fbpx

Mercedes CLK DTM AMG yang rare ini terjual di Malaysia, hanya 100 unit seluruh dunia!

mercedes clk dtm amg 01

SEBUAH Mercedes-Benz CLK DTM AMG baru-baru ini telah mendapat tuan baru setelah dijual oleh Naza Automall. Difahamkan unit itu hanya mempunyai kira-kira 90km perbatuan pada odometernya.

Untuk yang belum tahu, Mercedes CLK DTM AMG adalah antara model paling istimewa pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu. Ia merupakan versi jalanan untuk jentera perlumbaan DTM (Deutsche Tourenwagen Masters) iaitu siri perlumbaan Touring Car popular di Eropah.

CLK DTM AMG ini dikeluarkan pada 2004 dan hanya 100 unit pernah dibina untuk seluruh dunia, menjadikan model ini sangat rare! Dari jumlah itu pula, hanya 40 unit adalah versi pemanduan stereng kanan (RHD). Agaknya berapa unit ada di Malaysia?

Sebenarnya tanpa perlu mengetahui dengan lebih mendalam, anda pasti tahu CLK DTM AMG ini satu model istimewa berdasarkan kit badannya yang sangat agresif.

Dari bampar depan dengan ruang kemasukan udara besar, gerbang roda lebar yang terkeluar dari badan, dan spoiler belakang, semuanya dibangunkan dari DTM. Dan sama seperti versi jentera lumba, kereta ini juga mendapat banyak komponen dari gentian karbon untuk luar dan dalam.

AMG mungkin terkenal dengan enjin turbonya hari ini, tetapi CLK DTM dikuasakan oleh unit 5.4-liter V8 supercharge yang menjana sekitar 580hp dan 800Nm tork.

Sudah tentu output ini disalurkan ke roda belakang, dan ia menggunakan kotak gear semi-auto 5-kelajuan, serta hadir dengan LSD (Limited-Slip Differential) dan Electronic Stability Control yang ditala semula.

Pecutan 0-100 boleh dibuat kurang dari 4 saat dan ia mampu mencapai kelajuan maksima melebihi 320km/j.

Satu fakta menarik mengenai Mercedes CLK DTM AMG juga ialah ia mempunyai kumpulan pemilik elit seperti bekas pelumba Formula Satu, Jenson Button dan Takuma Sato.

Berkenaan unit CLK DTM AMG yang dijual oleh Naza Automall ini pula, tiada sebarang harga didedahkan tapi sudah tentu harganya akan ‘keras’.

Untuk rujukan, beberapa CLK DTM AMG di luar negara pernah terjual pada harga melebihi USD200,000 (RM837,700) dan jika ditambah dengan segala cukai dan kos lain, kami yakin harganya di sini sekitar RM2 juta.

Sumber foto: Naza Automall, Carpixel, Autocar, Autoevolution

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved