhidmatan berkenaan disediakan di pusat pengedar Auto Bavaria Ara Damansara bermula 26 November 2023, khusus untuk memenuhi keperluan peminat kereta klasik.

Menurut syarikat itu, inisiatif ini membuktikan komitmennya untuk meneruskan legasi kenderaan-kenderaan yang tidak lenyap ditelan zaman.

Kumpulan BMW mentakrifkan kereta klasik sebagai kenderaan yang telah melebihi umur 15 tahun dari tarikh siri pengeluaran terakhir model, yang lazimnya berlaku selepas kitaran hayat tujuh tahun model tersebut.

Auto Bavaria menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh dengan dua ruang servis dan pasukan khas yang terdiri daripada dua juruteknik, seorang penyelia dan dua penasihat servis diperuntuk khusus untuk kereta klasik BMW dan MINI.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penyenggaraan servis, pembaikan komponen, baik pulih dan penggantian.

Untuk menjamin ketulenan dan kualiti perkhidmatan, Auto Bavaria membeli alat dan aksesori terus daripada BMW Jerman. Jika alat khusus tersebut tidak lagi dikeluarkan, pusat pengedar ini akan mencari sumber alternatif terus daripada pembekal OEM sambil mengekalkan piawaian kualiti yang ketat.

Semua rekod servis akan dicatatkan dengan teliti di dalam buku servis kereta klasik BMW, memastikan sejarah lengkap penyenggaraan dan pembaikan semuanya disimpan di dalam sistem Auto Bavaria.

Bagi membuat temu janji, pelanggan boleh mendapatkan slot menerusi saluran servis biasa Auto Bavaria. Mereka yang berminat boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Auto Bavaria di 1300-13-3338 atau kunjungi cawangan Ara Damansara untuk pertanyaan lanjut.

Mitsubishi klasik bawah RM10k: Dari Mirage, Lancer, Delica, semua boleh dapat!

TENYEH Enterprise sering menerima panggilan dan pertanyaan berkenaan kereta-kereta menarik dalam bajet tertentu. Bukan senang nak mencari kereta yang mantap tetapi dengan kekangan bajet.

Walaubagaimanapun, Abang Syamsul kita tetap kental memenuhi permintaan anda. Kali ini, Mitsubishi klasik bawah RM10,000. Mari kita lihatkan.

1. Mitsubish Colt Mirage (RM6,800)

Yang pertama ialah Mitsubishi Colt Mirage, model ini awal sedikit sahaja dari Proton Saga generasi pertama. Cat pada kereta ini macam baharu, dan siap ada geran, boleh perbaharui cukai jalan, dan tukar nama.

Sebuah hatchback yang memang syok kalau ‘bikin’ semula.

2. Mitsubish Galant Wagon (RM6,000)

Yang kedua, buat anda peminat wagon, ada sebuah Galant. Menurut iklan, kereta ini tiada masalah untuk dipandu jarak jauh.

Harga badan RM6,000, maksudnya harga cuma untuk kereta. Bayaran lain seperti proses tukar nama dan Puspakom, perlu anda tambah sendiri. Kereta ini lokasinya di Kluang.

Sebuah wagon yang cantik dengan potongan badan klasik.

3. Mitsubishi Space Wagon (RM8,800)

Seterusnya Mitsubishi Space Wagon. Ia tidak terlalu besar, sazinya kecil molek, tetapi masih sebuah kenderaan dengan tujuh tempat duduk.

Harga RM8,800 termasuk dengan Puspakom, pindah semua dokumen serta perbaharui insurans dan cukai jalan.

Menurut iklan, kereta ini mempunyai pemilik cermat, bebas kemalangan, dan cat juga masih original. Cantik sungguh, kereta yang tidak ‘dibikin’ ini lebih meyakinkan.

4. Mitsubishi Lancer kotak (RM4,500)

Ingin yang lebih sporti? Kami ada Mitsubishi Lancer ‘kotak’, tahun 1981. Kereta ni nampak agak sudah ditinggal, cukai jalan pun sudah empat tahun tidak dihidupkan.

Kereta ini amat sesuai untuk dijadikan jentera drift, tapi kalau nak ‘bikin’ pandu santai-santai pun ok, boleh sertai komuniti klasik.

Yang penting geran ada!

5. Mitsubishi Delica (RM9,800)

Setelah kereta, wagon, dan MPV, kita kongsi pula van. Ya, boleh dapat sebuah van yang agak istimewa iaitu Mitsubishi Delica.

Model ini merupakan dengan enjin 1.6 dan kotak gear manual. Delica terkenal sebagai sebuah van yang lasak dan tahan lama.

Iklan ini menerangkan van ini tiada masalah untuk perjalanan jauh, malah enjin senyap katanya. Kami tak pasti apa yang dibuat hingga enjin senyap, tetapi begitulah nampaknya. Sesiapa mahu jalani “van life”?

6. Mitsubishi Willys (RM7,000)

Akhir sekali, kami berikan model paling rare, persembahkan Mitsubishi Willys! Haa ini memang hanya untuk mereka yang kental sahaja.

Kebiasaannya pengeluar pada zaman ini, bila mahu mula menceburi bidang off-road, sama ada mereka akan ke arah Defender, atau Jeep. Hanya dua pilihan pada masa itu.

Mitsubishi Willys ini menampilkan rekaan ala Jeep untuk perang, grilnya juga standard dengan tujuh bar menegak. Memang ikonik.

Hanya satu gambar ini yang ada, geran dan dokumen semua tidak diketahui. Anda cubalah hubungi pemiliknya.

Kalau ‘bikin’ betul-betul, terus boleh masuk Art of Speed! Memang ngam.

Porsche 911 Sport Classic – Moden dengan sentuhan klasik, 1,250 unit sahaja seluruh dunia

PORSCHE 911 Sport Classic telah dijelmakan semula untuk generasi 911 992 baharu, dan ia salah satu dari empat barangan koleksi oleh Heritage Design.

Sebanyak 1,250 unit 911 edisi terhad ini akan dihasilkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur, menampilkan elemen retro dari 1960an dan 1970an.

Sama seperti model sebelumnya iaitu dari generasi 997 yang dikeluarkan pada 2009, kemunculan semula Sport Classic ini diinspirasikan dari 911 asal (1964 – 1973) dan 911 Carrera RS 2.7 1972.

Ciri luaran yang menjadi identiti model ini adalah badan lebar dari 911 Turbo, spoiler ‘ducktail’ dari Carrera RS 2.7 dan bumbung ‘double bubble’ yang membezakannya dari varian 911 lain.

Sama seperti 911 (997) Sport Classic, generasi terbaharu ini juga hadir dengan warna Sport Grey Metallic. Menurut Vice President Style Porsche, Michael Mauer, “Kelabu tidak pernah membosankan, agak menonjol dan sentiasa cool.”

Jika anda tidak berminat dengan warna ini, 911 Sport Classic juga boleh didapati dengan warna Black, Agate Grey Metallic, Gentian Blue Metallic, atau Paint to Sample. Pelengkap kepada warna badan ini adalah dua garisan yang dicat pada bonet, bumbung dan spoiler belakang.

Di bahagian dalam pula, corak Pepita boleh didapati pada panel pintu dan tempat duduk. Sementara itu, balutan kulit Black/Classic Cognac memberikan kontra yang elegan.

Unit janaan kuasanya agak unik, ia dikuasakan oleh enjin 3.7-liter flat-six twin-turbo yang menjana 550hp, dihantar ke roda belakang.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 7-kelajuan, dan 911 Sport Classic menjadi model 911 manual paling berkuasa setakat ini.

Tiada fungsi auto blip pada kotak gear ini, dan enjin juga dipadankan dengan sistem sport ekzos khas untuk bunyi yang lebih merdu.

Untuk suspensi pula, 911 Sport Classic mendapat sistem suspensi dari 911 Turbo dan GTS, bersama Porsche Active Suspension Management (PASM) dan ianya juga 10mm lebih rendah.

Darul Aman Raret’ro 2022 meriah, himpun ratusan jentera klasik dan retro

Darul Aman Raret’ro (DARE) telah diadakan di perkarangan Zaques Hotel, Sungai Petani pada 4 hingga 6 Februari lepas. Acara yang menghimpunkan jentera-jentera klasik itu merupakan yang terbesar pernah diadakan dan merupakan tahun kelima penganjuran.

Pelbagai aktiviti telah diadadakan sepanjang tiga hari acara berlangsung seperti autoshow dan persembahan audio dari 40 buah kereta diwakili kumpulan audio Kedah.

Selain itu, setiap peserta dan pengunjung yang hadir layak untuk mendapatkan satu tiket cabutan bertuah dengan setiap pembelian kemeja-T rasmi.

Sesi cabutan bertuah diadakan dua hari berturut-turut, menawarkan dua hadiah utama iaitu sebuah motosikal Honda C70 sumbangan Surico Malaysia dan telah direstore sepenuhnya serta satu set rim sport 14-bintang sumbangan Atara Racing.

Secara purata, lebih 500 buah kenderaan retro memenuhi ruang acara setiap hari, terdiri dari kereta dan motosikal old school.

Hari terakhir menyaksikan himpunan Saga Big Day Out dengan lebih 200 buah Proton Saga dengan pelbagai gaya modifikasi dan restorasi. Dari modifkasi ala perlumbaan, tayar kangkang, hingga standard ‘abah-abah’, semuanya ada.

Dianggarkan hampir 7,000 pengunjung hadir ke acara tiga hari itu, rata-ratanya adalah penduduk kawasan setempat.

Aktiviti tidak terhad kepada kereta dan motosikal sahaja, sebaliknya terdapat juga jualan pasar karat, bundle, Hooligan Camp, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, demo dan klinik BMX, dan persembahan DJ piring hitam.

Pendek kata, acara Darul Aman Raret’ro ini sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur. Acara kali ini juga mendapat sokongan dan penajaaan dari pihak Malaysia Automotive, Robotics and ioT Institute (MARii), Surico Malaysia, dan Maktok Maruku.

Acara juga dijalankan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Gambar/teks: Raziman SiPico

Mercedes CLK DTM AMG yang rare ini terjual di Malaysia, hanya 100 unit seluruh dunia!

SEBUAH Mercedes-Benz CLK DTM AMG baru-baru ini telah mendapat tuan baru setelah dijual oleh Naza Automall. Difahamkan unit itu hanya mempunyai kira-kira 90km perbatuan pada odometernya.

Untuk yang belum tahu, Mercedes CLK DTM AMG adalah antara model paling istimewa pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu. Ia merupakan versi jalanan untuk jentera perlumbaan DTM (Deutsche Tourenwagen Masters) iaitu siri perlumbaan Touring Car popular di Eropah.

CLK DTM AMG ini dikeluarkan pada 2004 dan hanya 100 unit pernah dibina untuk seluruh dunia, menjadikan model ini sangat rare! Dari jumlah itu pula, hanya 40 unit adalah versi pemanduan stereng kanan (RHD). Agaknya berapa unit ada di Malaysia?

Sebenarnya tanpa perlu mengetahui dengan lebih mendalam, anda pasti tahu CLK DTM AMG ini satu model istimewa berdasarkan kit badannya yang sangat agresif.

Dari bampar depan dengan ruang kemasukan udara besar, gerbang roda lebar yang terkeluar dari badan, dan spoiler belakang, semuanya dibangunkan dari DTM. Dan sama seperti versi jentera lumba, kereta ini juga mendapat banyak komponen dari gentian karbon untuk luar dan dalam.

AMG mungkin terkenal dengan enjin turbonya hari ini, tetapi CLK DTM dikuasakan oleh unit 5.4-liter V8 supercharge yang menjana sekitar 580hp dan 800Nm tork.

Sudah tentu output ini disalurkan ke roda belakang, dan ia menggunakan kotak gear semi-auto 5-kelajuan, serta hadir dengan LSD (Limited-Slip Differential) dan Electronic Stability Control yang ditala semula.

Pecutan 0-100 boleh dibuat kurang dari 4 saat dan ia mampu mencapai kelajuan maksima melebihi 320km/j.

Satu fakta menarik mengenai Mercedes CLK DTM AMG juga ialah ia mempunyai kumpulan pemilik elit seperti bekas pelumba Formula Satu, Jenson Button dan Takuma Sato.

Berkenaan unit CLK DTM AMG yang dijual oleh Naza Automall ini pula, tiada sebarang harga didedahkan tapi sudah tentu harganya akan ‘keras’.

Untuk rujukan, beberapa CLK DTM AMG di luar negara pernah terjual pada harga melebihi USD200,000 (RM837,700) dan jika ditambah dengan segala cukai dan kos lain, kami yakin harganya di sini sekitar RM2 juta.

Sumber foto: Naza Automall, Carpixel, Autocar, Autoevolution

Dilelong hampir RM1.7 juta pada 2011, di mana Lamborghini Athon sekarang?

TIDAK dinafikan ramai dalam kalangan kita mempunyai minat mengumpul atau menyimpan koleksi kenderaan klasik.

Bagaimanapun, minat ini sudah pasti menelan belanja besar memandangkan kenderaan klasik mempunyai nilai sangat tinggi sehingga adakala mencecah jutaan ringgit.

Jadi, kali ini jom kita kembali ke tahun 1980 untuk melihat serba sedikit mengenai sebuah kereta konsep dikenali sebagai Lamborghini Athon!

Kenali Lamborghini Athon

Model Lamborghini Athon mula diperkenalkan pada tahun 1980 ketika berlangsung acara motor show di Turin, Itali.

Ia dikatakan antara kereta konsep paling power ketika itu yang mana didatangkan dengan enjin V8 3.0-liter.

Kapasiti enjin ini menghasilkan lebih 260hp yang disertakan dengan kotak gear manual 5-kelajuan.

Pada masa sama Athon juga turut dilengkapi suspensi gantungan bebas (independent front and rear suspension) di bahagian depan dan belakang.

Kebiasaannya, kereta konsep dicipta hanya untuk dipamerkan kepada umum dan jarang sekali ia dapat berfungsi.

Bagaimanapun, Lamborghini tampil menghasilkan sebuah kereta konsep yang boleh berfungsi dengan baik malah, mempunyai kuasa pecutan menggagumkan!

Sementara itu, mengimbau sejarah pembikinan Athon, ia juga dikatakan dihasilkan bagi membantu meningkatkan jualan syarikat Lamborghini yang berdepan masalah kewangan.

Laman web Motor1.com menyifatkan Athon sebagai antara model konsep paling unik pernah dihasilkan Lamborghini kerana mempunyai rekaan futuristic.

Model Athon memiliki suntikan gaya klasik-futuristik. – Foto ihsan Wikipedia

Asal usul nama Athon

Reka bentuk Athon dihasilkan daripada garapan idea oleh Marc Deschamps.

Deschamps merupakan pereka design kenderaan cukup terkenal selain pernah menghasilkan beberapa rekaan seperti Mazda MX-81 Aria dan Citroen Camargue 1972.

Nama Athon pula diambil bersempena gelaran tuhan matahari kepercayaan masyarakat kuno Mesir iaitu “Aton”.

Kokpit Athon yang kelihatan sangat canggih bagi kereta konsep ketika itu. – Foto ihsan Wikipedia

Kehebatan Athon

Athon menjadi salah sebuah model paling hebat sekitar 1980-an.

Ia bukan sahaja mempunyai enjin menghasilkan kelajuan memukau sehingga 273.6 km/j tetapi turut dilengkapi ruang dalaman eksklusif.

Kekemasan ruang dalaman Athon menjadikan model itu bernilai cukup tinggi dan ini terbukti apabila ia berjaya dilelong pada harga AS$392,700 atau bersamaan RM1.66 juta pada 2011.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan di mana satu-satunya model ini berada dan siapakah pemiliknya.

Jika anda ada maklumat lanjut mengenai Lamborghini Athon ini, jangan malu untuk tinggalkan komen di mana-mana platform media sosial EnGear.

Setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai nasib Athon selepas dilelong pada 2011. – Foto ihsan Wikipedia

MV Agusta Brutale 1000RR 2021 tampil lebih ‘brutal’

PEMINAT motosikal berkuasa tinggi ‘dikejutkan’ dengan kehadiran model terbaharu, MV Agusta Brutale 1000RR 2021.

Berada dalam keluarga ‘naked bike’, model terbaharu ini dihasilkan dengan reka bentuk seakan motosikal klasik dengan aura lebih seksi.

MV Agusta Brutale 1000RR 2021 mempunyai enjin berkapasiti 998cc DOHC empat silinder.

Ia mampu menghasilkan lebih 208 horse power atau kuasa kuda dan 116.5 Nm.

Tidak ketinggalan seperti kebanyakan motosikal berkuasa besar lain, MV Agusta Brutale 1000RR 2021 mempunyai ciri-ciri seperti:

  • Quick shifter
  • Pengehad tork roda belakang
  • Kawalan cengkaman lapan tahap
  • Kawalan wheelie

Selain itu, MV Agusta Brutale 1000RR 2021 juga didatangkan dengan transmisi enam kelajuan.

Pada masa sama, motosikal ini menggunakan beberapa komponen keluaran Ohlins iaitu:

  • Peredam Ohlins NIX EC
  • Peredam tunggal Ohlins TTX EC

Kesemua sistem perendam termasuk peredam stereng juga boleh dikawal secara elektronik.

Sistem brek MV Agusta Brutale

MV Agusta Brutale 1000RR 2021 menggunakan sistem brek Brembo Stylema.

Ia terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 320mm jenis terapung.

Sistem brek belakang pula menggunakan angkup Brembo dua omboh dengan rotor 260mm.

Skrin lebih canggih

Keselesaan dan kepuasan tunggangan dapat dirasai dengan ‘kehadiran’ skrin TFT lima inci yang mempunyai beberapa spesifikasi canggih.

Antara teknologi yang disediakan termasuk sistem navigasi GPS serta penjejak Mobistat.

Setakat ini, harga bagi sebuah MV Agusta Brutale 1000RR 2021 dianggarkan kira-kira €32,000 atau bersamaan 160,234.